sebelum :: keratan keempat
ELAKKAN!!
Langkahan aku jadi lebih perlahan. Apa lagi kali ni. Budak berek tu selang dua katil je sebelah aku. Entah ape yang dia nak buat. Si hitam tersenyum, seakan-akan aku yang terkena kali ni. Kecewa. Cepat-cepat aku berundur. Man yang masih tak jauh sedikit menjeling. Biarkan. Geram. Memang si hitam nak balas dendam. Aku tau, dia masih marah tentang hal aku dengan si putih.
Baru beberapa tapak aku melangkah, sayup-sayup suara nama aku dijerit. Buat malu betul. Tak payah lah melaung macam tarzan kat tengah-tengah ni. Aku tau, ni mesti suara budak berek tu.
“Woi, tak kan merajuk!” biarkan. Memang aku merajuk. Kenapa? Ada masalah? Suka hati aku lah nak merajuk ke nak jalan ke..
Aku melangkah terus ke pintu pagar berek Wira. Sekali lagi nama aku dijerit. Tapi bukan suara lelaki, suara ni aku kenal amat. Elakkan. Kaki aku terberhenti dengan sendiri. Leher aku pula sedikit miang kerana memutarkan kepala ke tepi. Lantas mata aku terbeliak. ELAKKAN. Geng Bikin Panas! Yang terjerit-jerit nama aku macam tarzan betina tu, mesti suara yang paling besar tu. Sudahlah bulat, buntal pulak tu. Aku paling ke belakang, si hitam dengan budak tadi masih memandang ke sini. Hati aku tersenyum. Terasa macam rambut ni tumbuh berbentuk tanduk. Juga gigi tarik aku memanjang dengan laju. Mari bermain tarik tali. Mari bermain yo-yo.
Aku tukar arah langkahan, ke kiri. Ke arah geng bikin panas. Sedikit bersemangat, dengan senyuman bersinar-sinar. Juga disambut dengan senyuman yang bersilau-silau dari mereka. Yang tengah, sedang duduk atas kerusi plastik, belakang gerai kuih, yang itu yang paling silau. Tersengih macam kerang hanyir. Muka je putih. Langkahan ku makin menghampiri umat-umat nan lima orang. Bila betul-betul hampir. Salah seorang dari mereka bangun, umpama beri aku kerusi untuk duduk sebelah si putih kerang hanyir.
“Abang, kita sama kumpulan..” aku berhenti. Betul-betul di hadapan si putih. “Nanti kita boleh sama-sama lagi.” terasa macam nak cari toilet sekarang. Esok mesti MC muntah-muntah.
“Ha? Ape? kumpulan ape ni?”
“Kumpulan KK. Kan mula esok. Tak tengok senarai kumpulan lagi?” muka si putih sedikit mencemek. “Kita satu kumpulan.” Dia menolak kerusi di sebelahnya sedikit ke hadapan. Seakan-akan mahu aku duduk di kerusi lembik itu.
“Ouh, dah, kita sama kumpulan eh. Tak perasan pulak. Aku tengok nama orang yang aku perasan je.” Tangan aku memegang kerusi, menariknya ke arah ku. Kepala aku menoleh ke arah si hitam. Aku kira, dia tak perasan si putih yang sedang berborak dengan aku. Si putih terlindung di sebalik dinding kantin.
“Tengok ape? Orang cakap dengan dia. Duduklah kat kerusi tu. Kan dah lama kita tak borak-borak.” Aku tak perasan air muka si putih. Sebab masih tengok gelagat si hitam. Si hitam sekali-sekali menoleh ke arah ku. Tapi budak tadi masih tak berganjak.
“Tengok budak group kita.” perlahan aku jawab.
“Sape?” si putih berdiri, juga ingin memandang ke arah yang sama.
“Akak ipar angkat kau.” Si putih memandang tepat ke muka ku. Aku tenung tepat ke matanya. Jangan cair. Jangan cair. Jangan cair. “Aku perasan nama dia je tadi.” Mata itu mengingatkan aku Shelly. Benci. Maaf adik, aku tak mampu nak sayang kau sebab dia. Lagipun, aku tak boleh lupakan si hitam.
