Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Anugerah Lukisan

 

                                    Tajuk Cerpen: Anugerah Lukisan

Loceng kelas berbunyi tepat pukul 12 tengahari. Waktu persekolahan telah tamat. Suara kedengaran lantang mengucapkan terima kasih. Masing – masing mengalas beg lalu langkah kaki dipercepatkan. Ada yang saling berkejaran di luar kelas. Bunyi teriakan suara disambut hilaian ketawa. Lantas, Shahrul menggelengkan kepala. “Esok hari Sabtu, nampak benar wajah ceria mereka. Pada hari lain, suara kodok lagi kuat,” rungut guru baharu itu. Dia menyusun buku latihan yang berselerak di atas meja. Suasana lengang. Sunyi. Dia memandang ke belakang kelas. Ada pula pelajar yang masih tinggal. Ingatkan aku seorang yang masih disini. Seorang murid lelaki masih belum berganjak dari tempat duduk. Barangkali menyiapkan kerja sekolah yang diberi.

            Zali begitu tekun. Soalan berapa, dia kurang pasti. Dia merenung agak lama sehelai kertas didepan. Tertera nombor soalan hingga ke – 20. Dia membelek halaman belakang. Kosong. Zali bertekad menyiapkannya sebelum balik. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pelbagai cara kerja yang diguna pakai. Tapi, dia masih buntu pada soalan terakhir. Dia memandang ke luar tingkap. Pemandangan menghijau melapangkan dada. Alangkah baiknya, jika aku dapat mengenali pelukis itu. Dia seperti menjawab teka – teki yang tiada sebarang kata kunci. Pensel diletakkan di tepi meja. Dia hilang arah. Ditambah pula soalan Matematik yang menguji minda. Jawapan yang telah dibuat dipadamkan. Beberapa formula telah muncul dalam kepala. Namun, tiada satu pun kiraannya yang tepat.

            Dari jauh, bunyi tapak kaki menuju ke arahnya. “ Eh, Zali. Kenapa belum balik lagi?” Shahrul memandang muridnya sekilas. Dia tertumpu pada buku latihan milik Zali. “Sudah siap?” tanya guru itu ingin tahu. Nada serius cikgu Shahrul membuat Zali kaku seketika. Air liur ditelan terasa pahit. “Belum, cikgu. Hanya soalan terakhir yang belum dijawab” Zali tunduk. Dia tidak berani memandang wajah bengis itu. Dia mulai serik setelah melihat rakan sekelas seringkali dirotan kerana gagal subjek tersebut. Walaupun begitu, Zali sedar akan niat baik guru Matematik itu. Tangannya laju mencatat langkah – langkah penting sebagai rujukan. Dia mengangguk faham ketika cikgu Shahrul memberi penjelasan. “Terima kasih, cikgu,” ujar Zali sebaik selesai. “Buatlah ulangkaji lebih kerap,” nasihatnya pada Zali. Shahrul mengatur langkah ke pejabat. Zali duduk semula. Rasa tenang. Perasaan itu kemudian hilang. Jauh di sudut hati, ada perkara yang tidak dapat dilupakan. Pelbagai persoalan yang bermain di benak fikiran. Otaknya ligat berputar mencari jawapan. Zali mengeluh. Dia mencapai beg sekolah lalu meninggalkan bilik darjah 6 Anggerik.

            “Kau ni Jais, anak ketua kampung pun pandai buat roti canai” Raju berseloroh. Tiga rakannya ketawa melihat gelagat dia ketika melakonkan aksi penjual roti canai. “Dah siap, bungkus. Tak mahal, seringgit dua puluh sen” Dia membuat pula seolah – olah melempar sesuatu kepada pelanggan. “Eh, tu dia” Jais berbisik. Rakannya berpaling. Mereka masih tercegat di luar pagar sekolah. Bilangan pelajar makin tak ramai. Ada yang sudah balik menaiki bas sekolah. Tinggal beberapa orang sahaja yang masih menunggu di hentian bas. Barangkali ingin ke bandar. Zali terpandang Raju dan kawannya. Memang dah agak, mereka akan berkumpul disitu, desis hatinya.

