Bear tolong kesatkan peluh yang mula berbiji di dahi Fariq. Tangan Pak Imam yang digenggam sedari tadi pun dah dibasahi peluh. Tergeleng Datuk Fadil dibuatnya. Lima kali dihentak tangan oleh pak imam, Fariq masih terkulat-kulat.
“Kita rehatlah kejap. Pengantin lelaki ni panas agaknya,” usik pak imam. Fariq tak tunggu terus menerpa ke pintu masjid dan Bear mengekori.
“Kau kena tenang, Riq. Tumpu perhatian,” nasihat Bear sebaik saja dia sudah berdiri di belakang temannya itu. Mereka mula akrab bila Fariq masuk ke pejabat.
“Tenang, tenang. Itu ajelah kau mampu cakap. Cuba kau di tempat aku ni. Peluh sampai ke keting, tau tak?” bentak Fariq.
“Aku tahu. Sabar, Riq. Istighfar banyak-banyak.”
“Tak taulah kenapa sebaik saja aku nak sebut nama Melly, macam ada sesuatu yang menyekat kerongkong. Macam pernikahan ni tak direstui,” adu Fariq.
“Tak restu macam mana pulak ni? Kan semua merestui pernikahan ni. Kau jangan macam ni, Riq. Kesian kat Melly. Sampai dah menangis dia tu ha!” pujuk Bear.
“Kenapa dengan aku, Bear? Kenapa lidah aku seakan kelu? Di kehidupan yang sebelum ni, aku ada buat sumpah ke?”
“Ish, kau ni mengarut betullah. Mana ada macam tu,” bantah Bear. Kesian melihat teman baiknya itu mundar-mandir di depan masjid tu.
“Dah lima kali, Bear.”
“Alah, baru lima kali. Orang lain sampai 10 kali, tak heran pun,” Bear cuba menyedapkan hati Fariq.
“Ada ke?” soal Fariq kembali. Biar betul sampai 10 kali. Dia nak cukupkan lima kali pun rasa semput nafas.
“Tak tau. Aku agak jelah.”
“Kau ni, tu nak sedapkan hati aku la tu.”
Bear hanya mampu tersengih bila Fariq menunjal lembut bahunya. Dua teman itu saling bertukar tawa. Fariq tarik nafas panjang-panjang dan dilepas keluar seakan membebaskan dirinya dari belenggu masalah yang menjerat. Dia memicit tengkuknya beberapa kali sebelum menoleh ke arah Bear dan angguk.
“Let’s go. Aku ada peperangan yang belum selesai lagi ni.”
“Good luck.”
Mereka kembali ke depan pak imam. Fariq tarik nafas panjang-panjang dan kerling ke arah Melly. Memang kesian gadis itu. Sudah basah dengan air mata. Fariq seru nama Tuhan banyak-banyak dan capai tangan pak imam.
“Alhamdulillah, selamat,” itulah kata-kata pak imam bila semuanya mengangguk menandakan akad yang Fariq lafazkan sebentar tadi sah. Bila doa dibaca, Fariq tadah tangan. Tapi entah kenapa fikirannya tidak disitu. Dia hanya tersedar bila Bear cuit hujung lututnya.
“Cincin.”
Melly tunduk mengucup tangan Fariq manakala Fariq kucup Syahdu dahi Melly. Tiba-tiba dia merasakan tindakan itu pernah dilakukan sebelum ini. Adakah dia dikuasai oleh deja vu atau dia pernah melakukan perkara itu?
“Cepat, Riq. Kita bergambar dulu sebelum balik.”
***
Atea bungkam di sebelah Seri yang memandu tenang. Rasa menyesal pula Seri dibuatnya kerana membawa Atea ke masjid tempat berlangsungnya pernikahan Fariq. Dia nampak macam mana Atea menangis melihat sandiwara itu dari jauh. Macam orang gila Atea meratap hiba. Hinggakan Seri terpaksa memapahnya ke kereta.
“Atea,” seru Seri. Dia memicit bahu Atea lembut. Ketika itu mereka sudah berada di bawah kondominium tempat Atea menyewa. Atea menoleh.
“Awak nak saya temankan?” tanya Seri perlahan. Atea menggeleng.
“Takpelah, Seri. Saya boleh hadapinya sendiri,” balas Atea sambil mengusap perutnya yang mula menampakkan isi.
“Tapi...”
“Terima kasih kerana membawa saya ke sana. Terima kasih kerana memberitahu kebenarannya. Terima kasih, Seri,” ucap Atea berkali-kali. “Jangan risau. Saya takkan buat perkara bodoh. Masih ada insan lain yang memerlukan saya.”
Seri tahu Atea memaksudkan kandungannya. Bila saja Atea menyebut tentang anak yang dikandungnya, pasti wajahnya akan berseri-seri. Seakan-akan anak itu menjadi penyambung hayatnya. Seri sentuh perlahan tangan Atea yang berada di atas perutnya.
“Kalau ada apa-apa, telefonlah ye.”
Atea angguk sedikit dan menyorong tubuhnya keluar. Dia berdiri menanti hingga Seri memandu keluar barulah dia menapak perlahan-lahan ke lif. Di dalam lif barulah air matanya jatuh lagi.
“Ya, sayang. Papa kawin lagi. Papa sayangkan kita, tapi dia terpaksa. Papa tak minta semua tu, tapi dia dipaksa dalam diam. Jangan salahkan papa. Nanti papa akan cari kita. Papa akan cari kita,” bisik Atea perlahan sambil mengusap perutnya lagi.
***
Fariq cuba memejamkan matanya. Dia kepenatan, namun mata enggan pejam. Kantuk enggan menghampiri. Dia perlu rehat kerana esok, sepanjang hari dia akan sibuk. Dia akan disandingkan esok. Dan pastinya itu akan memenatkan badan.
Bear sudah berdengkur di atas sofa. Kesian pulak mahu mengejutkan anak muda itu. Seingatnya Bear berpesan supaya dia dikejutkan jam 12 malam tadi untuk pulang. Melihat lena Bear yang seakan tidak terganggu, Fariq tak sampai hati pula. Jadi tinggallah dia terkebil-kebil sendirian.
“Eh, kau tak tidur lagi?” Bear tiba-tiba terjaga dan terkejut dia melihat Fariq masih duduk di atas kerusi rehat yang terletak berhampiran tingkap Perancis di biliknya. Fariq menolak dan hulur senyum.
“Aku tak ngantuk lagi. Kau tidurlah.”
“Aku nak baliklah,” kata Bear sambil bangkit. Dia menggeliat enak.
“Tak payah baliklah, Bear. Tidur aje kat sini. Tidur kat atas katil tu. Aku tak kisah,” halang Fariq cepat bila Bear menyuarakan hasratnya.
“Dah lewat ni. Esok aku datang sebelum Zuhur. Kau jangan risaulah. Lagipun, aku tak biasa tidur rumah orang ni,” kata Bear ikhlas.
“Tak payah baliklah, Bear. Kau... kau temankan aku.”
Spontan Bear tergelak mendengar permintaan Fariq yang terakhir. Macam anak kecil merayu agar jangan ditinggalkan sendirian oleh bapanya. Fariq tak ambil hati bila Bear gelakkan dirinya, dia hanya senyum.
“Apa yang kau takutkan? Melly takde kat sinilah. Lagipun, Melly yang patut takutkan kau,” kata Bear sambil gelak lagi.
“Katalah apa yang kau suka. Yang penting kau jangan balik.”
“Yelah. Aku tidur dululah, ye. Kau pun jangan berjaga sampai lewat sangat. Nanti seri lari esok. Ntah-ntah aku lagi berseri daripada kau. Aku tak dapat tolong.”
“Yelah yelah.”
Sebaik saja Bear berbaring, Fariq sandar tubuh ke kerusi rotan itu dan dia menghayun perlahan tubuhnya di atas kerusi goyang itu. Matanya dihala keluar dan mindanya lari lagi. Entah ke mana dia di bawa. Yang penting, dia tidak berada di situ. Kalau boleh, dia ingin lari. Tidak tahu kenapa, tapi rasanya dia sendiri tidak merestui pernikahannya dengan Melly.
Sebaik saja bergelar suami, tiada sebarang perasaan gembira atau ghairah dalam dirinya. Yang ada hanya kekesalan yang tak tahu kenapa perlu hadir saat itu. Fariq bersimpati dengan dirinya yang langsung tidak boleh membantu keadaan. Dia hanya mampu menerima semuanya dengan hati terbuka.
Dalam hatinya, ada satu sudut yang meronta-ronta agar pernikahan itu dibatalkan. Seakan ada bantahan dalam dirinya. Merajuk hanya kerana dia enggan mencari dan memahami erti sebenar bantahan itu. Dan sebaik saja dia bergelar suami, perasaan pilu dan bersalah bercampur baur. Dia benci untuk mengakui, tapi dia tak tahu kenapa.
Ya Allah, Kau bantulah aku. Aku sesat dalam terang. Kau bantulah aku...
“Bear,” panggil Fariq perlahan dengan harapan Bear masih belum tidur.
“Hmm...”
“Kenapa Fasya tak datang waktu aku nikah tadi? Kenapa satu-satunya adik aku seakan memulaukan hari bahagia abangnya ini?” soal Fariq perlahan. Bear angkat kelopak mata dan menoleh ke arah Fariq.
“Kan ibu kau dah bagitau yang dia kena outstation ke Brunei sampai lusa,” terang Bear. Namun dia tahu kebenarannya.
“Bukan. Aku dapat rasakan bukan alasan tu yang membuatkan Fasya tak hadir malam ni. Bukan itu...” nafi Fariq.
“Janganlah kau fikirkan sangat semua tu, Riq. Kau rehatlah,” nasihat Bear sebelum dia sendiri membalikkan tubuh membelakangi Fariq. Tak sanggup lagi rasanya mahu terus membohongi Fariq. Fariq bukan lagi budak kecil.
Fariq hela nafas dan meneruskan khayalannya.
***
Atea masih menangis mengenangkan nasib dirinya. Dia rebah dalam dakapan takdir. Telekung sembahyang yang tersarung menutupi tubuhnya dijadikan kain lap air mata. Sudah basah kain putih itu bila Atea seka air matanya.
Sungguhpun dia redha dengan apa yang berlaku, dalam hatinya tetap ada sekelumit rasa sesal. Dia sesal kerana dia yang terpaksa menerima dugaan itu. Dia tahu setiap dugaan yang turun adalah sebagai bukti yang Allah sayang pada hamba pilihanNya itu. Tapi dalam pada masa yang sama dia buntu kenapa dia yang menjadi pilihanNya. Atea benci untuk mengakui, tapi dia takut.
“Ya Allah, kalaulah benar aku hamba kesayanganMu, Kau bantulah aku. Kau turunkanlah sebanyak mana pun dugaan ke atas aku. Aku redha, ya Allah. Tapi Kau bantulah aku menghadapinya dengan tenang. Janganlah Kau sesatkan aku dalam menghadapi dugaanMu itu. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Memahami.”
|