Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Aksi

TEPUK BATANG AISKRIM (INILAH HARINYA AKU MENDAPAT SEORANG MUSUH KETAT)

Cerpen sebelumnya:
Beby
Cerpen selanjutnya:
Bila Kau Ada Seorang Ibu

"Satu game. Siapa menang, dia dapat King yang kalah." Aku letak syarat.

Suri angguk. Budak sekolah petang yang tidak asing dalam dunia penepukan batang aiskrim.

"Kau tengoklah apa aku akan buat dengan King kau bila kau kalah kejap lagi." Suri tersengih jahat.

Suasana di kantin makin hangat. Ramai yang mula mengerumun. Liyana yang tadi asyik menjamah burger juga terhenti, dia memandang aku tajam dan mengisyarat:

Kau mesti menang! Maruah sekolah ni berada di tangan kau!

Aku balas pandang dia. Ketap bibir dan angguk.

"Come on, Reza. Kasi menang. Berlagak sangat tadi dia ni. Kau ajar dia biar dia check-in gua tak keluar-keluar dah!" Zul hadir di sebelah.

Aku dan Suri sediakan King masing-masing. Peluh dingin mula terbit. "Baiklah, biar aku jalan dulu.." 

PAP!

Tepukan pertama melentingkan King ke posisi yang aku mahu. Menghampiri secara strategik kedudukan King milik Suri.

Sorak sorai kian bergema. Kata sokong dan nista saling berbalas. Namun, tiada satu pun singgah di telinga. Aku terlalu fokus pada perlawanan. Tanpa aku sedar, inilah harinya aku mendapat seorang musuh ketat!


----
 

KRINGG!!

Loceng jam 10 berbunyi. Suasana yang tadinya merupakan sebuah sekolah segera bertukar. Deretan askar kecil keluar kelas sebelum bercempera. Kini keadaan dah tak ubah seperti pusat rekreasi kanak-kanak.

Ada ke taman bermain kejar-kejar. Ada ke wakaf membuka bekal. Begitu juga yang ke koperasi membeli keperluan. Sekarang tengah musim main tindih pemadam. Maka objek putih empat segi tu jadi komoditi hangat. Terutama yang ada gambar bendera negara-negara.

“Zul! Laju semacam je.” Tegur aku pada seorang kawan sewaktu menuju ke kantin. Zul tunjuk seberkas batang aiskrim di tangan. Aku segera faham.

“Kau lawan siapa hari ni?”

“Suri.. dia budak petang.” Jawab Zul sedikit tegang. “Semalam dia bakar-bakar aku ajak lawan. Poyo gila.”

Aku sengih mendengar. Zul memang begini. Asal kena cabar sikit bengkaklah hati. Asal kena bakar sikit, berasaplah jiwa. 

“Kira champion sekolah kita lawan champion sekolah petang ke macam mana ni?” Aku jack sikit. Zul gelak.

“Belah la. Aku champion pasal kau tak mau main hari tu. Boleh la aku cari makan. Cuba kalau kau ada?” Ujar Zul sebelum minta diri dan berlalu. 

Selain tindih pemadam, tepuk batang aiskrim ini pun tengah trending. Mana ada lantai kosong, adalah sekumpulan murid bersila terbongkok-bongkok. Permainannya mudah. Dua pemain saling menepuk batang milik mereka. 

Tepuk! Tepuk! Batang siapa kena tindih dia kalah. Tepuk! Tepuk! Haaa... tepuk batang aiskrim, bai. Bukan batang lain.

Zul pula memang jenis taksub dalam apa saja bidang yang dia ceburi. Minat main batang aiskrim habis dia tapau semua yang lain. Minat dengan pasukan Liverpool pun habis dia tapau. Dia tapau orang yang kutuk pasukan dia.

Disebabkan radiasi tepuk lantai yang terhasil waktu bermain selalunya melebihi kadar microsievert per jam yang dibenarkan, aku dan Zul selalu kena pangkah dengan ketua kelas.