            “Budak comot! Kenapa lambat sangat? Pak cik tu nak tutup pintu pagar ni” Faizul memegang pagar. Seorang lelaki lingkungan 50 – an hanya memerhati dari tingkap pondok pengawal keselamatan. Dia keluar dari pintu belakang lalu bergegas ke pejabat guru. Pelajar yang masih disitu sekadar memandang. Kelu lidah. Apatah lagi hendak berdepan dengan pelajar bermasalah. Jika ditegur, pasti kena belasah. Terpulanglah pada guru disiplin. Kalau cikgu Manaf nampak, lagi bagus. Guru terkenal garangnya bak singa itu. Zali semakin hampir. Dia cuba melangkah keluar. Tiba – tiba, kakinya tersadung. Dia lalu jatuh meniarap. Faizul sengih. “Aku sengaja tadi,” bisiknya pada Jais dan Ranjit. Raju mengangkat kepala. Jari telunjuk lurus Ranjit menuding pada mangsa mereka. Zali bangun perlahan. Raju cuba mengambil kesempatan. Dia menggerakan kaki kanan ke hadapan. Ketika bangun, Zali terpijak kasut Raju yang memang putih bersih. “Kau tak nampak kasut aku? Bangun!” Raju menarik kolar baju Zali dengan kasar. Dia merenung tajam. “Badan aku yang sasa ini pun, kau tak nampak. Badan kurus. Kau pandai buat roti canai…”

            “Dan kau hanya pandai melawan!” Satu suara memintas. Suara yang amat dikenalinya. Cikgu Manaf sudah pun berdiri tidak jauh dari mereka. Bila ketibaannya, mereka tidak sedar. Yang pasti, cikgu Manaf lama benar menyaksikan adegan menarik drama anak lelakinya. Raju segera menurunkan tangan. “Kamu semua ke sini!” Mereka kecut perut. Tubuh Raju menggeletar. Dia perlu berdepan dengan ayahnya. Sudah tentu rotan di tangan akan hinggap di punggung nanti. Dia menanti pula hukuman di rumah. Berapa kali sebatan kali ini, dia cuma membuat andaian. “Zali, kamu dibenarkan balik,” arah guru berbangsa India itu. Zali beredar keluar. Dia terpandang kereta BMW hitam di bahu jalan. Tanpa berfikir panjang, dia menghala ke laluan rumahnya. “Encik Badar, tolong awasi dia bagi pihak saya” Suib memandang tubuh kerdil itu. “Terima kasih” Dia menamatkan perbualan telefon. Dia memerhatikan budak lelaki itu melintasi jalan. Rasa simpati bersilih ganti rasa serba salah. Kereta mewah kemudian di pandu menuju jalan besar.

            Munira memandang sebingkai gambar. Sebuah potret yang tergantung di dinding. Kebahagiaan yang dirasai hanya beberapa bulan. Usia perkahwinan belum mencecah setahun. Dia gempar dengan berita kemalangan Fadli. Dia cuba menahan tangis. Lebih – lebih lagi, dia sedang hamil tiga bulan. Hasrat hati ingin memberi kejutan pada suami tercinta. Malah, kejadian tragis itu membawa kedukaan dalam hidup. Sungguh perit. Selepas bersalin, bayi lelakinya pula hilang. Air mata mengalir tanpa disedari. Begitu sukar untuk dilupakan walaupun belasan tahun berlalu. Dia hilang tempat bergantung. Air mata dikesat. Munira enggan mengimbau peristiwa lampau. Dia tidak ingin dirinya tenggelam dalam kesedihan. Akan tetapi, seperti ada suara berbisik. Munira mencari tisu dalam tas tangan. Sekeping foto kecil timbul di antara barang komestik wanita itu.

