Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Sulong

 


SulongKilauan sinaran suria
yang menyuluhku seakan membakar wajah ini. Segera aku bangkit menuju ke jendela sambil ku hirup udara nyaman disulami haruman melur kembang mekar di tepi kali. Dedaunan keladi yang dibasahi embun pagi mula hilang dimamah sang mentari. Acapkali akan ku dengar kicauan merbah terbang keriangan disertai aliran anak sungai memecah kesunyianku ketika itu. Seperti di mahligai indah rasanya. Ku capai sesisir sikat yang tidak jauh dari jendela itu lalu ku rapikan rambutku agar kelihatan terurus. Sesekali mataku berkenyit menahan sakit ketika rambutku kusut. Segera ku lumurkan minyak agar ia kelihatan elok semula. Terpaku seketika tatkala melihat keindahan alam ini.


Aku bakal menduduki SPM tahun ini. Cuti penggal pertama bagi tahun 2012 sudah pun bermula. Kami sekeluarga merancang untuk pulang ke Kampung Jernau di Durian Tunggal, Melaka. Sekian lama kami tidak melawat nenek. Mungkin orang tua ku sering sibuk menguruskan empayar perniagaan keluarga di ibu kota, Kuala Lumpur. Papa menguruskan syarikat hartanah sulungnya, Baiduri Indah manakala mama pula bergiat aktif dalam kerjaya motivasi. Kerja yang tidak menentu masa dan tempat ini menjadi kebiasaan kami sekeluarga. Datukku sudah lama meninggal dunia ketika bapaku masih kecil lagi akibat kecelakaan jalan raya. Nenek pula enggan ke kota meninggalkan rumah pusakanya. Kami akur dengan keputusan nenek kerna kami tahu itulah harta dan cebisan kenangan yang masih tinggal di hatinya. Kontrak pembantu rumah ‘ammah’ yang diupah untuk menemani nenekku disana telah pun tamat setahun yang lalu. Kini, dapat ku rasakan kesunyian yang melanda hidup nenekku. Perasaan rindu untuk bertemu nenek amatlah kami rasai. Begitu juga akan teman sekampung ku yang telah lama aku tinggalkan iaitu Sofea, Ai Ling dan Devi. Hampir dua tahun kami tidak berjumpa. Dulunya, kami sering mengutus surat untuk bertanyakan khabar. Kini tidak lagi dengan adanya jaringan sosial seperti ‘Facebook’ dan ‘Twitter’. Sahabat sejati tidak akan putus tali persahabatannya biarpun berjauhan. Kami sekeluarga menaiki kereta pacuan empat roda, Toyota Harrier seawal tujuh pagi bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Utara Selatan pada musim cuti sekolah ini. Perjalanan kami ke kampung mengambil masa hampir dua jam.


Setibanya di kampung, kedatangan kami disambut meriah oleh nenek. Maklumlah lama tidak berjumpa. “Makin cantik cucu nenek. Kulitnya gebu, matanya coklat, rambutnya panjang, berlesung pipit pula tu. Dah pandai bergaya dia. Intan sihat”? Pilu nenek bersuara lalu memelukku dengan erat. Apabila dahi serta pipiku dikucup nenek, terasa kedatangan kami di sini amat dihargai. Rasa kembang setaman bila dapat pujian dari nenek tadi. “Intan sihat. Nenek ni pandai saja. Intan biasa saja, macam dulu. Nenek tu, amboi! Intan lihat makin cantik pula”, ketawa nenek bila dengar Intan berseloroh. Tanpa disedari, gigi palsu nenek tercabut. Terkejut kami sekeluarga dibuatnya. Mama ketawa hingga mengalir air mata, diikuti papa dan juga nenek. Gelak-ketawa mereka memecah kesepian di perkarangan rumah itu. Terpancar diwajah nenek satu kegembiraan melihat satu-satunya anak dan cucu tunggal kesayangannya pulang melawat ketika dia sedang menghabiskan sisa hidupnya yang masih tinggal. Aku hanya mampu tersenyum melihat telatah mereka. Seperti biasa nenek akan menyajikan makanan yang enak-enak buat kami sekeluarga. “Bukan senang untuk Intan merasa masakan nenek yang sedap-sedap ni. Mama pun tak boleh lawan nenek”, usikku mengenakan mama. Mama menjeling melihat telatahku. “Rugi kamu Zahrah jarang masak untuk keluarga. Memasak ni sebenarnya menzahirkan kasih sayang kita. Air tangan kita sebagai seorang isteri dan ibu, amat penting untuk kesejahteraan keluarga. Jangan mengharapkan bibik saja”, kata nenek sambil menuang sirap sejuk ke dalam gelas kami. Kali ini mama mengangguk seakan pasrah akan kata-kata ibu mertuanya. Hidup mama amat susah sejak ditinggalkan ibunya ketika umur 10 tahun yang hilang entah kemana. Dibesarkan di Rumah Sayang Selasih, Batu Pahat, Johor memberi peluang kedua kepada mama untuk meneruskan hidup. Mendapat pendidikan di Universiti Malaya dalam bidang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dan akhirnya mama ditemukan jodoh dengan senior di fakultinya sendiri, Abdul Karim iaitu papa.

 

Nenek masih ingat lagi masakan kegemaranku, belanak asam pedas. Tidak kurang hebatnya hidangan sambal tempoyak, telur asin dan ulam-ulaman menjadi pelengkap santapan kami sekeluarga pada tengahari itu. Terharu kami seketika. Sayu melihat wajah nenek yang makin berkedut di telan usia. Akhirnya, terubat juga segala rasa rindu dihati kami. Selesai makan, segera aku meminta izin mereka untuk keluar berjalan-jalan melihat perkembangan sekitar kampung walaupun niat dihati ingin bertemu dengan rakan-rakan sekampungku. Mereka telah pun mengetahui kedatanganku ke kampung hari ini. Kami berempat bercadang untuk berjumpa di dusun milik keluarga Ai Ling lepas zohor nanti. Keluarganya memiliki dusun dengan keluasan yang berhektar-hektar. Dusunnya kelihatan tidak terurus dek kesusahan untuk mencari pekerja menguruskannya. Pekerjanya sering bertukar-tukar malah ada juga yang melarikan diri membimbangkan mereka. Tekanan bertambah lagi apabila dusun mereka sering didatangi binatang liar seperti babi hutan, monyet dan harimau. Sungguhpun begitu, hasil tanaman mereka tidak pernah mengecewakan. Setiap tahun akan membuahkan hasil. Tak menang tangan dibuatnya. “Menurut Ai Ling, kebetulan musim buah sedang tiba. Dapatlah aku makan buah-buahan tempatan nanti”, bisik hatiku keriangan. “Kemana saja langkah ku ni? Apa yang pasti aku perlu menyeberangi anak sungai di belakang rumah nenekku dulu”, keluh ku mencari arah ke dusun mereka.


“Haiya! lambatnya Intan ni. Sudah pukul berapa sekarang? Janji jam dua petang, sudah pukul tiga pula”, rungut Ai Ling. Ai Ling memang terkenal dengan sikap tegasnya dan seorang yang menepati masa. Semua kerja yang dilaksanakannya seperti lipas kudung, serupa dengan perangai ayahnya. “Sabarlah Ai Ling, Intan dalam perjalanan ke sini tu. Kejap lagi dia sampailah”, pujuk Sofea. Sofea pula lain ceritanya. Seorang gadis kampung yang lemah lembut dan peramah. Dia juga pandai mengambil hati orang disekelilingnya. Ayahnya amat terkenal di kalangan penduduk setempat kerana dia merupakan ketua penghulu di kampung mereka. “Jangan-jangan dia sesat tak? Dia kan sudah lama tidak balik ke sini atau disorok hantu dusun”, sampuk Devi yang memang sering cakap lepas. Walaupun begitu, Devi pandai berjenaka. Tidak kering gusi kami dibuatnya bila dia mula melawak. Antara kami berempat Devi lah yang paling lasak. Ini kerana dia mewarisi bakat seni mempertahankan diri dari bapanya. Mana-mana budak samseng di kampung memang takut bila melihat kelibat Devi. Jangan haraplah dapat peluang untuk menggorat kami bertiga. Devi lah yang akan menjaga kami dari kenakalan budak-budak kampung.

 

“Hish, celupar betul mulut kamu Devi! Kita kan berada di dalam dusun ni, tempat makhluk halus tinggal”, bisik Sofea mengingatkan kawan-kawannya. “Hahaha! Kamu semua takut ya. Jangan takut, nanti saya karate hantu-hantu tu jika mereka datang menganggu kita”, ujar Devi dengan berani sambil membuka langkah menunjukkan bakat karatenya. “Dalam dunia ni mana ada hantu. Sepanjang saya dan ayah menjaga dusun ni tak pernah kami terserempak dengan hantu. Manusia jadi hantu adalah. Curi saja buah-buahan di sini. Kacau betul”, tegas Ai Ling merungut. “Sudahlah tu kawan-kawan, jangan merepek lagi. Saya takutlah. Mana Intan pula ni”? rayu Sofea untuk mengubah topik perbualan. “Cuba telepon dia, SMS ke”, kata Devi. “Haiya! dalam dusun ni mana ada rangkaian telepon. Susah dapatlah kawan”, kata Ai Ling. “Apa kata kita duduk dalam pondok rehat ni dulu. Kita tunggu kat sini sampai Intan sampai. Setuju”? tanya Sofea kebingungan. Dengan serentak mereka menjawab tanda setuju.

 

Dua jam sudah berlalu. Namun kelibat Intan masih belum kelihatan. Mereka tertanya-tanya di mana Intan menghilang. Mereka beranggapan mungkin Intan letih kepenatan. Maklumlah baru saja sampai ke kampung halaman. Intan perlu memunggah barang dan mengemas. “Mungkin Intan sudah SMS kita awal-awal lagi tapi kita tak dapat”, desak Ai Ling menenangkan mereka. “Sekarang sudah hampir enam petang, jom kita pulang. Hari makin gelap”, tambah Ai Ling. “Saya rasa tak sedap hatilah awak. Intan tak pernah mungkir janji dengan kita”, jelas Sofea. Dengan perasaan kecewa, mereka bertiga pulang bersama. Kelihatan Sofea membelek telepon bimbitnya dengan harapan jika ada khabar dari Intan. Hatinya bertambah hampa setelah membuat beberapa panggilan namun, gagal juga disambungkan. “Saya pun rasa yang sama juga Sofea. Berhenti! Apa kata kita terus ke rumah nenek Intan. Mungkin kita boleh dapat jawapan setibanya di sana”, desak Devi kerisauan.

 

Di rumah nenek, mereka bertiga segera menceritakan hal sebenar. Yang menjadi persoalan kepada keluarga Intan dan kawan-kawannya ialah ke mana hilangnya aku? Suasana kelam kabut disertai tangisan keluargaku menyelubungi detik malam itu. Usaha giat sedang di jalankan dalam usaha mencari oleh penduduk kampung dengan bantuan polis hutan. Anjing pengesan juga turut digunakan. Malangnya, semua usaha mereka gagal. Pelbagai ikhtiar yang dilakukan oleh keluargaku, melalui cara moden mahupun tradisional. Aku terharu melihat kesungguhan mereka mencariku. Menitis air mata ini pabila terkenang kembali detik itu. Solat sunat hajat beramai-ramai diiringi doa selamat kian kedengaran di setiap pelusuk masjid di seluruh negara. Media massa eletronik juga turut membantu menyebarkan berita kehilangan remaja bernama Intan Selifah. Dalam kesibukan mencari, keluargaku turut menerima pelbagai kritikan hebat dari masyarakat berkenaan peranan mereka dalam mengawasi gerak-geri anak-anak. Apa yang dikesalkan kebanyakan dari mereka mengecam tindakan ibubapa ku membiarkan aku keluar ke sekitar kampung malah ke dusun seorang diri tanpa teman. Melihat akan risiko kerakusan binatang buas dan potensi kebiadapan manusia, ibubapa ku dipersalahkan.

 

Hatiku kian hampa melihat reaksi masyarakat yang memandang serong akan keluargaku. Jika mereka tahu ke mana aku menghilang dan bagaimana aku hilang, mungkin semua ini tidak akan berlaku. Tapi, inilah yang dikatakan takdir-Nya. Aku ibarat nakhoda di lautan luas terbentang. Ke mana saja arah tujunya. Di bawa angin, dipukul ombak memecah lautan, di onak tembok derita. Ke utara? Timur? Barat? Selatan? Segalanya ditentukan oleh-Nya. Hanya berserah pada-Mu, aku redha. Mulut manusia, siapa yang boleh tutup. Amaran buat kamu semua. Akan ku tuntut tiap titisan air mata keluargaku, tiap kesakitan, tiap penghinaan serta kemurungan yang disebabkan oleh kata-kata cacianmu. Jika tidak dihitung di dunia, akan ku tuntutmu di akhirat kelak. Nenekku tewas sebulan selepas berita kehilanganku. Dia menerima tekanan hebat dari penduduk kampung menyebabkan kehidupan nenek bercelaru dan akhirnya dia menerima serangan jantung mengejut. Tinggal terbiar rumah pusaka tidak terjaga. Di rumah banglo kami, suasana kelam-kabut dapat aku rasai. Mama sering murung dan mula bersendirian di biliknya sehingga kini. Papa pula sibuk menguruskan kestabilan syarikat. Kedudukan kewangan syarikat mula goyah. Syarikat mula di belenggu hutang. Aku hanya mampu melihat.

 

Tersentak aku dari lamunan panjang. Aku masih di jendela memerhatikan keindahan alam ciptaan-Nya. Rambutku masih lagi kusut terabai. Berkerut dahiku, terketap bibirku, membutang anak mataku, bila mengenang kembali kisah silam. Ranap sikat yang berada di genggamanku. Aku mula senyum memandang awan yang mulai kemerahan. Fajar kian menghilang, senja kian bertamu, malam kian membisu. Aku berjalan keseorangan menuju ke hulu kampung. Seperti angin, aku bergerak dicelah-celah ruangan pokok. Aku menerpa ke dusun temanku, Ai Ling. Sungguh gelap di sini, hanya ditemankan cahaya bulan yang menggambarkan kesepian hatiku. Aku mula ketawa keseorangan. Aku mengilai dari satu dahan ke dahan pokok yang lain. Aku singgah menyanyi riang di pondok kepunyaan Ai Ling. Tatkala pilu, aku menangis seolah-olah meminta simpati. Aku mengadu nasib yang menimpaku. Malangnya, tiada siapa yang dengar. Akhirnya aku berkeputusan untuk duduk bertenggek di satu rimbunan besar langsuir di dahan durian yang tinggi. Ralat seketika memerhatikan keadaan sekeliling. Sang pungguk berbunyi sayu memerhatikan ku dari jauh lalu terbang, akur dengan jelinganku.

 

Ketika itu, aku berjalan mesra menuju ke dusun temanku, Ai Ling. Setibanya aku di kawasan terpencil di hulu kampung, kelihatan kelibat beberapa lelaki mengekoriku dari arah belakang. Aku melajukan rentak langkahku. Namun, mereka semakin hampiriku. Aku mengambil keputusan untuk berlari sambil meminta tolong. Tapi sayangnya kepalaku dilemparkan dengan objek keras sehingga aku pengsan buat seketika. Sesedarnya aku adalah ketika berada di dalam sebuah bilik suram di terangi cahaya lilin. Terlihat beberapa kelibat tikus berkeliaran di tiap sudut bilik itu. Sesekali aku dapat menghidu bau yang kurang menyenangkan. Baunya amat hanyir, seperti bangkai. Diselangi dengan kewangian kemenyan yang menusuk jauh ke dalam hidungku. Aku terasa amat haus. Aku cuba menadah titisan air hujan yang menitik dari atap bilik itu lalu meneguknya. Namun aku masih lagi haus. Sesekali aku berasa amat sejuk. Aku menggigil sambil bertanya kepada diriku. Dimanakah aku? Didepanku terdapat sebuah tembok batu setinggi empat kaki berbentuk empat segi ditutupi dengan kubah besi. Perasaan ku untuk menghampiri kubah itu semakin membuak-buak. Aku menggagahkan diri aku untuk membuka penutup kubah itu. Masyaallah. Aku jatuh terduduk. Aku lemah tidak berdaya melihat mayatku terpaku. Aku dibunuh dengan kejam. Aku menyesal tiada kesudahan.

 

Aku merupakan seorang anak gadis sunti, yang dilahirkan sulung melalui pernikahan si mempelai yang juga merupakan anak sulung. Disebabkan keunikan inilah yang menjadi tarikan mata si pengamal ilmu hitam yang mengamalkan ilmu ‘Sulong’. Kepalaku di pisahkan dari anggota lalu disimpan sebagai alat pemujaannya manakala badanku di hanyutkan ke sungai. Si pengamal itu merupakan seorang yang aku kenal. Dia merupakan penduduk asal Kampung Jernau juga. Sekian lama dia menantikan saat-saat untuk membinasakan ku. Wak Selamat merupakan seorang yang berpengaruh di kampung ku. Dia ialah seorang bomoh. Orang kampung sering menggunakan khidmatnya, malah ada juga yang datang dari jauh. Kami kerap memintanya untuk mengurut papa apabila kami pulang ke kampung. Sayangnya, aku tidak menyangka wak akan sekejam itu. Tergamak dia mengupah orang untuk menangkap ku. Kepalaku dipenggal tanpa belas kasihan. Aku menjadi mangsa kerakusan ilmu kesesatannya. Dikatakan pengamal ilmu ‘sulong’ boleh menghilang tanpa dilihat kelibatnya. Juga boleh menjadi kaya raya. Mereka juga boleh bertindak sebagai penjaga kepada si pengamal dari sebarang gangguan dari pihak lain.

 

Kini aku beransur turun dari rimbunan langsuir. Setibanya waktu subuh nanti, maka genaplah 40 hari arwahku gentayangan di sekitar kampung. Roh ku tidak tenteram. Jasadku tidak ditemukan. Selepas ini aku akan pergi jauh dari alam ini. Pergi meninggalkan orang yang ku sayang. Walaupun kisah hidupku berakhir dengan kesedihan, tapi tak semuanya kelat, ada juga yang indah. Pengalaman indah hidup bersama papa, mama, nenek dan teman-teman tidak akan ku lupakan. Aku perlukan pembelaan. Api kemarahan ku memuncak, aku berjalan menuju ke rumah Wak Selamat..........

 

Biar musnah jiwa dan raga,

Hilang terkubur jasad nan satu,

Asal semuanya terbalas jua,

Ku akur takdir-Mu yang satu.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) kesiannya intan. manusia, sanggup kan buat apa saja?

  • (Penulis)
    2) kerakusan dan ketamakan manusia.. urmmmm.. : cry

Cerpen-cerpen lain nukilan Boyz_Rules

Read all stories by Boyz_Rules