Pengkhianatan
AMIRA berpaling ke kanan dan kemudian ke kiri. Kedua-dua wajah di hadapannya begitu keruh. Mereka bertiga duduk di wakaf yang dibina di taman mini berdekatan dengan bangunan hospital. Deru angin yang bertiup tidak mampu menyingkirkan kehangatan dalam hati Fadiya mahupun Izhar.
“Iz... Cuba jelaskan semuanya,” ujar Amira, memecah kebisuan antara mereka.
Izhar mengeluh berat. Dia memandang wajah Fadiya sekilas sebelum mengalihkan pandangan pada Amira.
“A... Aku terpaksa buat macam ni,” Izhar membuka mulut.
“Terpaksa? Huh! Jangan mengarut!” Fadiya membidas.
“Apa?”
“Sudah! Fadiya, sabar. dengar dulu apa Izhar nak cakap,” ujar Amira.
Fadiya mencebikkan bibir. Sebuah jelingan dihadiahkan pada Izhar. Izhar pula membalas dengan wajah yang murung. Dia masih tidak menyangka, rancangannya akan terbongkar sebegini cepat.
“A... aku buat macam ni sebab kau Diya,”
Fadiya tersentak. Sebab dia?
“Aku tak nak kau kembali pada Lukman. Aku nak ikat kau dengan perasan bersalah. Aku nak kau berada di sisi aku,” jelas Izhar.
Fadiya diam. Dia tekun mendengar. Izhar kembali menyambung bicara.
“Selebihnya aku nak balas dendam pada Lukman. Lukman tahu kau sukakan dia tapi dia masih galakkan aku bersama kau. Dia sengaja nak mainkan aku!”
Fadiya mengangkat muka. Lukman mempermainkan Izhar? Tidak! Ini mesti salah faham. Lukman tidak mungkin mengkhianati kawannya sendiri.
“Jadi awak menipu dengan memalsukan kecederaan kaki awak. Awak nak saya rasa bersalah lalu menerima cinta awak, begitu?” getus Fadiya.
Izhar mengangguk.
“Hah... Itu yang awak katakan cinta? Tolonglah Izhar... Awak pentingkan diri!” balas Fadiya.
Amira terasa dirinya seperti tunggul di situ. Dia hanya tekun mendengar. Memang dia terasa seperti sedang berlakon di dalam drama kala ini. Dapat jadi pelakon tambahan pun dah kira baik.
“Tapi aku tak boleh terima Lukman khianati aku!”
“Aku tak khianati sesiapa Iz,” ujar Lukman sekaligus menarik perhatian Izhar, Fadiya dan Amira.
‘Oh, hero dah sampai!” sempat hati Amira berdetik.
* * * * *
SHARMILA memerhati kelibat Fadiya, Lukman, Izhar dan Amira yang sedang duduk di wakaf tersebut. Dia masih berada di dalam kereta Waja miliknya. Nampak seperti segalanya sudah terbongkar. Kedatangannya bersama-sama Lukman hari ini nyata satu keputusan yang silap. Nampaknya rancangan yang diatur bersama-sama Izhar sudah hancur. Dia terkejut apabila mendapat panggilan dari Izhar seminggu yang lalu. Izhar menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengannya. Lelaki itu menerangkan satu persatu rancangannya. Dari Izhar berpura-pura patah, diarah supaya dirinya memikat Lukman dan memujuk Fadiya untuk kembali pada Izhar.
Bukankah rancangan mereka sedang berjalan sempurna namun mengapa di saat akhir ini yang berlaku? Justeru, apakah Fadiya dan Lukman akan bersatu semula? Tidak! Dia tidak boleh biarkan! Sharmila mula berfikir dan beberapa ketika kemudian, bibirnya menguntum senyum.
* * * * *
“LUKMAN...” ucap Fadiya.
Dalam hati, ada debar yang menerpa. Mahu sahaja dia mendakap lelaki itu, memberitahu bahawa tiada lagi halangan dalam percintaan mereka. Lelaki itu tidak perlu rasa bersalah lagi. Izhar hanya menipu atas kecederaannya. Namun, melihat wajah lelaki itu yang muram, Fadiya mematikan hasratnya. Lagipun, dia masih tahu adab dan batas.
“Aku tak pernah mengkhianati kau Iz. Aku kan kawan kau...” ujar Lukman.
“Tapi kau tahu Diya sukakan kau tapi kenapa kau masih nak aku jalinkan hubungan dengan dia?”
“Sebab aku tak layak untuk Diya...” jawab Lukman.
“Apa?” Izhar bersuara, tidak faham maksud kata-kata Lukman tadi.
Fadiya turut memandang wajah lelaki di hadapannya itu. Hatinya berdetak. Adakah maksud Lukman, status keluarga mereka? Oh, betapa pesimisnya lelaki itu!
“Iz, kau datang dari golongan berada. Keluarga Fadiya juga tak kurang sama dengan kau. Kau orang berdua lebih sepadan. Aku... tak rasa aku mampu bahagiakan Fadiya sebab aku serba kekurangan...” Lukman menjelaskan apa yang membelenggu fikirannya selama ini.
Pang!! Tapak tangan Fadiya melekap di pipi Lukman. Lelaki itu tergamam. Izhar pula ternganga.
“Awak memang dah melampau Lukman! Awak memang dah melampau! Hanya sebab alasan itu awak menolak cinta saya? Awak fikir saya ni perempuan apa? Gilakan harta? Saya cintakan awak adalah kerana diri awak. Bukan sebab harta. Kekayaan tak menjamin bahagia, awak tahu tak? Dan awak, ambil jalan mudah dengan membiarkan saya tertanya-tanya, sampai keadaan jadi begini! Awak sedar tak yang awak punca semua ni? Awak memang pengecut!” bentak Fadiya.
Lukman menundukkan wajah. Dia seakan baru tersedar setelah mendengar kata-kata Fadiya tadi. Dia cintakan Fadiya tapi mengapa dia takut untuk berhadapan dengan kenyataan itu? Cinta memerlukan keberanian. Keberanian untuk menyintai dan dicintai. Bukankah apa yang dia lakukan ini menunjukkan yang dia seorang pengecut seperti apa yang Fadiya ungkapkan tadi? Dia takut untuk mengambil risiko. Dia takut kehilangan Fadiya. Dia takut untuk berdepan dengan hakikat bahawa dia tidak mampu memberi kebahagiann buat Fadiya tapi, dia lupa, semua itu boleh diubah. Andai ada usaha dan tekad, kehidupan boleh berubah.
Amira yang bertindak sebagai pemerhati hanya diam. Izhar pula tidak berkerdip melihat wajah Fadiya yang memerah menahan marah. Rupanya, Lukman buat semua itu kerana dia tidak yakin pada dirinya sendiri. Yang dikhianati di sini adalah Fadiya sebenarnya. Gadis itu begitu mempercayai Lukman untuk melindungi dan berada di sisinya. Oleh sebab itu dia meluahkan perasaan pada Lukman dengan yakin. Tetapi Lukman membalasnya dengan ragu-ragu. Dan dirinya, hanya tersepit dalam kisah cinta antara Fadiya dan Izhar. Dia hanya memegang peranan sebagai watak kecil yang secara tidak langsung menghalang perhubungan Fadiya dan Lukman.
Fadiya cuba menahan tangis namun air matanya tetap gugur juga. Hatinya benar-benar sakit setelah mengetahui kebenaran yang cuba diselindungkan Lukman selama ini. Lelaki yang dicintai sepenuh hati, rupanya tidak mempercayai cintanya. Justeru, untuk apalagi dia berharap pada Lukman? Lantas Fadiya segera berlari keluar dari wakaf tersebut.
Tiba-tiba sebuah kereta sedang meluncur laju meluru ke arahnya. Fadiya tergamam. Dia sempat melihat wajah Sharmila yang tersenyum sinis sebelum terasa tubuhnya ditolak ke tanah.
Dari arah bertentangan. sebuah ambulans yang sedang bergerak segera menekan brek tetapi kereta Waja rona hitam yang laju itu sudah tidak mampu dikawal dan kemudian merempuh ambulans tersebut lalu menghasilkan bunyi dentuman yang kuat!
|