Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kita Tidak Tahu

 

"Arr....kat mana aku ni?" Dia cuba membuka matanya. Susah. Seakan-akan matanya telah tertutup lama. Setelah beberapa minit mencuba, akhirnya dia berjaya. Dia cuba untuk mengingati kembali apa yang telah terjadi. Cubaannya sia-sia.

 

"Aku kat mana ni?" Dia melihat sekeliling. Barang-barang di tempat itu kebanyakannya berwarna putih. Dinding putih, katil putih dan langsir hijau. Dia tersedar, dia sedang berbaring di atas katil putih juga. Tempat itu dipenuhi dengan bau ubat dan bunyi daripada sebuah mesin. Tit...tit..tit..

 

"Arr.." segala kekuatan dikumpulnya untuk duduk. Dia tersedar terdapat seorang wanita sedang duduk di kerusi sebelah katil. Mukanya kelihatan familiar, cuma mungkin kelihatan sedikit tua dan tidak ceria. Matanya kelihatan lebam, mungkin kerana terlalu banyak menangis.

 

"Ummi?" Puan Kalthom terbangun dari tidurnya.

 

"Far....Farhan? Allah!" Ibunya menyebut nama Sang Pencipta. Dengan pantas Farhan dipeluk kegembiraan.

 

"Farhan!" baju hijau Farhan basah dek kerana tangisan ibunya.

 

Puan Kalthom menerangkan segala-galanya kepada Farhan. Rupa-rupanya, Farhan telah berada dalam keadaan koma selama 5 tahun.

 

"Patutlah suara aku lain.. Dah lima tahun rupanya." fizikalnya banyak berubah dalam jangka masa lima tahun itu.

 

"Ah, aku dah ingat" Dengan izin Allah, ingatannya dikembalikan.

 

Awan kelabu mula menghiasi langit. Langit yang indah, ciptaan-Nya sungguh megah. Ciptaan Allah Yang Maha Bijaksana, terapung tidak bertiang. Katanya, sejauh mata memandang ke arah langit, belum mampu untuk kita melihat langit yang pertama. Wallahu’alam..

 

"Far, kita kawan…kan?" Farhana bertanya kepada temannya yang sedang duduk di sebelah. Tangan kanannya ligat melukis bunga atas tanah menggunakan ranting kayu. Tiupan angin sayu-sayu, membelai pipi kedua-dua insan. Lukisan bunga Farhana hilang serta merta, hilang dibawa angin.

 

"Ish ish ish. Hana...persahabatan Far dengan Hana macam..hmm..macam kuku." Farhan menjawab soalan Hana dengan sopan dan lembut, selembut angin yang membelai pipi mereka tadi.

 

"Kuku? Wow, besarnya persahabatan kita" Farhana ketawa mendengar jawapan Farhan sebentar tadi. Kuku? Hmm, macam tu ke aku dalam hati dia?

 

"Hana gelakkan Far? Hmm sedihlah macam ni" Farhan membuat mimik muka sedih. Tangannya pula seperti ligat membuat sesuatu.

 

"Yela...biasanya orang cakap 'setinggi Gunung Kinabalu' ke, 'seluas bumi' ke. Apalah Far ni, kuku..." Farhana mencebik bibirnya. Dia melukis kembali bunga di atas tanah.

 

"Alaaa, tu semua 'mainstream'. Lagipun kalau setinggi Gunung Kinabalu, Gunung Everest lagi tinggi. Kalau seluas bumi, langit lagi luas. Far cakap kuku sebab..." Farhan berdiri, memandang langit. Eh? Tadi macam nak hujan, sekarang dah cerah balik? Subhanallah..

 

"Hah, sebab apa? Nak merepeklah tu." Farhana tersenyum, seekor rama-rama hinggap pada bunga yang dilukisnya.

 

"Persahabatan Far dengan Hana macam kuku, hujung kuku. Ya, memang kecil tapi dipotong macam mana pun, kuku akan tetap tumbuh. Macam tulah persahabatan kita, berapa kali Far jatuh, Far akan sentiasa bangun untuk Hana" Farhan pusing menghadap Farhana. Angin lembut kembali menyapa. Farhana tergamam mendengar kata-kata Farhan.

 

Debu dan pasir di atas tanah ditiup lembut. Menampakkan kembali bunga pertama tadi, menjadi teman bunga kedua.

