Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Eksperimental

K.A.S.I.H. T.E.R.K.I.S.A.H.

Cerpen sebelumnya:
Majo dan Wang-Wangnya
Cerpen selanjutnya:
cerita dia..

Khamis, 19 Mac 1987, 9:45pm

Dekat dengan jendela, sambil mendengar desir loceng angin.            

Kasih ini membelai lembut perasaanku, bermastautin dalam istana bahagia yang indah. Segalanya bagaikan gemerlap fantasi si kecil yang punya harapan bertemu putera idaman. Akukah itu? Menyanyi riang pada tiap senggang masa, melayang angan terkenang memori sedetik yang tiada apa, namun tiba-tiba menjadi gila lalu meronta setiap rentak nafas. Kalam tak terucap, namun dapat aku mengertikan cinta ini. Tak terbatas. Gah dalam semarak senyum berbunga yang menyeri kehidupan.            

Aku kepalang riang pabila hadirmu tika ini menyah segala sengsara yang berparut dalam kenangan. Memori-memori sendu sengaja aku pisahkan dari kenyataan yang jelasnya adalah suatu lumrah kehidupan. Aku mahu sorokkan segala firasat yang mungkin terjangkau, agar tiap lafaz yang bakal terucap tak bisa menggoyahkan rasa percayaku pada tulus perasaan. Bukannya boneka perasaanku ini untuk sekadar bersandarkan tipu daya kiasan cinta. Rela aku menagih basah cintamu sejuta tahun lagi, namun pasrahkah aku nanti bilamana lafaz kasihmu cuma gurindam buat mengisi masa? Akhirnya aku juga yang terhumban dalam semak derita, dari gelita sisir gelap waktu yang berhantu.            

Aku takut sebenarnya. Takut untuk melangkah realiti yang terbentang di hadapanku. Aku bukan setabah yang diperlihat. Gagahku sekadar lakonan buat mendamai hati si ibu tua yang resah menanggung derita. Walau hanya pandangan kosong, namun aku jelas sekali dapat merasa tiap terkilan yang bertandang bilamana masa-masa silam menghantui rona-rona perjalanan hidupku.           

Siapa aku? Entahlah. Yang pasti, aku bukannya seorang anak menteri yang punya paras cantik dan molek. Aku juga bukan seorang bidadari yang turun bersama azimat buat menjadi pegangan. Aku juga bukan dewi yang bisa terbang menyanyi mengubat sepi hati yang dingin. Puteri? Ah… tidak sekali-kali. Aku cuma ada sekeping hati untuk aku perjudikan buat menjadi dagangan sepanjang hayat. Salahkah aku mencari dengan hati-hati, gerangan arjuna sanubari yang bisakan memiliki cinta ini setulus hati?            

Aku tersenyum sendiri. Jauh sudah anganku terbang melangit. Mengimpi segala detik indah yang tak bertepi. Benarlah kata pujangga, cinta melahirkan ramai pemuja-pemuja anteng, hanyut dalam detik-detik bahagia, sehingga terapung dalam mahligai sayang yang tak bertuan. Alangkah bertuahnya aku jika punya peluang selebar itu.            

Aku sekadar mengimpikan jejaka biasa yang punya kehidupan biasa. Aku bukannya Cinderella yang bisa mengharap putera hadir memberi cinta. Dongengan tidur suatu masa dulu menjadi dogengan kegemaranku, kini dengan kasar merentap impianku. Sehingga segala persepsiku tentang kehidupan ini berubah. Aku sedar tentang sesuatu. Aku tidak memerlukan sesuatu yang sempurna kerana cinta itu sendiri adalah kesempurnaan. Segalanya pasti menjadi sempurna. Tanpa cinta, ke mana harapanku untuk menyinggah buat menguji ketulusan?            

Lama aku termenung. Berbicara sendiri pada diri. Ingin aku mengeluh panjang, melewati harapan-harapan kelam. Wahai kamu sang teruna, tahukah kamu betapa peritnya rasa setiap saat mencari bulat kata, santun mutiara untuk kupersembahkan buat menjadi syair terindah di sepanjang jalan percintaan. Rasa ini suatu yang indah, namun keliruku memagar denai cinta yang mengalir ke muara kasih. Ingin sekali aku terbang tinggi melagukan irama kasih buatmu, namun aku ketar. Lemah semangatku, gemalai hasrat ku. Aku takut menjadi habuan bodoh sang pemburu buta. Sungguh malang. Siapa kamu?             

