Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Cerita Pendek > Cerpen Cinta

Tiket: Dua

Cerpen sebelumnya:
SELAMAT TINGGAL SAYANG
Cerpen selanjutnya:
Masih ada esok

 

cerita ini adalah kesinambungan cerpen TIKET karya Valium (ungku laila hanna)


 

       Tiket itu aku genggam kuat dalam jemari. Makin kuat, sama seperti lenggok kaki ini ke arahnya.

       "Ke tengah kota mencari orang?" sengaja aku tunggu matanya berkebil tiga kali.
"lagi?" senyumanku menguntum, sementara anak matanya mengecil.

       Nah, itu yang akan aku lakukan. Setapak lagi. Selepas bertahun aku tunggu. Sebentar. Silap, belum setahun lagi. Tapi hampir. Ya sudah 360 hari. benar-benar hampir dengan kejadian tiket. Setahun aku tunggu dia di sini.

       Aku ingat lagi senyum manis dan lenggok suaranya 50 minggu yang lepas. Dekat sini. Juga bunyi derai air dekat sinki dalam tandas di sana. Saat-saat aku rasa dia akan menjadi milik aku. Tapi, angan tetap angan, kurang dua baris ayat bualan, dia hilang. kesannya, dia tsunami dan aku pantainya. Walau berjuta ombak menghempas, tapi tetap dia impak paling besar. Seakan tak mungkin, hampir mustahil dapat aku lupakannya.

       Dia masih berdiri, hampir pegun, dekat sebelah poster Dunia Baru the Movie yang sudah berhabuk. Sekejap tadi, saat kaki ku masih puluhan meter jaraknya dengan kasut tiga incinya itu, dia bersandar lagi dekat tiang sebelah poster lusuh itu. Atas sebab aku kurang pasti, dia palingkan badan ke arah lain. Kemudian tangannya menggapai sesuatu dalam beg plastik jernih.

       Walau sedikit terhalang, juga jarak yang menghadkan ruang penglihatan ku, aku tetap pasti yang dikeluarkannya itu Twisties. Lebih tepat perisa BBQ. Sama dengan sebelum ini. Pasti.

       Setahun lepas, dia menguyah di sini dan aku masih sedang fikirkan cara untuk berkenalan dengannya. Sekarang, tak perlu lagi. Dah puas aku tunggu. Dah cukup penuh lingkup ruang sabarku. Nafsu ku, dah cukup lama terendam dalam rindu. Dia magis. Hanya perlu dua baris dialog. Aku dah jadi sebegini gila.

        Dongeng kah, penipuan kah, hanya aku yang alami.

        Lepas sahaja aku lihat kelibat terakhirnya 360 hari yang lepas, tak pantas aku ke tempat kerja. Malah hampir sahaja aku menaiki tren selepas itu untuk mengekorinya, ke tengah kota. Nasib baik, sempat aku ingat memang tiada nama stesen tengah kota pada laluan keretapi ini. Sudahnya, aku terlewat hampit tiga jam untuk ke pejabat.

       Kurang tiga jam selanjutnya, aku sudah pulang ke rumah dengan barang-barang peribadi. Orang atasanku, terus sahaja beri notis berhenti kerja secara automatik. Sebelum tangannya yang sedang mencekak pinggang itu bergerak ke wajah ayuku, ataupun, sebelum misainya aku kutil-kutilkan, terus sahaja aku cabut kaki keluar pejabat.

       Mana tidaknya dia buat keputusan sebegitu pantas, mesyurat penting yang fail utama berada di tanganku, dengan sengaja aku tidak sampaikan kepada sesiapa. Tambah lagi, aku kelewatan, pasti, tender dengan harga jutaan ringgit (yang dibeli dengan ratusan ribu ringgit suapan) itu, terbang begitu sahaja. Bagus juga negara ini, rasuah rasuah juga, disiplin tender tetap terjaga.

        Orang atasanku pula, dengan misai terangkat-angkat, tak bertapis saat menghujani aku dengan liur masamnya. Baru sahaja kaki kanan aku masuk, semua jenis sumpah seranah sudah hinggap dahulu ke telinga kiri ku. Kepala aku mengura-ngura (menjadi seakan kura-kura), sambil dengan tangan bergetar seakan pesakit Parkinson ini sibuk menghulurkan fail itu ke meja di hadapannya. Belum lagi bergesel sampul kuning itu ke kayu meja itu, laju sahaja dia parkir kan fail itu ke tong sampah putih di sisinya.

       Walaupun keadaan itu memang dalam jangkaanku, tetap badanku sengaja digigil-gigilkan, juga diselangi dengan jeritan kewanitaan dengan nada rendah. Beri impak kejutan kononnya. Orang atasan yang berkulit kurang cerah ini, bagai buta yang berdiri di hadapannya ini seorang wanita. Semua jenis kemaluan dituturkannya habis semua bentuk carutan jadi serapah. Akhir sekali, yang sempat aku dengar, aku diberhentikan kerja. Dalam jangkaan, malah impianku.

        Selepas itu, sampailah sekarang, aku terus jadi penunggu di sini, setia.

       Setia menjadi pungguk dalam bilik penjual tiket. Sengaja aku mohon kerja sebagai kakitangan di sini, tak sangka segalanya begitu lancar. Terus sahaja mampu duduk di hadapan cermin kaunter ini. Mengutip duit, menghulur tiket merah. Kadang warnanya berubah, kadang tiketnya berubah, tapi, hatiku tetap enggan mahu bertukar. Tetap, menunggu bidadari ku datang lagi, aku yakin.

       Keyakinan aku, tak pernah tergugat. Macam mana gah kesetiaan rel-rel besi pada landasan. Serupa kayu-kayu pasak setia pada tempatnya. Tak pernah kenal mati, tak kenal musim dan waktu. Tak pernah tahu sakit dan perit. Tetap setia menunggu di sini. Hari demi hari, waktu demi waktu. Tak pernah aku lepaskan sesiapa yang seakannya. Pernah aku tiba-tiba berlari keluar pejabat, semata-mata mahu mengejar sesusuk yang berpakaian sepertinya. Banyak kali sudah aku teka orang yang salah.

       Tapi kali ini, pasti. Pasti tak silap lagi. Habis. Habis semua kegilaan, tamat semua penantian.

       Dia sendiri yang beli tiket sehala di kaunter yang aku uruskan. Bila dengar sahaja suaranya dekat telingaku, seluruh deriaku seakan diuja. Tanganku seakan beku pada tempatnya. Mahu aku cepat-cepat mengangkat kepala, tapi hidungku lebih pantas menangkap bau minyak wangi yang masuk dari celah semi-bulat dekat cermin ini.

       Setelah sekian lama, perasaan itu datang lagi, puas untuk aku telan liur. Puas untuk aku seka peluh yang pantas saja merecik. Puas untuk aku kawal gelombang besar dalam dadaku, beri getar pada tanganku. Dia, tersenyum pulas, saat memerhatikan aku culas. Senyumnya lebih manis, bila sengaja aku sentuhkan kulit kami waktu menghulurkan tiket.

       Dia, tak perasankah? Tak terasakah apa yang sedang aku alami? Dengan tenang, seperti waktu kami berpisah dahulu, dia berpaling dan pergi bersama tiket sehala.

       Tak mahu aku biarkan dia pergi lagi. Terus aku letakkan papan kecil "Kaunter Ditutup, Harap Maaf." di hadapan lubang semi bulat. Dengan pandangan separa terkejut, separa meluat dari rakan sekerja ku, juga pandangan penuh bengang dari pembeli tiket selepasnya, aku melangkah laju keluar.

       Rambut pendek seakan lelaki yang aku miliki, disisip kemas dengan tangan yang masih perempuanku. Gula getah yang dikunyah sejak lima minit yang lalu, aku ludahkan ke tong sampah berhampiran. Aku kerling ke papan tanda elektronik dekat tempat menunggu. keretapi seterusnya, bakal tiba selepas tiga minit.

        Cuaca hari ini cerah. Sama dengan perasaanku bila lihat wajah bidadari tadi. Tak mungkin keretapi akan lewat sampai seperti sebelum ini. Tak beri aku masa lebih untuk tergagap. Luahkan hari ini. Lepaskan yang sepatutnya.

        Dia masih dihadapanku. Kakiku masih melangkah kearahnya. Poster Dunia Baru The Movie jadi saksi.

        Jemariku merekah, lenganku diangkat, aku hulurkan tangan ke bahunya. Poster Dunia Baru The Movie masih jadi saksi.

        Nafas dihela panjang, kemudian aku tarik kembali, mengumpul udara dalam peparu, sedikit beri darahku bergerak lancar. Beri gugupku kurang. Tarus, aku letakkan jemari ke bahunya.

        Dia bergerak.

        Tangan ini jatuh secara automatik ke peha, aku genggam angin, yang masih berbaki bau minyak wanginya.

        Dia bergerak, laju sahaja kakinya kehadapan. Seakan mengejar sesuatu, Twisties dalam genggamannya bertaburan.

        Mataku terkebil.

        Ada seseorang berdiri tegap beberapa meter dariku, dan bidadariku, tanpa ragu, terus mendakapnya.

       Mataku terjegil.

       Poster Dunia Baru The Movie meliuk ditiup angin.

       ****

       Cukup mengertikah dia tentang perasaan ini sewaktu dia dengan wajah selamba sahaja mendakap lelaki itu? Tentunya tidak.

        Berhari-hari aku menunggu, berpagi petang. Dia kembali, kali ini. Tapi hanya aku yang menjadi penunggu setia. Mungkin puteri kayangan itu bukan hak ku. Kali ini, aku benar-benar berputus asa terus pada kewujudan yang dinamakan hawa. Biarlah aku berselingkuh pada sifat asalku. Biar kan aku jadi normal semula.

        ****

        Tak lekas aku berpaling pergi. Langkahan aku yang sedia ke hadapan itu, aku teruskan sahaja. Bahunya aku capai, tapi, bukan dengan nafsu yang tadi.

        Matanya yang bersinar itu pantas ke wajahku. Jantungku masih ada getar pada pandangan secantik itu. Tapi aku tegakkan ego. Dengan senyuman kecil, aku arahkan jari telunjuk ke arah Twisties yang bertaburan. Wajahnya lekas sahaja berubah kasihan. Masih kekal manis.

        Saat dia melafazkan maaf. Lelaki yang didakapnya tadi, pantas mengutip Twisties tadi. Aku senyum kecil. Tak sanggup rasanya lebih lama di sini.

        "Baik-baik ke tengah kota." Kakiku mengarah ke pejabat.

        Kali ini dia yang terkebil-kebil. "awak..."

        Pastinya, dia baru sahaja sedar siapa aku. Mestinya, aku harus sedar siapa aku. Aku perempuan, seharusnya menjadi perempuan.

        Langkahanku agak gugup ke pejabat. Ada getar pada jantung saat menolak daun pintu itu.

        "Gagal lagi?" Teman sekerja yang sibuk memberi tiket sempat mengerling ke arahku.

        Aku senyum, kepalaku dianguk-angguk perlahan.

        "Mungkin ada orang menanti kau, macammana kau menanti bidadari palsu kau itu." Suara lelaki yang tua dua tahun dari aku itu, bergema dalam liang telinga ku. Aku tarik kerusi, lalu melabuhkan punggung perempuanku yang kecil. Mataku, tak lepas dari bibir di sebelahku itu.

         "Maksud kau." Papan tanda "Kaunter Ditutup, Harap Maaf." Aku alihkan. Tapi, belum sempat aku letak ke sisi. Dia lebih cepat menggapai tangan aku.

         "Mungkin kau tak perlu tunggu lagi." Tangannya yang sedikit kasar itu, bergerak atas kulit tangan ini.

         Hatiku tersentak. Mata kami bergerak serentak. Bertaut.

Cerpen sebelumnya:
SELAMAT TINGGAL SAYANG
Cerpen selanjutnya:
Masih ada esok

Share!Email

HTML:
Rekomen!!rekomen!
Reviu rekomen!
Nilaikan karya ini
Nilaikan karya ini
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang dibenarkan menilai karya-karya di Kapasitor. [Login]
3.6
5 Penilai

Info penulis

ApuN

esok malam kita lihat bulan, aku lihat engkau. esok malam kita lihat bulan, aku lihat aku.esok malam bulan lihat kita yang saling beku.
zInggOf | Jadikan zInggOf rakan anda | Hantar Mesej kepada zInggOf

Info Karya
print CETAK
hakcipta karya ini
Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan

email EMEL
karya curang LAPORKAN
rekomen! REKOMEN!!
reviu! REVIU

lain-lain karya zInggOf
M01S09 - Arukh Safuna (ii) (re-production) | 2253 bacaan
M01S09 - Arukh Safuna (i) (re-production) | 2722 bacaan
tangsi | 3035 bacaan
rahsia | 3232 bacaan
DOA | 3222 bacaan
rajawali e2 | 4270 bacaan
rajawali | 4320 bacaan
carldena | 2662 bacaan
Lihat semua

komen dari Facebook

10 Komen dalam karya Tiket: Dua
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda


Ikut kapasitor



Cerpen-cerpen berkaitan

Dari arkib cerpen Kapasitor.net


Arkib
100 Cerpen Terbaik