Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

khabar angin budak bernama aboi

 

 

Ada satu khabar angin dekat kampung yang diberi nama kampung Kembang Semangkuk. Tapi khabar angin ini antara budak-budak dekat kampung ini saja. Tak melibatkan orang-orang tua sebab orang-orang tua takkan percaya. Sebab orang-orang tua kata budak-budak tak tahu apa. Budak-budak tak tahu bezakan realiti dan fantasi. Budak-budak cuma tahu pasal power rangers, naruto, upin ipin, ben 10 dan yang seangkatan dengannya. Kalau lebih sikit dari tu mungkin budak-budak tahu pasal Tom Tom Bak yang gampang itu. Itulah kata orang-orang tua pasal budak-budak.

Pasal apa khabar angin ni antara budak-budak kampung saja? Sebab budak nama aboi yang mulakan dulu khabar angin ni. Selepas itu dia cerita dekat semua kawan dia. Kawan-kawan dia pula cerita dekat semua kawan mereka macam cerita berantai.

Dah dua perenggan dah panjangnya cerita ini. Jadi sebenarnya khabar angin tu pasal apa?

Kata aboi menurut kepercayaannya, menurut deria penglihatannya, pak akob dekat kampung tu ialah serigala jadian. Kalau ada bulan mengambang dia akan bertukar jadi serigala jadian.

Kata aboi dia pernah tengok pak akob bertukar jadi serigala jadian secara hendap-hendap dengan tidak sengaja pada suatu malam bulan mengambang.

Yang ini memang susah kawan-kawan dia hendak percaya sebab tak ada budak-budak lain yang pernah nampak serupa macam yang aboi nampak.

Jadi aboi buat satu perumpamaan dekat kawan-kawannya. Katanya badan pak akob tu ada bulu lebat yang luar biasa tak macam orang lain. Jambang dia penuh dekat muka macam abang wolverine. Jadi hal bulu banyak pak akob tu sedikit sebanyak menunjukkan yang dia tu adalah serigala jadian.

Yang keduanya, menurut aboi, pak akob tu garang benar orangnya. Sikit-sikit nak marah orang. Kalau dia nak beli rokok dekat kedai cina Ah Keat dekat simpang itu pun sampai dia nak tengking-tengking uncle Ah Keat tu.

Semua orang tahu pak akob tu kasar orangnya. Sebab perangai pak akob yang tak munasabah itulah dia pernah terjatuhkan talak tiga dekat bekas bini dia makcik selamah, sampai makcik selamah pun terkilan bawa diri balik rumah mak dia dekat hulu sabah. Sampai sekarang tak tahu apa untung nasib dia entahkan hidup atau mati.

Sampai sekarang pun pak akob tak kahwin-kahwin lagi sebab tak ada betina yang berkenan dengan perangai dia, apatah lagi muka dia yang tak segak tu. Beritahu aboi kepada kawan-kawannya perangai garang pak akob tu melambangkan sifat kebinatangan yang ada dalam dirinya.

Yang ketiganya, bersandarkan kepada cerita anak pak akob yang satu iaitu mail. Lepas mail dengar cerita yang kononnya bapak dia tu serigala jadian dia jadi antara hendak percaya dengan tak percaya. Dia takut kalau betul-betul bapanya itu serigala jadian tapi dia tak berani tanya bapak dia takut kena marah dan dipukul.

Jadi apa yang menurutnya cerita mail anak pak akob tu?

Kata mail dekat aboi dan kawan-kawan, bapak dia jarang keluar rumah malam-malam. Selalu dia duduk rumah sahaja malam-malam menonton CD wrestling. Kalau keluar malam pun dia akan balik cepat. Tapi mail perasan kadang-kadang bapanya ada balik lepas subuh dua tiga malam dalam sebulan.

Pernah beberapa kali waktu bapanya keluar malam tak balik-balik walaupun dah pukul 12 tengah malam mail akan keluar rumah tengok bulan dekat langit nak sahkan samada malam tu malam bulan mengambang. Memang benar pun waktu itu bulan tengah mengambang. Jadi mail amat syak bapanya keluar rumah tak balik-balik sebab nak bertukar jadi serigala dekat luar takut nanti diketahui anaknya.

Akhir sekali pasal cerita aboi yang kononnya pernah tengok pak akob bertukar jadi serigala jadian dalam kebun durian bapak dia secara tak sengaja tu. Semua orang tahu pak akob tu gigi dia dah banyak luruh gamaknya sebab dia tak jaga gigi sejak kecil. Yang ada cuma dua tiga batang gigi saja sebagai belas ihsan dari tuhan moga-moga dia dapat mengunyah serba sedikit ketika makan.

Kata aboi bersungguh-sungguh bahawa dia ternampak masa pak akob bertukar jadi serigala, memang serigala tu pun tak ada gigi, sama seperti bila pak akob jadi manusia. Wallah kata aboi kepada kawan-kawannya sambil bermuka serius.

Aboi berhujah pasal kenapa tak ada orang atau binatang mati kena gigit dengan serigala dekat kampung ini sebab pak akob tu adalah serigala yang tak ada gigi, macam mana dia nak gigit orang atau binatang.

Lama kelamaan lebih kurang 3 tahun kemudian cerita pak akob serigala jadian itu pun budak-budak dah tak berapa kisah dan hampir dilupakan sebab sepanjang sejarah kampung itu pak akob tak pernah pun buat hal dengan budak-budak kampung. Oleh yang demikian budak-budak tak kisah sangat asalkan pak akob tak memudaratkan mereka, walaupun misteri samada pak akob tu serigala jadian benar atau tidak tak pernah dirungkaikan.

Lebih kurang 3 tahun berlalu itulah mail anak pak akob telah pun mencecah 15 tahun. Maka pada suatu hari tatkala umur mail 15 tahun dia pun didatangi mimpi yang pertama kali dia alami. Bukan mimpi berjumpa orang tua berjanggut panjang berjubah putih yang steorotaip tu. Tapi mimpi basah menandakan dia telah akil baligh menjadi orang dewasa konon-kononnya.

Selepas mail akil baligh itu pada suatu malam, bapanya pak akob keluar entah ke mana selepas habis menonton wrestling di rumah. Malam tu juga mail rasa tak sedap badan. Badannya rasa seram sejuk macam orang demam. Mungkin juga dia terkena demam. Seluruh sendi-sendinya rasa sakit. Kadang-kadang dia khuatir dia terkena demam denggi sebab sekarang memang musim orang kena denggi dekat kampungnya. Oleh itu mail cuma mengurung diri dalam bilik untuk beristirehat.

Waktu sudah tengah malam dan bapaknya masih belum pulang. Mail tahu malam itu malam bulan mengambang sebab bapanya tak pulang-pulang. Tak berapa lama kemudian mail menggigil-gigil sambil menggelupur atas lantai. Kemudian dia merasakan sakit pada sendi-sendinya. Mail dapat merasakan otot-ototnya mengembang. Serentak itu seluruh tubuhnya ditumbuhi bulu-bulu lebat. Mail menahan sakit sedaya upaya supaya tidak menjerit.

Di dalam bilik itu mail antara sedar dan tak sedar cuba mengawal mindanya antara minda manusia dan minda liar. Beberapa lama kemudian dia merasakan tenaganya beransur-ansur lemah lalu dia pengsan.

Mail membuka matanya dari pengsan. Sejalur cahaya pagi dari celah dinding kayu mencucuk matanya. Kemudian matanya terpandang ke arah tilam dan bantalnya yang robek-robek. Dinding kayu biliknya juga calar balar bekas cakaran.

Mail sedar dia adalah keturunan serigala jadian daripada bapanya bermula saat dia akil baligh.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) wahh,mulanya ingat cerita lawak..serius,last2 memang sekali betul dia serigala jadian..memang power si Aboi ni~

Cerpen-cerpen lain nukilan heylelaki

Read all stories by heylelaki