“Bisinglahh! Nak main dekat luarlah! Tu, dekat tempat pengumpulan sampah bersepadu tu ke.” Pernah sekali ketua kelas, Liyana Edlina ni marah kita orang sambil acah-acah lawak.  

“Pusat pengumpulan sampah bersepadu yaa..” Aku baru aje nak bangun pergi ikat tocang dia dekat kipas. Lepas tu ambil kotak pensil dia baling keluar tingkap.

“Reza.. Reza. Sabar Za. Jangan macam ni. Dia cuma buat kerja dia. Za, please. Kau kena faham kedudukan dia.” Pujuk Zul. Mujur Liyana ni ada tempat di hati Zul. Kalau tak, alamatnya aku dah kurung dalam almari belakang kelas tu.

Sampai di kantin, aku beratur di barisan yang menjual keropok. Sebatang kayu aiskrim aku keluarkan dari kocek. 

“Bang, lawa bang King abang.” Tegur seorang budak junior yang beratur di barisan nasi lemak.

Aku senyum bangga.

King adalah batang aiskrim yang digunakan untuk berlawan. Dalam perlawanan biasa, bila sesuatu King kalah kepada lawan, pemain perlu serahkan sebatang kayu aiskrim lain sebagai ganti. Jadi tak hairanlah kalau seorang pemain tegar dilihat berjalan bersama seberkas batang aiskrim di tangan, macam Zul tadi.

Tapi dalam perlawanan yang lebih serius, pemain boleh putuskan untuk berlawan secara Battle Royale. Siapa kalah, Kingnya perlu diserah! Terpulang pada pemenang sama adanak gunakan King tu semula atau selitkan dalam buku setem Book of Shame!

Aku belek King di tangan. Batang leper berkenaan bukan lagi kayu aiskrim biasa. Aku dah kemaskan permukaan dengan kertas pasir gred 40. Kasi licin dan ringan. Diukir cantik-cantik. Kemudian dililin permukaan untuk ketahanan lalu diberi nama “Aboogit,” sempena nama jurus agung karektor permainan konsol kegemaran.

Bukan aku yang memilih King. Tetapi King ini yang pilih aku.
Aku pejam mata mengenang saat aku terpijak batang aiskrim ni masa balik sekolah minggu lepas. Nostalgik!

King si Zul pulak lagilah. Nama aje pun dah Taming Sari. Kalau aku punya setakat disagat kertas pasir, Zul punya siap bersepuh emas. Dia warna pakai pen dakwat yang mahal tu. Standard aku, tak mampu belilah!

Sesuai dengan championnya, sesuailah dengan takzub Zul pada Taming Sarinya!

“Reza! Reza!”

Tiba-tiba bahu aku digoncang. Aku menoleh.

“Zul?! Wei, apahal ni?” Kaget aku tengok riak Zul cuak semacam.
“Kau kena balas dendam untuk akuReza. Teruk aku kena tapau ni. Habis separuh batang aiskrim aku kena bagi dia.”
“Suri tapau kau?” Menyala amarah aku dengar kawan kena buli. Zul angguk pasrah.

Demi seorang kawan, “Ini tak boleh jadi. Ayuh!”

----

“Haaa.. ada lagi? Aku ingat sekolah ni dah tak ada pencabar lain dah. Yelah, yang mengaku juara pun dah bungkus baikk punya. Setakat entah rangking ke berapa ni, apalah sangat.” Suri menombak ego sebelum sempat aku sentak batang hikmat dari poket. Kejung kejap tangan ni untuk beraksi.

Aku kibas-kibas pasir sebelum menurunkan punggung dan sila.

Selepas menetapkan syarat-syarat, perlawanan pun bermula. Taruhannya bukan kecil. Ini adalah Battle Royale. Tewas bermakna King akan disambar. Kalah maka maruah akan tercalar!

Aku tiada pilihan itu!