Hati ku dengan tenang menjawab, kamu bukan si pemburu. Spontan. Tapi, aku masih lagi keliru. Kamu juga seorang lelaki, ada ego dan sifat yang payah untuk dimengerti. Kamu lelaki, dengan mudah meragut kebahagiaan wanita. Apa hakmu wahai lelaki?            

Terlalu emosi aku bila membicarakan soal cinta. Mengapa? Mungkin aku masih lagi takut dengan igauan-igauan masa silam. Begitu berat rasanya perasaan ini untuk melupuskan segala kenangan-kenangan itu. Persetankan! Aku bukan sesiapa untuk menagih cinta. Mengapa perlu hati ini berdebar menceloteh perihal cinta. Walhal, aku punya sejarah hitam dalam diri. Wahai diri, sedarkan perasaan itu tentang hakikat dan realiti.             

Tapi, di mana salahku? Bukan kehendakku jadi begini. Aku teraniaya. Aku tersiksa. Andai aku mampu memadam segala ingatan, ingin aku bersihkan, biar hilang segala tulah yang bersarang. Boleh aku ubati segala perit yang mencengkam retak hati yang tercincang.            

Dahulu, ketika kecilku, aku terhambat oleh kepahitan yang kelat. Biar aku rasa sendiri. Tak perlu lagi aku ingati, andai sekadar segala memori cuma menujah dalam luka yang berbaki. Biarkan sahaja ia menjadi suatu bukti, suatu ingatan kekal untuk diri. Aku tidak punya sesiapa. Aku hanya punya diri, aku cuma percaya pada khilaf sendiri.            

Namun begitu, apa lagi yang bisa aku tagih? Untuk apa aku gurindamkan segala mimpi bahagia? Perihal apakah gunanya aku kiaskan bahasa kasih yang tak terperi? Aku menyepi. Terus sepi bertemankan memori-memori lalu yang senyap menghilang dari kalis berduri.            

Sedetik, firasatku kembali menjengah sinar tulus dari wajahmu. Hatiku berdebar lagi. Jantungku berlari lagi. Mengapa? Aku cuma diam terkesima.             

Aku pejamkan mata, lalu kisah lalu bertentang dengan semangat hidup. Segala yang berlaku bukan pintaku. Hati ini menagih kasih, sayang ini menaruh cinta. Segalanya punya harapan, namun yang termampu aku lakukan cuma senyap tanpa jawapan. Biarkan saja masa yang menentukan. Aku merelakan!   Diari biru yang usang itu ditatap. Segala yang tertulis bagai punya kisah yang tak terungkap. Bagaimana diari itu boleh berada dalam laci almarinya? Nadhirah kepelikan, namun perihal kisah yang dibaca lebih perlu diberi perhatian. Tentang kehadiran tak terduga diari itu, dibiarkan sahaja. Tentu saja si ‘penderma’ punya motif yang gila.             

Nadhirah tersentap bila tiba-tiba sahaja pintu biliknya dibuka tanpa diketuk. Terus sahaja diari yang berada di atas ribaannya terjatuh ke lantai. Terkejut kepalang dirinya bilamana Suria terjengah di muka pintu biliknya. Lalu, teriakan gembira lantang sekali memecah kesunyian yang membalut suasana ruang bilik yang kelam.   

“Suria!”             

Suria tersenyum. Tiada suara terdengar, cuma kening kirinya terangkat. Lantas, tanpa banyak soal, Nadhirah bergegas mendapatkan gadis manis yang bertahun tak bertemu. Sekilas pandangan, Nadhirah yakin ada cerita yang bersamping, cuma masa yang bertebing menghalang lidah untuk memecah benteng. Nadhirah memeluk Suria seeratnya. Tangannya menggenggam erat tangan si teman, lalu ditarik ke katil beradunya. 

