Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Hidup atau Mati (3)- Finale

Cerpen sebelumnya:
Cerita dari Jepun
Cerpen selanjutnya:
Berangan

 

:: CINCIN ::

Antara rela dan paksa, aku membenarkan Farid terus mengakui aku adalah milik hatinya. Tiada kata putus dari aku tentang siapa dia untuk aku. Mungkin aku kejam kerana menafikan tindakan ini, namun sudah puas aku memohon pada Yang Maha Arif. Aku pohon diberkati dan restuilah perasaan kami. Jika benar memang dia untuk aku, limpahi kami dengan rahmat. Andai termaktub di Luh Mahfuz aku bukan dari rusuk kirinya, tentukan jalan yang terbaik untuk kami.

Sebelum keberangkatannya atau lebih tepat sebelum kami terpisah untuk hari itu, dia menghulurkan sesuatu. Tergamam aku dibuatnya. Aku tidak menyambut barangan yang dihulurkan, tapi aku renung dia beserta dengan sebuah senyuman yang penuh tanda tanya.

“Saya nak awak simpan cincin ni. Saya tahu cincin ni tak mahal. Tapi, saya sayang cincin ni. Kalau boleh saya nak awak pakai... Muat tak?”

Aku tenung cincin yang berada di hujung jarinya. Rasanya padan dengan ibu jari aku berbanding jari manis. Reka bentuknya khas untuk lelaki. Perlahan-lahan aku cuba mengambil cincin tersebut, cuba mengelak daripada bersentuhan kulit. Mungkin dia memahami batas-batas yang aku amalkan, lantas dia meletakkan cincin tersebut ke atas meja lalu ditolak ke arahku.

Hati aku tersentuh dengan ketulusan dia. Tetapi, masih ada jurang yang memisahkan perasaan aku sekarang dengan perasaan dia. Setiap kali mencari jawapan, pasti aku tilik cincin perak celup itu.

Dua minggu dia diperantauan. Dua minggu hidup aku kembali seperti sedia kala. Tiada panggilan telefon, tiada ucapan rindu mahupun sayang yang menjerut perasaan. Aku jalani hidup bersama rakan-rakan dan keluarga. Sekali-sekala aku keluar ke bandar bersama Noni ataupun Yaya, mahupun rakan-rakan sekolah dahulu yang makin jarang bertemu.

Kadang-kala aku main mata dengan mana-mana jejaka yang aku rasa berkenan.

Namun, itu tak bermakna nama Farid terus luput dari ingatan aku. Namanya selalu aku sebut dalam doa. Memanjatkan harapan semoga ada saat yang jelas di antara kami. Aku akui, nama Farid meniti di bibir aku tatkala menerpa nama Azham yang entah apa khabar beritanya sekarang. Susah benar fakulti otak aku menghapuskan nama Muhamad Zul Azham.

Genap dua minggu, telefon rumah nenek kembali berdering untuk aku. Wajah Mak Su kembali berubah menjadi syak wasangka.

“Saya rindu sangat kat awak. Awak?”

“Ehm...”

“Syeda, kenapa susah sangat saya nak dengar awak ucap rindu atau sayang? Atau sebenarnya awak...”

“Farid sihat? Macam mana dengan kerja? Sekarang tinggal kat mana?” Sengaja aku potong kata-kata dia. Tiada alasan untuk soalan dia nanti.

Satu keluhan dilepaskan di hujung talian. Beberapa saat kemudian, dia mula rancak bercerita tentang dia dan kehidupannya di tempat orang. Aku pula lebih fikirkan perkara lain daripada dengar dia berceloteh. Dengan berhati-hati, aku menarik nafas lega apabila soal hati dan perasaan tidal lagi disebutnya.

Maaf, Farid. Orang bukan sengaja nak mengelak. Orang takut. Takut melukakan hati Farid yang tulus dan ikhlas. Berikan orang masa untuk mencipta perasaan yang sama. Cuma, bukan sekarang. Orang masih berusaha untuk membuka pintu hati kepada cinta Farid.

“Boleh?”

“Huh? Boleh apa?” Serius, aku langsung tak perasan soalan yang dia tanya.

“Mana fikiran awak melayang ni? Saya tanya, boleh tak jumpa esok.”

“Esok? Farid kat mana ni sebenarnya?”

Dia tergelak. Pertama kali aku dengar dia gelak. Aku turut tersengih dengan kekhilafan yang telah aku lakukan.

“Ada kat sinilah...Saja nak suprisekan awak. Kita jumpa esok?” Sekali lagi dia mengharap.Aku diam sebelum memberi kata putus.

“Boleh tapi, kali ni walau macam mana pun orang kena bawa kawan. Mami tak bagi orang keluar jumpa lelaki tanpa orang temankan.”

Alasan! Mami tak pernah tahu aku pernah jumpa Farid berduaan dan dia tak perlu tahu kalau tak ada orang yang beritahu dia.

“Ehmm... yalah. Kalau bukan sebab saya cuma ada cuti tiga hari... dan nak sangat jumpa buah hati kesayangan saya ni...”

Lalalala.... huh? Apa? Aku dah pekak ke? Maaf, sila tak payah ulang. Telinga ini tak mampu nak menerima input yang akan menyebabkan aku berguling-guling cuba membetulkan segala saraf yang dah tak betul akibat pelanggaran..... Ah! Mengarut dah!

:: INILAH SAATNYA ::

Beria-ia Noni menolak ajakan aku. Katanya, aku dah dewasa. Sendiri mau ingatlah apa yang salah, apa yang betul. Tak semua keputusan terletak di tangan mak bapak. Aku boleh putuskan sendiri patut atau tidak hubungan aku dengan Farid diteruskan.

Cik Noni, saya ini anak yang takut dengan arahan dan tulus pada amanah yang telah ibu bapa saya tetapkan. Jadi sudilah kiranya anda menemani saya... Huhuk! Noni, tolonglah temankan aku kejap!

Setelah dipujuk dirayu tanpa peguam bela memandangkan Yaya menyebelahi Noni, akhirnya aku berjaya memenangi perbicaraan rayuan kali ini. Noni bersetuju untuk menemani aku bertemu dengan Farid berlandaskan syarat; aku tanggung segala perbelanjaan pergi balik dan makan minum.

Tak kisahlah, janji aku boleh jumpa encik Farid.

Tiba di tempat yang dijanjikan, Farid menanti dengan senyuman tergantung indah di bibirnya. Aku nampak ada sinar gembira dalam anak matanya. Sinar itu sebenarnya meluluhkan hati aku. Sinar itu membuatkan hati aku berbelah bagi.

Tuhan, aku tak sanggup! Tak mampu lagi untuk menatap cahaya gembira di matanya dan juga dalam masa yang sama aku mula merancang sesuatu tanpa pengetahuannya. Senyum yang aku berikan sebenarnya senyum plastik. Senyum sebagai harga untuk menutup kesalahan yang telah dan akan aku lakukan.

Beberapa minit bersama menikmati makan tengah hari, dia memohon untuk berdua dengan aku. Mahu tak mahu, Noni mula mengundur. Pada awalnya Noni beralih ke meja lain. Kemudian, dia terus berlalu setelah mengucapkan selamat tinggal. Terkebil-kebil aku dengan tindakan Noni.

Hey! Noni! Wei! Mana mau pigi daa!?

“Saya bukannya nak culik awak. Saya hantar awak balik nanti.”

Tak, bukan itu yang saya risaukan. Saya boleh balik sendirilah. Dah biasa dah naik bas sorang-sorang.

Jujurnya, aku langsung tak ambil peduli akan cerita dia. Fikiran aku hanya satu. Agenda aku yang dulunya tergendala, harus aku laksanakan petang ini. Suka atau tidak, aku terpaksa lukakan perasaan Farid. Aku dah tak sanggup menanggung perasaan yang tak pernah wujud.

Berpusing-pusing ayat aku sewaktu cuba menyampaikan hasrat hati. Pada mulanya, dia memang tak faham. Mungkin juga salah faham. Menyangkakan kata-kata aku sekadar gurauan dan ujian untuk menguji kesetiaannya.

“Macam mana nak bagi Farid faham, ya? Begini...orang rasa kita kena bagi masa kepada diri masing-masing. Fikirkan perkara yang lebih mustahak daripada soal hati dan perasaan. Kita muda lagi.”

Sememangnya aku pandai berkata-kata. Nak berkias-mias (ada ke perkataan ni), carilah aku. Insya Allah dijamin hajat anda kesampaian tanpa ada pihak yang tersinggung...hahahh.

