Aku perlu berada di wad buat seketika. Memandangkan keadaan emosiku yang agak tertekan, seluruh sistem badanku bercelaru. Tekanan darah yang rendah, tubuh badanku tidak bermaya seakan turut melayan jiwaku yang kacau. Doktor perlu memastikan keadaanku benar-benar stabil kerana khuatir kejadian yang sama berulang. Aku perlu dirujuk ke pakar psikatri jika didapati aku mengalami simptom-simptom kemurungan yang serius. Alhamdullilah atas permerhatian doktor keadaan emosiku masih terkawal, hanya perlu rehat yang cukup dan mengelakkan diri dari memikirkan perkara-perkara yang mendatangkan tekanan.
Sepanjang di wad, Mak Na tidak jemu-jemu melayan kerenahku.Menemani ku saban hari, memberi kata-kata semangat dan nasihat agar aku kuat melawan apa sahaja yang mengganggu emosiku. Aku merasa sangat bahagia. Walaupun Ummi tiada disisi, namun kehadiran Mak Na benar-benar mengisi kekosongan hatiku yg selama ini merindui pemerhatian dan kasih sayang seorang ibu. Jiwa dan emosiku yang bergelora, kini kembali reda. Terasa kehangatan belaian kasih sayang yang dicurahkan meresap masuk ke setiap aliran darahku, menghangatkan hatiku, membakar semangatku. Aku renung wajah tua Mak Na sedalamnya. Kutanam tekad, sesungguhnya walaupun Mak Na bukan ibu kandungku, aku berjanji pada Ilahi akan berbakti pada keduanya seumpama aku menjaga kedua ibu bapaku. Walaupun aku gagal melunaskan tanggungjawab kepada kedua org tuaku namun aku berharap aku dapat melakukan sebaiknya pada Pak Hamid dan Mak Na. Aku akan cuba membahagiakan mereka selagi aku bernafas dimuka bumi ini. Aku tidak tahu apa suratan hidupku seterusnya, tapi aku yakin berkat kasih sayang yang mereka curahkan selama ini aku bisa mengharunginya. Kekuatan ini yang menjadikan aku lebih tabah dan yakin pada diri sendiri.
Setelah seminggu berlalu, akhirnya aku dibenarkan pulang. Petang itu, Pak Hamid datang bersama-sama Harris untuk membawa aku pulang kerumah. Kulihat Harris cuba mendapatkan perhatianku namun aku masih belum bisa berhadapan dengannya. Persoalan mengapa aku berkelakuan begitu masih tidak terjawab. Adakah hatiku sudah mula tertarik padanya? Adakah aku benar-benar kesunyian lantas melihat kehadiran lelaki yang pada masa sama turut berasa kehilangan berjaya memaut hatiku yang selama ini dingin? Adakah perasaan ini lahir dari rasa simpati? Entahlah, aku tidak mampu lagi menduga permainan emosiku. Aku perlu kumpul kekuatan supaya aku bisa berhadapan dengannya lagi. Sampai bila aku harus menjauhkan diri, lambat laun aku khuatir Pak Hamid, Mak Na malah Harris sendiri mula mempersoalkan tingkah lakuku. Aku tidak mahu mereka salah sangka atas lagak dan lakuku yang seakan berubah-ubah. Aku juga tidak mahu Pak Hamid dan Mak Na turut sama terheret dalam permainan emosiku.
Aku sudah fikir semasak-masaknya walau apa yang berlaku pada babak seterusnya, aku tidak gentar lagi untuk menidakkan kebenaran dan hakikat yang sudah tertulis di Loh Mahfuz. Berkat kekuatan ini akan ku teruskan hidup walau apa jua yang melanda dihari muka. Kuharap kekuatan ini kekal bersamaku sampai bila-bila
|