 

"Hmm, Far..." Farhana menyebut nama temannya dengan lembut. Farhana Hazwanee berpakaian cantik pada hari itu, bertudung labuh, berpakaian longgar. Auratnya tertutup rapi, menampakkan keindahan seorang Muslimah.

 

"Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah" (H.R. Muslim dan Nasa'i)

 

"Hana naaaaak sangat tengok salji.. kan bagus.... kalau negara kita ada musim sejuk. Boleh main salji, ala-ala Winter Sonata gitu..." matanya memandang tanah. Terkejut melihat terdapat dua lukisan bunga. Eh, bila aku lukis dua?

 

"Hmm, Far tak tahu nak tolong Hana macam mana. Hana pernah dengar tak pasal dongeng 'Lucky Four Petals'?" Farhan bertanya. "Lucky For Petals" adalah satu cerita dongeng di mana orang yang menjumpai clover yang mempunyai empat kelopak akan memperoleh nasib yang baik.

 

"Eh, Far percaya ke benda tu? Syirik Far, tak baik tau. Taubat sekarang jugak." Senyuman terlakar di wajahnya. Dia menegur kesalahan di hadapannya sesopan mungkin.

 

"Ingat Farhana, kalau menasihat orang lain biarlah dengan cara yang terbaik. Jangan hina dan cemuh mereka. Kalau mereka tak nak ikut pun, jangan marah mereka. Faham?" Kata-kata arwah ayah, terngiang-ngiang di telinganya. Matanya mula berkaca-kaca.

 

"Hana? Hana nangis ke? Allah, maafkan aku hamba-Mu. Okay okay Far taubat sekarang ye Hana. Jangan nangis lagi..." Hatinya gelisah apabila merasakan dirinya punca Farhana menangis. Farhan tidak sanggup melihat tangisan insan tersayang. Farhana tidak tahu tentang perasaan sebenar Farhan terhadapnya. Rahsia hati hanya Allah yang Maha Mengetahui.

 

“Haha..perasan. Hana bukan nangis sebab Far..ada sebab Hana sendiri, tak penting pun.” Air mata yang bertakung di tubir mata disekahnya. Dia melihat Far yang sedang duduk di sebelah. Mereka bukanlah duduk bersebelahan. Farhan duduk beberapa meter daripada Farhana, demi menjaga adab dengan bukan mahram, demi meraih redha Allah. Persahabatan yang terjalin akrab bukan alasan mereka untuk mengetepikan batasan yang ditetapkan oleh Allah. Mereka pun bukannya berdua-duaan sahaja. Abang Farhana, Khair, ada bersama mereka. Khair tertidur sambil duduk, kepenatan kerana memanjat pokok kelapa pada pagi tadi namun dirinya digagahi juga demi menemani adik tersayang menemui kawannya. Khair percaya Farhan seorang lelaki yang baik namun dia tidak mahu syaitan menjadi orang ketiga. Biarlah dia menjadi orang tengah.

 

“Alaaa Far tahu~ kita sedekahkan Al-Fatihah eh?” Farhan menadah tangannya, disedekahkan surah Al-Fatihah dengan khusyuk buat insan yang tiada pertalian darah dengannya tapi hubungan mereka lebih erat. Saudara seagama.

 

Rasulullah SAW bersabda: “Seorang Muslim adalah saudara Muslim yang lain, ia tidak akan menzaliminya dan tidak akan menyerahkannya (kepada musuh). Barangsiapa berusaha memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Barangsiapa yang menghilangkan kesusahan dari seorang Muslim maka dengan hal itu Allah akan menghilangkan salah satu dari kesusahannya di Hari Kiamat. Barangsiapa yang menutupi aib (keburukan) seorang Muslim, maka Allah akan menutupi aibnya di Hari Kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

 

Farhan dan Farhana menutup mata, tangan ditadah dan Al-Fatihah dibaca. Al-Fatihah, Imam Fakhruddin ar-Razi memberi 12 nama untuk surah Al-Fatihah, antaranya Ummul Quran yang bermaksud Induk Al-Quran dan As-sab’ul Matsani yang bermaksud 7 yang diulang-ulang. Usai berdoa, Farhana membuka matanya. Dia melihat Farhan, belum menghabiskan doanya. Raut wajah Farhan diamati. Ya Allah, kurniakanlah aku cinta-Mu dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu serta kurniakanlah aku amalan yang membawa aku kepada cinta-Mu. Aamiin..

