Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

mapley lima belas

  • 1
  • lemau
  • 11 years ago
  • 2,606
  • FREE

 

 

Ini tempat bagiku punya cerita yang pelbagai dan variasinya memang memenatkan akal untuk menilai kesahihannya. Terus terang aku katakan bahawa ini pub dan disko bagiku namun bukan masjid untukku. Manusia tak putus-putus hinggap ke sarang ini membawa seribu cerita untuk dikongsi dan membawa pulang sejuta cerita untuk dirai. Kehadiran ke tempat sebegini terkadang menjadi titah di akal bukan sabda di hati. Perut kau berbunyi, lagu reggae mungkin. Lagu reggae memang melayankan jiwa – ringan – mudah tapi berat mesejnya. Jangan kau pandang si mamat rambut dreadlock itu hanya tahu berkhayal tapi dia juga bisa berfalsafah tanpa dia sedar. Ayatnya juga ada racun yang tersendiri mampu membentak jiwa si perakus kuasa yang azali.

Aku seperti biasa malamku bertemankan suara-suara sumbang temanku yang pelbagai ragam bahasa dan rona hidup tersendiri dan tidak lekang juga suara-suara asing yang mengira harga makanan. Mereka yang si pengira itu, aku hendak sahaja berdiri atas meja makan itu dan memberi tabik hormat ala-ala askar berbaris bila hari kemerdekaan negara atas semangat yang mereka miliki yang aku sendiri entah larat atau tidak pikul. Persetankan mereka masuk ke negara ini cara halal atau tidak. Aku puji semangat mereka itu sahaja. Ya! Mereka yang sibuk itu juga aku tahu perasaan mereka yang liar melonjak untuk hidup bersama keluarga sendiri. Kehidupan yang mencengkam hebat ini memang tidak tahu tawar menawar dalam perjudian hidup ini. Kalau hitam, hitam lah ia. Kau ada duit? tidak? Maka apa jalan kau pilih selain kerja separuh mati bagi menyuap nasi walaupun kenyang tak pernah singgahi. Hidup ini aku pandang macam kumpulan awan yang bergerak perlahan pada cerah nya hari, namun bergerak laju bila cuaca berubah dan angin bertiup laju menyeret awan agar diperahkan sebanyak mana air yang mampu kau hasilakn untuk basahkan bumi. Kau adalah awan. Angin itu duit. Bumi itu hidupmu. Bagaimana pula nak kau sanggah titah kehidupan ini jika kau nak bersabda dengan kemalasan tuli dirimu sendiri? Jika kau buat kau gila kerana kau takkan dapat apa-apa sama sahaj kau bunuh dirimu dengan lompat dari bangunan 10 tingkat sambil menikam diri, itupun kalau kau tak malas memegang pisau.

“Anney, oder!”budak lelaki. “Hmmm, mau makan apa?”tenung pekerja itu ke mata budak lelaki. Itu bukan tenungan bersahaja tetapi tenungan yang mentafsirkan betapa untungnya hidup kamu wahai budak lelaki kerana kau miliki segalanya namun diriku terikat di tempat yang aku paksa diriku untuk suka bagi dapat aku belikan cebisan kebahgiaan untuk sang keluarga nun jauh di mata. “bagi teh o suam satu dengan roti kosong 3 sambal lebeeyyy, ok?” minta budak lelaki itu dan pekerja sekadar mengangguk lalu beredar. Selesai membedal makanan berkenaan, rokok dicari bagaikan berulam pula dengan air teh o dan nikmat umpama selesai senggama lima kali dengan si dara pada malam pertama – belum tentu itu malam perkahwinan. Satu renungan dilempar secara rawak pada atmosfera itu bagi melihat aktiviti makhluk tuhan yang punya gaya tersendiri dan perkataan ‘sial’, ‘babi’ dan macam-macam lagi adalah zikir zaman millenium ini. Kalaulah Hang Tuah itu wujud dan hidup zaman ini, mau saja dia tikam semua perkataan setan itu dengan kerisnya yang aku sendiri tak pasti akan kuasanya. Hebat macam Thundercat ke?