Usai memandikan Aiman, Munira memakaikan lampin. Bayi lelaki yang satu – satunya cahaya mata dikurniakan pada mereka. Harta peninggalan arwah suami umpama tidak bernilai baginya. Kerana Aiman merupakan permata hati. Semakin hari Munira merasai bahagia itu kembali. Senyuman terukir. Luka hati beransur pulih. Dia menjalani kehidupan sediakala. Usia bayi sudah tiga bulan. Penat lelah menjaga si kecil, dia tetap gembira. Rasa terhibur. Segala keperluan bayi diuruskannya. Munira menolak permintaan pembantu rumah untuk menjaga Aiman. Biarlah dia bersusah payah. Asalkan dia membesarkan dan menjaga Aiman sejak bayi lagi.

Suatu petang, Munira ke dapur ingin memanaskan air. Sebelum ke bawah, pintu bilik dikunci. Dia memastikan Aiman tidur nyenyak dahulu. Bayi sulungnya pantang kalau dia tiada disisi. Sebaik membuka mata, dia akan menangis tanpa henti. Aiman payah dipujuk. Dia akan merengek selagi tidak didukung. Munira berasa tidak sedap hati. Tiba – tiba, muncul kerisauan akan bayinya. Apa yang terjadi? Ada sesuatu yang menganggu. Munira meluru ke tingkat atas. Pintu dilihat tertutup rapat. Dia menghela nafas lega. Tetapi, perasaan tidak senang memimbing dia ke dalam.

Munira membuka kunci. Tangan memulas tombol. Dia perlahan berjalan ke arah buaian disebelah katil. Degupan jantung kencang. Dia gementar. “Aiman….” Takut kehilangan menyelubungi diri. Tali buaian kelihatan tegang. Seperti tiada sesuatu di dalamnya. “Aiman….” Keesakan mulai memenuhi ruang bilik. Tangan kanan lantas memegang tiang besi buaian. Munira menangis sepenuh hati. “Tidak! Aiman, kemana pergi kamu nak?” Dia meraung apabila melihat buaian itu kosong. Dua orang pembantu wanita bergegas masuk. “Puan, kenapa ni? Apa yang berlaku?” Bertalu – talu soalan keluar dari mulut mereka. “Anak aku….” Munira tidak mampu menghabiskan ayat. Terasa sakit di dada. Dia lalu rebah tidak sedarkan diri.

Ketika membuka mata, Munira mendapati dirinya di wad pesakit. Air mata berlinangan. Dia lemah. Sepatah kata tiada satu pun yang mampu diucapkan. Pergerakannya terbatas. Dia perlu menjalani rawatan akibat tertekan. Selepas dua minggu, Munira dibenarkan keluar. Dia hilang selera makan. Kadangkala, sesuap nasi sebagai alas perut. Kehidupan Munira tidak terurus. Malah, dia berkurung dalam bilik. Sungguhpun pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak polis namun Aiman masih tidak ditemui. Munira hanya mengangguk apabila pengawal peribadi menyampaikan berita itu.

Lamunan terhenti. Dia seperti terbangun dari mimpi. Ketukan pada pintu mengejutkan Munira. Dia teringat akan mesyuarat yang perlu dihadiri. Munira bingkas. Selesai bersiap, dia menuju ke pintu utama. Seorang pemuda memakai kot hitam sedang menunggu. Munira duduk di belakang. Tiga buah kereta lagi mengiringi mereka. Sepasang mata tersenyum  puas ketika mereka meninggalkan perkarangan banglo mewah itu.

