Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni)

Cerpen sebelumnya:
Perempuan Bersayap Hitam
Cerpen selanjutnya:
PCB#2: AKU SEPASANG SEPATU PEJABAT WARNA HITAM

IA BERLAKU pada suatu malam yang panas di bulan Mei. Seperti biasa, Matteo yang baru berusia 15 tahun masih berusaha untuk melelapkan mata. Dia berasa resah. Cuaca panas yang menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini membuatnya menjadi marah. Entah pada siapalah kemarahan itu ditujukan. Adakah pada cuaca yang membahang, pada matanya yang sehingga kini tidak mahu pejam atau pada Tuhan yang masih belum kabulkan doanya agar malam ini hujan turun dengan lebat?
 

Setelah beberapa lama ‘berperang’ dengan rasa panas, Matteo ambil keputusan untuk tidak meneruskan kepura-puraannya untuk melelapkan mata. Dia segera bangkit dari katil dan menuju ke bilik air.  Moga-moga, air yang bakal mencurah-curah di tubuhnya nanti mampu meredakan kemarahannya dan mampu melenakan tidurnya.
 

***

Matteo tahu waktu sekarang ini benar-benar sudah lewat. Dia masih gagal untuk tidur walaupun sudah mandi untuk menyejukkan badannya. Dan ia merupakan satu kekecewaan buatnya. Matteo melihat jam yang terletak di meja katilnya.
 

“Lagi lima minit. Tak guna!” Matteo memarahi dirinya sendiri.
 

Dia mencapai jam mejanya dan bingkas dari katil menuju ke meja belajarnya. Matteo duduk menghadap jendela yang sengaja dibuka sedikit dengan harapan ada sisa-sisa udara malam yang menyelinap masuk ke dalam bilik tidurnya.
 

Tepat jam 1.15 pagi, seperti yang dijangka oleh Matteo.
 

Bunyi muzik instrumental perlahan-lahan berkumandang di belakang rumahnya. Ia bermula dengan perlahan dan mendayu-dayu sehingga akhirnya muzik bertukar semakin rancak dan kuat. Nah, bukan sahaja kepanasan yang membuatkan Matteo tidak mampu melelapkan mata, tetapi bunyi muzik aneh yang entah mana muncul sejak akhir-akhir ini turut menjadi punca dia tidak cukup tidur. Sebab itulah kalau boleh, dia mahu tidur tidak sedarkan diri sebelum jam menginjak ke pukul 1.15 pagi. Jika selepas dari itu, dia masih berjaga, terimalah ‘seksaan’ tidak cukup tidur pada keesokan harinya. Matteo hanya mampu tidur-tidur ayam sahaja.
 

Pada mulanya dia menyangka mungkin jiran belakang rumahnya yang dia tidak pernah kenali itu yang mengadakan pesta peribadi secara kecil-kecilan. Namun, apabila hampir tiga malam berturut-turut ia berlaku dengan muzik yang sama berkumandang, sekali gus ia menimbulkan satu perasaan aneh dalam diri Matteo.
 

***

Lalu, pada suatu pagi yang cerah berlakulah satu perbualan antara Matteo dan kedua-dua ibu bapanya sewaktu bersarapan.
 

“Ada dengar muzik jiran kita semalam?” Matteo terus bertanya tanpa berbasa-basi dahulu.
 

“Muzik apa?” tanya bapanya tanpa mengalih pandang pada akhbar yang dipegangnya itu.

“Muzik pesta. Jiran sebelah yang main.” Matteo terus berhenti daripada mengunyah penkeknya dan memandang bapanya.
 

“Tak dengar apa-apa pun? Adeline, awak ada dengar bunyi muzik jiran belakang rumah kita semalam?” Fidelio, bapa Matteo bertanya pada isterinya yang berada di dapur.

“Tak. Saya tidur mati,” jawab Adeline ringkas.
 

“Bukan semalam aje. Dah tiga malam berturut-turut. Mustahil ibu dan ayah tak terjaga sebab bunyi muzik tu kuat sangat.” Matteo memandang pula ke arah ibunya yang membawa lagi penkek panas dari dapur.
 

Kedua-dua Adeline dan Fidelio memandang sesama sendiri sambil menggeleng. Tiba-tiba mereka ketawa terbahak-bahak dan Matteo sudah jangka apa yang difikirkan oleh ibu bapanya itu.
 

“Saya tak mengigaulah!” balas Matteo.
 

“Dulu pun kau cakap macam tu juga, tapi malam selepasnya ayah jumpa kau tengah menyanyi sorang-sorang dekat dapur sambil pejam mata.” Fidelio tak habis ketawa lagi apabila membayangkan betapa lucunya Matteo yang menyanyi dalam keadaan mengigau malam-malam. Rupa-rupanya, apabila disoal berkali-kali barulah dia dapat tahu yang Matteo telah dicabar oleh rakan-rakan sekelasnya untuk masuk pertandingan menyanyi sehingga terbawa-bawa dalam mimpi.
 

“Tapi, sungguhlah saya tak mengigau. Macam mana saya nak mengigau kalau tidur pun saya tak boleh semalam.” Matteo cuba mempertahankan dirinya.
 

“Yalah... yalah, malam nanti kami cuba dengar.” Fidelio cuba memujuk anaknya sambil menahan tawa.
 

***

Malam berikutnya, Matteo akhirnya dapat melelapkan mata pada jam 11.00 malam walau dalam keadaan susah payah kerana kepanasan. Namun, akibat tidak cukup tidur selama beberapa hari membuatkannya tiada pilihan lain selain daripada perlu tidur. Dia perlu tidur!
 

Sehinggalah tepat pada jam 1.15 pagi, Matteo tiba-tiba terjaga. Ia berlaku dengan begitu pantas seperti ada orang yang menggoncang tubuhnya dengan kasar. Namun, apabila dia benar-benar terjaga, tiada siapa di sekelilingnya. Yang terdengar adalah alunan muzik instrumental yang berkumandang dengan penuh mendayu-dayu. Lalu, tidak lama kemudian ia bertukar menjadi rancak seperti muzik di pesta keramaian.
 

Sudah kali keempat dan ini memang membuatkan Matteo hilang sabar. Dia bingkas dari katil dan menuju ke bilik air untuk membasuh mukanya. Dia mahu pastikan dirinya benar-benar sedar dan bukan mengigau seperti yang dikatakan oleh ayahnya.
 

Setelah beberapa ketika, Matteo masih lagi mendengar dengan jelas alunan muzik tersebut. Sah, dia memang tidak mengigau! Apa yang perlu dia lakukan? Mahu sambung tidur kembali? Selera tidurnya sudah tumpul.
 

Dengan penuh rasa geram yang membuak-buak, Matteo ambil keputusan untuk keluar dan mencari arah bunyi muzik tersebut. Dia yakin yang muzik itu datang dari rumah jiran belakang rumahnya. Jiran yang tak diketahui namanya itu. Jiran yang penyendiri dan kadang-kadang perengus itu.

***

Perlahan-lahan Matteo membuka pintu rumahnya. Dia tidak mahu mengejutkan ibu bapanya yang pastinya sudah tidur mati.
 

Apabila dia sudah berada di luar halaman rumahnya, Matteo tidak meneruskan langkahnya. Dia cuba mengamati arah muzik itu betul-betul. Sah, ia berada di belakang rumahnya. Lalu dalam keadaan malam yang tak berangin dan tiada sesiapa di sekitar kawasan perumahannya itu, Matteo perlahan-lahan melalui lorong kecil yang menuju terus ke jalan belakang rumahnya. Semakin lama muzik yang berkumandang itu semakin dekat di pendengarannya. Tapi, apa yang mengejutkan Matteo adalah sangkaannya jauh meleset. Rumah jirannya yang suka menyendiri dan perengus itu gelap gelita yang sekali gus memberi gambaran jelas bahawa pemilik rumah itu sedang lena diulit mimpi. Namun, Matteo tetap meneruskan langkahnya kerana hatinya semakin membuak-buak untuk mengetahui arah mana datangnya bunyi muzik yang mengganggu tidurnya itu. Sehinggalah...
 

“Selamat datang, Encik Matteo!” Tiba-tiba sahaja dia disapa oleh satu badut berambut merah terang yang memegang lampu minyak tanah sebaai penyuluh jalan. Entah datang dari mana, dia sendiri pun tidak pasti. Tapi, apa yang Matteo ingat ialah dia seakan-akan tiada kuasa apabila si badut berambut merah terang itu mengajaknya ke sebuah padang lapang yang terletak tidak sampai sepuluh minit dari rumahnya. Matteo, tanpa bantahan hanya menurut sahaja langkah badut itu.
 

“Kami memang ternanti-nantikan kedatangan anda, Encik Matteo! Kami sungguh gembira apabila Encik Matteo muncul pada malam ini.” Badut itu bersuara lantang kerana bunyi muzik yang didengari tadi semakin lama semakin kuat.
 

Kami? Hati Matteo berbisik sendiri. Maknanya, bukan badut ni sahaja yang ada.
 

Alangkah terkejutnya Matteo apabila padang lapang tempat dia dan rakan-rakan selalu bermain bola itu telah bertukar menjadi sebuah pesta yang meriah. Cahaya yang datang dari pesta itu gilang-gemilang. Bukan dia dan si badut itu saja yang ada di situ. Ada ramai lagi rupa-rupanya di situ. Mereka seolah-olah pengunjung pesta tersebut. Jelas terpampang wajah kegembiraan masing-masing.
 

“Selamat datang ke Pesta Malam Zamboni!” Seorang gadis mungkin sebaya Matteo memberi ucapan kepadanya di pintu masuk. Gadis berambut ungu muda itu memakai gaun warna-warni dengan solekan yang tebal. Namun dia masih tidak dapat menyembunyikan wajah remajanya itu. Gadis itu memberinya sekeping kad kepada Matteo.
 

Kami dengan rasa berbesar hati menjemput,

Encik Matteo

ke Pesta Malam Zamboni.

Semoga terhibur!

Si Penghibur Zamboni.
 

 

“Si Penghibur Zamboni adalah pemilik pesta malam ini.” Si badut itu memberitahu Matteo tanpa diminta. Matteo pula hanya mengangguk sahaja.
 

Sebaik sahaja Matteo melangkah masuk ke dalam pesta itu, semakin ramai pengunjung yang berada di dalam kawasan tersebut. Ada yang melihat pertunjukan api. Ada yang melihat aksi akrobatik yang mengagumkan dan tak kurang juga yang asyik menikmati pelbagai jenis manisan yang tentu sahaja menyelerakan. Penuh warna-warni. Matteo pula hanya berdiri kaku sahaja sehinggalah satu pengumuman dibuat yang mengejutkannya serta para pengunjung yang lain. Semua acara pada ketika itu dihentikan serta-merta.
 

“Minta perhatian! Minta perhatian para pengunjung sekalian. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang ke Pesta Malam Zamboni. Anda semua adalah pengunjung terpilih yang dipilih oleh saya sendiri, Si Penghibur Zamboni. Malam ini adalah malam yang bertuah buat anda semua kerana satu pertunjukan khas akan diadakan.” Si Penghibur Zamboni yang berperut buncit dan memakai topi besar itu membuat pengumuman menggunakan pembesar suara sambil menunggang seekor gajah yang luar biasa besarnya. Semacam bukan lahir dari dunia ini.
 

Para pengunjung yang mendengar pengumuman tersebut mula berbisik sesama sendiri. Jelas keterujaan terukir di wajah masing-masing kecuali Matteo yang masih lagi keliru dengan apa yang sedang berlaku.
 

“Minta perhatian semua. Pasti anda semua tidak sabar untuk mengetahui pertunjukkan apa yang ingin saya persembahkan pada malam ini. Ini adalah sebuah pertunjukan istimewa yang jarang-jarang sekali dipersembahkan. Hanya para pengunjung yang terpilih saja seperti anda yang bakal dipersembahkan dengan satu persembahan hebat. Saya, Si Penghibur Zamboni dengan rasa rendah hati menjemput anda ke pertunjukan hebat Cik Finola!”
 

Semua pengunjung bertepuk tangan sekuat hati dan ada yang menjerit dengan penuh rasa teruja mendengar pengumuman aneh itu. Matteo pula semakin bingung dan terpinga-pinga melihat gelagat para pengunjung tersebut.
 

Para pengunjung berpusu-pusu mengikuti langkah gajah yang ditunggangi oleh Tuan Zamboni itu. Mereka akan dibawa oleh Si Penghibur Zamboni ke sebuah kawasan di mana dari jauh kelihatan sebuah balang besar yang dipenuhi dengan air. Bukan itu yang mengejutkan Matteo, tetapi gadis di dalam balang itu. Ada gadis di dalam balang yang dipenuhi dengan air itu!
 

“Cik Finola ditemui oleh Tuan Zamboni sepuluh tahun yang lepas. Pada waktu tu gadis itu terperangkap di celah-celah batu sungai yang besar dan tajam di sebuah anak sungai. Cik Finola kelihatan lemah dan nyawa-nyawa ikan. Sekejap-sekejap dia cuba untuk bernafas dalam air. Pada masa itulah baru Tuan Zamboni dapat tahu yang Cik Finola ini bukan sembarangan manusia. Dia manusia yang hidup dalam air.” Si badut berambut merah terang itu memberitahu Matteo tanpa disuruh-suruh.
 