Aku menolak kerusi tadi ke dinding. Dengan sedikit senyuman, aku tinggalkan mereka dan terus ke kedai runcit. Cincau. Si hitam suka benar dengan cincau Yeos. Waktu kami sekelas dulu, adalah sekali dua dia belanja aku cincau. Waktu CB, cuaca amat panas, selalu juga aku melihat cincau dalam tangannya yang kecil itu.
Mahu beli dua tin. Tapi duit aku terkurang 50sen. Terpaksa beli satu. Sudahlah bahang malam ni. Sebahang hati aku. Cepat-cepat aku ambil air tin, juga menyambar dua batang straw. Biru. mungkin sebab aku tak suka tengok straw yang bewarna pink. Abaikan. Kali ni aku terus ke arah si hitam. Sempat juga aku beri senyuman sinis untuk kerang hanyir.
Cincau
Langkahan ku sedikit laju, tapi masih buat lagak tiada apa-apa yang berlaku. Belum aku sampai, budak berek tadi awal-awal dah angkat kaki.
“Uik, ko cakap pe ngan minah ni?”
“Aku cakap kau mimpi dia tiap-tiap malam..” ni lagi sorang senget. Sudahlah lah cakap kuat-kuat.
“Pala kau,”
“Siap mimpi basah lagi.” Betul-betul senget mamat ni. Karang aku terbalikkan je kang.
“Bangang ek..” kami tergelak. Budak itu berlalu. Cepat aku menoleh ke arah si hitam. Juga mengangkat tin cincau tadi.
Si hitam statik, wajahnya normal. Tak tersenyum, juga tak menyambut tin cincau. Aku hulurkan terus cincau ke tangannya, bersama isyarat mata. Dia geleng. Terus aku tujukan telunjuk ke tong sampah. Si hitam angkat bahu. Aku berpaling, terus ke tong sampah.
“Wan,” lembut suara si hitam memanggil suara aku.
Nasib baik cepat. Kalau tak melayang seringgit setengah beli cincau ni. Aku menoleh. Mengangkat tin cincau tu. Pantas dia hulurkan tangan. Aku bagi dengan plastik-plastik sekali. Satu plastik, cincau, dan juga dua batang straw biru. Ada juga baki lima puluh sen tadi.
“Ada apa panggil aku?” si hitam cuba menarik pin pembuka lubang tin. Tapi macam tak menjadi.
“Tadi tu kenapa? Dia jumpa kau buat ape?” si hitam memandang wajahku. Aku ambil tin tadi dari tangannya. Dia menahan. Jemari kami bersentuhan. “Meh lah aku bukak.” Dia pandang tepat mata ku. Aku senyum dan terus ambil tin tadi.
“Soalan aku, kau tak jawab lagi.”
“Jawab soalan aku dulu.” Susah juga nak bukak pin ni. Cover-cover. Si hitam tersenyum.
“Aku tanya dulu.”
“Aku yang nak jumpa kau, kenapa kau jumpa dia dulu?” aku lap permukaan tin yang dah mula ada air terkondensasi.
“Kau yang tak datang kan.” Kami terdiam.. “Tu boleh ke tak tu?” muncungnya terus ke tanganku yang masih terkial-kial.
“Aku pegi beli air tok kau. Kau kan suka cincau.” mata si hitam terbuka luas. Terus ke arah mata ku. Terus jantung ku bagai terkena renjatan. Dek renjatan itu, terus aku berjaya menyentap pembuka tin tadi. Kenapalah Yeos buat pembuka tin yang susah nak buka.
“Mana kau tahu?” aku hulurkan tin tadi kepada si hitam. Sempat aku masukkan straw. “Mana kat tahu aku minum pakai straw? Dan aku suka warna biru?”
“Six sense.” Kalau cincau tu memang dah selalu nampak. Straw tu dah memanglah kau tu perempuan tak kan nak menggogok. Tapi, tak tau pulak aku kau suka warna biru.
“Ouh, kalau six sense mesti kau tau ape yang dia cakap dengan aku td kan.”
“Aku punya six sense untuk kau je,” dia hulurkan tin tadi kepada aku balik.
“Minum, malam ni kan panas,” aku angkat straw tadi, ye lah, tak kan nak kongsi bibir kot. “Tak payah tukar, cam ah kotor sangat mulut aku.” Aish, bukan kotor lah. Tak pelah, dah bagi line, cepat-cepat aku minum. Manis, lagi manis dari biasa. Kan aku dah penah kata. Si hitam ni manis. Baru kongsi straw pun dah manis.
“So?”..dia angkat kening ke arah ku. “So, kenapa dia jumpa kau?”
“Pasal awek dia ah. Awek dia kan budak sebelah bilik aku. Awek dia buat mogok.” Pergh.. nasib baik betul ape yang fikir tadi. “Juga dia suruh aku jaga kau elok-elok.”
“Erk..” merah muka aku. Siot punya budak. Tak payah lah cakap macam tu.
“Kenapa ajak aku datang sini?”
“Nak borak pun tak boleh? Kenapa? Kau nak mogok jugak?” dia tersenyum. Manis. Macam air cincau tu. Sama hitam sama manis.
“Kau jeles dengan dia eh…” muka aku merah lagi. “Aku nampak kau dah jalan pegi sini. Aku tak sangka juga dia datang tiba-tiba. Aku cakap kat dia aku nak jumpa kau. Tapi tiba-tiba je kau dah pusing. Ngajuk ke?”
“Kan aku kata, aku pegi beli cincau.”
“Kita bukan ada apa-apa agi pun kan. Tak payah lah ngajuk-ngajuk ni.”
“Kau nak main tarik tali balik? Aku dah tak nak main. Tapi buat pe aku tarik, kalau tak dapat. Buat pe pancing kalau ikan tak makan.”
“Sape ikan? Kalau umpan tak nampak, ikan paus pun xmahu tau.” Aku terdiam. Memang salah aku, tak pernah terus-terang. “Dah nak abes dah eh PKN. Kumpulan mana KK?”
“Kau tak tengok lagi?” si hitam menggeleng. “Kita satu group.” Mata dia sekali lagi menjadi besar. Juga bibirnya menguntum, sampai jelas nampak susunan giginya. “Nape kau excited ni?” cepat je tangannya menutup mulut.
“Nothing. Eh, bukan ada taklimat pasal esok?” tukar topik ah tu. “Jom ah, kita kan satu kumpulan.” Si hitam hulur kembali cincau. kami berjalan bersama malam itu. Terus ke dewan. Walau tempat duduk dipecahkan kepada Wira dan Wirawati, mata aku tak lekang dari wajah si hitam. Langsung tak kedengaran apa yang dibebelkan kat hadapan. Aku hanya dengar, hati aku meronta-ronta untuk berterus-terang dengan dia. Gila.
Pantai
21 Februari 2005. Isnin. Matahari sedikit beri kami ruang untuk keluar. Awal-awal pagi, jam 8 kami sudah berkumpul dalam kumpulan. Kemudian, naik bas dan menuju ke tempat yang telah ditetapkan. Setiap kumpulan ada tugasan dan tempat yang berbeza. Cuma mungkin ada tempat-tempat yang memerlukan dua atau tiga kumpulan kerana kawasan yang luas, atau tugasan yang berat.
Mula-mula ingatkan tugasan seperti dalam televisyen. Melawat rumah orang tua, rumah anak yatim, atau jadi sukarelawan. Tugasan kami hari ini, seakan-akan sukarelawan, tapi sukarelawan untuk membersihkan pantai.