Pejam, celik. Zali memandang siling. Ada persoalan yang belum terungkai. Sudah tentu terdapat rahsia disebalik. Dia bangun dari katil. Laci meja ditarik. Kepingan potret dikeluarkan. Dia meneliti setiap pemberian itu. Zali mencangkung. Ada sesuatu menarik perhatian. Imej wanita mendukung bayi lelaki. Dibawah sekali tertulis nama Munira. Sekali imbas, keseluruhan bagaikan satu kisah. Zali menyusun mengikut urutan kemudian ditampal pada dinding. “Seorang ibu telah kehilangan bayi berusia tiga bulan…” Zali berhenti. Dia melihat lukisan seterusnya.  “Fira? Pembantu Indonesia?” Pandangan beralih pada perkataan yang ditulis berdakwat biru. Zali termenung jauh. Tiada pula Mak Munah dan Pak Usop bercerita pasal Munira. Bahkan, berbincang mengenainya. Apa kaitan dia dengan Munira? Mak Munah dan Pak Usop memang orang tua dia. Siapa yang selalu menghantar lukisan ini? Zali sangsi.

“Nak, mari makan” laung Mak Munah dari luar. Zali terpinga. Dia berharap ibunya tidak membuka pintu. “Baik, mak” Dia cepat – cepat menjawab. “Mana Zali? Tak makan ke?” Pak Usop bertanya sebaik saja isterinya melalui pintu dapur. Mak Munah belum sempat membuka mulut. Zali pun muncul. “Jom, makan” Mata terbuka luas bila terpandang rendang ayam kegemarannya. Dia teruja akan masakan ibu. “Jangan pandang lama – lama. Isi dulu perut kosong tu,” tegur pak Usop. Zali sengih. “Ayah, mak. Saya nak sesuatu, boleh?” Nasi dalam pinggan dicubit. “Tanyalah,” sahut Mak Munah. “ Siapa wanita yang namanya Munira?” Pak Usop mendongak. Mak Munah mengangkat kepala. Mereka saling berpandangan. Kedua – dua diam sejenak. Zali memandang mereka silih berganti. “Bukan usahawan tu ke?” Pak Usop menyoal balik. Dia sedaya upaya mencipta alasan agar biar pecah di perut, jangan pecah di mulut. Mak Munah mengangguk. Dia menyakinkan.

Usahawan wanita? Zali mengerut dahi. “Zali tak buka gerai ke malam ni?” Mak Munah mengubah tajuk perbualan. “Sekejap nanti” Zali menghabiskan lauk di pinggan. “ Orang kampung kata suka akan roti canai kamu buat. Sedap, kata mereka. Mak tambah sikit tadi macam selalu kamu buat,” terang ibunya. Kehidupan sederhana begitu memadai buat mereka sekeluarga. Zali bersyukur kerana mereka begitu menyayangi. Selepas makan, dia masuk ke bilik sebelum turun bawah. “Betul ke apa kita buat ini? Sampai bila kita nak simpan” Soal mak Munah setelah Zali hilang dari pandangan. “Tak baik mungkir janji. Nak buat bagaimana?” Pak Usop menyelit gurauan lalu menggigit ayam goreng dipegangnya. “Kesian budak tu” Mak Munah menjeling. “Awak ni Munah, kita rahsiakan dulu” Pak Usop mengambil seketul lagi. “Yalah” Pinggan kotor diletakkan ke sinki. “Cukuplah, saya nak tolong Zali di laman rumah” Pak Usop membasuh tangan. Pili kemudian ditutup.

Apa pula sekarang ni? Zali memeriksa saluran hos tong gas. Dia mengenal pasti jika ada kebocoran berlaku. Aku guna elok saja kelmarin. Tak boleh jadi ni. Dia merungut sendirian. Satu suara menyapa. Zali bangun. “Maaf encik, tolong tunggu sebentar” Dia tenang. “Nama awak Zali, bukan?” Bagaimana dia tahu nama aku? Zali angguk. Dia menyambut huluran tangan lelaki itu. “Saya gembira dapat jumpa awak, tuan… Oh, maafkan saya. Zali” Tersasul pula. Suib segera mengalihkan perbualan. “Saya dengar roti canai dekat sini sedap,” ujarnya. “Saya nak pesan tiga roti canai kosong,” sambungnya. Dia berkira – kira dalam hati. Satu untuk dia manakala dua lagi untuk majikannya. Suib memandang sekeliling. Kali terakhir dia singgah, bulan lepas. Dia terpaku akan reka bentuk rumah papan itu. Menarik. Beberapa pasu bunga telah diletakkan di tepi anak tangga. Sementara menunggu, Suib mengambil sebuah kotak dari kereta.