Matteo terus melangkah ke arah balang kaca itu diikuti oleh si badut berambut merah terang. Dia hanya dapat berdiri di barisan belakang kerana terlalu ramai pengunjung yang berpusu-pusu melihat keajaiban dunia itu. Bagaimana seorang manusia boleh hidup dalam air? Orang ramai bertepuk tangan gembira apabila Cik Finola mula bergerak-gerak dan menari mengikut muzik yang dialun oleh Tuan Zamboni.
 

Nah... muzik itu rupa-rupanya yang sering berkumandang dari bilik Matteo! Ia bermula dengan mendayu-dayu dan akhirnya semakin rancak. Begitu juga dengan gerakan Cik Finola yang bermula dengan lembut dan menjadi semakin rancak mengikut alunan muzik. Gaun lembut merah jambu yang dipakainya menambahkan keanggunan tariannya. Para pengunjung yang melihat aksi Cik Finola itu semakin galak bertepuk tangan. Ada yang menjerit-jerit kesukaan sehingga terlompat-lompat. Matteo pula hanya berdiri kaku memandang Cik Finola dari jauh. Sekali-sekala dia menjengkitkan kakinya untuk melihat aksi Cik Finola dengan lebih jelas.
 

Bagai ada satu perasaan aneh yang membingungkannya pada saat melihat Cik Finola. Mereka berdua saling tidak mengenali tapi Matteo merasakan terlalu dekat dengan gadis dalam balang air gergasi itu. Adakah dia sedang mengalami deja vu? Apakah Cik Finola juga merasakan hal yang sama?

***

Peristiwa ke Pesta Malam Zamboni itu hampir-hampir saja ingin diceritakan kepada ibu bapanya. Namun Matteo segera mengingatkan dirinya bahawa ia akan menjadi lebih rumit apabila dia cuba memberitahu apa yang berlaku. Yang pasti, bapanya mungkin akan jatuh pengsan kerana mentertawakannya dan ibunya akan segera membawanya ke pakar psikatri. Kadangkala Matteo merasakan yang ya, dia memang sudah gila. Patut dibawa berjumpa dengan psikatri. Dia mengalami peristiwa yang tak masuk akal. Tetapi, segera dia menyanggah apabila buktinya ada di depan matanya. Kad jemputan daripada Si Penghibur Zamboni masih lagi dalam simpanannya.
 

Maka hampir setiap malam, tepat 1.15 pagi Matteo akan keluar dari rumahnya senyap-senyap untuk ke Pesta Malam Zamboni sambil ditemani oleh si badut berambut merah terang. Lebih tepat lagi, Matteo ingin ke persembahan hebat Cik Finola. Dia akan tunggu dengan penuh setia dari mula waktu persembahan sehingga persembahan tamat walau hampir setiap malam Cik Finola akan mempersembahkan aksi yang sama berulang-ulang kali. Para penonton yang pada mulanya berpusu-pusu mahu melihat keanehan Cik Finola itu semakin lama semakin berkurang. Lama-kelamaan hanya tinggal beberapa orang penonton sahaja yang menonton sehinggalah Matteo akhirnya dapat melihat secara dekat wajah Cik Finola yang putih pucat itu.
 

Seperti biasa, perasaan aneh dan membingungkan itu muncul setiap kali memandang ke arah Cik Finola. Malah semakin menjadi-jadi. Namun, dalam diam Matteo menyukai pertemuan ini. Tanpa bicara atau senyuman, Matteo merasakan satu kegembiraan dan kesenangan hati setiap kali melangkah ke Pesta Malam Zamboni itu. Entah Cik Finola merasakan perkara yang sama dialami olehnya?
 

Cik Finola...

Finola...

Finola yang manis...
 

Nama itu sering bermain-main di bibir Matteo, sehinggalah pada suatu malam...
 

Tepat jam 1.15 pagi. Sunyi. Tiada kedengaran langsung apa-apa muzik berkumandang menjemput kedatangannya ke Pesta Malam Zamboni. Dan, tanpa dia duga, ia benar-benar meresahkan Matteo sehingga dia dapat merasakan dadanya sesak dan sakit. Matteo melihat jam mejanya. Adakah ia rosak? Tidak. Ia elok seperti biasa. Matteo tidak puas hati lalu mengambil keputusan untuk keluar sendiri ke padang lapang. Tapi apa yang menghampakannya adalah keadaan yang gelap gelita seperti tidak pernah berlaku apa-apa keramaian atau pesta di situ.
 