Sekitar PD ni, ada banyak pantai. Selain pantai yang terkenal, kurang terkenal, sedang terkenal, ada banyak lagi yang tersembunyi. Macam pantai yang akan kami pergi kali ini. Pemandu bas pun tak tahu jalan masuk ke pantai tersebut. Sampaikan kami terlewat sejam lebih dari jadual asal.
Turun-turun sahaja, sudah dapat cangkul, pengaut sampah, penyapu. Terasa bagai pekerja Majlis Bandaran. Baru mahu tersebut, betul-betul lori Majlis Bandaran datang. Mari bekerja bersama-sama pak cik-pak cik. Mari bekerja bersama-sama Amirah. Ya, Amirah, tapi ada dua Amirah.
Bila kami dipecah-pecahkan mengikut kawasan kecil, aku tak berjaya mengesan si hitam. Sekejap sahaja hilang dari pandangan. Sekali lagi, bila si hitam tiada, mesti si putih yang aku nampak. Mereka ni buat jadual agaknya untuk berjumpa dengan aku. Ada shift mungkin. Aku tersenyum.
Pantai yang tak berapa cantik, pasir yang tak memutih, ombak yang tidak berdesir, buat kami cepat bosan. Baru dua jam kami dah terduduk. Aku risaukan si hitam, mudah sangat pening kalau cuaca begini panas. Tapi, lagi teruk si putih, kadang-kadang sampai perlu di kantar ke klinik.
Selepas kudapan, kami teruskan kerja-kerja Majlis Bandaran. Aku sedikit malas, puas mencari si hitam, tak juga jumpa. Sebabkan kemalasan, aku duduk bawah pokok. Buat-buat minum air. Baru sahaja lima minit, datang si putih dengan dua orang geng bikin panas (ahli geng selebihnya dalam kumpulan yang lain). Tapi bukan ke arah ku, mereka duduk bawah wakaf yang aku rasa, kene tendang sekali sahaja dah senget sebelah agaknya. Aku habiskan sisa air dalam botol mineral tadi. Terus bangun dan menuju ke sebelah kiri pantai. Hanya di sana sahaja aku belum cuba untuk mencari si hitam.
Botol tadi aku buang ke dalam plastik sampah. Aku ambil satu pengaut dan plastik kosong, lantas meninggalkan tempat tadi. Tiba-tiba aku dengar bunyi macam kelapa jatuh. Juga mungkin bagai nangka jatuh. Aku tak menoleh, dalam fikiran aku mungkin wakaf tadi betul-betul dah senget sebelah dek si buntal tuh terlanggar tiang reput itu. Aku teruskan langkahan.
Seorang budak berlari ke wakaf tadi. “Ada budak pengsan.”
Aku menoleh. Baru sebentar aku dengar bunyi tadi, dah ramai kerumun. Tak kelihatan siapa yang pengsan. Biarkan? Nanti orang kata macam-macam pulak. Tapi, macam tak ada apa-apa yang mampu aku tolong. Abaikan. Terus aku berjalan mencari si hitam. Ketika langkahan ku baru bermula, ada tangan memegang bahuku. Terus terpusing badan yang kecil ini.
“Wan, adik kau pengsan.”
Aku buat-buat muka terkejut. Padahal dalam hati memang aku dah agak dah dia yang jatuh. Dah tahu sakit, buat kerja macam orang sihat. Dah tu dia pengsan, ape kaitan dengan aku.
“Ko tak nak tengok ke,” budak geng bikin panas tadi teruskan menyoal. Aku terasa bagai mahu angguk, tapi bila aku menoleh ke kiri pantai, aku nampak bayang si hitam, nun jauh lebih seratus meter di sana. Tempat yang aku mahu pergi tadi. Si hitam bagai mahu beralih tempat dengan kumpulannya. Mereka tak tahu tentang budak pengsan ni mungkin.
Si bikin panas itu masih memegang bahu aku, berat pula tangannya. Pantas aku bagi isyarat mata ke tangannya. Dia turunkan tangan, tapi buat isyarat ke wakaf. Pening.
~~~~kemana aku? menyusul :: keratan keenam
|