Atea bungkam di bahagian belakang kelas. Dia dengar suara Fariq mengajar. Tapi tidak tahu apa yang diajarnya. Dia hanya terdengar Fariq menyeru namanya, menyebut betapa dia cinta dan rindu. Mendengar dengusan dan hembusan nafas Fariq saja.
“Atea Zatira!”
Atea tersentak. Itulah kali pertama Fariq memanggil namanya sejak mereka berkenalan 3 tahun lalu. Atea ingat lagi, mereka tidak pernah berkawan. Dia ingat dialog Fariq ketika kali pertama bertemu empat mata.
“Hai, Baby. Dah lama abang perhatikan Bee. Tak tahu kenapa, tapi ada perasaan sayang dalam diri abang. Boleh kita bercinta?”
Cuitan Melly di bahu mengembalikan Atea ke alam nyata. Dia angkat muka memandang Fariq di depan kelas. Melly dan Benny berpandangan. Pelik dengan sikap Atea. Sudah hampir 2 minggu dia begitu. Macam orang sakit. Termenung dan selalu menjauhkan diri. Katanya tak cukup tidur.
“Saya perhatikan awak banyak termenung sekarang ni. Lepas ni jumpa saya di pejabat saya," pesan Fariq sambil menanggalkan cermin matanya. Dia mengambil bukunya dan melangkah ke pintu. Terus berlalu.
“Tea, kau nak kami temankan kau?” tanya Benny bila melihat Atea mengorak langkah ke bangunan yang menempatkan bilik pensyarah.
“Tak apalah,” Atea menolak lembut. Bukan apa, dia takut kalau dia tertinggi suara nanti, terdengar pulak mereka di luar.
“Aku rasa lebih baik kami temankan kau. Encik Fariq tu lelaki, hari pun dah petang. Lagipun, dia kan dah resign. Aku takut kalau dia ambil kesempatan nanti”, kata Melly pula. Dia lebih risaukan teman baiknya itu. Takut tunangnya membuat perkara yang tak baik pada Atea.
“Percayalah, aku takkan apa-apa. Korang baliklah dulu," Atea angkat kepala dan hulur senyum pada Melly dan Benny yang asyik menjawab panggilan.
“Tapi...” Melly masih bimbang.
“Pergilah balik dulu. Kan hari ni kau nak tengok baju pengantin dengan bakal mak mentua.”
“Oh, ya jugak. Kau tak nak temankan aku?” tanya Melly.
“Kau pergilah. Ajak Benny. Diakan arif pasal baju pengantin ni. Kau pun boleh survey kat kedai makcik dia,” cadang Atea.
“Okey,” Melly senyum. Diraihnya Atea ke dalam pelukan. Kemas sekali dia memeluk teman tersayang.
“Kami pergi dulu, take care.”
Atea menanti hingga dua teman itu menghilang ke tempat parking kereta. Kemudian lambat-lambat dia menapak ke bilik Fariq. Malas mahu bertemu muka dengan lelaki itu. Walau rasa rindu membuak-buak, Atea takut mahu bertentangan mata dengan Fariq. Dia tahu dia akan kalah.
Sebab itulah sudah dua minggu dia tidak pulang ke apartmen Fariq. Entah macam manalah keadaan rumah berbilik tiga itu. Kemas atau berselerak. Fariq bukannya rajin sangat mahu mengemas. Pakaian dicampak ikut suka. Sinki penuh pun dia buat bodoh aje.
Fariq hanya memerhatikan Atea masuk. Hari itu Atea memakai baju kurung putih berbunga ungu. Fariq memang suka kalau Atea pakai baju kurung tu. Nampak ayu. Rambutnya disepit dan separuh dibiarkan berjuntai. Walaupun wajahnya nampak pucat, keindahan masih sudi bertamu di situ.
Melihat Atea hanya berdiri di depan pintu, Fariq bangun dari kerusinya dan menghampiri Atea. Dipegangnya kedua belah pipi Atea dan sebuah ciuman diberikan ke hujung hidung Atea. Atea memejam matanya seketika.
Satu rutin yang akan Fariq lakukan bila saja bertemu Atea. Tidak kiralah walau dia baru meninggalkan Atea seketika atau baru keluar dari kamar mandi sekalipun. Hidung itu akan dicarinya dulu. Rasa rindu hilang sebaik saja bibirnya bertemu hidung Alya.
Hebat betul penangan hidung anak melayu itu. Tidaklah terlalu mancung, tapi kecil dan cantik terletak. Atea tidak pula membantah malah dia akan ketawa mengekek bila Fariq mencium hidungnya.
“Bee duduk dulu.”
Atea akur pada arahan itu. Duduk di sofa yang berada di sebelahnya. Dia meletakkan fail ke atas riba dan tunduk.
Fariq ke pintu, membuka daun pintu dan meninjau keluar kalau-kalau Melly dan Benny menemani Atea. Berpuas hati dengan keadaan kaki lima yang lengang, dia kembali menutup pintu.
“Bee sihat?” soal Fariq lembut sambil duduk di sebelah Atea.
Fail yang Atea daratkan atas pahanya dialihkan ke atas meja. Kemudian dia meletakkan tangan ke atas paha Atea dan diusap lembut. Atea angkat muka.
“Abang nampak Tea macam mana?” tanyanya ringkas. Dengan intonasi suara yang mendatar.
“Abang tengok Bee macam sakit je.”
“Tea sihat. Cuma hati Tea ni aje yang sakit. Pedih macam kena siat,” adu Atea. Fariq orak senyum.
“Abang faham, sayang.”
“Macam mana Tea nak senyum kalau... kalau...” Atea tak mampu menyebut perkataan itu.
“Kalau apa?” tanya Fariq lembut. Dia ingat lagi Atea bersumpah takkan menyebut perkataan itu sehinggalah saat yang sesuai. Saat yang mana semua akan ada untuk menjadi saksi.
“Kalau abang bakal jadi suami perempuan lain tak lama lagi. Perempuan tu pulak teman baik Tea. Tea rasa dikhianati. Dalam masa yang sama Tea juga rasa Tea ni mengkhianati,” adu Atea lagi. Dia mahu meluahkan semua yang membuku di hatinya. Setitis air matanya jatuh.
“Lama lagi, sayang. Lagi setahun baru abang setuju nak kawin dengan Melly. Umur abang waktu tu dah hampir 30 tahun, kan? Bee ingat tak, kalau abang dah 30 tahun, apa abang boleh buat? Abang dah cerita pada Bee, kan? Waktu tu babah dah tak berhak lagi atas diri abang. Abang milik Bee sepenuhnya,” Fariq belai rambut Atea.
“Tapi kalau mereka nak awalkan? Kalau babah abang nak awalkan?”
“Who’s the groom here? Me or him?”
“Tea... Tea takut. Takut kalau abang jatuh ke tangan orang lain,” Atea menyuarakan kebenaran. Fariq pegang pipi Atea dan merenung ke dalam mata Atea.
“Bee ingat tak lagi abang janji? Kan abang dah janji yang abang takkan sesekali tinggalkan Bee. Abang akan tetap bersama Bee, selagi Bee perlukan abang. I won’t leave you. Except you ask me for. Ingat tak, sayang?” tanya Fariq mesra.
“Abang janji sekali lagi,” pohon Atea. Dia mendaratkan kepala ke dada Fariq. Jarinya menyeka air mata.
“Apa dia, Bee? Cakap je. Abang akan ikat janji tu.” Fariq belai rambut Atea.
“Selain Tea, orang lain tak boleh jadi isteri abang. Takkan ada satu pun perempuan yang akan jadi permaisuri di hati abang. Selagi Tea hidup, kedudukan tu hanya untuk Tea.”
“InsyaAllah, sayang. Abang berjanji. Tapi Bee jangan lupa mohon dengan Allah. Moga-moga isteri abang hanya Bee sorang je.”
Atea angguk. Dia melingkarkan tangan ke pinggang Fariq. Secarik senyum terukir di bibirnya.
“Bee,” Fariq menyeru lembut di telinga Atea. Dikucupnya hangat cuping telinga Atea. Atea tahu keinginan Fariq.
“Jangan, abang. Nanti orang dengar,” tegah Atea.
“Mana ada orang lagi, semua dah baliklah. Bolehlah. Abang rindu sangat-sangat kat Bee,” Fariq memujuk. Tangannya mula naik membelai telinga Atea yang satu lagi.
Atea merenung dalam ke arah Fariq. Fariq tahu kelemahan Atea. Telinga. Sebelum tidur, Atea akan minta Fariq mainkan telinganya. Dan Fariq tak menolak. Membelai lembut hinggalah Atea memejam mata. Atea hanya mampu merenung ke dalam anak mata Fariq saat lelaki itu merapatinya.
|