Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Saspens

Rumahku Rumahmu

Cerpen sebelumnya:
Soalan
Cerpen selanjutnya:
Antara Wujud dan Tidak.

Rumahku RumahmuWah! sawah padi. Sungguh luas pemandangan di waktu petang ini. Angin yang bertiup kencang, langit biru yang memukau seolah memanggil si kecil untuk bermain layang-layang. Tidak ketinggalan kawanan sang pipit berkejaran di celah-celah rimbunan padi yang menghijau, membangkitkan suasana indah tatkala melihatnya. Manakala sang raja udang yang asyik memerhati kelincahan si cilik lampan menyusuri anak sungai seakan tidak perasan akan sang bangau yang turut sama memerhati. Aku yang menaiki Yamaha 135LC berwarna hitam detik itu, berhenti seketika di bawah rimbunan pohon mangga. Tidak ku sangka di kawasan perumahan teres ini tersembunyi penanaman padi secara komersil. Ini pengalaman pertamaku menjejakkan kaki ke kawasan sawah padi kerana aku adalah anak kelahiran Klang, Selangor. Disana, sukar untuk aku merasa pengalaman sebegini. Terpaku seketika melihat keindahan alam ciptaan illahi.

           +++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

“Ashraf, mana-mana yang tidak lengkap tu, kamu pandai-pandailah beli. Bincang dengan mereka ya. Abang nak balik dulu. Ni Kak Ana kamu beri Toto. Ambillah buat tidur malam nanti. Emak kamu tadi ada telefon menanyakan perihal duit sewa. Pasal tu, nanti-nantilah kita bincang ya”, jelas Abang Suhaimi sewaktu hari pertamaku disitu. “Baiklah”,jawabku sambil memunggah barang-barangku dari keretanya. “Sebelum terlupa, esok malam Kak Ana kamu jemput datang rumah. Kami buat jamuan makan sikit. Alah, jemput jiran-jiran dan sedara-mara saja. Jangan lupa datang ya. Jemput sekali mereka tu”, tambah Abang Suhaimi sambil menghidupkan enjin kereta. Mereka ialah pasangan adik-beradik dari Sarawak yang turut sama menyewa disini. Bezanya mereka sudah menyewa empat bulan lebih awal dariku. “Baiklah”, balasku lagi. Abang Suhaimi terus pergi meninggalkan aku kerana ada hal mustahak yang perlu diselesaikan ditempat kerja katanya. Abang Suhaimi merupakan Jurutera Perpaipan di Petronas Penapisan Tangga Batu, Melaka. Isterinya, Rohana yang ku panggil Kak Ana itu merupakan cikgu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai dan mereka masih lagi belum dikurniakan cahaya mata.

Aku segera mengangkat barang-barangku ke dalam rumah memandangkan awan yang kian kelabu. Acapkali dapatku merasai titisan hujan yang menitik halus ke pipiku. Seperti tusukan jarum rasanya. Dedaunan kering yang berterbangan seakan menyusuri langkahku. Aku perlu memasuki rumah itu sebelum jarum yang lebih besar menyakitiku. Sekilas lalu, pintu rumah itu tertutup dengan tiba-tiba saat aku menghampirinya. Terlepas barang-barang yang berada di genggamanku. Terkejut aku dibuatnya. Aku membuka semula pintu itu. Kali ini aku terus menyandal pintu itu dengan menggunakan selipar jepun. Perasaanku makin goyah sewaktu melihat keadaan rumah itu. Ruang tamu yang bersepah dengan pakaian, bantal, kertas serta plastik yang berterbangan, sedikit sebanyak mengundang prasangka buruk terhadap pasangan dua-beradik itu. Aku terus melangkah ke setiap pelusuk rumah itu. Aku mula berasa hairan kerana boleh dikatakan setiap ruangan rumah itu dipenuhi debu dan habuk. Bilir air yang berlumut, ditambah pula rendaman baju pada beberapa baldi. Aku seperti tak keruan melihat situasi itu. Terus ku capai penyapu dan membersihkan apa yang patut.