 

“Hana…” Suara garau memanggil nama si solehah. Khair menggelengkan kepalanya, mengingatkan Farhana agar menjaga pandangan.

 

“Astaghfirullah!” Getus hati Farhana.

 

“Eh, abang Khair dah bangun? Seronok ter-qailullah? Hahaha.” Tegur Farhan setelah meraup wajahnya.

 

“Alhamdulillah, dapat pahala ikut sunnah walaupun tak sengaja. Haha.” Dari kejauhan kedengaran azan yang sayup-sayupan menandakan masuknya waktu Zohor.

 

“Jom..” Khair mengajak mereka berdua pergi menyahut seruan Ilahi.

 

“Far, nah…” Farhana mengeluarkan sesuatu daripada handbag-nya. Dihulurnya kepada Farhan. Sebuah novel islamik. “Aku Percaya Engkau Jodohku” karya penulis novel islamik, Hanisah.

 

“Eh? Waaa! Mana Hana jumpa novel ni? Dah lama Far cari.” Senyuman mekar menghiasi wajah pemuda itu, matanya seolah-olah bercahaya melihat novel itu.

 

“Hana tahu Far suka baca novel~ bila dia baca novel macam tak ingat dunia. Ambillah novel ni, Hana hadiahkan untuk Far.” Novel bertukar tangan.

 

“Hey hey, bercengkerama pulak ye. Abang masih wujud laaa, jauh-jauh sikit” Khair mencelah. Farhan berdiam diri, matanya asyik menatap cover depan novel tersebut.

 

“Hah, tengok tu! Dah tak ingat dunia, baru cover depan novel.” Farhan tersentak. Khair dan Farhana ketawa melihat telatah Farhan.

 

“Hahaha mana adalah, Far terharu je!"

 

"Hana, esok datang sini lagi, boleh tak? Awal pagi."

 

"Hmm..InsyaAllah."

 

Subuh hari yang baru datang dengan laungan azan muazzin. Setiap bait azan dijawab hamba-Nya. Subuh di Kampung Rim Jasin, Melaka penuh barakah. Penduduk kampung meninggalkan nikmat tidur, melangkah ke arah Surau Al-Firdaus. Setiap langkah dinilai, dicatit oleh malaikat. Pahala mengalir deras dengan setiap langkah. Begitulah rutin penduduk kampung. Apabila waktu syuruk menjelang, kenderaan-kenderaan sudah memenuhi jalan kampung. Menuju ke tempat mencari rezeki.

 

Seorang lelaki berumur 12 tahun mengorak langkah ke sebuah pondok. Matanya liar mencari sebatang pokok yang tinggi. Tangannya erat memeluk sebuah kotak.

 

"Jumpa pon!" Dia berlari ke arah sebatang pokok mati lalu mula memanjatnya. Apabila sampai di dahan yang pertama, dia berdiri di atasnya, mengimbangi diri. Sebuah kotak diikat pada dahan di atasnya. Kotak ditutup rapi, tali yang panjang disambung padanya.

 

"Selesai, Farhan kau memang hebat. Haha" jam tangan berjenama G-Shock ditatapnya, hati berdebar menunggu ketibaan seorang muslimah.

 

Dia mundar mandir di atas dahan pokok mati itu. Jarak tanah dengan dahan pertama bersamaan dengan rumah empat tingkat.

 

Manusia tidak tahu apa yang telah dirancang oleh Sang Pencipta, Allah Yang Maha Esa. Ketika sedang menunggu, tanpa diduga, Farhan tergelincir.

 

BAAMM!!

 

Farhan mendarat dengan kepalanya. Farhan melihat darah merah mengalir. Matanya semakin kabur, dalam kekaburan itu dia terlihat si muslimah berlari ke arahnya.

 

"Far!!" Farhana terkejut melihat kawannya terlentang berdarah di atas tanah. Abangnya, Khair, mendekati Farhan lalu mengangkatnya. Baju putih Khair merah dengan darah.

 

"Ha.....Han..Hana..tarik." Farhan menunjuk ke arah tali yang bersambung dengan kotak di atas pokok.

 

Arahan sahabat dituruti, maka suasana pagi yang berembun itu dipenuhi dengan salji. Ya, salji. Salji palsu yang diperbuat daripada kapas. Alam seakan-akan membantu, angin sepoi-sepoi menghembus kapas-kapas tersebut dengan lembut, kelihatan seperti salji yang sebenar. Si muslimah mengalirkan air mata.

 

"Far..." Lelaki itu sudah menutup matanya, tidak sedarkan diri.

 

Lima tahun berlalu, Farhan telah bangun dari koma. Umurnya sekarang 17 tahun. Dia perlu mengejar kembali pelajaran yang tertunda. Berminggu-minggu dia ditahan di hospital sebelum dibenarkan pulang kerana Farhan perlu menjalani latihan berjalan. Koma selama 5 tahun itu telah membuatkannya susah untuk berjalan kerana terlalu lama terlantar.

 

"Oh ya, Farhan sayang, UPSR kamu dapat 5A tau, Ummi yang ambilkan keputusan Far. Tahniah~" Puan Kalthom tersenyum. Air matanya ditahan. 5 tahun dia menunggu untuk mengucapkan tahniah kepada anaknya. Farhan anak tunggal kepada Puan Kalthom dan Ustaz Farouq. Ayahnya tidak putus-putus berdoa memohon rahmat Ilahi agar memulihkan anaknya. Allah menyayangi Ustaz Farouq, dia telah kembali ke rahmatullah pada tahun sebelumnya. Tidak sempat melihat anaknya sembuh.

 

Terapi berakhir, Farhan mula menghadirkan diri ke sekolah. Dia ulang alik dari rumah ke sekolah dengan berjalan kaki. Hari ini dia akan menghadiri hari persekolahannya buat pertama kali sejak lima tahun berlalu.

 

Dalam perjalanan ke sekolah, Farhan mengamati perubahan yang telah berlaku di sekelilingnya. Dia melihat kanan.

 

"Biasanya dekat sini ada banyak anjing. Tak berani pergi sekolah jalan kaki. Hmm sekarang dah takde pula, jaga cucu kot anjing-anjing tu. Tak dapat la nak lari pecut ke sekolah." Farhan Hanif teringat memori lama, dirasanya seperti baru semalam dikejar anjing.

 

Setibanya dia di pagar sekolah.

 

"Okay, Nur tangkap tau! Hana nak baling ni!" terkejut Farhan mendengar 'Hana'. Suara itu tidak banyak berubah.

 

Tang! Spray can yang dibalingnya tidak sampai kepada seorang perempuan yang berada di tingkat 3 bangunan sekolah itu. Balingannya tidak cukup kuat.

 

"Alaaa tak sampai! Hana tak cukup kuat laaa. Takpe Hana naik, okay." Belum sempat Farhana mengambil spray can di atas tanah, dengan pantas Farhan mengambilnya dan baling ke arah koridor tingkat 3.

 

"Dapat, terima kasih 'whoever you are'!" spray can berjaya ditangkap.

 

"Assalamualaikum....Farhana Hazwanee.." Dia tersenyum.

 

"F..Far..Farhan?" air jernih bertakung di tubir mata Farhana. Ingin dia peluk, ingin dia menangis di bahunya tapi dia sedar siapa dirinya. Hanya kepada Allah dia memanjatkan kesyukuran.

 

"Nah, ambil sapu tangan ni. Malu orang tengok. Jangan risau, Farhan tak guna lagi, simpanlah buat kenangan." Sapu tangan hijau dihulur, matanya memerhati sekeliling.

 

"Abang Khair mana?"

 

"Abang Khair dah terbang ke Jordan. Medic."

 

"Oh, Alhamdulillah."

 

"Mar, Mar, tengok tu ada orang kacau buah hati kau." seorang lelaki botak mengadu kepada seorang lelaki yang sedang duduk tekun menelaah buku teks Biologi.

 

"Hah? Mana? Ish kau ni Botak, buah hati apanya?" dahi Aqmar berkerut mendengar kata-kata tersebut. Dia melihat ke luar tingkap setelah ditunjuk oleh Botak.

 

"Eh, itu....Far..Farhan!" Aqmar terkejut melihat Farhan di depan matanya. Farhan dan Aqmar merupakan kawan karib sejak di bangku tadika lagi. Selain keluarga Farhan dan Farhana, Aqmar turut terkesan apabila kawannya kemalangan. Dia juga selalu datang melawat Farhan ketika koma dan menukar bunga setiap hari. Cuma dua tiga minggu ini dia tidak datang menjenguk kerana balik ke kampung bercuti. Sebab itulah dia tidak tahu berita tentang Farhan telah sedar dari koma.

 

"Hmm? Cincin?" Farhan pelik melihat cincin emas putih yang dipakai oleh Farhana. Apa semua ni?

 

"Ah..ni...." berkerut dahi si Muslimah. Dia jelas berada dalam kekeliruan. Seseorang muncul dari belakang Farhan lalu menepuk bahu kanannya.

 

"Far, aku boleh explain benda ni.." Farhan memandang Aqmar dengan penuh kehairanan. Arrghh apa ni?

 

Setiap perkara yang berlaku dalam jangka masa Farhan koma diceritakan Aqmar dan Farhana. Mereka telah bertunang 2 bulan yang lalu. Ya, mereka masih sekolah. Duhai pembaca, tak salahkan? Menurut penjelasan Aqmar dan Farhana, mereka bertunang mengikut kehendak keluarga. Setelah ibu Farhana meninggal, ayahnya yang tenat takut tiada siapa akan menjaga Farhana nanti. Ayahnya, Ustaz Solah membuat keputusan untuk menyatukan Farhana dengan anak kawan madrasahnya dahulu, Ustaz Humaidi. Ustaz Humaidi hanya memiliki seorang anak, Aqmar Solihin. Ibunya meninggal setelah melahirkannya. Niat Ustaz Solah dipersetujui oleh Ustaz Humaidi kerana dia anggap perkara ini merupakan rezeki Ilahi. Siapa yang tidak mahu seorang gadis solehah yang diyakini akhlak dan agamanya menjadi menantu. Aqmar pun turut setuju kerana dia ada memendam perasaan terhadap si gadis tersebut.

 

"Ha...Hana...Arrggh!" Farhan memegang kepalanya. Dia mengerang kesakitan. Sakit kepala memikirkan hal itu. Sakit hati apabila insan yang dicintainya, semakin jauh. Aqmar cuba untuk membantu Farhan tetapi tangannya ditepis. Farhan lari memanjat pagar sekolah.

 

"Farhan!!" jeritan tersebut tidak dihiraukan Farhan. Dia terus berlari, tanpa hala tuju.

 

"Kenapa..kenapa semua ni terjadi..Kenapa aku bangun balik. Aku tak sepatutnya sedar. Hana, bolehkah Far terima semua ni? Ya Allah, apa ujian yang Engkau turunkan buatku ini."

 

Kabussh! Farhan terjun ke dalam sungai. Ditenggelamkan dirinya di dalam air.

 

"Haaaa." Farhan kembali ke permukaan. Dia termenung sebentar. Teringat kenangan lalu.

 

"Mar, terjunlah! Tunggu apa lagi!" seorang budak 12 tahun aktif bermain di dalam sungai. Kawannya yang kelihatan seusia dengannya turut bersama. Badannya masih kering. Dia takut hendak terjun, jaraknya terlalu tinggi.

 

"Sabarlah Far! Kau tau kan aku gayat! "

 

"Alaaaa terjun jelah! Mengada la kau ni, apa guna kau belajar silat, taekwondo tapi hati kecut macam ni. Baik bagi aku je jadi pengerusi."

 

"Hoi, silat taekwondo mana ada ajar main terjun-terjun ni. Dorang cuma ajar mempertahankan diri!" Aqmar ligat memperlihatkan gerak silatnya kepada Farhan. Setiap langkahnya kemas, tidak hairanlah dia dilantik menjadi pengerusi kelab silat.

 

"Wow style style! Tu corak apa?" Farhan kelihatan berminat.

 

"Haaa, baru kau tau siapa aku. Ni pengerusi la weh. Kalau kau nak tau ni la cor.."

 

Kabusssh!! Aqmar tergelincir.

 

"Haaaaa, Allah!" Aqmar naik ke permukaan.

 

"Hahahahaha itulah, cakap besar lagi. Tengok pengerusi dah "terterjun". Haha."

 

"Aku tak jatuh laa, skill aku tadi tu. Hahaha."

 

Persahabatan mereka berdua bagaikan ikatan hubungan adik beradik. Air sungai yang nyaman dinikmati. Farhan mengambil batu sungai kecil lalu melontarnya selari dengan permukaan sungai. Apabila batu tersebut menyentuh permukaan, batu itu terloncat-loncat sebanyak empat kali sebelum tenggelam ke dasar.

 

"Mar, apa kau rasa tentang Farhana?"

 

"Eeeee apa kau ni, aku lelaki sejatilah. Tak kuasa aku nak cakap pasal kau."

 

"Aku cakap Farhana la, bukan Farhan. Ingat aku kemaruk dengan diri aku ke." Matanya disepetkan, lalu Farhan mengetuk kepala Aqmar perlahan.

 

"Hahaha sori sori. Kurang jelas, air sungai kuat sangat bunyi. Hmm, Farhana eh, aku nampak dia baik la, dah la comel tapi tak menggedik atau bangga dengan kejadian dia. Bagus, aku suka orang macam tu."

 

"Kau suka dia, Mar?"

 

"Hah? Aku? Hahahaha jangan merepek la."

 

"Weh, aku serius ni. Come on, kau sahabat aku, jujurlah."

 

"Hmmm.....ye..ye aku suka budak Farhana Hazwanee tu dan aku tahu kau suka dia."

 

"Eh macam mana kau tau?"

 

Pak! Giliran Aqmar pula mengetuk kepala Farhan.

 

"Aku ada mata laaa, cara kau pandang dia, cara kau layan dia, dan aku tau kau selalu jumpa dia, kan? Abang dia selalu ikut korang."

 

"Jadi...kau tak kesah ke, Mar?"

 

"Kesah la jugak, tapi.....aku sahabat kau Far. Aku boleh nampak, dia pun suka kau. Kira aku tak ada jodoh la kan, korang dah saling suka. Ada possibility korang ke jinjang pelamin nanti. Ada jodoh, ada jodoh. Amiin."

 

"Hoi apa kau cakap ni, kita masih budak lagi tau tak. Baru 12 tahun. Kau dah cakap jodoh dengan kahwin? Eeee ku ni tak padan dengan umur."

 

"Habis kau suka Farhana, layan dia cuma sekadar nak mempermaikan dia? Kau tak serius dengan dia?"

 

"Hmmm aku serius, kalau boleh nak juga aku berbinikan dia. Tapi kau tau la, kita masih kecik lagi. Layak ke cakap benda ni."

 

"InsyaAllah Far, kalau niat kau suci. Allah tak akan sia-siakan niat yang baik. Kau jaga ikhtilat kau dengan dia. Jaga jarak. Jaga batas. Tak bagus tau korang selalu bermesra, kalau ada urusan takpe. Urusan tu biarlah urusan yang kau yakin boleh jawab dengan Allah dekat akhirat nanti."

 

"Ye....aku tau semua pasal tu, sebab tu aku rancang nak jumpa dia lagi esok. Last, betul-betul last. Aku nak buat satu benda sampai dia tak akan lupakan aku."

 

"Hmm insyaAllah, aku doakan untuk korang. Jaga iman, jaga hati sahabat." Aqmar menepuk-nepuk badan Farhan.

 

Memori itu masih segar di dalam minda Farhan. Memori hari yang sama dia kemalangan.

 

"Mar, kau sangat baik. Mungkin Allah dah jodohkan kau dengan dia. Takde Farhan dan Farhana. Cuma ada Aqmar dan Farhana. Maafkan aku sahabat. Aku akan betulkan semua ni balik."

 

Jam Casio di pergelangan tangan kanannya dipandang. Azan Zohor kedengaran.

 

"Alhamdulillah, mesti dorang dah habis kelas. Aku solat Zohor dulu."

 

Farhan mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam beg sekolah. Ada beberapa missed calls dan satu mesej, dari Aqmar.

 

[Far, ko katne ni? Aq mnta maaf, aq tak thu mcam mna semua ni boleh jadi. Far..aq boleh putuskan prtunangan ni. Untuk ko. Maafkan aq. Okay. Ckgu dah tgok aq len mcam ni, nnt kantoi pla aq bwa fon. K chiao. As-salam..]

 

Farhan membalas meseh tersebut.

 

[Dtang jmpa aq lpas zohor. Kat tmpat aq eksiden dlu. Bwa payung.]

 

[Payung?? =="]

 

[Ko nak aq maafkan ko ke tak? Bwa je la =="]

 

Farhan kemudian menghantar mesej kepada Farhana. Dia juga menyuruh Farhana datang ke tempat kemalangan tersebut.

