BAB 3
CINTA BERTAUT HATI TERPAUT
Adakah hatiku mula bertaut
Pada kehangatan rasa
Meresap masuk ke setiap aliran darahku
Meresap masuk ke setiap inci tubuhku
Mencairkan dingin hatiku
Menghangatkan emosiku
Aku dan dia bertemu diatas pentas yang sama
Berkongsi nafas udara yang sama
Berpandangan pada sudut yang sama
Menuju arah keindahan bersama
Hari-hari yang berlalu seterusnya, berjalan seperti biasa. Pak Hamid dan Mak Na tidak membenarkan aku bekerja di warung buat sementara waktu. Keduanya mahu aku merehatkan diri dari segala hal yang bisa buat fikiran aku terganggu. Pada mulanya aku cuba mencari alasan agar aku dibenarkan bekerja seperti biasa, namun atas rasa hormat aku terima permintaan mereka dengan hati terbuka. Aku banyak menghabiskan waktu yang terluang dengan melukis, dan membaca. Ada ketikanya aku merasa bosan, taktala selama ini rutin hidupku dipenuhi dengan tugas-tugas di warung. Kuisi kebosanan itu dengan aktiviti-aktiviti yang menyihatkan minda dan tubuh badanku. Aku ingin segera kembali bekerja, sedaya boleh aku ingin pastikan aku bisa kembali sihat secepat yang mungkin.
Petang itu aku ke pantai seperti biasa, tanpa peralatan melukis. Kunjungan aku ke pantai kali ini hanya sekadar mahu menikmati keindahan alam sambil menghirup udara segar yang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku duduk diatas sebuah batu besar yang terdapat di sekitar pantai berkenaan. Bertafakur aku disana didalam misiku mencari pengertian diri, menjernihkan rohani dan menyucikan peribadi. Bersama alam aku cuba selami pengertian hidup dan kekuatan untuk aku teruskan perjuangan yang tidak akan berkesudahan selagi ada nafasku. Moga aku perolehi ketenangan yang bisa menjernihkan lagi perspektif hidupku. Ketika aku sedang menyelami rahsia hati, secara tiba-tiba kosentrasiku terganggu oleh satu suara yang menyeru namaku berulang kali.
“Liya. Liya. Liya”
Kutoleh kearah suara itu. Dikiriku berdiri seorang lelaki, melemparkan senyuman menampakkan lesung pipit dikedua belah pipinya. Senyuman itu penuh keikhlasan menampakkan jernih wajah seorang yang tenang jiwanya. Lelaki yang aku cuba elak kehadirannya sejak akhir-akhir ini.
“Saya panggil Liya berulang kali, tapi tidak bersahut. Saya khuatir pada mulanya kerana itu saya memanggil berulang kali. Maaf jika saya menggangu Liya disini” jelas Harris seakan tahu tindakan aku sebelum ini yang agak dingin.
“Tidak mengapa. Saya disini cuma mahu mencari ketenangan. Bagus juga jika berteman, tidak menggangu malah mungkin dengan adanya teman kita bisa lihat sesuatu dengan perspektif yang lebih besar” jawabku dengan nada yang menampakkan keceriaan dan kemesraaan.
“Saya juga minta maaf diatas tindakan saya sebelum ini yang seolah-olah bersikap dingin terhadap awak. Bukan mahu bersikap tidak sopan, tapi entah mengapa saya berkelakuan begitu” ujarku lagi, cuba menjelaskan tindakan aku sebelum ini.
“Tidak mengapa. Saya mengerti. Saya dan awak punya masalah dan kecelaruan yang tersendiri. Saya sendiri pada awalnya begitu. Kadang kala jika saya kenang peristiwa pertemuan pertama kita dipantai ini, saya berasa amat malu sekali. Emosi yang saya pamirkan ketika itu benar-benar berada di satu tahap kelemahan saya yang paling bawah. Untuk seorang lelaki ia benar-benar memalukan” ujar Harris.
Harris seolah-olah malu dengan tindakannya sebelum ini. Ketika itu dia benar-benar menampakkan kelemahannya sebagai seorang lelaki. Dia memperlihatkan kelemahannya itu dihadapan seorang wanita yang tidak tahu menahu pokok pangkal penderitaannya. Wanita itu juga berani menyampaikan perspektif yang berbeda dari tanggapannya. Sebagai seorang lelaki yang gagah dengan ego situasi itu benar-benar memberi impak pada gelora emosinya. Disebabkan itu dia menghilangkan diri buat seketika.
Aku mula mengerti permainan emosi yang dialui Harris. Walaupun kisah hidupnya masih samar-samar, namun aku dapat merasakan akibat dari penderitaan itu dia kehilangan banyak perkara. Dia seolah-olah dibelenggu sesuatu yang mencengkam hidupnya sejak sekian lama.
Harris cuba memanjangkan perbualan. Dia cuba memperlihatkan diriku yang sebenar. Mungkin dia inginkan jawapan mengapa aku secara tiba-tiba kecelaruan emosi. Dia seolah-olah merasa terbeban. Aku cuba merungkaikan segala persoalan yang bermain didalam mindanya. Namun untuk aku jelaskan secara mendalam kisahku, aku masih belum bersedia. Perbualan kami terhenti tika waktu menjelang senja. Aku dan dia pulang dengan hati yang lebih tenang, seolah-olah segala permasalahan yang melanda terhenti secara tiba-tiba. Aku mula merasakan kemesraan yang wujud dalam tutur bicara dan tingkah lakuku kali ini. Aku juga seakan sudah bersedia berhadapan dengan apa jua percaturan emosi yang masih menjadi misteri.