Sekali lagi tempat ini aku ingin umpamakan sebagai pentas lakonan terhebat manusia. Walau hidup kau dengan perkataan ‘pundek’ itu seiras tapi kau selindungkan dengan topeng kebodohan kau agar orang nampak kau hebat bila berkata bagai pemimpin gila kuasa. Namun, setiap bahasa kau sampaikan dapat aku kesan tahap bangang kau di paras berapa. Tak kurang juga yang datang bergaya biarpun makan hanya roti kosong dan air suam. Memanglah bilang makanan yang kau oder tidak melambangkan kekayaan kau. Mana mungkin pula kau nak oder semua makanan yang ada di mapley itu bagi mengisytiharkan kekayaan kau. Aku panggil kau gila babi lah kalau itu yang kau lakukan. Aku seperti biasa memang kegemaran ku berada di meja yang tepi agar aku mampu melihat akan tingkah laku sang manusia yang berkunjung ke mapley ini. “macam ne dengan projek perumahan kite tu? Ko dah dapatkan tanah tak? Harga macam ne?”orang lelaki. “harga macam biasa lah, saya letak harga yang tuan mintak hari tu dan pemilik tanah tu pun on je dengan harga tuan”balas pembantunya yang duduk berhadapan dengan lelaki berkenaan. “Wah! Ini tentu projek juta-juta kannnnnnn,” detik hatiku ketika teh o aku hirup dengan nikmat yang mendalam. Aku tak pasti bahan apa yang digunakan oleh anney ni. Sedap dia bukan main lagi dan sememangnya aku gilakan air teh o ini.

            Sedang aku melayan kenikmatan yang dipinjamkan sementara oleh tuhan kepadaku dalam bentuk minuman, mata aku menangkap satu objek yang menarik perhatian. Hakikatnya, tidaklah menarik seperti melihat jaringan Man U menentang Barca biarpun kalah jadi sayur bayam busuk pun. Inilah yang aku labelkan sebagai pelakon di ‘pentas’ yang aku sifatkan tak berlatar dan tiada lampu khas yang memancar bagi menggambarkan situasi dan emosi sang pelakon itu. Inilah sifat kaum yang kita kenal sebagai majority di tanah tumpah sendiri menjadi pengemis bagi mengenyangkan perut si jahanam yang hanya tahu mengarah sahaja. Kaum melayu memang suka berada dalam arahan dan itu aku lihat dari dahulu lagi. Taat melayu tak bertempat, terkadang meluat aku melihat. Biarlah ingkar, yang penting kau bahagia dengan cara kau sendiri daripada kau terkurung dalam kubikel titah yang tak bertepi dan tiada titik noktah kecuali mati sahaja jadi penjemput di akhirnya. “adik..”, suara wanita yang dihiasi seribu kisah sedih buatan sendiri dengan harapan tunai sebagai habuan atas usahanya itu. Namun, aku hanya menggelengkan kepala sahaja, bukanlah aku ini kedekut orangnya tetapi dermawan aku berpada. Berpada pada yang menipu kerana pastinya dalangnya ada di sekitar sebab modus operandinya sama sahaja maka persetan sahajalah habuan kau.

            Tubuh yang kau miliki takkan kau mahu persiakan dengan mengangkat tangan mengemis dan menggerakkan otot-otot muka kau yang entah berapa banyak bilangan bagi melahirkan ekspresi sedih kau itu? Aku rasa kerugian yang nyata milik kau kerana terlalu berhambakan malas kau yang sudah semakin membelit minda dan jasad kau yang sihat dan mungkin boleh kau gunakan untuk kerja yang lebih baik. Telunjuk yang kau turuti maka jahanam dalam hidupmu yang menanti dan aku adalah penentang kepada kumpulan manusia yang sebegini rupanya. Lagi-lagi muka melayu yang menghiasi arena pengemisan ini, mengapa tidak orang cina? Ya, mereka tahu bagaimana inigin memanipulasi keadaan kerana sudah diajar begitu. Namun, kita hanya sekadar menunggu bantuan kerajaan dan tunggu giliran untuk masuk TV dalam rancangan pengemis dan itukah maruah yang dijulang oleh pemimpin yang kononnya sayangkan melayu? Wahai pemimpin yang mencium keris, kau cium keris itu belum tentu kau tahu penat jerih hidup si pembuatnya kalau tidak kau turun sendiri melihat hidup rakyat kau sendiri. Kalau bantuan sekadar sogokan maka pengakhirnya adalah sia-sia. Jadi usahamu semacam palat bagiku.

            Hari berikutnya, aku masih memilih meja yang sama namun beda waktu sahaja yang gelap dan berangin. Hari yang sangat aku rasakan malam begitu membuaiku sehingga terkuap-kuap aku hasil bersenggama dengan persekitaran yang sangat meransang nafsu tidurku. Malam itu, ada game yang penting untuk aku tonton dengan rakan-rakan gilaku yang terkadang bila direnungkan sifat yang kami miliki tak tergambar sedikit pun sebagai seorang yang berpelajaran. Perlawanan bola sepak liga EPL, siapa yang tidak tahu maka bangang abadilah kau. Perlawan penting antara si merah dan si biru. Aku menggelabah menunggu wisel ditiup dan sekali lagi mapley bertukar menjadi stadium yang mampu memuatkan ratusan ribu penonton. Realitinya, bukan ratusan ribu pengunjung tapi itu adalah bilangan tunai yang disumbat dalam poket-poket anney yang bertugas pada malam itu. Sibuk bukan main, CEO pun tak sesibuk mereka malam tu.

Namun, pada malam itu titah dan sabda bermain hebat dari perlawanan EPL. Kau tahu beza kedua perkataan ini?aku belum pasti bukan aku kerja buka kamus 24/7, jadi jangan tanya aku lebih-lebih. Titah bagiku satu arahan yang kau tak mampu buat pilihan dan sabda umpama satu seruan yang kau boleh tutup sebelah telinga. Macam malam menjelang, mata terpejam, perut bekerja dan kau mahu berak. Titah akal mu, “tido jelah, ko ngantokkan. Esok-esok boleh ko berak”. Sabda hatimu, “weh, pegi la berak kang ko terberak time tido caner, tak baik ko tahan-tahan”. Maka pilihanku tidur, kerana untuk bangun aku perlu menggerakkan banyak otot dan anggota badanku manakala jika aku kekalkan posisi aku sebagai manusia gila tidur aku boleh kemut sahaja. Dua tiga minit lihatlah rasa berak tu. Dah jauh melalut pasal berak aku ni. Di stadium mapley ini, memang havoc gila bapak. Pengulas sukan tak berbayar ramai gila sampaikan kau meluat pula mendengarnya biarpun bola pun dia tak tahu tendang. Aku suka suasana dan udara ketika ini padat dengan nafas tingkah sang manusia yang masing-masing mengaplikasikan teori escapisme. Biarpun, menjalar segala beban dan tanggungjawab namun dirembeskan sahaja segalanya agar hilang ditelan kebingitan sorakan. Dalam waktu yang indah ini, bercampur asap rokok dan shisha pelbagai flavour, aku tak endahkan, retina ku terpacak pada layar putih yang dihiasi perlawanan bola kegemaranku tetapi telinga pantas bekerja menangkap seribu bunyi yang menyinggah ke deria ini.

            “Woi, awat tendang lagu tu? Nakharrommm tol” jerit pemuda di meja sebelahku yang fanatik kumpulan merah. Sedih sangat melihat reaksinya kerana jeritan tuli kau tak sampai pun ke telinga pemain itu. Jadi kau jeritlah gegar satu daerah pun takkan sampai ke pendengaran Mat Salleh tu. Betapa sia-sianya jeritan kau itu, baik saja kalau teriakkan kau itu kau manfaatkan untuk melaungkan azan. Suara kau tak lunak? Kenapa mesti nak lunak? Bukan kau nak masuk juara lagu pun, kan kau nak menyeru manusia untuk solat. Maka, jangan kau tambah populasi bangang abadi ni. Berbalik pada perlawanan bola, aku nampak sudut negatif. Sudut negatif yang boleh memecah belahkan kaum melayu sendiri. Memang mapley tempat berkumpulnya melayu pun, tidak mengira usia, pangkat dan apa sahaja. Melayu dan melepak sudah sebati sangat. Hang Tuah dengan jebat dulu pun melepak jugak sambil asah keris tepi tangga rumah, cabut-cabut kemuncup melekat di seluar dan mungkin bergosip pasal Sultan Melaka. Melepak dan fanatik pasukan masing-masing berjalan seiring dan boleh jadi gaduh pulak puak-puak ini. Aku jadi runsing kerana isu bola yang sangat remeh ini dijulang tinggi. Isu lain yang maha penting pandang sebelah mata sahaja. Pelik kan? Bagaimana dengan isu agama yang kita sendiri anut? Aku bukan bercakap sebagai ustaz tetapi luahan kekesalan aku pada diri dan wakil pada yang lain tentang perihal kita yang lalai dibiarkan dan ditinggalkan masa. Bagaimana kita mentafsir prioriti sesuatu perkara itu? Input yang diterima oleh minda kita dan diproses begitu pantas dan outputnya hanya sisa najis? Boleh jadi najis, boleh jadi madu. Perspektif yang dimiliki oleh kita terlalu terperangkap dalam kubikel pemikiran tradisional yang penuh pantang larang dan kepercayaan tahyul. Keinginan yang tinggi tetapi diperangkap oleh kata keramat yang lumat dan padat iaitu ‘kalau’, jika ‘kalau’ itu teori kau maka amalinya gagallah kerana sifat terlalu berhati-hati yang menyumpah diri ke jalan yang hanya titiknya penyesalan. Manusia suka merancang namun sukar pula hendak dilakukan dan sering alasan yang menjadi modal dalam buah bicaranya bagi menutup lubang kelemahan sendiri. Maka palat itu hasilnya. Bangunlah dari angan-angan palsumu dan pecahkan awan anganmu dah mulakan bina satu satu langkah yang berterusan dengan langkah yang berikut sehingga ke langkah yang kau impikan dalam awan anganmu. Hentikan lakonan mat jenin itu. Gerakkan anggota badanmu untuk mencari perubahan diri tapi aku bukan PM yang menyeru transformasi itu biar pun dia sendiri belum tentu faham akan transformasi itu kalau teks ucapannya disediakan oleh orang lain.

            Hentikanlah tahanan mindamu yang pendalam itu, bukakan kawasan baru dalam minda agar tidak sentiasa berada dalam jajahan angan yang dikawal ketat oleh sifat malas dan teori ‘kalau’ itu. Maka titahkan segala input yang mampu kau serap agar kau jadi manusia yang ada fungsi bukan manusia yang melambakkan dunia dengan perangai banjingan kau. Jadilah manusia yang hidup diuntung dan perginya disanjung. Bukanlah pintaku untuk kau pergi menggegar Negara Komunis, tak perlu pula kau membabi begitu kerana kau manusia yang agung ciptaannya dan bukan babi yang menyondol sahaja. Dalam masa seminggu hidupmu, cubalah jadi cerdik dalam satu hari untuk kenangkan dirimu yang berharga itu agar tidak terabai oleh masa mudamu. Mapley telah memaparkan pelbagai ragam dan warna kehidupan manusia yang aku kira kalau dibukukan perlulah dihasilkan berjilid banyaknya. Walau tempatnya tidak secanggih mana, walau tempatnya pelayan tidak semanis mana tetapi ada nilai-nilai yang penting jika hatimu tidak buta menilai apa yang disajikan di depan matamu. Bukanlah aku mendabik dada bahawa akulah si hati yang terang. TIDAK! Aku hanyalah manusia seperti kamu yang merenung tulisan ini dan masih mencari bahan-bahan dalam membentuk jalan hidupku agar perjalanannya lancar. Ingatlah! Ini adalah titah bukan sabda tuli yang kau mampu biarkan.

------------------------------------------------------------------------

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) *komen ini sedikit tersasar
    rindu pula nak tgk bola ramai-ramai dgn kwn dekat kedai makan

Cerpen-cerpen lain nukilan lemau

Read all stories by lemau