Zali memerhatikan gerak – geri lelaki berkaca hitam itu. Dia berasa sungguh hairan. Roti canai tadi dibungkus bersama kuah kari. Bau kari menusuk hidung. Suib menelan liur. Dia menahan lapar. Untung Munira, detik hatinya. Suib teringat akan sesuatu. “Nah, ini pemberian ikhlas daripada saya” Kedua – dua belah tangan mengangkat kotak yang tidak seberat mana. “Oh, terima kasih, encik” Apa dalam ni? “Dah siap, encik. Jumlahnya RM 3.60,” katanya. Suib mengeluarkan sekeping 50 ringgit. “Awak simpan bakinya” Suib menyertakan kad nama. Zali terganga. “Tapi,..” Ayatnya tergantung. “Tak apa” Suib memintas. Tindakan lelaki itu menimbulkan tanda tanya dalam diri Zali. “Suib, pekerja Datuk Munira?” Dia ingin mengejar. Akan tetapi, kereta tadi tiada disitu. Akan aku ketahui juga. Zali merenung bungkusan merah itu lama. Pak Usop menjenguk dari tingkap. Dia berhenti melangkah sebaik melihat Suib. Riak muka berubah. Dia sebak.

Potongan kecil disumbat ke dalam mulut. Munira menjilat jari. “Nampak macam pedas, tapi tetap sedap” Wajahnya berseri. Munira merasai telah biasa akan rasa kari itu. Dia terbayang akan arwah suami. “Puan” Suib risau. Wanita itu menoleh. Sampul surat berwarna coklat dipamerkan. Keratan dikoyakkan. Sehelai kertas bertulis esei. Munira membaca dengan teliti. Dia menarik nafas dalam. “Kenapa sekarang baru hendak beritahu saya?” Air mata bergenang. Bila – bila masa ia akan tumpah. “Tahu tak dia begitu penting dalam hidup saya? Dia sahaja ahli keluarga saya yang tinggal” Keesakan memenuhi ruang pejabat. Suib membisu. Lidah kelu. Munira bangun. “Saya ingin berjumpa dengan anak saya!” Dia melemparkan kemarahan yang terbuku di hati. “Saya belum siap lagi…lukisan saya” Suib mempertahankan diri. “Puan, tolonglah. Jangan terburu – buru,” rayu Suib. Walaupun begitu, dia memahami akan dilema seorang ibu.

Rupanya Suib tahu akan rancangan aku selama ini. Aku takkan mengalah. Tak aku sangka Aiman masih hidup lagi. Fira menggetap bibir. “Aku tak mahu dipenjarakan!” Teriak penghulu orang gaji itu. Bantal melayang terkena dinding. Cadar tilam ditarik sekuat hati. Fira terbayang akan perbuatannya memotong wayar kereta Fadli. “Bukan aku. Hanya imaginasi aku!” Kelakuan buruknya pasti akan didedahkan. Orang ramai tentu menyuarakan agar dia menerima hukuman di tali gantung. Bunyi tangisan bayi menghantuinya. Kulit Aiman tumbuh bintik merah dan lebam. Fira tersepak batu lalu Aiman terlepas dari pelukan. Wanita Indonesia itu lekas membalutnya dengan kain. Dia menutup mulut bayi lelaki majikannya. Fira meneruskan perjalanan dalam hutan tebal itu. Dia mengikut gerak hati tanpa mengetahui kemana dia patut pergi. Dimana aku patut letak bayi ini? Tekak terasa kering. Fira mencari kawasan berhampiran sungai. Terpampang sawah padi tidak jauh dari situ. Terlintas perkara yang harus dia lakukan. Fira meninggalkan Aiman di bawah akar banir. Dia tergesa – gesa ke sungai kerana kehausan. Apabila kembali, Aiman tiada lagi disitu.

