Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Majo dan Wang-Wangnya

 

Sepuluh tahun lalu, dalam sebuah negeri di nusantara ini, terdapat sebuah lembah yang sangat elok rupa parasnya. Lembah itu disembunyikan oleh dua gunung yang sangat tinggi. Tingginya gunung-gunung itu sehinggakan tidak pernah ternampak puncaknya. Walaupun gunung-gunung itu menyebabkan lembah di bawahnya sering sahaja dipinggirkan Sang Mentari, tetapi kerana mereka jugalah lembah itu sangat nyaman dan indah. Lebih-lebih lagi, lembah itu dipenuhi dengan tasek-tasek kecil yang sangat jernih airnya. Bila sahaja tiba senja, binatang-binatang dari segenap ruang lembah itu akan datang menjamu dahaga di tasek-tasek itu.

    Sesungguhnya di lembah itu, terdapat dua puak yang membentuk dua kampung. Satu puak Ake dan satu lagi puak Mito. Puak Ake berkampung di tasek yang paling tengah sekali di lembah itu manakala puak Mito pula adalah puak yang nomad, mereka kerap berpindah-randah dari satu tasek ke tasek yang lain. Puak Mito sebenarnya menyimpan rahsia. Mereka sebenarnya sangat cemburu dengan puak Ake kerana entah kenapa, puak Ake sangat cerdik licik menjaga tasek mereka sehinggakan tasek itu langsung tidak terusik kesuciannya. Pada waktu senja, binatang-binatang liar masih lagi berani menjamah air tasek puak Ake. Kerana itulah mereka tidak perlu berpindah-pindah padahal puak Mito pula, bila sahaja tasek mereka sudah habis digunakan, tasek itu akan menjadi hitam likat dan tak dapat digunakan lagi. Mereka semua pun terpaksa berkampung di tasek lain pula. Bukan tidak pernah orang-orang puak Mito bertanya pada orang-orang puak Ake tetapi jawapan yang mereka dapat hanyalah diam. Oleh kerana sikap-sikap perahsia itu, wujud ketegangan yang lutsinar antara kedua-dua puak ini.

    Puak Ake pula bukanlah sengaja mahu berahsia. Sebenarnya cerdik licik mereka menjaga tasek itu hanyalah satu keterlanjuran daripada satu tabiat buruk mereka. Tak mungkinlah mereka mahu menceritakan tabiat buruk pada orang lain, bukan. Mereka sebenarnya adalah segolongan manusia yang sangat tidak suka membersihkan tubuh diri atau secara ringkasnya dipanggil mandi. Oleh kerana sebab ini sahaja lah tasek mereka tidak pernah tercemar. Kerana jarang-jarang sekali tasek itu digunakan. Tak tahulah siapa yang mengasaskan budaya tidak mahu mandi di dalam puak ini tetapi sehingga ke hari itu tradisi itu diperkekalkan. Mereka masih tidak mahu mandi. Sampaikan jadi satu pertandingan pula siapa yang lagi kotor atau siapa yang lagi busuk. Bagi budak-budak kecil pula, sengaja mereka berguling-guling dalam tanah selut atau bermain debu dengan tujuan mahu mengotorkan lagi diri. Tetapi panjang juga akal orang-orang puak Ake ini kerana tiada seorang pun dari puak Mito yang mengetahui rahsia itu. Kalau sesekali mereka terserempak sesama sendiri, orang puak Ake akan cuba mengelak dengan bersembunyi atau lari jauh-jauh. Kerana itulah ketegangan lutsinar antara kedua-dua pihak ini jadi semakin kukuh.

    Dalam kampung puak Ake, terdapat seorang budak lelaki belasan tahun yang dipanggil Majo. Majo ini dikatakan sebagai lelaki muda paling hebat dalam kampung itu kerana busuknya dia sangat terlampau sekali. Entahlah rempah ratus apa yang disapukan di badannya sewaktu dalam pembedungan sehinggakan bau-bauan itu seperti tidak mahu hilang. Sesiapa yang berjalan di sebelahnya pasti perlu memberikan sepenuh tenaga untuk mengelak dari pengsan. Jadi mainan hiburan untuk kanak-kanak, siapa yang paling lama bertahan berada di sekitar Majo tanpa pengsan atau muntah-muntah. Ada yang mengatakan Majo ini memang tidak pernah mandi sejak lahir. Padahal orang-orang lain pun biar tak suka mandi, mereka masih pernah mandi sekurang-kurangnya sekali. Ibu bapa Majo tidak pernah mahu memberitahu hal yang sebenar, mereka hanya suka tersenyum bangga setiap kali hal anak mereka dibicarakan.

