Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Dari Langit

 

ini adalah sambungan Kepada Arman



Lukisan abstrak di dinding belakang itu aku tenung lama-lama. Cuba mencari titik ulangannya. Aku percaya, tiada satu pun benda di dunia ini yang abstrak. Semuanya hanya penipuan mainan bagi minda yang kurang peka. Abstrak itu sebenarnya hanyalah corak-corak tertentu yang telah disusun supaya kelihatan rambang. Kerana kononnya rambang itu abstrak. Rambang. Abstrak. Tidak tentu hala. Apapun perkataannya, kita manusia memang suka pada sesuatu yang tidak tentu dan tidak pasti. Yang semestinya lebih mencabar daripada kebiasaan hari-hari. Begitu juga aku.

"Arman?!"

Bahu kananku langsung ditepuk kasar bersama teguran itu. Oh, aku kenal sungguh suara garau ini dan ia langsung mematikan seleraku untuk melihat lebih jauh ke dalam lukisan abstrak itu. Aku berpaling dan tersenyum tawar, "Megat, apa kau buat kat sini?"

"Aku tengah tunggu bini yang sorang tu. Mengada pulak nak makan restoran mahal malam ni. Kau? Tunggu siapa?"

Belum sempat aku menjawab soalan itu, mata lelaki berdarah melayu berwajah cina ini terus melirik kepada beberapa kuntum mawar putih yang elok tersampul dalam plastik merah ungu di bahagian kiriku. Seraya itu dia terus mengangkat sebelah keningnya, "Bunga? That's so not you! Tunggu Ratu, ya?"

Aku menatap wajah lelaki itu buat beberapa ketika, menimbang-nimbang jawapanku. Kemudian aku mengambil keputusan, apa lagi gunanya menipu. Lambat laun dia akan tahu juga. Semua orang pun akan tahu. Untuk setiap hutang air mata perempuan itu yang gugur ke bumi, sekurang-kurangnya boleh terbalas apabila seluruh dunia tahu. Dan mengerti. Langsung aku tersenyum lebar dan merasakan sudah sampai masanya aku meninggalkan semua beban ini di belakangku, "Taklah. Aku tunggu Lara."

Terbelalak mata sepet cina Megat mendengarkan nama itu, "Apa? Kau masih lagi berselingkuh dengan perempuan itu?" Tanpa segan silu, dia menarik kerusi bertentang denganku dan melabuhkan punggungnya, "Aku tak faham. Apa yang kau nampak pada perempuan itu? Apa kurangnya Ratu?"

"Dan kau kira aku berhutang penjelasan padamu? Ini hidup aku, bukan?"

"Ya. Ini hidup kau. Tapi aku dah menjadi kawan kau separuh dari masa kau hidup. Sama juga dengan Ratu. Dah bertahun kita kenal bersama. Bertahun. Am I not entitled for a little bit of explanation?"

Aku menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya kasar, "Okay, kalau itu yang kau mahu. Here's the first explanation. Aku dah tinggalkan Ratu."

Aku melihat corak perubahan di muka teman rapat itu sambil menyembunyikan kegelian di hati. Kalau kami tidak berbicara tentang sesuatu yang serius atau mungkin di tempat lain selain restoran terkemuka ini, mungkin aku sudah terguling-guling tertawa. Mukanya berubah daripada terkejut kepada tidak percaya, dan kemudian skeptikal. Setiap kali ukiran wajahnya berubah, dia membuka mulut untuk berbicara tapi kemudian ditutup semula. Kalau anda pernah melihat seekor ikan emas sesak nafas, nah begitulah rupanya sekarang.

"Tak mungkin," luah Megat akhirnya setelah beberapa kali membuka katup mulut, "Apa kata dia? Apa kata ayahnya?"

"Oh, dan ini penjelasan kedua. Aku dibuang kerja," berita yang aku khabarkan padanya kali ini tidak berjaya memberikan rentetan reaksi seperti yang sebelumnya. Aku sedikit kecewa melihatkan dia kembali tenang menghirup semua kenyataan hidupku. Aku cepat-cepat menokok tambah penjelasanku tanpa diminta. Lebih baik biar aku yang bercerita, daripada dia yang bertanya, "Kau pun tahu betapa Ratu itu dimanjakan ayahnya. Kau ingat, setelah aku menghantar pulang puterinya ke depan pintu dengan mata bengkak-bengkak dan muka kemerahan, aku masih boleh menjadi orang kanan?"

"Eh tak acilah macam tu! Kerja kau tak ada kaitan dengan anak perempuannya."

"Ini dunia batu kaca, Megat. Memang sifat manusia penuh dendam, bukan?"