Mak Munah melipat sehelai kain batik. Alangkah gembiranya hidup ini dengan suami jika ada zuriat sendiri. Bagaikan baru kelmarin mendukung Zali. Kenapa begitu perih menerima kenyataan ini? Aku dan suami membesarkan Zali. Hanya bukan kami darah dagingnya. Mak Munah mencabut rumput. Daun luruh melindungi batas dikutip. Beberapa ekor beluncas asyik memakan daun. Dia mengoncang anak pokok rambutan. Serangga hijau bertimbun jatuh ke tanah. Peluh membasahi dahi. Panas terik. Mak Munah menggembur tanah dengan serampang tangan. Pak Usop mencantas dahan kayu rimbun. Ranting kayu kecil dikumpul untuk menyalakan unggun api. “Bang, dengar tak?” Mak Munah rasa seram sejuk. Meremang bulu roma. “Tak ada” Pak Usop berlagak tenang. Hakikatnya, dia ingin cabut lari. Akan tetapi, isterinya ada bersama. Dia bertindak berani. Tangisan bayi bertambah kuat. Mak Munah pucat lesi.

Suib leka. Semalaman dia menyiapkan lukisan terakhir. Diwarnakan cermat agar tampak sempurna. Tiada cacat cela bahkan bekas pemadam. Zali pasti tercengang dan menolak hakikat. Sepertimana diatur. Ia lengkap. Paparan melalui lukisan hanya menceritakan sebahagian. Niat dia baik. Dia mahu Zali mendalami kisah ibu kandung walaupun cuma sikit diketahui. Suib menolak khabar angin tentang Munira membunuh suami dan anak sendiri. Keluarganya enggan membuka mulut. Bila dia lalu deretan kedai, ada kata – kata pedas singgah di telinga. Ada pembunuhan berlaku di banglo putih. Mereka bersengkokol sesama sendiri. Suib menutup telinga. Dia tahu segalanya angkara Fira. Dia ingin melapor. Namun, memerlukan bukti yang kukuh. Hanya dia saksi kejadian. Bertahun Suib berdiam diri. Langkah bijak harus diambil kira. Bagai nila setitik, rosak susu sebelanga. Demi maruah diri dan majikan, Suib hampir ke tahap itu. Dia memerhati gerak – geri seseorang dari komputer riba miliknya.

Zali duduk di birai katil. Ikatan reben dileraikan. Dia menggunting pembalut kertas. “Lukisan…” Sepucuk sampul surat menarik perhatian. Jumpa di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada sabtu, 10 pagi. Zali sukar melelapkan mata. “Lukisan dan sampul surat…” Dia runsing. Apa yang bakal terjadi esok? Dia kena tabah dan bersedia. Bunyi cengkerik memecahkan kesunyian malam. Zali memusingkan badan. Dia menatap sebuah potret agak lama. Pandangannya semakin kabur. “Mak…” Zali meracau. Dia bermimpi akan seorang wanita mirip Munira. Wanita itu ingin memeluknya tapi dihalang oleh orang lain. Seorang wanita yang tidak dikenali mengenakan jubah hitam menakutan Zali. “Mak….” Zali terdengar bunyi dentuman. Aneh. Kenapa sejuk sangat ni? Tadi empuk tilam aku. Rasa sakit di bahagian belakang. Seolah – olah ada benda mencucuk. Mata Zali kuyu. Dia menyambung tidur semula.

Ke hulu, ke hilir. Fira memandang jam tangan. Dia gelisah. “Mana mereka? Belum sampai lagi” Dia mula naik angin. Aku tak ingin kali ini gagal. Fira menekan punat panggilan. “Kau dekat mana? Aku dah lama tunggu. Cepat sikit!” Fira mendengus. Mereka akan mengambil sampel darah tak lama lagi. Aku kena fikirkan sesuatu. Sebuah teksi berhenti di hadapannya. Fira terpandang susuk tubuh yang amat dikenali. Dia lalu berpaling ke arah lain. Zali membawa bakul berisi buah dan sayur. Bawa ini sekali, nak. Beri kepada orang itu. Terngiang – ngiang suara mak Munah. Langkah Zali terhenti. Tiga orang lelaki mendekatinya. Mereka berbadan tegap berbanding dirinya. Zali berasa pening. Dia dipandu laju. Bunyi siren kedengaran mengikuti van hitam itu.