Matteo jadi bingung sehingga dia rasa mahu menangis, tapi dia gagal. Tiada air mata yang keluar. Rasa bingungnya lebih menguasai dirinya.
 

Tiba-tiba, setitik demi setitik hujan turun mengenai tubuhnya. Semakin lama semakin lebat sehingga dia terpaksa berlari-lari anak pulang ke rumah. Doa yang selama ini sering diucap sudah terkabul pada malam itu, tetapi Matteo merasakan yang hatinya semakin pedih.

***

Pagi itu hadir dengan penuh kedinginan. Hujan lebat yang turun pada lewat malam turun tanpa henti sehingga ke subuh. Apabila matahari kembali bersinar dan hujan mulai reda, Matteo kembali lagi ke padang lapang di belakang rumahnya itu. Kosong dan tenang seperti tiada apa yang berlaku. Kecewa dengan apa yang dilihatnya, dia pulang semula ke rumah dengan langkah longlai. Sesampainya Matteo di hadapan rumahnya, dia perasan ada sekeping kad yang sangat biasa dilihatnya terselit di peti surat rumahnya. Dia mengambil kad itu dengan penuh debaran kerana dia tahu kad itu mungkin datang daripada Tuan Zamboni yang mungkin ingin menjemputnya kembali ke Pesta Malam Zamboni. Atau mungkin daripada...
 

Bukankah dalam hidup ini kita sering mengalami pertemuan dengan pelbagai jenis manusia?

Aku menyukai pertemuan kita yang hadir dengan diam dan penuh sembunyi-sembunyi. Ia muncul secara tiba-tiba dan penuh rasa senang hati. Seperti hujan rintik yang muncul tanpa disangka-sangka pada musim panas yang meresahkan.

Selamat bertemu dan selamat berpisah. Pada musim panas yang manakah akan kita bertemu lagi?

Finola.

***

Ia berlaku pada suatu malam yang panas di bulan Mei, 15 tahun yang lalu. Matteo masih lagi menyimpan kad jemputan daripada Tuan Zamboni dan juga kad ucapan perpisahan daripada Cik Finola. Ini bukan kesah yang direka-reka kerana buktinya ada di depan matanya.
 

Dan, sehingga ke hari ini Matteo masih ternanti-nanti pada musim panas yang mana satukah dia dan Finola akan bertemu semula?

 

 

 

 

Cerpen sebelumnya:
Perempuan Bersayap Hitam
Cerpen selanjutnya:
PCB#2: AKU SEPASANG SEPATU PEJABAT WARNA HITAM

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
5.0
1 Penilai

Info penulis

kamalia

Hopeless romantic tapi kemungkinan besar menghidap philophobia. Meminati karya-karya luar kotak tidak kira dari genre apa, sambil disulami elemen cinta atau satira (tidak kira puisi, cerpen, lukisan, novel atau apa saja). Karya yang hebat secara peribadi adalah yang mampu membuatku termenung beberapa ketika kerana begitu terkesan. Kalau mahu lebih dramatik, mampu merembeskan air mata dan terkedu selama beberapa minit.    
kamalia | Jadikan kamalia rakan anda | Hantar Mesej kepada kamalia

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya kamalia
Sepucuk Surat Pada Musim Tengkujuh Untuk Sahabat Khayalanku | 3381 bacaan
Satu Perasaan Yang Tak Terungkapkan | 5767 bacaan
PCB# 4 : Aku, Firdaus dan Batu Seremban | 3490 bacaan
Stesen Ajaib | 2386 bacaan
PCB# 3: Duniaku, Alice In Wonderland! | 3917 bacaan
PCB#2: Aku Hanyalah Sebuah Telefon Bimbit Kepunyaan Zaleha Yang Telah Mati Dipanah Kilat | 3580 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 2) | 2225 bacaan
Demimu Yana, Aku Sanggup Mati! (Bahagian 1) | 2219 bacaan
PCB#1: Surat Seorang Psikopat Yang Menyesal | 3164 bacaan
Kepada Michelle: Jika Aku Berpindah Saat Kau Kembali, Pohon Mangga Itu Telah Ku Lantik Sebagai Ganti Hatiku (Bah. 3) | 1952 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

1 Komen dalam karya Finola & Matteo (Pertemuan di Pesta Malam Zamboni)
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor


Kapasitor Bookstore

Head Over Heels

Jessie has kept the identity of her son Oliver\s father a secret for years. She\s ...
Price: RM 10.00


Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik