BAB 4
RAHSIA CINTA
Cinta
Hadir tidak ku duga
Tiba tidak ku undang
Kesepian bagai terbakar dek kemesraan
Kekosongan hilang dek keindahan
Layakkah aku mengatakan sayang
Sedangkan kebenarannya masih tersimpan
Saat ini aku benar-benar keliru. Jauh disudut hatiku, keinginan dimiliki dan memiliki bagai satu impian yang aku tidak pasti bila kemuncaknya. Setelah menerima jambangan bunga beserta nota cinta Harris, aku seakan ketemu jawapan. Adakah ini kemuncaknya? Adakah lelaki ini bakal mengubati segala lara yang bersarang dalam diri ini? Layakkah aku menerimanya sedangkan diriku ini tidak suci lagi?
Pelbagai persoalan muncul satu persatu. Aku mula melihat diriku dari pelbagai sudut. Kebenaran kisah silamku masih tersimpan. Layakkah aku menyimpan segalanya dikala seorang lelaki mula berlaku jujur terhadapku? Aku tidak mahu meletakkan Harris dalam keadaan serba salah. Kenyataan dan kebenaran tidak akan berubah sekelip mata. Apa yang terjadi keatas diriku tidak bisa dilenyapkan begitu sahaja. Ia menjalar disetiap pelusuk tubuhku bagai sesuatu yang tidak mampu dipisahkan. Aku perlu menyatakan kesemuanya agar Harris tidak merasa dirinya ditipu. Biarlah segala kebenaran yang terpendam aku luahkan didepan lelaki ini. Aku serahkan segalanya kepada Tuhan untuk menentukan percaturan seterusnya. Aku redha.
Keputusan untuk aku menjelaskan segalanya sampai kekemuncak. Aku membulatkan tekad berdepan dengan apa sahaja kemungkinan yang bakal aku terima. Walaupun berat hati ini merelakannya, namun aku tidak punya pilihan lagi. Petang itu aku ketemu Harris di pantai yang menjadi titik permulaan pertemuan kami. Aku tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan, seakan mahu menempatkan diriku dalam keadaan yang lebih bersedia. Aku merenung kearah laut yang terbentang luas, seolah-olah mencari satu sudut untuk aku kumpulkan kekuatan. Jika aku diberi peluang untuk kembali ke masa silam, sudah pasti aku akan cuba mengubah segalanya. Namun demi masa yang senantiasa bergerak kehadapan, siapalah aku untuk berbuat demikian. Manusia kerdil seperti aku tidak mampu melawan apa yang tersurat dan tersirat.
“Mampukah aku luahkan segalanya harini? Mampukah aku menjelaskan segalanya dihadapan Harris? Kisahku yang panjang membawa lara yang tak berkesudahan. Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk aku berhadapan dengannya. Cintaku padanya semakin menakluki keseluruhan hatiku. Aku takut dek kebenaran ini aku ditinggalkan. Berilah aku peluang untuk merasa bahagia” bisikkan hatiku bersuara tanpa henti.
Aku membiarkan diriku seakan hanyut dek persoalan yang berlegar-legar difikiran. Inginku terbang jauh seumpama burung camar yang bebas terbang diudara tanpa sebarang bebanan. Inginku biarkan diri ini berteman agar kesunyian ini bisa terubat.
"Abah, Ummi, sesungguhnya dikala ini hati Liya berbelah bagi. Antara cinta dan penyesalan dimanakah pilihan dihati. Penyesalan membawa Liya kesini. Didesa ini Liya ketemu cinta abadi"
Airmataku mengalir membasahi pipi. Tangisan yang aku cuba tepis kehadirannya muncul tanpa kupinta. Aku menangis sepuasnya, moga dengan tangisan ini aku bisa menyiapkan diri menerima apa sahaja kesudahannya nanti.
|