“Awak nak putuskan hubungan kita?”

Akhirnya dia faham! Wajah manisnya bertukar menjadi kelat. Aku cuba larikan pandangan ke arah bas yang mengeluarkan asap kelabu berkepul-kepul. Antara kami tiba-tiba suasana menjadi senyap. Enjin bas yang menderum langsung tidak mengganggu konsentrasi kami untuk berfikir kata-kata yang seterusnya. Aku bagi dia masa untuk mencerna kata-kata dia sendiri.

Dia yang sebut putus. Bukan aku, okey!

“Saya balik KL pagi esok.”

Aku tetap tidak bersuara. Apa lagi yang harus aku balas. Itulah yang terbaik untuk dia. Pergi tanpa menoleh ke belakang lagi. Kerana tiada apa untuknya di belakang ini.

“Orang minta maaf banyak-banyak.”

“Tu bas dah sampai. Ada jodoh kita jumpa lagi.”

Dan dia melangkah pergi, meninggalkan aku tanpa memandang seraut wajah yang dua bulan lalu menjadi mimpi tidurnya. Aku sendiri, terus berlalu tanpa menoleh. Dada aku cuba menampung sebak.

Meski keputusan ini aku yang buat, namun harus aku akui peritnya hati terluka. Dapat aku bayangkan betapa kecewanya Farid dengan keputusan ini.

Farid, orang faham perasaan Farid. Orang dah rasa perasaan itu lebih dahulu daripada Farid. Tiga tahun orang menaruh rasa pada Azham dan dengan sepatah kata dia hancur leburkan perasaan orang. Orang tak mahu Farid tenggelam dalam khayalan sendiri. Sebab tu sebelum lemas, orang nak tarik Fardi ke daratan realiti.

:: IRONI II ::

Kerana terlalu sibuk dengan urusan sendiri, aku terlupa tentang Yaya. Entah di mana silapnya hubungan Yaya dan Zaid tak menjadi. Ada saja masalah di antara mereka. Akhirnya aku dan Noni yang menjadi orang tengah. Cuba sedaya upaya mungkin memujuk hati walang sahabat tersayang.

Aku sendiri tak faham. Di saat macam nilah, aku teringatkan Farid. Sejurus pertemuan terakhir kami, aku langsung tak bercerita kepada sesiapa tentang keputusan yang telah aku laksanakan. Hari ni genap seminggu, antara aku dan Farid... kenapa?

Perasaan apa ni? Mengapa mesti wajah Farid menari-nari di hadapan aku? Kenapa sukar untuk aku lelapkan mata sebelum menatap gambar dia? Gambar yang Yaya ambil ketika majlis hari lahirnya. Sewaktu kali pertama aku mengenali lelaki bernama Farid.

“Macam mana Syeda dengan Farid sekarang?” soalan Yaya macam menyentak lamunan aku.

“Arr...okey.. rasanyalah.”

“Yaya tak fahamlah. Kenapa Zaid buat Yaya macam orang bodoh? Yaya sayangkan dia.”

“Entahlah. Orang pun tak berani nak cakap banyak. Orang tak t ahu punca sebenarnya.”

Yang aku tahu, Zaid dah tak pedulikan Yaya. Ada saja alasan untuk menjauhkan diri.

“Syeda bestlah. Farid tentu ikhlas sayangkan Syeda. Sanggup balik walaupun cuti tak lama semata-mata nak jumpa Syeda. Yaya ni, depan mata tapi jauh sangat rasanya.”

Hati aku robek sedikit demi sedikit. Perlahan-lahan ada satu perasaan asing mula menjajah tangkai hati aku. Tak! Perasaan ini tak asing cuma pada orang yang berbeza.

Aku rindukan Farid! Sungguh, itulah perasaan yang aku rasa. Rasa macam nak demam pun ada. Sepanjang hari aku termenung untuk cuba mengerti di sebalik rasa itu.

Puas aku pujuk hati supaya melupakan segalanya. Terlajak kereta boleh gostan, terlajak bicara...pandai-pandailah tanggung perasaan bersalah. Nama Farid meniti di bibir aku tiap-tiap hari, mengharapkan yang terbaik akan menjelang dalam hidup aku kelak.

Suka hati koranglah nak kata apa! Aku tahu menyesal kemudian dah basi... Namun, penyesalan aku ada hikmatnya.

“Orang ingat Farid tak nak telefon orang dah.” Ada senyum di hujung kata.

“Ehm... saya rindukan orang tu. Tapi tak tahulah dia rindukan saya ke tak?”

“Orang rindukan Farid!” selamba je kata-kata meluncur keluar. Dia diam. Aku pun diam menunggu reaksi dia. Kemudian, apa yang aku dengar hanyalah tawa halus.

“Jangan nak bergurau. Sebelum ni, awak tak pernah cakap yang awak rindukan saya. Sekarang?”

“Farid, orang minta maaf. Orang tahu keputusan orang hari tu terburu-buru. Orang nak tarik balik. Kita sambung balik ya?” waktu ni perasaan aku dah senang untuk dijualbeli oleh lelaki bernama Farid. Aku serahkan jiwa aku untuk dia. Nekad!

“Senangnya... awak ingat perasaan saya ni untuk buat main-main?”

Tempelaklah Farid! Orang tak kisah. Orang tahu Farid maafkan orang dan terima orang semula.

“Farid...”

“Saya rindukan awak.... Janji dengan saya. Awak tunggu saya.”

Aku angguk laju. Eh! Mana dia nampak.

“Orang janji!”

:: JURANG ::

Memang aku percaya Farid mampu membahagiakan aku. Dan aku sendiri berasa sungguh bahagia setiap kali kami berhubungan walau hanya melalui telefon. Suaranya yang penuh dengan kelembutan dan kasih sayang mampu membuatkan aku tidak tidur lena. Aku rindu untuk berjumpa dengannya.

Bulan ni genap lima bulan kami bersama. Masih terlalu baru dan terlalu mentah usia percintaan kami. Namun, seboleh mungkin aku semai cinta kami agar menjadi sebuah perhubungan yang suci berlandaskan hati yang jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah Taala.

Sungguh! Itu yang sering aku pohon. Aku pinta dari Dia, andai tersurat jodoh antara aku dan Farid, kekalkan rasa yang kami rasa sekarang. Sekiranya takdir yang akan memisahkan kami, aku pohon agar jalannya dengan cara yang tidak menyakitkan jiwa sesiapa.

Bulan ni aku mendapat khabar gembira. Aku layak melanjutkan pelajaran ke Kuantan untuk mengikuti kursus pra-ijazah. Aku sampaikan berita gembira kepada Farid dan keluarga. Dia memberi sokongan yang tidak terhingga. Katanya, andai aku berjaya jangan sesekali menyombong diri. Aku cuba pegang kata-katanya.

“Farid jangan bimbang. Orang janji orang akan tetap jadi orang yang Farid kenal. Bezanya, orang dah tambah ilmu... ehm... Farid?”

“Saya? Kenapa?”

“Orang nak Farid sambung belajar. Please, untuk masa depan Farid juga. Untuk keluarga Farid. Orang tak ada kepentingan apa pun. Lagi pun, takkan Farid tak rasa apa-apa bila orang dapat sambung belajar.”

“Tak adalah. Saya tumpang gembiralah. Malaslah nak sambung belajar... kerja dah elok. Tak ada masalah...”

Ini saja jurang antara kami. Aku tak untung apa-apa pun kalau dia sambung belajar. Tapi, sikapnya seolah-olah menunjukkan itulah apa yang aku tak tahu mengenai Farid. Ya, dia sayangkan aku. Dia ikhlas dan jujur dengan perhubungan ini. Namun, aku tak reti nak berhadapan dengan sikap pemalas dia yang satu ni. Dia rajin bekerja tapi malas nak sambung pelajaran sedangkan....

“Tak ada masalah? Habis, tiap-tiap minggu mengadu kat orang. Kerja macam nilah, macam tulah.... Setakat... uh! Orang bukan nak hina kerja Farid, tapi fikirlah. Farid muda lagi, baru nak masuk 20. Farid anak sulung, orang pun anak sulung. Farid lelaki, nak tanggung adik-adik... dengan kerja yang....”

“Syeda, masa depan kita tak tahu macam mana, kan?”

“Habis, Farid nak tunggu masa depan yang tak pasti tu datang bergolek depan mata? Kalau tentu masa depan tu baik, tak apa. Kalau tak baik? Maksud orang, usaha selagi terdaya.”

“Kita cakap benda lain boleh tak?”

Tukar topik! Huh! Orang bagi nasihat tak nak dengar. Cakap sayang, cinta? Tapi, sepatah orang cakap yang betul, yang baik...tak nak terima!

Aku sayang dia. Sebab aku sayang dia maka aku nak yang terbaik untuk diri dia sendiri. Keluarga dia pun mesti gembira. Masa depan memang tak pasti lagi, tapi tak salahkan kita menentukan corak masa depan? Bukan kah itu yang dinamakan usaha. Bukan sekadar berpuas hati dengan apa yang dimiliki sedangkan ianya tak seberapa.

::KEMBALI::

Aku tinggalkan kampung halaman dengan sebuah azam untuk merubah masa depan keluarga aku. Aku tetapkan tekad di hati akan aku jadikan ini sebagai batu loncatan meraih bintang yang bersinar dalam hidup aku.

Cewah! Meraih bintang yang bersinar tu...

Sebulan di Kuantan, banyak pelajaran yang aku perolehi. Bagaimana aku boleh menilai sebuah persahabatan yang sebenarnya. Di mana sebuah perhubungan itu akan diuji kesetiaannya.

Selama aku bersama Farid, nama Azham perlahan-lahan tenggelam ke dasar ingatan. Baik Noni mahupun Yaya, masing-masing tidak pernah menyebut nama Azham. Pendengaran aku sering disogokkan dengan sifat yang ada pada diri Farid. Farid yang baik. Farid yang penyayang. Farid yang penuh dengan kasih sayang kepada gadis bernama Syeda. Namanya terus mekar di hati aku. Mami pun banyak memberi sokongan dan menasihati aku supaya pandai-pandai menjaga harti Farid meskipun dia sendiri was-was akan hubungan kami. Lebih-lebih lagi dia tahu siapa Farid dan apa yang Farid lakukan.

Hinggalah pada suatu petang, di hadapan bilik hostel, sewaktu sedang berkumpul di waktu petang nan damai. Biasalah, aku dan kawan-kawan yang baru sedang bergosip tentang diri masing-masing. Berkenalan mana yang patut. Sekolah kat mana? Asal mana? Segala yang rasanya patut untuk diceritakan...

“MRSM.’ Ringkas jawapan Ira apabila ditanya tentang pendidikan awalnya.

MRSM juga? Fifi pun produk MRSM, Hani juga produk MRSM. Aku produk SMK je.... Malulah pula nak mengaku.

“MRSM mana?”

“A’ah kak. MRSM mana? Banyak MRSM kat Malaysia ni.

“MRSM kat sini juga. That’s whyla Ira rasa macam pulang ke pangkal jalan je.” Sengih dan tersenyum manis.

Owh..okey.... hah? MRSM Kuantan ke? Adakah...?

“Err.. kalau macam tu, tak tahulah Ira kenal ke tak. But I have friend who studied at MRSM Kuantan.... Mohamad Zul Azham...”

“Kenal sesangat. My classmate tu.”

Dan saat itu, nama Azham kembali mengisi ruang hidup aku. Andai ada ruang, pasti aku korek segala memori Ira tentang Azham sewaktu zaman persekolahannya di MRSM. Daripada Ira aku tahu siapa yang disukai dan menyukai Azham. Melalui informasi Ira, aku tersenyum sinis kerana menurut Ira, Azham seorang jejaka pemalu yang teramat sangat.

Aku dah lama tahu pasal tu.

Namun, tidak pula aku beritahu rahsia hati aku terhadap Azham.

“Dengar kata dia dapat sambung belajar kat KUKTEM.” Ira menambah informasi yang aku tak tahu.

“KUKTEM? It is located in here, Kuantan, right?”

Saja je nak praktis cakap orang putih.

Ira angguk dan dada aku mula berdegup pantas. Debaran tiba-tiba menerjah memberikan impak yang besar dalam hidup aku. Yang bakal merubah masa depan yang cuba aku bina dari sebuah kepercayaan.

Telah aku cuba untuk menyahkan nama Azham. Aku cuba untuk tidak mengingati akan lelaki itu tatkala bertembung dengan Ira. Habis tu, takkan aku nak menjauhkan diri daripada Ira. Apabila berlibur di bandar Kuantan, aku berharap sangat yang aku akan bertembung dengan dia. Memang tak mustahil, tapi mengapa aku mesti terus mimpikan dia. Sekarang, aku ada Farid. Yang sayang aku. Yang rindu aku. Yang kasihkan aku.

Syeda, ingat Farid. Kasihan Farid. Sayangilah insan yang menyayangi anda bukan yang reject anda dari diari hidup dia.

:: BERUBAHKAH?::

“Macam mana study? Best tak belajar?”

“Bolehlah... biasalah, belajar. Apa sangat yang best...”

“Saya rindu sangat dekat awak.”

“Ehm...”

“Syeda?”

“Apa?”

“Kenapa ni?”

Yalah. Kenapa dengan aku ni? Bukan kah aku tunggu panggilan daripada dia? Bukan kah aku juga sedang merindui dia?

”Farid, orang tak boleh nak cakap lama-lama ni. Rumah nenek ada ramai tetamu.” Aku separa berbisik.

“Alah. Sekejap je lagi. Bukan selalu saya dapat telefon awak. Awak cuti pun tak lama, kan?”

Aku pulang atas dasar cuti sempena sambutan Hari Raya Haji. Seperti semua orang sedia maklum, cuti Hari Raya Haji selalunya tak lama lebih-lebih kalau ianya disambut di tengah-tengah minggu.

Lagi mahu tanya ka?!

“Orang memang tak boleh nak cakap lama-lama... Ehm, macam ni jelah. Apa kata kita jumpa di restoran auntie Zarina, mama Yaya? Ingat lagi kan? Yaya, ex-girlfriend Zaid, kawan dia yang tak guna tu?”

“Ingat... tapi, apasal cakap macam tu. Bukan salah saya kalau Zaid nak tinggalkan Yaya. Saya pun bukanlah kawan baik Zaid.”

Hati aku mencebik.

“Alah, lelaki. Semua sama je. Okeylah, orang kena letak telefon ni. Tetamu ramai sangat.”

“Okey. I love you. Assalamualaikum..”

“Ehm...”

Maka berakhirlah perbualan untuk hari itu. Perbualan yang menentukan keputusan akhir. Antara hidup dan mati jiwa seorang gadis dan pemuda. Gadis yang kononnya mencari kebahagiaan yang sebenar tapi tidak pernah ketemu dengannya. Pemuda yang menyangka cintanya telah lekat digenggaman.

:: ULANG ::

“Yaya, orang nak Yaya tolong orang. Tolong sampaikan surat dan cincin ni kepada Farid. Sepatutnya orang janji nak jumpa dia kat kedai mama Yaya, tapi.... tolong ya? Kalau dia tanya, cakap je orang ada urusan penting. Orang tak sanggup nak jumpa dia. Beritahu dia, orang minta maaf banyak-banyak dari hati. Kalau dia paksa tanya, suruh dia baca surat ni. Nanti dia akan faham sendiri.”

Ya Allah, maafkan aku. Bukan aku sengaja ingin melukakan hati dia. Ada perkara yang membuatkan aku sedar bahawa dia bukan yang aku mahu. Ada sesuatu yang menyakinkan aku bahawa ada yang lebih baik berbanding dia. Kalau bukan sekarang, mungkin suatu hari nanti. Dan aku bukan maksudkan Azham. Ada lagi yang lain... tapi mungkin juga... siapa tahu?

Keputusan yang aku buat ini mungkin juga bakal mengubah pandangan dia sendiri tentang hari depan.

Bintang- bintang yang cemerlang, yang sering menemani malam lara aku, menjadi santapan mata pada malam ini. Pada bintang di saat ini aku berjanji akan wujud cerita nyata di sebalik khayalanku. Pasti impian mereka yang bermimpi akan terlaksana jua. Pastinya...

Truuutt.... truut...

Alah! Telefon ni kacau daunlah! Aku nak bermelankolik pun tak senang.

“Hello?”

“Syeda?”

“Arr... Farid...”

“Kenapa pula tak boleh datang? Bukan ke awak yang janji nak jumpa?” keras je nada suara yang dihamburkan

“Mana Farid dapat nombor handphone orang ni?”

Sah! Yaya yang bagi ni.

“Sampai hati awak buat saya macam ni. Ada nombor baru pun tak beritahu saya sepatah pun....”

“Farid, orang minta maaf banyak-banyak. Farid dah baca ke surat yang Yaya bagi? Farid bacalah surat tu dulu, nanti Farid fahamlah kenapa...” aku ketap bibir. Tak berani nak luahkan sendiri tapi aku harus luahkan juga.

“Kenapa awak buat macam tu? Sengaja nak main-main dengan perasaan saya?”

“Farid, orang tak tahu nak cakap macam mana lagi. Baca surat tu dulu...”

“Lain kali jangan buat macam tu lagi!”

“Orang... hello? Farid? Farid~~~”

Dia terlebih dahulu matikan talian sebelum sempat aku memberi alasan seterusnya.

Bersaksikan bintang-bintang yang sama, aku menarik nafas lega. Moga dia faham. Harap dia mengerti akan keputusan yang telah aku fikirkan segala baik dan buruknya.

Farid, orang terluka dengan keputusan ini. Orang tahu luka Farid lebih dalam. Namun, orang yakin. Ini adalah yang terbaik untuk kita berdua. Inilah yang sewajarnya. Percayalah, andai Farid mengerti hikmah di sebalik perpisahan ini, pasti Farid akan berterima kasih. Orang tunggu Farid datang untuk mengucapkannya. Tetapi, sekiranya Farid tidak temui hikmah itu, maafkan orang kerana melukakan perasaan Farid. Yakinlah! Pasti ada cerita di sebalik sebuah derita. Maafkan orang, Farid. I’ll miss you.

:: LIMA TAHUN KEMUDIAN ::

Aku pandang pada wajah yang ada di hadapan aku. Keletahnya benar-benar mengusik hati kecil aku untuk terus mengamati wajah itu. Ada refleksi wajah insan lain pada garis lukis wajahnya.

"Miss, kalau saya kata ni Miss kena percaya tau," ujarnya dengan bersungguh. Aku angguk beserta dengan senyuman yang biasa terukir di bibir mulusku.

"Saya ni lelaki baik. Tapi, diorang selalu salah faham. Bukan saya sengaja nak main-main dengan perasaan diorang, dah memang saya tak ada perasaan kat diorang tu."

Sesungguhnya, kata-kata dia membuatkan aku sedikit terpana.

"Kenapa?" soal aku kembali.

"Yalah, saya ingat saya boleh jadi lebih daripada seorang kawan, tapi saya silap. Bila dah lama sikit, baru saya perasan yang saya langsung tak ada hati kat diorang. Miss, tolonglah percaya.. Jangan Miss pun salah faham," rayuan dia membuatkan aku mengimbas kembali memori silam.

"Saya faham."  Ringkas dan cukup untuk menggambarkan betapa aku memahami dia.... kerana aku juga begitu suatu waktu dulu.

Wajah pelajar lelaki yang memiliki nama yang sama dengan dia yang aku tinggalkan dulu aku renung lagi. Susuk tubuhnya yang hampir serupa juga benar-benar membawa aku ke waktu dulu. Kecil untuk seorang lelaki yang berusia 20 tahun. Kalau tak silap aku, waktu dia berdiri, tingginya lebih kurang 5-10inci daripada tinggi aku sendiri.

Farid,
Maafkan, Syeda. Satu pinta Syeda, maafkanlah segala yang telah Syeda lakukan. Biar tenang hati ini meski jauh beribu batu kita terpisah. 

Cerpen sebelumnya:
Cerita dari Jepun
Cerpen selanjutnya:
Berangan

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
4.0
2 Penilai

Info penulis

Shazmiey NSMY

apabila hidup ini dicurahkan dengan kasih sayang... kebencian sukar menjelang. namun sekali terpalit kelukaan, kebencian sukar terpadam... haruskah aku membenci atau membiarkan kehidupan dengan rona warna yang tak pasti.
shazmiey | Jadikan shazmiey rakan anda | Hantar Mesej kepada shazmiey

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya shazmiey
misteri kain putih | bacaan
Obsesi | 2365 bacaan
no title | bacaan
Berbaloikah? | 2280 bacaan
Hitam Putih Kehidupan | 2407 bacaan
no title | bacaan
Kisah benar seorang guru | 10656 bacaan
Aku anak si kupu-kupu | 3135 bacaan
Chairel | 2274 bacaan
MO1S08- KEMBALI KE ASALAN | 2325 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

7 Komen dalam karya Hidup atau Mati (3)- Finale
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik