Pn Zaira menyambut kepulangan Atea dengan linangan air mata. Rasa rindu yang membuak-buak menyebabkan dia melupakan terus sengketa yang pernah terjadi. Benarlah kata orang, sebesar mana sekalipun kesalahan yang dilakukan oleh seorang anak, adalah mustahil untuk tidak memperolehi berkat ibunya.
Atea hanya terkulai lemah dalam dakapan ibunya. Air mata Pn Zaira langsung tidak mampu mengembalikan semangatnya. Panggilan Pn Zaira pun tak bersahut. Alya peluk kakaknya itu seerat mungkin. Air matanya pun berhamburan.
Fariq ceritakan semua yang telah berlaku. Apa saja yang dia ingat dan apa saja yang dia tahu. Cerita Seri sedikit sebanyak membantunya. Dia mengaku dia bersalah kerana inginkan harta milik bapanya. Dia mengaku yang dia sepatutnya mengahwini gadis itu mengikut adat dan adab. Atea masih punya keluarga.
Bear turut tekun mendengar. Barulah dia tahu jalan ceritanya. Patutlah Atea tu liat benar. Macam merpati. Memang mereka rapat hinggakan teman sepejabat syak mereka bercinta, tapi bila Bear suarakan rasa hati, Atea menjauh. Bila keadaan tu dah reda, mereka rapat kembali.
Barulah Pn Zaira tahu cerita sebenar. Menyesal tak sudah dibuatnya kerana terlalu cepat membuat andaian. Menyesal tak sudah kerana tidak mempercayai cakap anaknya sendiri. Dia sepatutnya tahu Atea takkan berbuat perkara yang tak elok. Dia kenal Atea. Atea bukan saja anak yang taat, malah tak banyak songeh.
Alya pun menyesali diri. Terlalu cepat dia menghukum kakaknya. Dia ingat lagi peristiwa terserempak Atea dan Fariq pada malam tu. Selepas peristiwa itu, dia menjauhkan diri dari kakaknya. Panggilan Atea sudah jarang dijawab, kalau jawab pun cepat-cepat mengatakan ada kelas.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku. Saya kesal. Terlalu kesal dengan sikap saya. Saya bawa Atea balik ke mari bukan sebab mahu menjauhkan diri, tapi saya cuma mahu dia berada di sisi orang yang rapat dengannya. Bukan niat saya nak lari, makcik, tapi biarlah saya kenal diri saya dulu,” kata-kata Fariq membuatkan Pn Zaira mencapai tangannya dan digenggam erat.
“Mama faham, Fariq. Mama doakan kau cepat sembuh.”
“Saya akan cuba bantu dia, makcik. Tapi saya minta makcik hubungi saya dan bagitahu perkembangan Atea,” kata Seri pula.
“Baiklah.”
Sebelum berangkat pulang, Fariq masuk menemui Atea. Dikucup hangat ubun-ubun Atea. Atea tidak memberikan tindak balas. Masih merenung di kejauhan. Seakan-akan dunia mereka berbeza. Fariq berlutut di depan Atea dan merenung wajah itu penuh kasih.
“Sayang, abang balik dulu. Tapi abang janji ini bukan pertemuan terakhir kita. Abang akan datang lagi. Tapi waktu tu, abang dah kenal siapa diri abang dan siapa Atea Zatira yang sebenarnya. Sayang, jangan salahkan takdir ye? Jangan sesekali menyalahkan apa yang telah berlaku. Abang yakin semua ni ada hikmah di sebaliknya,” ucap Fariq lembut.
“Sayang, abang tak kenal siapa Atea yang sebenarnya. Tapi kali pertama menemuinya, hati abang jatuh kasih. Abang tak tahu sekuat mana cinta abang padanya, tapi abang tahu sekuat mana bencinya pada abang, sekuat itulah kasih abang padanya. Abang yakin Allah akan sentiasa bersama kita. Abang pulang dulu,” Fariq peluk Atea seeratnya.
Ketika mahu keluar, dia menoleh sekali lagi. Dia nampak ada titis air yang baru tumpah dari penjuru mata Atea. Dan Fariq tanam tekad yang dia akan berusaha demi cinta mereka. Fariq melangkah keluar.
***
Lewat malam itu baru Fariq sampai di rumah. Melly duduk menonton tv bersama mentuanya. Tanpa menyapa, Fariq melangkah naik. Dia tak tahu apa perasaannya pada mereka saat itu. Marah ataupun benci.
“You baru sampai ke? Macam mana projek di KT tu?” sapa Melly lembut. Dia capai kot Fariq dan digantung ke dalam almari.
“Mell, you ingat lagi Atea Zatira?” tanya Fariq tiba-tiba.
“Atea Zatira. Ingat, Riq. Mana boleh lupa. Dia sangat istimewa bagi I. Tapi dia tu perahsia sangat. Kenapa you tanya?” tanya Melly tanpa rasa curiga. Cuma ingin tahu.
“Takde apa.”
Selesai mandi dan berpakaian, Fariq masuk ke pejabatnya bersebelahan kamar tidur. Dia memberi alasan yang dia tak mahu diganggu. Kedatangan Melly menghantar kopi pun tak dihiraukan dengan membuat sibuk. Dia terlelap ketika kokokan ayam jantan yang pertama sepatutnya kedengaran.
Fariq membuka mata. Dia terdengar suara Atea menyeru namanya. Melihat jam, Fariq tahu itu waktu yang baik untuk melakukan solat sunat. Tanpa berlengah dia mengambil wuduk. Dan di tengah kedinginan malam, anak muda berhati waja itu kuhsyuk menyembah Yang Esa.
Di akhir solatnya, Fariq menadah tangan memohon keampunan kepada Yang Satu. Dia menangis teresak-esak mengadu kepadaNya. Juraian air mata ternyata memberi rasa rendah diri dan insaf dengan apa yang telah berlaku.
Fariq menjenguk ke bilik. Melihat Melly terlena, dia rasa bersalah. Tapi entah kenapa perasaannya pada Melly tidak seperti dulu. Lantas, dia kembali ke pejabat dan sofa panjang menjadi alas tidurnya malam itu.
“You tak tidur kat bilik ke malam tadi, Riq?” tanya Melly sewaktu mereka sedang bersarapan.
“I terlelap kat atas sofa. Ingat nak pejamkan mata je. Mana tahu terus terlena,” Fariq bagi alasan.
Terasa kopi yang ditelan terlalu pahit, Fariq meminta diri.
|