    Arakian, pada tahun cerita ini dikisahkan, umur Majo telah pun mencecah lapan belas tahun. Umur yang pada puak Ake,  sudah akil baligh dan cukup menjadi dewasa. Dan pada satu pagi Senin, ,Majo yang telah pun memulakan hidup sebagai seorang petani, berangkat ke ladang kebunnya. Setibanya di kebun yang hanya seluas sekangkang kera itu, dia ternampak satu kelibat putih berlegar-legar di satu sudut. Dalam kesamaran pagi itu, tergagap sebentar hati Majo melihatkan kelibat putih itu. Hantu kah? Tetapi selepas diamatinya lama-lama, barulah dia sedar bahawa lembaga itu bukanlah hantu atau jembalang tetapi mesti sekali salah seorang dari golongan Wang-Wang.

    Golongan Wang-Wang adalah sebahagian daripada puak Ake juga cuma mereka ini adalah golongan yang hina dan terpinggir. Dengan tabiat mereka yang mandi sekurang-kurangnya tiga kali sehari, tentu sahaja mereka selalu dicemuh oleh orang-orang puak Ake yang lain. Mereka dituduh sebagai pencemar tasek puak Ake yang sangat berharga itu malahan dilayan seperti sampah. Layanan yang buruk menyebabkan tiada seorang pun daripada golongan Wang-Wang mempunyai mata pencarian yang tetap. Tinggallah mereka di kampung itu, mengemis dan mengharap untuk terus hidup. Walau pun kehadiran golongan Wang-Wang tidak disenangi puak Ake, mereka tidak pula dihalau keluar dari kampung tersebut. Mungkin puak Ake beranggapan bahawa rahsia mereka akan terbocor jika golongan Wang-Wang dibiar lepas bebas. Akhirnya golongan Wang-Wang seperti digantung tak bertali. Tidak dimahukan tapi tidak pula dilepaskan.

    Sesungguhnya Majo tidak pernah terjumpa atau terserempak dengan orang Wang-Wang, dia hanya mendengarkan cerita daripada ibu bapa atau kawan-kawannya. Tetapi seperti reaksi orang puak Ake yang lain, darah Majo tiba-tiba membuak-buak melihatkan orang Wang-Wang itu di dalam kebunnya. Ini sudah tidak lain tidak bukan tetapi mencuri di kebunnya. Dia terus menyusun langkah penuh hati-hati dengan hasrat untuk menangkap orang Wang-Wang itu. Sebaik sahaja Majo berjaya menyelinap masuk ke dalam kebunnya tanpa disedari, dia terus menyergah dan memeluk lembaga putih itu dari belakang. Alangkah terkejutnya Majo apabila sebaik sahaja lembaga itu menoleh ke belakang, wajah yang berdepan dengannya adalah wajah seorang wanita. Kerana begitu terkejut, pelukan Majo itu terlepas terus dan wanita Wang-Wang itu berjaya meloloskan dirinya.

    Anehnya, perempuan itu tidak pula cepat-cepat melarikan diri. Dia hanya berdiri terhoyong-hayang sambil berpaut pada pagar buluh yang mengepung kawasan kebun itu. Majo sendiri masih terkesima dan tidak bergerak dari tempatnya berdiri. Dia hanya memandang tepat mata kuyu dan wajah putih itu. Ini rupanya wajah seorang Wang-Wang. Sangat putih pucat dan bersih lagaknya. Entah kenapa darahnya yang membuak-buak sebentar tadi terus menjadi suam-suam kuku. Daripada terkesima, dia menjadi terpempan dan daripada terpempan, dia terus menjadi tertarik. Baru sahaja si Majo mahu membuka mulut memulakan bicara, tiba-tiba sahaja tubuh kurus perempuan itu terhayun ke depan dan terus jatuh tersembam ke tanah.

    Majo ternganga melihatkan perempuan itu. Dia menoleh ke kiri ke kanan, cuba mencari kalau-kalau ada golongan Wang-Wang yang lain tetapi yang ternampak hanya pokok-pokok jagung dan pokok-pokok kangkung. Dia cuba pula menguis-nguis kaki perempuan itu dengan kakinya sendiri. Tak bergerak. Satu perasaan takut tiba-tiba mencengkam ulu hati lelaki muda itu. Dia terus tunduk dan menekan pergelangan tangan kiri perempuan itu kuat-kuat, mencari nadinya. Masih ada. Majo merenung wajah perempuan itu sambil otaknya ligat berputar mencari sebab. Mungkin sekali perempuan ini terlalu lemah kerana terlalu lapar, dia pun kurang pasti. Dan tanpa berfikir lebih lanjut, dia menoleh ke kiri kanan sekali lagi, memastikan tiada orang sebelum mengangkat perempuan itu dan berlari pulang ke pondoknya.

    Nasib baik Majo yang sudah beransur dewasa itu sudah memiliki pondoknya sendiri. Kalau perempuan itu dibawa pulang ke pondok ibu bapanya, sudah tentu dia akan dimarahi. Dia meletakkan perempuan itu di atas tikar jerami di tengah pondoknya dan mula berusaha memulihkan keadaan perempuan itu. Direnjiskan air ke mukanya. Disuapkan juga sedikit air dan sedikit ubi. Selepas seharian, perempuan itu sudah boleh bangun dari pembaringan. Tetapi mereka berdua tidak pun berbicara apatah lagi berkenal-kenalan. Hanya satu soalan yang ditujukan oleh Majo dan hanya sepatah yang dijawab perempuan itu.

    "Kamu siapa?"

    "Salmah."

    Dan sejak hari itu, tinggallah Salmah bersembunyi di dalam pondok si Majo. Seperti ada perjanjian sulit di antara mereka, di siang hari Majo akan bekerja di kebunnya manakala Salmah pula akan menguruskan rumah. Di malam hari pula mereka hanya duduk berasingan, seorang di satu sudut dan seorang di sudut satu lagi, berdiam diri sambil menikmati makanan yang ada. Mulanya Majo ragu-ragu untuk menyentuh makanan yang diberikan Salmah tetapi lama kelamaan, setelah dicubanya sekali, dia terus tidak menolak lagi. Walaupun Salmah dibiarkan lepas bebas di rumahnya, tetapi awal-awal lagi Majo sudah meninggalkan pesan, "Jangan biarkan sesiapa pun melihat adanya kamu di sini!" Salmah hanya mengangguk-angguk setuju.

    Hari berganti hari, minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan. Majo telah pun terbiasa dengan kehadiran Salmah. Walau pun mereka masih lagi tidak berbicara sesama sendiri, tetapi mereka masih setia duduk di sudut masing-masing sambil menjamu selera. Sampai satu ketika, tiba-tiba Majo seperti teringin benar untuk mendapat tahu mengapa makanan-makanan yang dijamu Salmah jauh lebih enak daripada yang biasa dimakannya sebelum itu. Maka pada satu petang, dia bertekad pulang lebih awal dari kebunnya. Dan tiba sahaja di perkarangan pondoknya, Majo terus  meletakkan perkakas perkebunannya dan melangkah berhati-hati ke halaman belakang. Dia bersembunyi di sebalik serumpunan lalang dan memerhatikan Salmah yang sedang sibuk di dapur. Setelah lebih tiga puluh minit duduk bercangkung di situ, barulah Majo tahu kenapa makanan yang disogok Salmah lain benar rasanya.   

    Apabila Majo faham sahaja akan apa lainnya makanan-makanan dari Salmah, amarahnya terus melimpah-limpah keluar dan membakar hatinya. Tanpa peduli, dia terus melompat keluar daripada persembunyian dan menerpa ke arah dapur. Salmah yang terkejut melihatkan Majo tiba-tiba muncul dari serumpunan lalang bertambah menggigil bila lelaki itu menyergahnya dengan mata merah menyala.

    "Apa yang kamu lakukan?" tempelak Majo hebat sehingga bergegar pondok kecil itu.

    "M.. ma.. masak."

    "Apa itu masak? Tipu. Kamu tipu. Kamu buang-buang air yang berharga itu."

    "Ti.. tidak. Ini betul masak. Kita harus bersihkan makanan-makanan ini dan menjerangnya, baru boleh dijamu. Kalau tidak nanti tidak elok, tidak enak," Salmah bersungguh-sungguh cuba menjelaskan dalam kecut perutnya menghadap lelaki itu. Tanpa tertahan-tahan, air matanya jatuh ke pipi. Dalam esakan itu, sempat juga dia ternampak Majo mengangkat tangan.

    Dan Salmah hanya memejamkan mata, redha kalau lelaki gagah perkasa itu mahu menamparnya sekuat hati. Tetapi tapak tangan yang besar dan kasar itu hanya menyentuh lembut pipinya dan menyeka air mata yang ada. Salmah masih menutup mata,  terkejut dan tidak percaya. Dia tidak berani membuka mata, takut menolak tuah. Sebentar kemudian dia merasakan lagi tapak tangan itu, kali ini lembut memegang bahunya dan serentak dengan itu dahinya dikucup. Jantung Salmah terus berhenti. Sebaik sahaja dia membuka mata, kelibat Majo telah pun berlalu ke halaman depan.

    Malam itu mereka tidak lagi makan di sudut masing-masing tetapi di sudut yang sama. Masih diam seperti biasa tetapi di sudut yang sama.

    Keesokan harinya, Majo tidak jadi pergi berkebun. Dia membuat keputusan sebelum terlena malam sebelum itu, sambil menatap wajah Salmah yang putih bersih dijilat cahaya bulan sepuas-puasnya. Separuh hatinya hanya mahu dekat dengan si Salmah dan separuh hatinya lagi takut kalau-kalau perempuan itu lari semasa ketiadaannya. Salmah pula tidak mempersoalkan keputusan itu. Tidak berani atau tidak kisah, tiada siapa yang tahu. Dia hanya melakukan kerjanya seharian seperti biasa. Apabila matahari makin rembang di atas kepala, Salmah bersiap-siap berkemban untuk turun ke tanah, membersihkan dirinya. Tetapi sebaik sahaja kakinya melangkah bendul pintu pondok itu, dia terhenti sebentar memandang Majo yang sedang duduk bersidai di atas pangkin. Mata lelaki itu melihat dirinya dari atas ke bawah dengan penuh tanda tanya. Pipi si Salmah tiba-tiba merona merah sendiri.

    "Ke mana kamu?"

    "M..mandi," tergagap Salmah menjawab soalan itu. Keganjalan babak itu seperti sangat terasa. Perbezaan antara mereka yang tidak pernah dibicarakan muncul sendiri.

    "Boleh aku ikut?" tanya Majo pula. Salmah sangat hairan mendengar ungkapan itu tetapi dia hanya mengangguk dan menyusun langkah menuju tasek yang hanya sepuluh ela dari belakang pondok itu. Majo menyelinap menurutinya dari belakang.

     Setibanya di tasek yang langsung tenang itu, Salmah terus memulakan upacara permandiannya dan Majo hanya memerhatikan dari belakang. Acara itu terus berlansungan sehinggalah lima belas minit kemudian, apabila Salmah selesai bermandian. Dalam kekhusyukannya membersihkan diri, dia seperti terlupa pula Majo ada di situ. Oleh itu, apabila dia berpusing ke belakang dan mendapati lelaki itu masih memerhatikannya, dia sedikit terperanjat dan hampir-hampir sahaja terpelanting jatuh semula ke dalam tasek itu. Nasib baik sahaja Majo sempat mencapai tangan kanan Salmah dan memegangnya kemas supaya perempuan itu sempat mengimbangkan badannya semula. Sekali lagi pipi Salmah memerah sendiri apabila tangan Majo kini elok merangkul pinggangnya supaya dia tidak jatuh-jatuh lagi.

    "Kamu tak mahu mandi?" soal Salmah tiba-tiba dalam kekalutannya menahan malu itu. Majo hanya membalas persoalan itu dengan wajah yang penuh tanda tanya.

    "Maksud saya kamu tak pernah mandi?" soal Salmah lagi cuba menutup keanehan soalan pertamanya. Kali ini Majo pula yang tertunduk malu sebelum menggeleng-geleng sedikit. Melihatkan perlakuan lelaki itu Salmah berasa sedikit terhibur dan tersentuh. Entah bagaimana dia tiba-tiba menjadi berani sedikit dan menuntun tangan Majo membawanya turun ke tasek. Majo pula hanya menurut, seperti anak-anak kecil. Dia terlupa tentang segalanya dan hanya menghiraukan tangan kecil yang menuntunnya.

    Sebaik sahaja kaki mereka tenggelam di dalam tasek itu sehingga ke paras pinggang, Salmah menceduk sedikit air tasek yang jernih dan sejuk itu lalu mengusapkannya ke ubun-ubun Majo. Air itu dibiarkan mengalir menyentuh wajah Majo. Majo hanya menutup mata membiarkan kesejukan air itu meresap ke dalam kulitnya. Seumur hidupnya, dia tidak pernah merasakan perasaan yang sebegini. Dia pun keliru, adakah perasaan itu datang disebabkan kehadiran Salmah yang sudah selalu benar mentewaskan hati lelakinya atau pun kerana kesegaran air yang menyentuh setiap inci kulitnya ketika itu. Tanpa disuruh, Salmah terus-terusan meratakan air ke seluruh badan Majo. Digosok-gosoknya supaya bekas-bekas kotoran di situ hilang semuanya. Majo pula masih terawang-awang seperti di sorga lagaknya. Masih lagi tenggelam dalam anugerah Tuhan yang baru dikenalinya itu.

    Setelah beberapa minit hanyut dalam kenikmatan, Majo membuka matanya. Dia menarik kedua-dua tangan Salmah dan mengucupnya lembut. Dia pun tidak tahu kenapa. Mungkin kerana hijab yang dibuka perempuan itu sehingga hilang kenaifannya. Mungkin kerana kasih sayang yang selalu ditunjukkan perempuan itu menjaga dirinya. Atau mungkin saja kerana perempuan itu masih lagi setia di sini, di sisinya. Salmah merenung mata lelaki itu dalam-dalam dan tersenyum, tanda merelakan. Majo merapatkan lagi dirinya pada Salmah dan merangkul pinggang kecil perempuan itu. Belum pun dia bertindak lebih jauh, ada satu suara keras mengherdik mereka dari belakang, memanggil namanya, "Majo!"

    Majo mengalihkan pandangannya cepat-cepat dan tersentak melihatkan tebing tasek di belakang mereka itu. Sekumpulan manusia telah pun duduk berbaris di tebing itu, ada yang membawa parang, ada yang membawa tombak. Dan di depan kumpulan itu berdiri ayahnya mencekak pinggang, ibunya yang sedang menangis teresak-esak di bahu seorang jiran dan ketua kampung yang menggeleng-gelengkan kepala. Ketua kampung yang dipanggil Mopiko itu membuka mulut dan menjerit lagi, "Ke mari kau!!"

    Dengan langkah berat, Majo memimpin tangan Salmah dan melangkah menuju ke tebing tasek itu. Belum pun dia betul-betul berada di depan kumpulan itu, ayahnya pula mengherdik, "Apa yang kau buat ini?" Mopiko si ketua kampung yang masih lagi berdiri di sebelah ayahnya menepuk-nepuk bahu orang tua itu, menyuruh sabar. Dia membuka mulut mengarahkan yang lain supaya diam dan memulakan bicaranya.

    "Majo anak Belang. Kamu kini dibicarakan dalam tribunal Ake diketuai oleh aku, Mopiko, dan disertai empat puluh orang yang lain. Beritahu kami apa yang kau lakukan di situ," katanya sambil memuncungkan bibir ke arah tempat Majo berendam sebentar tadi. Baru sahaja Majo mahu membuka mulut, tiba-tiba katanya dipotong oleh ibunya yang masih lagi teresak-esak, "Kenapa kamu mandi, anak? Sedangkan kami berusaha membesarkan kamu supaya tidak mandi."

    Mendengarkan kata-kata ibunya itu, Majo naik berang, "Kenapa aku tidak dibenarkan mandi sedangkan orang lain boleh?"

    "Kerana kau istimewa. Kau pahlawan,"  ayahnya meningkah.

    "Kamu semua gelar aku pahlawan kerana aku tidak mandi padahal aku hanya pekebun. Ewah!"

    Mopiko yang hanya melihat pertengkaran anak-beranak itu cepat-cepat memotong, "Kami di sini bukan untuk membicarakan tentang permandian kau. Kami di sini mahu bicarakan mengapa kau bersenggama dengan orang hina ini."

    ”Jaga sikit mulut kau ketua kampung. Ini isteri aku."

    Salmah yang dari tadi menundukkan kepala baru kini berani untuk mengangkatkan mukanya. Dia hanya merenung wajah lelaki di sebelahnya seperti hanya ada mereka berdua. Dan tangan besar dan kasar yang masih berpaut pada tangannya sendiri itu digenggam lebih kuat. Tanda setuju dan tanda terima kasih. Mopiko hanya menggeleng-gelengkan kepala sekali lagi mendengarkan pengakuan itu. Dia melepaskan keluhan yang maha berat.

    "Kalau begitu Majo, kau tidak memberikan kami ruang untuk belas kasihan," Mopiko berhenti sebentar dan memerhatikan sekeliling, meminta kepastian dan kekuatan, "Dengan ini, aku Mopiko menghukum kau dipenjarakan seumur hidup dan seumur hidup kau juga tidak dibenarkan mandi lagi."

    Mendengarkan kata-kata ketua kampung itu, ibu si Majo terus tertunduk menangis teresak-esak lebih kuat dari yang sebelumnya. Belang, bapa Majo pun ikut tertunduk, kesal dengan perlakuan anaknya tetapi tiada sebarang tanda bantahan pada hukuman yang dijatuhkan ketua kampung itu. Majo tidak memandang pada kedua orang tuanya langsung. Dia meletakkan tangannya di pinggang Salmah seperti menjaganya dari empat puluh orang di situ yang berpusu-pusu mahu menerkam mereka dan mencampakkan mereka ke dalam lubang penjara. Dan begitulah akhirannya buat Majo, pahlawan puak Ake yang tumbang kerana seorang Wang-Wang.

***

    "Tok Ketua! Tok Ketua!" jeritan pagi itu memecahkan ketenangan pagi Mopiko.

    "Ha! Kenapa Diji?"

    "Majo hilang, Tok Ketua! Si Wang-Wang yang hina itu juga hilang!"

    Sekonyong-konyong itu, datang lagi seorang orang Ake menerpa ke arah Mopiko. Dengan nafas berat dia terus sahaja bercerita, "Tok Ketua, saya nampak Majo!"

    "Kemudian? Kenapa kau tidak tangkap dia?"

    "Dia bersama dengan orang Mito. Dan mereka menjaganya. Dan mereka memandang jelik pada saya Tok Ketua! Habislah kita, Tok Ketua! "

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Fantasi

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) idea yang unik dan jarang2 terdapat di kapasitor. jalan cerita agak longgar tapi penceritaan menarik. klimaksnya tidak begitu terkesan. seperti gerald espada nukilan siberkop, karya sebegini saya suka kerana memberi variasi di dalam kapasitor :)

  • (Penulis)
    2) owh... haha.. itulah, tak terlawan dgn abg siberkop... baru tgh tulis cerita ini, dia dah pos gerald espada dah
  • 3) saya hanyalah golongan wang-wang...hina dina...saya mandi!!!! awak mesti golongan ake kan valium!!!...tp ngape cam tergantung cite...
  • 4) valium memang makhluk aneh
  • 5) valium memang makhluk aneh yang gemar menulis cerita sedemikian. fikirannya acapkali abstrakli artistik :p
  • 6) ahakz..joni msti mntk supaya jln cite dia ade bibit2 majo n wang-wang kawen~ hahahaa..

    mnarik ending dia..bgus gak majo trlepas..org Mito pon dh tau rahsie nape tasek ake berseh sgt..

    nice job valium! thumbs up!!

  • (Penulis)
    7) joni memang suka mengada :P
    dia memang jiwang!
    terima kasih syud!!
  • 8) valium makhluk aneh,then ske tulis cerita aneh..hahaha,

  • (Penulis)
    9) adoi... saya tak aneh la
    kaki dua
    tangan tiga
    telinga dua
    kan biasa je tu...
    mata je tiga
  • 10) ptt la rase ade org sebut nama dr jauh..sayup2 je bunyi...upenye si mulut murai valium ngan syud...adei....
    x baca sampai abis sbnrnye aritu...ptt la tergantung....huhu.....
  • 11) Err, byk juga kepincangan dalam penulisan yang ini. Tapi ideanya ada. Pembinaan watak ada, itu cukup baik.

    Err, tapi, err, ada yang sedikit menaikkan.
  • 12) nice! =p

Cerpen-cerpen lain nukilan valium

Read all stories by valium