Penglihatannya kabur. Aku dekat mana sekarang? Sayup suara memanggil nama Zali. Anggota badan berasa lenguh. Mata perlahan dibuka. “Nak..” Wanita itu teresak – esak. Aku seakan kenal wanita ini. Tapi,… Zali kurang yakin. Dia mencari mak Munah dan pak Usop. “Zali…” Mereka senyum. Mata mak Munah merah. Raju dan rakannya juga disitu. Mereka tunduk malu. Pintu terkuak. Seorang lelaki melangkah masuk. “Puan, ini keputusan sampel darah” Dia lalu menyerahkannya. Riak muka Munira berubah. Satu anggukan ditunjukkan. “Zali, sudah tiba masanya saya mendedahkan disebalik lukisan saya” Akhirnya, aku berjaya membuktikan kebenaran. Keluargaku pasti gempar. Suib menceritakan kejadian sebenar. Zali terkesima. Baru aku tahu siapa ibu kandung aku. Dia berpaling ke sebelah. “Maafkan ibu, Aiman” Munira pantas memeluk Zali. Dia tidak mampu menahan emosi. “Betapa rindunya ibu selama ini” Akhirnya, aku dapat bertemu anak aku. Munira bersyukur.

Pak Usop dan mak Munah terharu. “Terima kasih, kak Munah dan abang Usop sebab besarkan Zali. Saya takkan lupa jasa baik awak berdua” Munira enggan melepaskan pelukan. Raju menghampirinya mereka. Dia ingin bersuara. “Ma..maafkan saya, Zali. Saya bersalah terhadap awak” Dia tergagap – gagap. Zali menekup mulut. “Saya maafkan awak. Tapi, awak kena jawab soalan saya” Zali sengih. Raju lantas memalingkan wajah pada Faizul. Yang lain tidak berani mendongak. “Bagaimana awak boleh tahu saya disini?” Zali hairan. Raju menunjuk pada sebuah televisyen di sudut wad pesakit. “Ini kali kedua tajuk dan isi berita disiarkan” Mereka semua ketawa. Mata Zali bulat. “Datuk Munira kini menemui anak lelakinya selepas sembilan tahun. Pembantu Indonesia, Fira, antara dalang kes kemalangan Fadli dan penculikan Aiman telah diberkas bersama tiga orang lelaki upahan warga Filipina berdekatan Hospital Umum Sarawak pagi tadi” Wartawan itu menyebut isi utama dengan lancar. Zali sedih. Bapa kandungnya tiada disisi. Bahunya disentuh. “Jangan bimbang, Zali. Kami masih ada” Pak Usop memberi sokongan.

Suib mempamerkan lukisan terakhir. Potret Munira dan Zali. Setiap lukisan menggambarkan sesuatu peristiwa atau sebuah mesej yang ingin disampaikan oleh pelukisnya. Potret dilukis dari naluri hati suka dan duka serta melambangkan keikhlasan dan kelembutan hati. Ringkasnya, ada makna tersendiri walaupun pendapat berbeza. Ia bukan lukisan semata – mata. Ia adalah anugerah. Inilah ertinya sebuah kehidupan. Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Aku bukan sesiapa. Aku hanya insan biasa. Zali menikmati tiupan bayu laut petang itu. Aku berupaya memulakan kehidupan baru dengan ibu kandung. Tidak ketinggalan mak Munah dan pak Usop. Zali senang hati kerana makna tersirat anugerah lukisan terungkai jua.

 

 

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Cinta

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • Tiada komen lagi.

Cerpen-cerpen lain nukilan Vimaisa

Read all stories by Vimaisa
No stories.