“Go Reza, Go! Main betul-betul. Jangan kalah woi!” Zul menjerit-jerit di sebelah. Histeris.

“You boleh Reza! Come on! Kalau menang ni, I janji akan beri sokongan penuh untuk you training dekat dalam kelas!” Liyana pula menambah.

Batang-batang aiskrim saling melayang. Tepukan berkemahiran tinggi bertukar ganti. Kadang menidakkan fizik. Kadang menterbalikkan logik. Setiap giliran perlawanan semakin sengit. King saling mencari kedudukan. Menyasar lawan untuk dibaham. 

Aku melihat peluang terbaik untuk aku menang.

PAP!

Lantunan batang aiskrim aku memaku penuh debar mata-mata yang menonton. Teroleng melayang penuh harapan. Lantas mendarat dengan bergaya di sebelah King milik Suri.

WHATT?!

Tak tindih! Dia jatuh betul-betul sebelah King milik Suri. Peluang terbuka untuk pemain lawan! Tubuh aku mengeras!

Dengan tepukan tipis, Suri berjaya mengangkat batangnya menindih batang aiskrim yang aku gunakan.

BEDEBAHHH!!

“Yeaaahhhhh! Aku menang lagiii!!” Lonjak Suri penuh ekstatik. Aku terpaku penuh tragik!

Ketika aku ingat keadaan tidak akan menjadi lebih buruk, Suri dengan penuh lagaknya merampas King yang ditindih tadi.

“Sorrylah. Aku tak ingin nak guna atau simpan King sampah macam ni dalam book of shame aku.”

KRAP KRUP KRAP! PIUNGGG!

Luluh hati aku melihat King yang aku gunakan tadi kini telah musnah dimamah kedurjaan Suri. Aku terduduk. Hiba.

Di sebelah, aku lihat keadaan Zul lebih teruk lagi. Matanya terbeliak buntang tidak percaya, mulutnya menguak tapi tiada bicara.

“Err.. Zul... kau okey?”

“Taming Sari aku... T–Ta–Taming Sari aku...” Antara dengar atau tidak rintihan itu datang dari Zul.

“BADIGOOOLLLL!! YANG PERGI MAIN TADI PAKAI KING AKU APASALL.. BAGHALL!!” Seluruh kantin sehingga ke koperasi hingar seakan dilanda todak.

AKU TAKKAN MAAFKAN KAU, SETANN!! KAU BUKAN KAWAN AKU LAGI.. AAARGGHHHH!!!!

Carutan dari Zul berlarutan dan bergema dalam kepala sepanjang hari. Aku pasrah. Inilah harinya aku mendapat seorang musuh ketat.

Cerpen sebelumnya:
Beby
Cerpen selanjutnya:
Bila Kau Ada Seorang Ibu

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
6 Penilai

Info penulis

Mantan Lelaki Suci

Seorang lelaki suci yang berhati 24 tahun, berbadan 29 tahun dan berperut 37 tahun. Saya gemar membaca karya yang segar, padat dan berkualiti, tidak kisahlah stail perdana (mainstream) mahupun frinjan. Karya yang mempunyai ejaan singkat-singkat atau sengaja melanggar tanda baca amat digerami. Sekian.       
cahatomic | Jadikan cahatomic rakan anda | Hantar Mesej kepada cahatomic

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya cahatomic
PCB#2: AKU SEPASANG SEPATU PEJABAT WARNA HITAM | 33961 bacaan
Kau, Kuah Satay dan Simfoni Hidupku | 27254 bacaan
M01S04: Dua Dunia | 4345 bacaan
Syi | 5046 bacaan
Maaf, Cik! 3 : Juan Bangkit | 5130 bacaan
Maaf, Cik! 2 : Naga Terbang | 6369 bacaan
Maaf, Cik! | 7100 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

19 Komen dalam karya TEPUK BATANG AISKRIM (INILAH HARINYA AKU MENDAPAT SEORANG MUSUH KETAT)
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik