Pasar basah di hujung kota ibu negeri Simpang Durian tiba-tiba ditimpa kejutan.
"Tuan-tuan dan lawan-lawan, hari ni, di pagi yang mendung ini, ingin saya menawarkan anda semua satu keajaiban yang sukar untuk dilepaskan. KIPAS ANGIN BURINA!"
Orang ramai mula mengerumuni laman penjual tersebut. Bagai semut menyerang sebutir gula-gula Mentos yang cair di sudut meja. Semuanya kerana mendengarkan jenama Burina.
"Ya tuan-tuan. Kipas ini memang cantik. Bilahnya diperbuat daripada emas bertatahkan admantium yang sukar diperolehi di Semenanjung Harapan ini. Soket 3 pinnya kami sediakan dalam pakej halimunan dan di atas angin. Mari cuba, mari pegang. Jangan pegang saya sahaja!"
Makin ramai menjengah. Bagaikan seluruh pelusuk bandar tersebut datang. Oh, mungkin saya keterlaluan di bahagian itu. Biar saya ubah. Ya, bagaikan seluruh rakyat di Negeri Simpang Durian hadir ingin melihat kelibat kipas tersebut! Memang ramai. Bersesak-sesak. Panas, hangat, sukar untuk bernafas. Ada yang mula mengambil kesempatan menjual tabung oksigen.
"Tapi ana tidak faham mengapa harganya jauh murah, " seorang bakal pembeli, berbangsa Proto cuba mendapatkan penjelasan,"emas dari manakah salutan bilahnya?"
Seorang lelaki besar dan gelap di belakang menghayunkan tangan sederasnya pada kepala Proto tadi seraya berkata," orang kaya. Sila ambil nombor giliran bertanya," sambil mula mendail nombor kecemasan hospital melihatkan keadaan Proto pengsan bersama telinga yang berdarah.
Saya yang sedang bercerita pun pitam melihatkan darah tersebut. Sambungan cerita akan difikirkan. Harap-harap tiada darah diperlukan dalam siri seterusnya. Ah, siapalah yang ingin baca cerita tanpa keganasan dan darah kan?!