Hujan turun dengan lebat ketika itu. Aku yang keletihan mengemas, duduk sebentar di dalam sebuah bilik. “Kelihatan bilik ini dilengkapi dengan tandas. Saiznya juga agak luas jika dibandingkan dengan bilik sebelah”, bisik hatiku. Sekali lagi aku memerhati rumah yang hampir mencecah usia 20 tahun itu. Cat dindingnya yang lusuh dan menggelupas itu membangkitkan satu suasana suram tiap mata yang memandangnya. Seperti ada yang tidak kena. “Oren? Aku benci warna dinding rumah ini”, teriak ku lalu bangun menghampiri jendela dan membukanya. Gema suaraku tadi hingga ke dapur jauhnya. Ternyata rumah ini masih kosong dengan perabot. Seperti lagu nyanyian Najwa Latif rasanya, Kosong…. Kosong…. Kini hujan mulai reda. Jam di tanganku hampir menunjukkan pukul enam petang. Tiba-tiba bahuku di pegang oleh seseorang dari arah belakang. Aku menoleh dengan pantas. Hampir terkehel leherku mencari siapa perlakunya, namun gagal. Aku seriau. Pasti ada yang memegang ku tadi, tapi siapa? “Mungkin ini khayalan ku saja”, kataku dengan perlahan menyedapkan hati.


Deruman enjin kedengaran kuat dari perkarangan rumah ini. Segera aku keluar ingin melihat siapakah empunya kenderaan itu. Kedengaran seperti sebuah motor. “OOoo, motor Lagenda 125cc rupanya. Mungkin salah seorang dari mereka sudah pulang dari tempat kerja. Seganlah pula nak kenalkan diri. Alah, selamba sajalah. Tingginya mamat Sarawak ni”, bisik hatiku merungut. “Assalammualaikum”, dia memberi salam sambil menghulurkan tangan kepadaku. Terus aku menyambut dengan rasa lega. “Sejuk tangan mamat ni. Mungkin terkena hujan tadi”, hatiku berkata lagi. “Aku Ridhwan, kau panggil aku Wan cukup lah. Bila sampai?” tanya dia sambil membuka pakaiannya yang sedikit lembap lalu menuju ke dapur. “Aku sampai tengahari tadi. Abang Suhaimi yang hantar”, jawabku sambil mengekorinya ke dapur. Kali ini dia meneguk air dari botol yang berada di dalam peti ais. Aku masih menanti soalan darinya. Begitu khusyuk aku melihat dia minum air. Mungkin haus benar rasanya. “Nama kau apa?” tanya Wan sambil meneguk kembali air yang berada di tangannya hingga habis. “Ashraf! Lebih selesa kalau kau panggil aku Acap. Aku asal dari Klang, belajar pula di UiTM Bandaraya Melaka. Abang Suhaimi tu kira sepupuku. Aku tumpang sewa di sini tak lama, mungkin makan masa dua semester saja. Aku minta maaf kalau kehadiranku disini buat korang adik-beradik tak selesa”, ceritaku dengan lebih terperinci. “Baguslah. Rumah sewa ni pun besar. Yang menghuninya cuma kami saja”, jelas Wan sambil menuju semula ke ruang tamu untuk mengambil tuala mandi yang berlompok di tilamnya. Aku terus meninggalkan Wan lalu keluar ingin menutup pintu pagar yang terbuka.