 

Selesai imam membaca doa, Farhan dan jemaah yang lain bergegas keluar daripada surau. Ada beberapa orang yang masih duduk bertafakur di dalam masjid. Farhan mengorak langkah ke tempat yang dijanjikan.

 

Tiba di destinasi, Farhan mencari-cari pokok di mana dia terjatuh dahulu.

 

"Jauh sikit dari pondok seingat aku. Hah! Tu pon dia. Waa dah subur sekarang."

 

Pokok mati yang dipanjatnya dahulu kini subur dan berbunga. Farhan ternampak sesuatu terukir pada batang pokok. 'Farhan U.F.A.A'

 

"Farhan...err. Apa ni..oh! Uhibbuka Fillah Abadan Abada." air jernih bertakung di tubir mata Farhan. Dia menghela nafas panjang lalu meraup mukanya.

 

"Hana, uhibbuka fillah abadan abada. Tapi bukan jodoh kita. Nasib baik, Hana tulis U.F.A.A je. Kalau tulis penuh nanti ada nama Allah. Rasa bersalah Far nak panjat nanti." Farhan memanjat pokok tersebut, dengan sekelip mata dia sudah berada di dahan yang pertama, fizikal barunya memudahkan urusan.

 

"Far, Far..Eh, Far! Buat apa atas tu! Kalau jatuh lagi macam mana?" Si Muslimah, Farhana tiba di lokasi.

 

Farhan mengeluarkan 'bubble gun' yang baru dibelinya sebentar tadi lalu menarik picu pistol buih tersebut.

 

Alam dipenuhi dengan buih-buih. Pancaran matahari yang terik memancar ke arah kawasan buih, menjadikan buih-buih tersebut memantulkan warna pelangi. Farhana tergamam.

 

"Hana, memang Hana suka Far. Tapi perasaan suka tu bukan lagi cinta. Ya, Far yang memberikan Hana dapat merasai salji buatan dulu, dan sekarang Hana dapat tengok buih-buih pelangi. Far cuma tau memberikan benda-benda ni dekat Hana tanpa fikir bahaya yang bakal menimpa Hana dari pemberian Far. Dan dia, Aqmar. Dialah yan.." Percakapan Farhan dipotong.

 

"Yang melindungi Hana daripada bahaya-bahaya akan datang. Mar, yang menghulurkan payung ketika hujan, ketika terik matahari memancar membuatkan Hana kepanasan. Mar yang akan menjadi imam Hana nanti. Mar, bukan sahaja meminang Hana di dunia. Mar berusaha mendapat rahmat-Nya agar Mar dapat meminang Hana lagi di Syurga." Aqmar datang memberi payung kepada Hana. Hana tersenyum dan mengambil payung dari Aqmar. Dia sedar, dia sudah belajar mencintai Aqmar. Farhana melihat Farhan di atas pokok. Aqmar tersenyum. Terima kasih, sahabat.

 

"Afwan.." Farhan dan Aqmar berbicara dalam hati. Pandangan mata dan riak muka sudah cukup untuk mereka memahami satu sama lain.

 

"Mar, bawa Hana balik..."

 

"Far, jom balik sekali.."

 

"Tak..korang baliklah dulu. Aku nak tengok suasana.." air matanya ditahan.

 

Aqmar dan Farhana mengikut kehendak Farhan. Mereka pulang menuruni bukit. Farhana memayungi dirinya sendiri dan Aqmar membiarkan dirinya kepanasan. Dia tahu dia masih punya batas, tunang bukan tiket untuknya melanggar batas itu.

 

Farhan melihat mereka berdua dari atas pokok sehingga mereka hilang dari pandangan. Dia menuruni pokok itu perlahan-lahan. Dibacanya doa kesyukurana ke hadrat Ilahi. Mungkin Allah telah merencanakan sesuatu yang lebih baik buatnya. Farhan redha. Dia mengorak langkah ke arah puncak bukit.

 

Farhan sampai ke puncak. Dia terlihat sebuah batu besar di hujung puncak. Dia membaringkan dirinya di atas batu tersebut. Sungguh indah pemandangan. Ciptaan Allah, Subhanallah. Di atas batu itu, Farhan tertidur. Dia bermimpi.

 

Farhan mimpikan sebuah pengakhiran yang berlainan.

 

 

 

 

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan AkMNaza

Read all stories by AkMNaza
No stories.