Rasa cinta
“SAYA tak dapat terima awak,” ujar Fadiya lalu menyerahkan kotak cincin itu pada Izhar.
Izhar tersengih. Perlahan-lahan dia mengambil kotak biru itu dari tangan Fadiya. Dibelek-belek kotak itu sebentar.
“Kenapa? Ada apa yang tak kena pada saya?” soal Izhar.
Fadiya membuang pandang ke hadapan. Dia menarik nafas panjang lalu menghembuskannya perlahan-lahan. Kisah antara dia dan Izhar harus ditamatkan hari ini juga. Dia tidak mahu memberi harapan pada Izhar. Harapan yang pasti tidak mampu ditunaikan.
“Awak lelaki yang baik. Saya yakin ada ramai lagi perempuan yang sanggup beratur untuk jadi kekasih awak,” jawab Fadiya.
“Tapi saya hanya nak awak,” balas Izhar.
“Saya tak layak untuk awak...”
“Hanya saya yang layak tentukan sama ada awak layak atau tidak. Saya yakin, awaklah perempuan yang menepati citarasa saya,” hujah Izhar.
Fadiya mendongak ke langit. Awan berarak perlahan kala itu. Semilir petang pula agak malas untuk bertiup. Perlahan-lahan, wajah Lukman terukir di pandangan matanya. Seketika, dia diterpa sayu.
“Kenapa awak tak boleh terima saya? Saya yakin saya mampu buat awak bahagia,” ujar Izhar.
“Tapi saya tak cintakan awak,” balas Fadiya.
“Cinta boleh dipupuk Diya... Yang penting harus saling percaya,” bidas Izhar.
“Percaya saja tak ada gunanya. Harus ada keikhlasan...” lawan Fadiya pula.
“Awak kata saya tak ikhlas?” duga Izhar.
“Bukan! Saya takut saya sendiri yang tak ikhlas. Terus-terang... Buat masa ini pintu hati saya masih belum terbuka untuk menerima cinta. Saya masih belum bersedia,” terang Fadiya.
Izhar bangun tiba-tiba membuatkan Fadiya kaget. Apa pula yang ingin dilakukan oleh lelaki itu kala ini?
“Tak bersedia atau awak tak benarkan?” ujar Izhar.
Fadiya tersentak! Kata-kata Izhar ternyata benar. Dia bukan tidak bersedia. Dia memang tidak benarkan sesiapa memasuki hatinya kerana ruang dalam hatinya itu sudah ada penunggunya. Sejak sekian lama, hanya lelaki bernama Lukman yang boleh singgah di hatinya. Bukan lelaki lain.
“Maafkan saya... Awak berhak dapat gadis yang lebih baik. Yang menyayangi awak sepenuh hati,” jawab Fadiya.
“Kenapa awak tak boleh jadi gadis tu?” desak Izhar.
Argh! Degilnya lelaki ini! Hati batukah? Atau telinga kuali? Kenapa masih tidak faham apa yang dia cuba sampaikan?
“Sebab hati saya sudah pun dimiliki,” Fadiya berterus-terang.
“Boleh saya tahu siapa?” Izhar menyoal.
Fadiya diam membisu.
* * * * *
MANIK-MANIK jernih tidak sempat berjuraian jatuh. Jemari halus itu segera menyekanya pergi. Lukman menundukkan wajah. Esakan Sharmila sedikit menyentuh hatinya. Terasa bersalah.
“Jika itu keputusan awak. Saya terima dengan hati terbuka. Cuma saya pinta, jangan sesekali lupakan saya,” ujar Sharmila.
Lukman mengangkat wajahnya. Sungguh dia tidak menyangka reaksi gadis itu sebegini rupa. Sekurang-kurangnya dia jangkakan gadis itu akan memarahi atau menamparnya. Tetapi Sharmila masih mampu mengukir senyum walau Lukman tahu senyum tawar itu sekadar menutup duka di hati.
“Maaf... Saya benar-benar minta maaf...” ucap Lukman lagi.
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Anggaplah kita tak ada jodoh. Em, boleh saya tahu siapa perempuan yang ada di hati awak tu?” soal Sharmila.
Lukman sedikit terpana. Bagaimana Sharmila boleh tahu hatinya sudah ada yang punya?
“Tak ada sebab lain awak putuskan hubungan kita melainkan awak dah ada buah hati,” ujar Sharmila bagai mengerti apa yang tersirat di fikiran Lukman.
Lukman tergelak kecil. Sharmila tersenyum.
“Fadiya... Dia rakan sekelas saya,” beritahu Lukman.
“Pasti cantik orang, kan? Bertuah dia...” ujar Sharmila.
Lukman hanya menguntum senyum di bibir sebagai jawapan kepada pertanyaan gadis itu tadi.
‘Fadiya... hmmm...’ ucap Sharmila di dalam hati sambil tersenyum, sinis!
* * * * *
KERDIPAN bintang yang menghiasi dada langit tidak sedikit pun menghadirkan ceria dalam hati Fadiya. Pertemuan dengan Izhar petang tadi, sedikit membuatnya gelisah. Kata-kata Izhar merunsingkannya. Lelaki itu tidak mahu mengalah. Dia akan setia menanti sehingga diri ini menerima cinta lelaki itu. Mustahil! Hati dan cintanya adalah milik Lukman. Bukan Izhar.
Sewaktu Izhar bertanya gerangan lelaki yang bertakhta di hatinya Fadiya hanya diam. Dia terus meminta diri membiarkan pertanyaan Izhar tergantung tanpa tali. Biarlah... Sampai masanya Izhar akan tahu juga.
Dia sudah boleh dikira bebas. Ya, bebas dari memikirkan tentang Izhar tetapi tidak Lukman. Bagaimana harus dia usirkan rasa rindu dan kasihnya pada lelaki itu yang kian mekar saban hari? Walau jarak mereka semakin jauh, lelaki itu tetap tidak mampu luput dari ingatan. Sepertinya, ada bahagia walau secebis di dalam keadaan terpisah ini.
Fadiya menghela nafas panjang. Mungkin, dia tidak perlu menunggu lagi. dia harus berhadapan dengan Lukman. Dia mahu tahu perasaan lelaki itu. Dia mahu segalanya dijelaskan. Fadiya tidak mahu terus-terusan diburu curiga. Ya, esok dia akan bersemuka dengan lelaki itu. Pasti!
|