“Wan, aku nak tanya sikit. Berkenaan dengan bilik-bilik di rumah ini. Kenapa korang tak tidur dalam bilik ek? Kenapa dibiarkan kosong?” tanyaku untuk mendapat kepastian. “OOoo, sebab kami gemar tidur luar. Dalam bilik tu panas lah. Kipas siling perlahan. Lagipun komputer kami di sini”, jawab Wan sambil menunjukkan komputernya di ruang tamu. “Kalau camtu, boleh aku minta izin ambil salah satu bilik dalam rumah ni?, tanyaku lagi. “Dalam rumah ni, kau boleh buat apa saja yang kau suka. Hari ini nak tidur dekat bilik yang pertama ke, bilik lagi satu ke, tidur luar dengan kami ke, kau belasah saja. Abang Suhaimi ada pesan jaga kau elok-elok hari tu. Suruh tengok-tengokkan kau disini. Memandangkan aku dan abang aku lebih tua dari kau, aku harap kau faham. Kejap lagi abang aku balik bawa makanan. Kita sama-sama makan ok”, jawab Wan sambil menghidupkan komputernya yang berada di atas meja. Mendengar jawapan dari Wan, lantas aku memindahkan barang-barangku yang berada di ruang tamu ke bilik utama. Tersenyum lebar bila mengenangkan aku bakal tidur di dalam bilik yang dilengkapi dengan tandas. Kehadiran aku disini seolah dialukan. Aku berasa gembira sekali. Terlupa sejenak akan kekalutan sewaktu menjejakkan kaki kesini. Azan sayu berkumandang menandakan sudah masuk waktu maghrib. Dengarnya tidak jauh, mungkin rumahku berdekatan dengan tempat yang Mulia itu. Selesai berkemas, aku terus mandi dan menunaikan solat di bilik baru aku.


“Jemputlah makan Acap. Belum cukup bulan lagi. Duit pun tak berapa sangat ada. Ni saja yang dapat aku beli”, jelas lelaki muda bertopi Nike yang berada di sebelah Wan. Kelihatan dia lebih berisi dari Wan. Pasti ini ialah abang Wan yang disebutnya tadi. Bukalah topi kalau nak makan pun. Rimasnya akan gaya mereka dengan Wan yang berseluar ‘boxer’ saja. Tapi siapa nama dia ek? Sekali lagi aku bermasalah untuk mengenalkan diri. Aku yakin Wan sudah cerita akan perihalku padanya. Tapi yang pasti aku perlu bersuara untuk menghidupkan suasana sebelum semuanya menjadi kekok. “Eh, ini pun dah lebih dari cukup. Biasalah hidup bujang, tak perlu membazir sangat. Alhamdulillah. Sebelum terlupa, esok malam kita makan tak payah bayar. Sebab Abang Suhaimi ada jemput kita ke rumahnya. Jamuan makan katanya”, kataku sambil menuang milo ais ke dalam cawan-cawan kosong. “Mael kalau pergi, aku pun pergi. Mati kutu aku kalu dia tiada. Berbulan kita di sini, belum pernah kita ke rumahnya. Agaknya apa mereka kata tentang kita”, jawab Wan merungut. “Baiklah. Esok kita ke rumah Abang Suhaimi. Puas hati? Tapi aku perlukan kau Acap untuk menunjukkan jalan kerumahnya”, Mael berkata sambil memandangku. “Ok Mael. Jangan risau, esok motorku sampai kita gerak sama-sama”, jawabku dengan tenang.