"Habis tu, apa kau mahu buat sekarang?"

"Entahlah Megat. Kau tahu aku tidak betah hidup bertali leher. Bukan pejabat itu sahaja yang boleh beri aku makan," aku mencapai cawan kopi yang separuh penuh di depanku dan membasahkan bibir. Ada sesuatu perasaan yang menendang-nendang pundi perut tapi tidak aku endahkan. Aku mesti kuat menghadapi ini. Ini serangan pertama dalam peperangan aku dan Lara. Dan untuknya, aku percaya aku sudah sedia untuk meninggalkan semua keselesaan duniaku sekarang, "Kau tahu, Megat. Dah lama aku tak sentuh kamera aku. Dah habis berhabuk dah."

Megat tersenyum mendengarkan aku berkata begitu. Aku pun tidak pasti di mana lawaknya, "Kau mahu mengambil gambar semula? Aku selalu kagum dengan hasil-hasil lensa kau. Kan betul aku kata dulu, seorang perempuan tak akan dapat memisahkan kau dari minat itu."

"Aku setuju. Tapi kau lupa. Perempuan yang menyebabkan aku putus asa pada minat ini jugalah yang akan membuatkan aku terjebak semula."

"Lara lagi?" Megat mencebik, "Hurm. Suka hati kaulah, kawan. Asalkan kau bahagia. Eh, apa kata mak ayah kau? Diorang tak kisah?"

"Kau tahu bila-bila masa pun mak ayah aku lebih berat kepada Lara. Diorang cuma risau sebab anak mereka ini dah jadi penganggur sekarang. Aku pun patutnya berasa sedikit risau dan concern tapi kau tak akan faham betapa leganya aku bila terlepas dari genggaman Ratu dan ayahnya." Selepas sahaja perkataan itu terlepas dari lidahku, perasaan yang menendang-nendang pundi perutku tadi pun turut hilang. Aku kira, keraguanku semua sudah rapuh dan tunduk pada kemahuan aku pada Lara. Sekarang, aku betul-betul bisa senyum lebar.

Tidak kurang lima minit kemudian, telefon Megat berdering dan menyelamatkan aku daripada terus dihujani soalan-soalan buta lelaki itu. Mungkin sekali itu isterinya, Tika. Baguslah. Aku pun sudah muak disoal bagai banduan. Megat bangun dan berlalu ke luar, mencari privasi. Aku pula mengalihkan pandangan pada gerbang tingkap yang mengisi hampir keseluruhan muka depan restoran. Restoran ini terletak betul-betul di bahu sebuah jalan utama. Pada kebiasaannya, jalan utama di luar itu penuh sesak dengan kenderaan dan orang lalu-lalang. Tapi entah kenapa malam ini lengang betul. Sampaikan sewaktu aku tiba tadi, secubit desir angin pun tidak kedengaran. Seluruh alam bagai menanti satu peristiwa penting terjadi. Aku harap aku terlibat sama dalam peristiwa penting itu.

"Arman!"

Tumpuan perhatian aku pada lenggok lampu jalan yang terbuai-buai di luar tingkap itu terus mati disergah. Sumpah. Aku tidak suka disergah.

"Ada orang nak terjun dari bangunan kat depan ni. Kau tak mahu tengok?" soal Megat cepat-cepat. Mukanya bercahaya dengan perasaan yang tidak dapat aku tafsirkan. Mungkin dia serba salah kerana ghairahnya lebih dari simpati. Aku pun tidak pasti. Yang pasti, aku sendiri merasakan begitu. Lidah aku yang sudah terlebih bersedia dengan himpunan sumpah seranah untuk kawan itu terus tersipu kelu. Aku tidak pernah melihat sesuatu seperti ini.

***

Kain putih yang membalut tubuh itu seperti terlalu biasa aku lihat. Aku melirikkan mata pada kuntuman bunga yang masih di bangku restoran itu sebelum mencuri pandang pada muka bulat jam hitam di tanganku. Tidak mungkin. Tidak mungkin sama sekali. Dia pasti tiba. Aku cuba memujuk diri sendiri dengan kata-kata kosong. Tetapi panahan kelibat kain putih itu lebih besar kuasanya dan ia mewujudkan kembali perasaan yang menendang-nendang perutku tadi. Tambah lagi seperti ada pula satu tangan asing mencengkam salur nafasku. Rasanya kalam kesedaran itu hanya tiba dalam sesaat dua, tapi bagiku bagai beribu tahun lamanya. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu percaya, aku tak boleh percaya.

"Arman, itu..." Megat bersuara antara dengar dan tidak di sebelahku.

"...Lara," aku menyambung kata-kata itu, masih kurang percaya. Serentak dengan itu kelibat berbaju putih itu mendepangkan tangan dan terus melangkah ke depan, menjunam. Tanpa sedar, kaki aku terusan bergerak sendiri. Bagai orang gila aku menjerit-jerit nama dewi itu. Semua yang menghadang di jalanku aku tolak ke tepi. Ibu, anak kecil, nenek tua. Ke tepi dan aku tidak peduli lagi. Disela setiap jeritan, aku terdengar nama aku pula yang sayup-sayup diteriak satu suara garau. Aku tidak peduli lagi. Ya Tuhan, selamatkan dewiku.

Hampir sahaja aku selesai meredah kelompok-kelompok manusia yang tiba-tiba sahaja beribuan datang entah dari mana, lengan kiriku ditarik dan aku dipaksa masuk semula ke dalam kelompok mereka itu, "Apa kau mahu buat?" soal Megat sambil menahan nafasnya yang tercungap. Aku memandang muka yang separuh merah itu dan seakan-akan mahu menampar sahaja dia kerana masih tidak faham.

"Aku mesti selamatkan dia."

"Kau gila?! Kalau dia jatuh atas kau, kau pun takkan selamat kau tahu tak?"

"Aku tak peduli, Megat. Kau tak faham! Aku sayangkan dia!" Tangan besar yang mencengkam erat itu aku leraikan secepat mungkin sebelum langkah kakiku terus menyusup semula ke garisan hadapan gerombolan manusia yang makin lama makin padat. Sesampainya aku di ruang kosong di tengah-tengah lingkaran gelanggang manusia itu, tubuh kecil Lara sudah lebih separuh jalan mencium tanah. Kain putihnya terhanyut ditiup angin. Ya Tuhan, apa yang patut aku lakukan. Ya Tuhan, berikan sayap buatnya. Ya Tuhan, selamatkan dewiku.

Aku melangkah ke hadapan dan ke belakang berulang kali, buntu. Dimana jatuh kamu, Lara? Kedua-dua tanganku diangkat dalam lagak cuba menyambut wanita itu. Aku memejamkan mata, cuba mencari mana-mana kekuatan yang tersisa. Kalau ada. Belum pun sempat aku membuka mata semula, tiba-tiba sahaja pinggangku ditarik ke belakang dan aku direbahkan ke tanah. Kepalaku ditekan tunduk dan penglihatanku terhalang. Serentak dengan itu, satu bunyi kuat menggegarkan dataran kosong itu dan sekaligus menampar kewarasan aku. Itu kali pertama aku mendengarkan bunyi itu dan aku berani bersumpah ia boleh buat sesiapa sahaja jadi gila. Andai sahaja kamu mendengarkan bunyi itu, kamu akan mengerti akan ngerinya. Apatah lagi aku yang tahu, bunyian itu menandakan rapuh hancur tulang belulang dan koyak rabak seorang dewi, milik aku.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) tidddaaaakkkk!!!!! (eh, tapi aku dah tau lara mati, apsal aku acting mcm baru tau??)

  • (Penulis)
    2) saper kata lara mati?
    ;P
  • 3) hah? lara tak mati? adakah dia bakal menjadi bionic woman? ataupun..ataupun..hmm...x best main teka2..aku tunggu val! aku tunggu!
  • 4) maybe ade burung tiba-tiba hilang kawalan..pastu kepak beliau xley berfungsi..lalu burung itu jatuh terhempas ke bumi..BUK! (burung kejadah hape bunyi kuat sgt? garuda? hehehe)
  • 5) saya rasa mesti burung tu cramm..sbb x warm up sblum terbang tadi :D
  • 6) suke nama Lara ;D
  • 7) ini, mau jadi novel ni. sbb mcm banyak je nak diterangkan. haha
    adakah endingnya sudah ada?

    harapan saya agar setiap plot yg dicerita dalam entri kali ini akan memainkan peranannya dalam sambungan cerita. saya tahu kamu di tahap itu.

  • (Penulis)
    8) perlu ke saya ubah ke ruangan novel?
    saya fobia dengan ruangan itu
    sbb nanti ada jaminan perlu disambung
    :P
  • 9) val, letak dlm entry suspen.
  • 10) best la... heheheh.. valnyer idea slalu vogue... gambate bebeh!
  • 11) nape pinggang die kene tarik?
  • 12) bile nk wt sambungan..aduii..sesak jantung bace cerita.x sabar2 ngn sambungannyer

Cerpen-cerpen lain nukilan valium

Read all stories by valium