“ Kau kemaskanlah diri dulu. Nampak penat sangat. Aku turun panggilkan papa ye? Dia ada kat dalam bilik bacaan. Kau pun bukannya tak faham, papa kalau dah duduk kat dalam gua tu, mesti dah tak sedar dunia luar. Papa mesti suka tengok kau datang. Ye lah, kau kan anak angkat kesayangan papa?”

Nadhirah mengenyitkan matanya, sementalah si Suria pula cuma menganggukkan kepala.             

Nadhirah keluar dari bilik lalu menuruni tangga ke bilik bacaan di tingkat bawah tanah rumahnya. Suria menguntum senyum. Papa, baginya adalah insan terbaik pernah dia kenali. Papa, insan yang dengan ringan hatinya membawa dia ke rumah besar itu. Menumpang teduh bawah redup, berkongsi kasih Nadhirah dan Mama. Saat wajah itu menjengah ruang, melemparkan senyum senang, Suria nyata gembira. Papa hadir sambil tangannya menggenggam tangan mama.             

Suria mengelek Papa manja. Mama tersenyum. Pipi anak angkatnya itu dicubit mesra. Suria masih seperti dulu. Nadhirah memeluk mereka, rindu ini terlalu dalam! Petang itu, mereka sekeluarga duduk makan bersama, seperti dulu, seperti selalu. Nadhirah akur, bukan sengaja dirinya dan Suria tidak selalu bersama Mama dan Papa. Suria, kakak yang berkerjaya. Yang mengorbankan seluruh jiwa dan raganya untuk syarikat Papa. Nadhirah terlalu mentah. Masih di menara gading. Layakkah mentadbir? Jiwa Nadhirah masih bagai si anak kecil. Manja.                

Ada sahaja suara sumbang melaung-laung membisikkan kata-kata dusta. Cuba menghasut Papa dengan taktik-taktik kotor. Mengadu domba yang bukan-bukan sahaja. Suria bukan begitu. Mama dan Papa pasti.Walaupun bukan darah merah pekat mereka yang mengalir dalam pembuluh darahnya namun Suria bukan insan keji. Suria mulia hatinya. Baik tutur bicaranya. Lagipun, Papa sudah siap-siap membuat wasiat. Nadhirah dan Suria pemegang harta bersama.              

Papa tiba-tiba terpanggil, lantas terus kakinya bergerak pantas. Bila ditanya, Papa menjawab ringkas, “Cari kueh kaswi untuk diorang.”

Nadhirah dan Suria serentak tersenyum. Papa terlalu sayangkan puteri berduanya itu. Mujur, kueh kegemaran mereka sama. Dari kecil sampai besar, kueh tersebut jugalah yang menjadi rebutan. Masih, hingga kini, kegemaran mereka.             

Mama menggelengkan kepala. Papa memang begitu. Terlalu baik. Terlalu memanjakan anaknya yang berdua itu. Siapa sangka, senyuman Papa petang itu adalah senyuman terakhir untuk tiga wanita kesayangan dalam hidupnya.             

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Di atas katil, seorang gadis terbaring lesu tidak sedarkan diri. Wajahnya pucat lesi. Serabut wayar yang disambung kepada si gadis menambahkan riak sendu pada situasi itu. Tangisan pelawat-pelawat yang bertandang langsung tidak menganggu lenanya. Nadhirah koma selepas kemalangan ngeri antara kereta yang dipandunya dengan sebuah lori simen dan sebuah motosikal. Penunggang motosikal itu meninggal dunia sedangkan pemandu lori itu pula sekadar mengalami kecederaan ringan sahaja.             

Menurut laporan, pemandu lori tersebut memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh kereta yang dipandu olehnya. Disebabkan kehilangan kawalan, Nadhirah tanpa sengaja merempuh pula sebuah motosikal yang berhenti di hadapan lampu isyarat merah.                

Supiah menangis hiba. Wajah anak daranya dipandang tulus. Air matanya sudah kering mengenangkan malang yang menimpa si anak. Bagaikan jatuh ditimpa tangga. Tak sudah-sudah perih derita berbaris menyusun qada’ dan qadar. Dia sudah tak terdaya lagi menanggung perit perasaan apabila si anak hampir sebulan tidak sedarkan diri.           