Bedepang! Krang! Tang! Tang! Tergamam kami dari menyuap makanan ke mulut. Kami saling berpandangan sesama sendiri. Bunyi itu seperti datang dari arah dapur. Mungkin ada barang terjatuh dari tempat asalnya. Aku segera berdiri ingin menuju kearah bunyi itu. Belum sempat aku melangkah, Mael menarik kaki kanan ku lalu berkata, “Biarkan benda tu saja, kita teruskan makan. Nanti-nantilah kita angkat”. Sekali lagi aku pelik melihat kerenah mereka. Seperti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh mereka. Aku memandang Mael semula, lalu akur duduk di sebelahnya. “Jadi kau dah sedia?” tanya Wan padaku sambil membasuh tangan menggunakan air minumnya. “Apa ni? Sedia apa ni?” kataku terpinga-pinga. Wan tergelak melihat reaksiku. Terus aku tidak berselera untuk makan. “Sedia nak dengar apa yang bakal kami ceritakan pada kau berkenaan rumah ini? Sebagai penghuni, kami rasa kau harus tahu hakiki sebenar supaya kau beringat nanti”, tambah Wan sambil menjeling ke arah abangnya. “Perasan kami setelah hampir lima bulan di sini, rumah sepupu kau ni agak keras sikit. Ada penghuni lain selain daripada kami di sini. Barangkali rumah ini lama di tinggalkan tidak berpenghuni. Aku pun hairan kenapa Abang Suhaimi sekian lama tidak menyewakan rumah ini atau pun jual saja. Kami segan hendak bertanya. Tapi yang pasti kami sering di ganggu oleh penghuni itu. Tidak kira siang mahupun malam hingga kami dah biasa dengannya”, kata Mael sambil menghembuskan asap rokok yang berkepul-kepul ke udara.


“Waktu hari pertama kami di sini. Hoiii, seram betul. Kami siap tak boleh tidur malam. Mula-mula tu memang seronok tengok rumah besar. Bilik amik sorang satu. Kejadian aneh bermula masa kami sedang lepak di ruang tamu malam pertama tu. Tiba-tiba ada orang beri salam. Aku pun bukalah pintu sambil jawab salam itu. Tapi bila aku buka, jangan kata orang, bayang orang pun tiada. Nak kata aku berkhayal, Wan pun dengar sama. Begitu jelas suara itu. Macam suara perempuan. Aku ingat anak dara orang sebelah tu beri salam nak kenal-kenal dengan kami. Gelap pula rumah mereka aku tengok. Terus aku tutup pintu sambil memandang Wan yang juga tertanya-tanya siapa yang memberi salam itu tadi. Aku duduk berborak semula dengan Wan di ruang tamu. Dalam lima minit camtu, datang balik suara tu. Kali ini ia datang dari arah dapur. Lebih sayu dan menakutkan. Kedengaran seperti dia menyebut “Rumahku Rumahmu” beberapa kali. Aku rasa seperti ada yang tidak kena malam tu. Serius macam nak pengsan rasanya. Kami bercadang untuk tidak menghiraukan suara itu. Aku suruh Wan petik gitar malam tu. Kami ingat nak hilangkan rasa takut. Lain pula ceritanya, pintu grill dapur kami seolah di goncang dengan kuat. Cermin tingkap dapur pula bergetar sehingga ada yang retak. Haru-biru jadinya hidup kami malam tu. Wan memberanikan diri ke dapur. Berani tak berani jugalah, Wan nekad nak bersuara, “Kami tak kacau kau, Kau jangan kacau kami. Pergi jauh-jauh, tinggalkan kami”. Terus berhenti kekalutan yang berlaku di dapur itu. Menggigil juga aku dibuatnya. Aku memang lemah semangat sikit. Nasib baik Wan ni berani. Aku boleh berharap padanya. Terus aku pindah dalam bilik Wan malam tu. Aku suruh Wan jangan tutup lampu, biar terang sikit. Sehinggalah jam 2.45 pagi, masing-masing tak boleh tidur. Mana taknya, bila kami nak tidur seperti ada yang menghimpit badan kami. Sesak nafas kami di buatnya. Lama-kelamaan kami bercadang untuk keluar lepak di kedai mamak sampailah jam tujuh pagi”, cerita Mael dengan lebih terperinci.


“Hari berikutnya, sedang aku siapkan kerja ‘office’ dekat komputer, tiba-tiba ‘blackout’. Satu rumah gelap gelita. Habis semuanya tak sempat ‘save’. Mael pula sibuk keluar entah ke mana. Aku sorang je waktu tu. Tapi aku perasan awal lagi waktu tu, dalam pukul sembilan malam. Terus aku hidupkan ‘lighter’. Meraba-raba lah juga mencari suis utama. Seperti yang aku sangka suis utama tu ‘off’ sendiri. Belum sempat aku tekan suis, dah pula aku dengar perempuan menangis. Makin kuat pula tangisan itu bila aku cuba tidak hiraukannya. Terus aku tekan suis buka, hilang pula tangisan itu. Esok paginya baru aku cerita pada Mael. Untuk pengetahuan kau, waktu siang pun dia akan kacau kita tau. Nanti kau boleh dengar orang mandi dalam bilir air. Padahal kau tau sorang pun tak masuk. Kadang-kadang kau boleh nampak kelibat perempuan cantik dalam bilik. Bila kau nak menghampirinya, tiba-tiba nanti ada yang sergah kau dari belakang. Dia siap pegang bahu lagi. Bila kau toleh semuanya hilang camtu saja, seolah kau berkhayal. Paip singki rumah ini pun kerap terbuka dan tertutup dengan sendirinya. Pintu dalam rumah ni pun turut ikut rentak yang sama. Sesekali kau akan bau wangi bunga yang teramat sangat. Aishhh! Jika difikirkan balik, berani-berani aku ni pun seramlah juga rasanya”, tambah Wan.

 

“Kami pun pergilah merujuk ustaz, berkenaan masalah dalam rumah ini. Adalah ustaz tu datang sini jenguk-jenguk sekitar rumah ni. Ustaz tu cakap ada makhluk halus yang sudah menetap lama di sini sebelum kedatangan kami. Rumah ini dibiarkan kosong terlalu lama sehingga makhluk Allah ini sudah sebati dengan isi rumahnya. Dalam mimpi ustaz tu, kelihatannya seperti seorang perempuan cantik berpakaian kebaya. Apa yang merisaukan kami ialah dia tidak mahu berpindah. Tambahnya lagi dia berjanji tidak akan kacau penghuni dalam rumah ini. Ustaz itu cakap, “nak menghalau atau memindahkan makhluk halus ni bukannya kerja senang. Asal kami berdua boleh hidup bersama dengannya semuanya akan jadi beres. Usik-usik sikit tu perkara biasalah. Mungkin dia nak kenal-kenal dengan kamu memandangkan kamu berdua ni lelaki. Allaa, kamu buat tak tahu saja. Kalau kamu berani, semuanya akan jadi seperti biasa. Yang penting solat jangan tinggal”. Dengar penjelasan ustaz, lega sikit lah hati kami berdua. Lepas tu, kami jalani hari-hari kami seperti biasa. Usikannya di waktu siang mahupun malam seperti sudah menjadi rutin kami berdua”, tambah Mael lagi.


Aku yang mendengar cerita dari mulut mereka seperti terkejut. Nak percaya atau tidak, aku sudah pun merasa pengalaman aneh sewaktu berada di dalam rumah ini tadi. Mungkin mereka betul kerana aku percaya akan perkara ghaib. Terus tak jadi aku nak tidur dalam bilik bersendirian. Tidur dengan merekalah nampak gayanya di ruang tamu. Kini aku faham kenapa rumah ini bersepah. Jam menunjukkan pukul 1.00 pagi. Kami semua bercadang untuk tidur bersama. Esok, Isnin merupakan hari pertamaku di kampus untuk semester empat. Baru aku tahu rupanya mereka ni pereka grafik di syarikat pengiklanan bercetak di kawasan Cheng, Melaka. Aku tidur dengan lena malam tu.

                      ++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Tersedar aku dari lamunan panjang. Aku masih di bawah pohon mangga menikmati keindahan alam. Hampir seminggu aku di rumah sewa baru milik sepupuku di Taman Pokok Mangga, Melaka. Memang banyak pohon mangga di sini, sesuai dengan namanya. Hari makin gelap, matahari makin jauh meninggalkan ku di situ. Aku terus menghidupkan enjin motor lalu pulang ke rumah. Setibanya di rumah, Wan dan Mael seperti sudah pulang dari kerja. Aku terus memberitahu mereka akan wujudnya sawah padi dekat hujung kawasan perumahan ini. Mereka seakan terkejut. Patutlah mereka pernah terserempak akan lori treler yang membawa jentera-jentera padi dalam kawasan penempatan ini. Aku terus bersiap memandangkan aku ada kelas pada waktu malam sehingga jam 10 nanti. Seperti biasa dalam kelas ‘Monetary Economics’ mata ku kian mengecil. Mungkin sebab subjek teori. Lainlah kalau subjek mengira seperti ‘Managerial Economics’ atau ‘Investment Analysis’ pasti aku akan celik. Aku masih tidak dapat menyesuaikan diri dalam rumah puaka itu. Malam semalam aku di kacau lagi. Tengah aku siapkan ‘assignment’, tiba-tiba komputer riba ku memasang lagu dengan sendiri. Tercampak pen yang berada di tanganku. Bukan tu saja, masa aku tengah tidur pun seperti ada yang menarik kakiku. Menggelabah aku bangun dari tidur. Mael pun terjaga melihat telatahku.

 

“Acap, ni Wak Misran beri kau sesuatu”, kata Hafiz sambil menunjukkan bungkusan berwarna merah yang diikat dengan tali kuning itu. “Siapa Wak Misran tu?” tanyaku sambil memandang pensyarah seolah tiada apa yang berlaku. “Bomoh kat kawasan aku ler. Hari tu kau mintak tolong aku selesaikan masalah kau an. Ni aku tolong ler. Kau lupa ke? Hawau kau”, jawabnya dengan nada yang agak tinggi. “Bukan aku lupa, tapi kalau bomoh ni aku tak percaya sangatlah Hafiz. Takut terpesong, syirik nanti”, kataku dengan jelas. “Mana ada syirik. Ni namanya ikhtiar ler. Garam laut ini sudah di bacakan dengan ayat suci Al-Quran. Nanti sampai rumah kau tabur kat seluruh sudut rumah kau sambil baca ayat ini”, tambah Hafiz lagi ingin menyakinkanku.

 

Setibanya di rumah, aku terus menabur garam seperti yang di suruh oleh rakanku. Wan dan Mael tiada di rumah ketika itu. Mungkin mereka keluar makan di kedai mamak. Aku cuba menghubungi mereka untuk kepastian tapi gagal. “‘We Chat’ sajalah mereka ni”, kataku sambil menekan ‘button’ telefon. Lepas tu, aku mandi bersihkan diri. Badanku seperti melekit. Mungkin sebab berpeluh tadi. “Aku ingat nak layan ‘movie’ dekat komputer mereka lepas ni”, bisikku sambil membuka air pancut. Sedang aku mandi, tiba-tiba air pancut terhenti seketika. Lampu bilik air pula berkelip-kelip. Lama-kelamaan ia terus terpadam. Aku dah agak mesti benda tu kacau aku lagi. Terus aku keluar dari bilik air dan menyarung pakaianku. Dengan nada yang marah, ada suara yang memanggil namaku. “Ashraf! Ashraf!”… Segera aku capai baki garam yang masih tinggal di dalam beg aku. Sempat aku mesej mereka supaya pulang ke rumah cepat. Berbekalkan garam yang berada di genggamanku, aku memberanikan diri mencari suara itu. Aku pasti ia datang dari arah dapur. Aku berjalan menuju ke sana dengan degupan jantungku yang sangat laju. Kaki dan tanganku turut menggigil ketakutan.

  

Aku tergamam apabila melihat jasad wanita yang sangat hodoh berdiri di hadapan pintu dapur. Rambutnya putih panjang mengerbang menutup kepalanya yang seakan terbalik. Mukanya hancur lagi bernanah. Sebelah matanya terkeluar. Dengan jelas aku melihat wajahnya yang menjelingku. Mungkin inilah rupa sebenar penghuni rumah yang di katakan cantik itu. Aku hanya boleh menyebut kalimah Allah tanda kebesaran-Nya. Terkial-kial aku membaca potongan ayat yang di beri oleh Hafiz tadi. Belum sempat aku melemparkan garam ke mukanya, dia terus terbang ke arahku sambil mengilai-ngilai. Serius takut akan sesiapa yang mendengarnya. Kukunya yang panjang kehitaman seolah ingin menerkamku. Aku menjerit sekuat-kuat yang boleh untuk meminta tolong.


Aku buka mata ku perlahan-lahan. Terlihat Wan dan Mael berada di sebelah memegangku dengan kuat. Mael kata mereka jumpa aku pengsan di dapur. Aku seolah dirasuk bila dikejutkan. Menjerit tanpa henti meminta tolong. Wan terus menghubungi Ustaz itu meminta pertolongan. Aku melihat seseorang yang berjubah dan berserban putih berada di dapur. “Mungkin inilah ustaz yang di ceritakan mereka”, bisikku. Aku tak berdaya untuk bangun. Dalam keadaan ku yang terlantar di ruang tamu, aku terdengar perbualan ustaz itu di dapur:

Ustaz: Dulu kau sudah berjanji untuk tidak mengacau anak-anak Adam ini. Kenapa kau berdegil?

  • “Aku tidak mungkir janji aku. Tapi budak tu cuba menghalauku dengan menabur garam di rumahku. Garam yang di tabur telah membuatkan aku menderita. Budak itu harus terima pembalasan”.

Ustaz: Budak itu tidak tahu. Sudah aku beritahu kamu dulu, manusia dan kamu tidak boleh hidup bersama. Pergilah kamu ke tempat lain. Jangan kau kacau hidup mereka lagi. Kalau tidak aku terpaksa membinasakan kamu.

  • Aku tak mahu! Budak itu milikku. Kalau aku harus pergi, budak itu perlu mengikutku. Kau jangan jadi batu penghalangku. Kau bukan lawan aku”.

Ustaz: Baiklah, kalau itu keputusan kamu.

AKU BERLINDUNG DARI-MU YA ALLAH DARI SYAITAN YANG DI REJAM. DENGAN NAMA-MU YA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya).

(Surah Al- Baqarah: 255)

  • “Kau memang celaka anak Adam. Aku dendam dengan kamu semua”.

 

Akhirnya kami semua dapat hidup dengan aman tanpa gangguan dari penghuni berpuaka itu. Kami menceritakan segalanya pada Abang Suhaimi keesokan harinya. Dia seakan tak percaya akan cerita kami. Di rumah, aku lah orang pertama yang memindahkan barang-barang ke bilik utama itu. Sedang aku sibuk membasuh tandas bilik itu, tiba-tiba bahuku di sentuh. Aku menoleh ke belakang lalu terkejut melihat Mael dan Wan berkata: “Rumahku Rumahmu, Bilikmu bilikku juga”…. Kami bertiga ketawa terbahak-bahak tengahari tu.
 

Cerpen sebelumnya:
Soalan
Cerpen selanjutnya:
Antara Wujud dan Tidak.

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
1 Penilai

Info penulis

Ahmad Shafiq bin Ahmad Isa

Saya merupakan anak seni yang berjiwa bebas. Bebas seluas alam semesta ini. Bagi saya bila berkarya, its all about passion. Selain suka berkarya, saya juga berkebolehan dalam seni vokal. Saya suka berkarya menerusi genre seram kerna ia lebih mencabar akal minda dan menjadikan saya lebih berani. Karya saya haruslah memerlukan pembaca untuk lebih berfikir...
Boyz_Rules | Jadikan Boyz_Rules rakan anda | Hantar Mesej kepada Boyz_Rules

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya Boyz_Rules
Sulong | 5007 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

2 Komen dalam karya Rumahku Rumahmu
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik