Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Mimpi

  • 2
  • aleph
  • 11 years ago
  • 6,207
  • FREE

 

Seorang lelaki masuk ke sebuah stadium yang dihadiri jutaan manusia. Tiba-tiba namanya disebut melalui pembesar suara. Namanya itu disambut pula dengan sorak-sorai. Dia dipersilakan ke pentas yang didirikan tiang bendera. Tidak ada angin yang sudi mengibarkan bendera yang tersedia di puncak tiang. Sebelum masanya sampai. Dia menunggu seorang pemuda idola menyelesaikan peranannya  dalam menurunkan bendera tersebut.

Setelah bendera itu selesai diasingkan dari tiangnya. Dia dijemput untuk menyudahkan upacara yang seterusnya. Melalui pembesar suara juga dia diberi puji-pujian terhadap segala keberanian, kesabaran dan ketabahan dalam memperjuangkan cita-cita besarnya.

Dia menerima tepukan gemuruh dari seluruh isi stadium saat dia memegang tali bendera. Stadium dihujani lampu kamera dan gempita slogan perubahan dan pujian kepada Tuhan. Ketika lagu kebangsaan dimainkan dan bendera baru mendaki ke puncak. Bulu romanya berdiri tegak. Dan suara-suara yang menyanyikan lagu kebangsaan umpama hujan lebat yang mahu membanjiri seluruh dunia.

Dia meneruskan proses naik bendera seperti yang sepatutnya. Akhirnya yang naik adalah sebuah  timba dari perigi buta yang menggunakan alat takal. Perigi usang itu rupa-rupanya adalah alat tahayul masyarakat yang dipenuhi duit pemohon hajat. Lalu lelaki itu terjaga dari mimpi. Dia merasa sakit hati dengan pengalaman mimpinya. Dia tidak puas hati dan bercadang memutarkan kembali mimpi berkenaan pada waktu tidur yang seterusnya.

Apabila sampai waktu tidur. Dia berusaha sungguh-sungguh mengingati setiap perincian mimpi tersebut. Dia mencatatkan kejadian itu pada buku catatan hariannya. Dia tidur dengan aman dan berharap penamat kepada mimpinya adalah kebahagiaan.

Seorang lelaki masuk ke sebuah stadium yang dihadiri jutaan manusia. Tiba-tiba namanya disebut melalui pembesar suara. Namanya itu disambut pula dengan sorak-sorai. Dia dipersilakan ke pentas yang didirikan tiang bendera. Tidak ada angin yang sudi mengibarkan bendera yang tersedia di puncak tiang. Sebelum masanya sampai. Dia menunggu seorang pemuda idola menyelesaikan peranannya  dalam menurunkan bendera tersebut.

Setelah bendera itu selesai diasingkan dari tiangnya. Dia dijemput untuk menyudahkan upacara yang seterusnya. Melalui pembesar suara juga dia diberi puji-pujian terhadap segala keberanian, kesabaran dan ketabahan dalam memperjuangkan cita-cita besarnya.

Dia menerima tepukan gemuruh dari seluruh isi stadium saat dia memegang tali bendera. Stadium dihujani lampu kamera dan gempita slogan perubahan dan pujian kepada Tuhan. Ketika lagu kebangsaan dimainkan dan bendera baru mendaki ke puncak. Bulu romanya berdiri tegak. Dan suara-suara yang menyanyikan lagu kebangsaan umpama hujan lebat yang mahu membanjiri seluruh dunia.

Dia meneruskan proses naik bendera seperti yang sepatutnya. Namun yang naik adalah sebuah  layang-layang sebesar daun sirih. Sedikit demi sedikit layang-layang kecil itu menariknya ke udara. Sekuat mana kudratnya ketika itu tidak dapat lagi menahan kemampuan layang-layang berkenaan. Kejadian itu menyebabkan dirinya ditertawakan oleh pengunjung pesta yang melihatnya dibawa terbang layang-layang sendiri.

Kekecewaan menyebabkan dia terbangun dari tidur. Dia merasa sakit hati dengan pengalaman mimpinya. Dia tidak puas hati dan bertekad merealisasikan kembali mimpi berkenaan pada waktu tidur yang seterusnya.

Kerana terlalu memikirkan tentang mimpinya. Lelaki itu tidak mempedulikan lagi rutin dan persekitarannya. Sepanjang siang itu dia hanya asyik dengan dirinya semata-mata. Apabila sampai malam dia mengambil ubat supaya dia dapat tidur sepuas-puasnya dan berharap bermimpi yang sepatutnya.

Seorang lelaki masuk ke sebuah stadium yang dihadiri jutaan manusia. Tiba-tiba namanya disebut melalui pembesar suara. Namanya itu disambut pula dengan sorak-sorai. Dia dipersilakan ke pentas yang didirikan tiang bendera. Tidak ada angin yang sudi mengibarkan bendera yang tersedia di puncak tiang. Sebelum masanya sampai. Dia menunggu seorang pemuda idola menyelesaikan peranannya  dalam menurunkan bendera tersebut.

Setelah bendera itu selesai diasingkan dari tiangnya. Dia dijemput untuk menyudahkan upacara yang seterusnya. Melalui pembesar suara juga dia diberi puji-pujian terhadap segala keberanian, kesabaran dan ketabahan dalam memperjuangkan cita-cita besarnya.

Dia menerima tepukan gemuruh dari seluruh isi stadium saat dia memegang tali bendera. Stadium dihujani lampu kamera dan gempita slogan perubahan dan pujian kepada Tuhan. Ketika lagu kebangsaan dimainkan dan bendera baru mendaki ke puncak. Bulu romanya berdiri tegak. Dan suara-suara yang menyanyikan lagu kebangsaan umpama hujan lebat yang mahu membanjiri seluruh dunia.

Dia meneruskan proses naik bendera seperti yang sepatutnya. Akhirnya apa yang dihajatinya tercapai dimana bendera baru tersebut selesai dinaikkan. Dia menyegerakan mengikat mati tali bendera itu sebelum mimpinya memperdayakan dirinya semula. Angin datang bertiup dan bendera pun berkibar megah. Dia puas hati. Lelaki itu dapat melihat panorama luas hadirin yang meriah. Wajah gembira dan semangat itu menyebabkan dia menjadi amat terharu.

Dengan bantuan angin dia terapung diawangan bagai terbangnya malaikat. Belum habis ketawa, dia tersungkur ke tanah keras secara tiba-tiba. Apakah dia melalui lagi pengulangan meleret-leret yang menjemukan dan skema itu? Dia bangun dalam kesakitan. Sebenarnya tali yang ditarik dan diikat tadi adalah tali yang menggantung dirinya sendiri. Namun tali yang digunakan bukan tali yang utuh. Tali itu terputus sebelum dapat mencabut nyawanya sendiri. Sakit hati menyambung kepedihan fizikal secara bertubi-tubi. Dia pun menjadi keliru sama ada selama ini dia bermimpi atau sebaliknya.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) terbawa-bawa dgn mimpi sampai mahu jadikan lucid dream?
  • 2) idea cerita ni menarik. dok ulang2 je mimpi dia. nasib baik freddy kruger tak datang. kalo tak, dengan kawan2 dia pon kena naikkan tiang bendera

Cerpen-cerpen lain nukilan aleph

Read all stories by aleph