Dia begitu takut pengalaman lalu kembali mengait realiti hidupnya. Azman, suaminya juga turut meninggal dalam kemalangan jalanraya. Mungkinkah dia akan berhadapan dengan rencah hidup yang sebegitu lagi dalam usia tuanya kini?             

Supiah termenung. Tiada sebarang kata yang lahir mentelaah rasa yang bersarang dalam hatinya tika itu. Cuma doa yang dipanjatkan pada Ilahi, moga doa seorang ibu diperkenankan. Itulah harapannya yang terakhir. Hanya pada Yang Satu juga diserahkan segala takdir hidupnya. Dia pasrah. Suria di sisinya hanya mampu mendoakan agar Nadhirah sedar semula. Begitu rindu dia pada gelak ketawa Nadhirah yang telah lama tak bersua muka. Jarak waktu juga yang menjadi pemisah antara mereka. ‘Nadhirah, sedarlah. Kami merinduimu…’  

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Tuhan, andai ini jalan terbaik. Jangan bangunkan aku. Sungguh, aku sudah terlalu letih mengharungi kehidupan ini. Tiada lagi keinginan untuk aku menatap dunia ini andai kasihnya telah tiada buatku. Tepu otakku diasak dengan persoalan yang satu ini. Apa itu Cinta? Setelah segala-galanya aku berikan, aku ditinggalkan sendirian dan duniaku terus-terusan berdinding sepi. Aku hanyut dalam deras nafasnya, lelah dalam arus hembusan cintanya yang bersalut nafsu. Dia bagaikan syaitan bertopengkan manusia. Kata-katanya lembut melemahkan jiwa. Akhirnya, aku tersungkur dalam dakapan rakus dan kucupan lembutnya. Syaitan bermaharajalela pada adegan sesat sepasang anak muda. Dan kami semakin ghairah dalam hasutan nafsu yang tak bertepi.               

Aku mencintai dia. Terlalu. Kerana itu, aku korbankan segalanya. Aku akur. Sangat bodoh diri ini. Aku biarkan jemari kotornya menyelinap ke segenap ruang. Aku biarkan dia yang belum sah menjadi milikku meratah setiap inci tubuhku. Kami hanyut terlalu jauh lantas aku merayu, kerana kasihku padanya. Aku merayu, kerana cintaku untuknya. Aku terlalu ingin menjadi suri dalam mahligai palsu hidupnya.                

Ketika dia mentertawakan ketulusanku, aku bagai tersedar dari lamunan. Hilang sudah segala mimpi yang digarap. Lenyap semua babak yang tersingkap. Terus aku bangkit dari angan-angan, sedarlah aku bahawa cinta itu cuma satu fantasi hangat.  Jauh sungguh aku berkelana dalam fantasi dongengan ini. Tanpa sedar, aku sebenarnya sendirian. Tanpa peri, aku dituduh perempuan murahan! Tercampak terus aku ke dalam gaung kehinaan. Kononnya, diriku ini kotor. Malah, entah sudah berapa ramai jejaka di luar sana meratah diri ini. Itu tohmahnya. Jijik! Meloyakan! Akukah itu? Begitukah aku? Pedih! Aku bagai boneka kotor, bersalut lumpur yang terbiar sepi di dalam longkang busuk nan hanyir. Terlalu kotor! Aku bukan lagi Nadhirah yang dulu. Ini simpulku.              

Tuhan, entah berapa kali sudah aku robekkan perasaan wanita agung itu. Berjuta kali juga aku sakiti hatinya, beribu kali pula aku toreh sengasara perasaannya. Dan entah berapa banyak sudah airmatanya dirembeskan kerana aku. Aku bukan lagi gadis sunti yang suci, anak mama dan papa yang begitu dibanggakan seperti suatu tika dulu. Berkali-kali aku bertayamum menghapuskan palit-palit noda ini. Berkali sudah aku bertapa sendiri menyucikan diri. Masih lagi hapak baunya dek kekotoran yang terlalu kesat, terlalu sukar untuk aku tanggalkan. Tuhan, habis sudah akalku. Izinkan sahaja aku begini. Enggan lagi aku membuka sepasang mata cantik anugerahMu ini. Izinkan aku tidur untuk selamanya. Berkatilah permintaan hambamu yang kerdil ini, Ya Tuhanku!              

Nadhirah tetap tak bergerak.Masih koma. Namun alis matanya bergerak-gerak. Ada linang air mata bergenang di hujung kelopak matanya. Luruh, membasahi pipi gebu miliknya. Suria terkesima. Mama terpana. Nadhirah, apa yang telah terjadi?              

“Maafkan kami, Nadhirah kelihatan enggan memberikan respon. Beliau bagaikan sudah kehilangan keinginan untuk bangun. Kami sarankan Puan dan anak Puan agar selalulah bercakap-cakap dengannya. Berikan kata-kata semangat supaya dia tidak terus-terusan berputus asa. Selebihnya, berserahlah kepadaNYA.”

Penerangan ringkas sang doktor bagaikan halilintar menyeringai menembusi liang sempit di telinganya. Supiah terpampan. Suria pula terduduk memangku kudrat yang terbang melayang. ‘Tersiksa sungguhkah jiwamu wahai adikku?’ Gelojak rasa itu memutuskan semangan kedua-dua wanita itu.     

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Andai aku seorang puteri,

Ingin aku menari

Di kaki langit

Kala rembang lazuardi

Meninting menjadi saksi. 

 

Andai aku seorang pari-pari,

Ingin aku terbang

Mencari laksamana hati

Memegang keris cinta abadi. 

 

Andai aku seorang permaisuri,

Inginku jajah daerah cinta,

Pada hujung cahaya,

Biar bila aku datang menjadi pria. 

 

Andai akulah baiduri,

Ingin aku terus lena

Biar diulit mimpi

Jangan aku sedarkan diri. 

 

Lalu,Tersedar aku kini di alam duniawi,

Punya hakikat dan realiti,

Hidup ini suatu hakiki,

Dan aku pasti.              

 

Nadhirah membaca puisi itu buat ketiga kalinya. Perasaannya terhayun dengan gemalai cinta yang mengalir. Segala harapan dan impian yang penuh dengan segala penghargaan di dunia ini. Dia serasa ingin berlari mengejar mimpi-mimpi indah itu. Dia mahu menjejak perasaan itu. Dia mahu menjelajah daerah cinta yang berwarna-warni. Dia inginkan suatu harapan yang mampu mencelikkan benaknya yang telah lama rapuh dan musnah kerana cinta. Cinta terlarang anak muda yang tak tahu hujung pangkal. Cinta gila yang menggila kerana kebodohan!             

Helaian seterusnya diselak. Sebuah lagi puisi dikarang. Begitu gemalai meruntun perasaan wanitanya. Begitu sadis luka cinta yang terasa. Begitu patah segala semangat yang bertandang. Airmatanya gugur bilamana terkenangkan si wanita yang tidak tergambar dalam fantasi mimpinya. Siapa wanita ini? Mengapa diari itu bagai punya kaitan dengan perasaannya. Dia benar-benar terasa dekat.               

Dia membaca karangan puisi tak bertuan itu. Ingin dia tumpang menanggung derita. Andai bisa dia ketemu wanita itu, ingin sahaja dia peluk dan melagukan pujukan sendu agar terhakis segala tangisan. Andai wanita itu ada, ingin sahaja dia menjadi teman buat tempat meluah rasa. Biar kecewa itu dibicara. Biar jerih itu terbang tak tersisa. Sesungguhnya, Nadhirah bersyukur kerana diberi peluang untuk menghargai hidup. Dia yakin, apa yang terjadi padanya, cuma ujian semata. Ujian Tuhan buat hambanya. Dia merelakan. Dia yakin setiap dugaan sememangnya mampu untuk digalas. Dia bangkit hari ini kerana wanita itu. Siapa dia? Sesungguhnya dia benar-benar mengajar suatu ilmu yang dinamai hakikat kehidupan.  

Aku terlihat bayangmu

Pada tirai pelangi

Nan menawan,

Tersenyum sumbing pada

Sumbang masa,

Berdekah dengan tuli lewa. 

 

Basah airmata

Bersendu pada luka derita,

Menjahit darah yang menitik,

Memalit pahit yang sakit. 

 

Pelangi berselang warna

Kini kias menjadi merah,

Tanda derita yang tak sudah,

Kisah kasih yang tak mudah.  

 

Sinar mentari ku tunggu,

Biar jadi lampu

Buat ku suluh

Takut terjatuh

Lubang derita yang terbina. 

 

Pelangi yang menari,

Bisakah kau hadir

Tanpa airmata?

Biarkan saja bersaksi cahaya

Kau undang menjadi cereka.             

 

Tuhan, hari ini, rasanya lain sekali. Jika sebelum ini aku ingin tidur selamanya, aku mohon, bangkitkanlah aku semula.  Ingin sekali aku menemui wanita itu. Penulis merangkap pemilik diari biru itu. Ingin aku selidiki segala rahsia hati, segala resah gelisah yang tersembunyi. Bagai ada sesuatu antara kami. Sendu dan tangis yang berlagu padanya, bagaikan seirama dengan pedih yang bersarang dalam hatiku.              

Tuhan, sesungguhnya aku insan yang terlalu lemah. Terlalu mudah patah, lalu terhentak menjadi retak-retak, terhempas berderai lalu pecah. Aku, terlalu mudah membina jambatan alasan untuk tidak meneruskan hidup. Padahal, bukannya aku yang berhak merencana helaian kehidupan. Bukan aku yang punya kudrat untuk menentukan waktu-waktu terakhir menghela nafas. Terus juga, bukan jangkauanku untuk menoktah hidup sehingga menutup mata.              

Tuhan, di helaian terakhir itu, aku ketemu suatu mutiara berhikmah. Aku bagaikan dibakar dengan satu semangat untukku teruskan perjuangan. Jangan sesekali berundur sebelum berperang. Jangan tewas tanpa usaha. Sungguh sempurna bagaikan terbentuk dan tercipta teristimewa buat seorang insan tanpa daya bernama Nadhirah. 

Selasa, 5 Mei 1987, 12:35pm-

Ketika dia sedang lena dibuai mimpi            

Waktu merangkak perlahan dan dia, Sang Arjuna sedang terbaring lena dengan senyum lelah. Penatnya seharian di pejabat katanya hilang saat menatap senyum di wajahku. Diakah sang bidadara yang dijanjikan buat dirinya? Selayak dan seharusnya dia menanti aku dipintu Syurga? Kerana rindu dan cintanya, maka ke dunia ini dia hadir mengucap cinta abadi. Begitukah? Tapi siapa pula aku untuk mengecap manisnya senyum seorang bidadara. Aku mengorbankan diriku buat seorang syaitan bertopengkan malaikat. Hingga kini, aku masih bingung, mengapa pula Sang Arjuna masih sudi memilih diri ini?              

Waktu kata cinta menari di bibirnya, badanku bergetar hebat. Adakah benar ini cinta? Namun, dapat aku melihat jelas ketulusan dalam sebening cahaya bundar matanya. Tutur bicaranya persis sekali Arjuna bermadah mewah. Begitu tinggi aku dalam pandangan cintanya. Diri ini langsung tidak disentuh. Kata Sang Arjuna hati, aku berhak memilih bahagia.

“Selagi cinta tidak terbit di hatimu, tidak sekali-kali aku hadir merajai. Selagi itu dirimu adalah milikmu. Cuma, izinkan aku hadir memberi sedikit bahagia pada rawan deritamu. Izinkan aku berdiri di sisimu, membasah kasih agar kau tak lelah kepanasan dalam terik semangat yang kontang.”

Aku terdiam. Cintanya mulia, begitu menyentuh perasaan wanitaku, meredah ke lautan kasih terdalam. Tidak silap pandangan tua ibu pada sinar kasih tulus darinya. Terlalu mulia tingkahnya, begitu tinggi pekertinya, segah suci maruahnya di mataku.                

Azman! Dialah sang arjuna. Arjuna yang masih tegar memilih diri yang sudah ternoda dalam kesat dosa. Arjuna yang sanggup pejamkan mata, tulikan telinga pada umpat dan nista. Mulutnya sentiasa bertasbih padaNYA… Acapkali, air matanya tumpah ditikar sejadah. Katanya lembut berhikmah. Sehinggakan, diri ini dengan rela menunduk hiba mengucup tangannya setiap kali usai solat. Hatiku sebak. Ya Allah, benarkah dia tercipta untukku? Jika dulu, aku terlalu asyik mengejar warna pelangi, hanyut dalam dunia khayalan sendiri, kini, aku disedarkan pada realiti, dimengertikan tentang Hakiki.               

Pada rona-rona hidup, cinta ditafsir dalam kalam syurga. Tiada cinta dalam keterpaksaan. Bukan juga berdimensi serakah gila dan bernafsu buaya. Bukannya cinta itu sesuatu yang hina untuk dipalit pada noda dosa.Azman, suamiku. Arjuna hatiku. Cinta sejatiku.    

Nadhirah cuba mennyelami perasaan yang terpendam dari puisi yang dibacanya itu. ‘Wahai wanita, apa deritamu? Benarkanlah aku untuk sama-sama mengharung perih yang berenang dalam lubuk pilu.’

Air matanya mengalir tika itu. Suamnya ibarat derita yang tersiksa. Perlahan air mata itu diseka. Tak akan dia benarkan tangisan ini menggoyah rasanya.

Tangisan ini bukan tanda kelemahan, tapi suatu janji sebuah tugu kekuatan.  

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Supiah kaget. Nadhirah mengalirkan air mata dalam komanya. Entah apa kisah yang bertandang jadi peneman mimpi panjangnya. Hati ibu tuanya bagai dilenjan dengan bertubi-tubi resah yang menjalar hebat. Semangatnya bertarung dengan harapan dan kekagetan yang kian gawat.             

Tangannya begitu cepat menekan loceng di kepala katil. Panggilan kecemasan itu ibarat suatu pertarungan yang diseru agar pemilihan antara hidup dan mati dibicara. Ketar anggota badannya melihat sedu-sedan tangisan anak gadis yang terbaring lesi. ‘Wahai anak, sedarlah kamu. Jangan kau pergi dengan seribu duka dan tragedi sebegini. Jangan kau lukis tangisan darah sepi pada ibumu lagi. Aku tidak rela. Izinkan aku pergi dulu menghadapmu, Ya Allah! Jangan kau benarkan kisah ini terhenti bersama tragedi begini. Jika itu kehendakMu, izinkan sahaja aku menjadi pengganti.’ Supiah bermonolog sendiri.             

Andai dapat ditukar ganti, dia merelakan hayatnya jadi tukaran. Tiada ertinya hidup ini tanpa Nadhirah di sisi. Lambang cintanya yang menggunung pada Azman, dia bangkit mewarnai pelangi hidupnya dari kafan merah memori lalu. Pesan Azman sentiasa menjadi pedoman agar norma hidupnya tetap teguh. Sebaik-baik manusia yang ditemuinya adalah Azman, suaminya. Tiada langsung metafora terindah dapat diungkapkan. Bagaikan malaikat, Azman hadir dalam hidupnya mengisi gelap kenangan dengan ceria pelangi cinta. Hatinya berbicara lagi. ‘Wahai anak, andai kau bisa sedar kembali, ingin aku serahkan sesuatu padamu, agar dapat kau selami perasaan ini. Biar kau tahu nilai cinta bidadari yang bahagia bertemu arjuna hati lalu derita kerana dengki waktu. Wahai anak, sedarlah! Si ibu tua merintih sendu bersama-sama tangisan suam dari kolam derita kenangan silam yang mengiringi.’    

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 

Nadhirah tersedar dari mimpinya yang panjang. Supiah memanjatkan syukur mendengar berita itu. Akhirnya penantiannya berakhir di situ. Derita yang terpanah tiba-tiba menjadi lohong kebahagian buat dirinya. ‘Wahai anak, kuatkan semangatmu. Hidup ini umpama bayangan, sempurna andai diuji, menjadi cacat jika dikaji. Fahamilah resam dunia. Mulakanlah hidupmu yang baru. Aku sentiasa berada di sisimu. Pautlah aku bila kau berasa lemah, launglah semangatku tatkala kau berasa lelah.’ Supiah bersyukur. Senyumannya terpancar lagi setelah sekian lama tersirna.             

Supiah melangkah menghampiri katil Nadhirah. Digenggamannya, ada sesuatu yang dipegang kemas. Langkahannya bagai punya semangat yang menyinga. Senyumannya bagai puteri yang kembali ke kayangan. Tenang wajahnya bagai perawan yang memburu cinta. Hari ini dia terlahir semula bersama manis kenangan yang hidup dalam memorinya. Tidak perlu ditangisi lagi. Itu simpulan tekadnya.             

Nadhirah memandang senyuman menawan ibu tua itu. Begitu menarik bagaikan seorang bidadari menari di tengah rembang bulan yang mengambang. Senyumannya menyambut senyuman si ibu tua. Namun, tiba-tiba matanya terpandangkan sesuatu yang kemas dipegangan ibunya. ‘Diari itu! Mungkinkah…?’             

Supiah berdiri di sisi Nadhirah. Pandangan kasihnya tumpah pada sebening raut seiras arwah suaminya. Nadhirah, lambang kasih suci percintaan mereka berdua. Diari biru itu dipegang lebih erat. Sedari tadi Supiah menyedari pandangan mata anaknya tidak lari dari diari itu. ‘Telah tiba masanya untuk aku serahkan diari ini.’ Diat tekad. Diari itu perlu bertukar tangan. Supiah menarik nafasnya dalam-dalam. 

“ Nadhirah, mama nak bagi diari ini. Bukti cinta mama pada papa dan kamu.”             

Diari itu dihulur. Nadhirah terkelu. ‘Wanita itu? Mamakah?’ Fikirannya menerawang. Kosong seketika. Dia hilang arah tuju. Tangisan mengalir tanpa dibendung. Supiah menjadi kaget tiba-tiba pabila melihat reaksi si anak. Lalu, dia terus memeluk gadis itu. Nadhirah menangis tersedu-sedan. Dia membalas pelukan ibunya.

‘Mama, terima kasih kerana meminjamkan semangatmu untuk aku teruskan kehidupanku di dunia ini. Mama, kerana kasihmu, aku hidup dalam komaku. Aku sayang mama.’ Tersedu-sedan Nadhirah dalam sebening pelukan ibunya. Payah-payah bibirnya menyebut lembut sebaris kata penuh bermakana. 

“Mama, terima kasih.” 

Supiah tersenyum. Sisa-sisa airmata diseka. Biar derita ini sehingga di sini sahaja. Izinkan pelangi-pelangi bahagia merembes warna-warna ceria dalam kehidupan mereka. Itu doanya.

 

 

 

 

*cerita duet bersama syud~  

Cerpen sebelumnya:
Majo dan Wang-Wangnya
Cerpen selanjutnya:
cerita dia..

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.3
3 Penilai

Info penulis

dayya

Pembaca yang mencari jiwa, penulis yang mencari ketelititian. Membaca dengan hati kerana itu sentiasa mahu membaca segala yang terbaik. Tulisan terbaik adalah tulisan yang ditulis dengan kesungguhan. Kecenderungan menilai kesungguhan dalam tulisan.
dayya | Jadikan dayya rakan anda | Hantar Mesej kepada dayya

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya dayya
PCB#7: Naga Kepala Tujuh | 2121 bacaan
Kanibal Malaya | 2753 bacaan
PCB#7: Si cantik yang disumpah untuk tidur. | 3953 bacaan
Cinta coklat Cadburry Black Forest | 9842 bacaan
Naskah | 2202 bacaan
PCB#4: Alahai, potong stim! | 3383 bacaan
pcb#2: Lecuran | 2675 bacaan
Tuhan itu cinta | 2694 bacaan
Demi Wawasan 2020 | 2739 bacaan
no title | bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

21 Komen dalam karya K.A.S.I.H. T.E.R.K.I.S.A.H.
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik