BAB 5
DIA MUNCUL KEMBALI
Cinta bertaut dikala hati kedinginan
Kasih disulam sayang diikat
Taktala hati bersorak riang
Kau hadir semula mencetus sengsara
Mampukah aku menidakkan
Kembara benci dihati ini?
Hari-hari berlalu dilimpahi dengan penuh nikmat kasih sayang. Aku dan dia menyemai cinta antara keduanya bagai tiada apa yang bisa menghalang. Adakala aku merasa seakan tidak percaya , diri ini mampu mencintai semula. Luka yang aku tanggung selama ini secara perlahan-lahan terubat. Perhubungan yang terjalin walaupun pantas mengikut putaran masa, namun kasih yang berputik seakan bertahun lamanya. Kemesraan antara keduanya umpama cahaya yang bersinar menceriakan suasana yang selama ini diselubungi kedukaan. Pak Hamid dan Mak Na, turut mula merasai gelora cinta yang melanda antara aku dan Harris. Mereka melihat dari jauh tanpa sebarang penolakkan seolah-olah menyetujui hubungan yang terjalin ini.
Suasana di warung, dipenuhi dengan adegan usik mengusik, jeling menjeling, seakan memenuhi setiap ruang dengan gelora dan kehangatan cinta. Ketika ini aku mula merasakan diriku hanyut seolah-olah merantaikan diri di awangan. Benarlah kata orang, kehangatan bercinta membuatkan hati, jiwa dan seluruh anggota bagai tak keruan. Merasa rindu, cemburu memberi isyarat dua hati berpaut antara satu sama lain. Cinta dan mencintai mengikat dua pasangan bersatu dalam satu emosi. Itulah nikmat cinta. Namun cinta sesama manusia harus dibataskan dengan iman dan takwa. Jika cinta mengikut resam dunia kelak pasti membawa bencana.
“Wah! Mak Na lihat, Liya dan Harris bagai org yang sedang asyik bercinta. Adakah tanggapan Mak Na ini betul?” soal Mak Na
Aku hanya mampu melemparkan senyuman seakan memberi jawapan pada persoalan Mak Na.
“Bercinta, berkasih tak salah Liya, cumanya perlu ada batasan agar orang tidak salah anggap yang mana akhirnya boleh membawa pada fitnah. Pada pendapat Mak Na elok kamu berdua diikat dengan akad yang sah” ujar Mak Na lagi.
Tersipu-sipu aku dibuatnya dikala mendengar usul Mak Na agar mematrikan hubungan kami dengan akad dan nikah. Perkahwinan sesuatu yang menjadi idaman semua manusia di bumi Allah ini, begitu juga aku. Namun layakkah aku diterima sebagai menantu kepada keluarga Harris memandangkan status diriku yang tidak sempurna ini. Rasa rendah diri, takut dan pelbagai persoalan seakan memakan diriku semula. Wajarkah aku utarakan ini pada Harris? Siapalah aku untuk mengusulkan itu dan ini? Hubungan kami baru sahaja terjalin, aku khuatir jika aku selubungkan hubungan ini dengan pelabagai persoalan, maka akhirnya ia tidak mampu bertahan lama. Aku membiarkan usul Mak Na tanpa memberi sebarang komen. Soal perkahwinan biarlah Harris sendiri yang mengusulkannya. Jika dia ikhlas , aku menerimanya dengan hati yang terbuka.
bersambung
|