Aku menjengket sedikit untuk mencapai balang berisi kopi di para atas. Kopi Che Nah kegemaran mak aku cedukkan ke dalam teko yang berisi air panas. Tangan aku ligat mengacau air kopi O untuk dihidangkan pada tetamu. Ibu,Pakcik Yusoef,Arif dan mak aku tinggalkan di anjung rumah. Sayup-sayup aku dengar suara mereka tertawa tapi butir bicaranya tidaklah jelas di telinga aku. Aku teringatkan lagi butir bicara ibu malam semalam. Isk....jangan kata ibu ni datang nak merisik aku Seram satu badan..isk..isk..isk... Aku tarik pula balang gula. Lima sudu besar gula aku tambah ke dalam bancuhan kopi pekat tadi. Tangan aku terus ligat mengacau air kopi sama ligatnya dengan otak aku yang mencipta dan membuang kesimpulan yang sungguh tidak logik aku kira. “Dah hancur dah gula dan kopi tu kak ngah”, sapa satu suara garau dibelakang cuping telingaku. Tersentak aku dari lamunan. “Along! terkejut Kak Ngah” Aku mengurut dada berkali-kali. Terkumat kamit mulutku beristighfar. Jantung sudah macam nak gugur dibuatnya. Along mengosok- gosok kepala aku sama seperti yang selalu dilakukannya sejak aku kecil. “Isk kak Ngah mengelamun ape nie. Tamu kat atas tu dah kering tekak dah”, sambung Along sambil berlalu ke meja makan. Pantas Along menceduk pengat pisang ke dalam mangkuk. Dua kali suapan habis licin pengat di mangkuknya.Along menambah lagi pengat pisang ke mangkuknya. Pengat pisang Mak memang kegemaran along. Aku berdiri di sisi along. Seronok melihat along makan berselera benar. “Ni nak ape dekat-dekat dengan Along nie.nak Along suap?”, Along berbicara di antara suapan pengat pisang kemulutnya. “Nak salam”, aku hulurkan tangan pada Along. Along menghulurkan tangan kanannya padaku. Pantas aku capai dan aku kucup perlahan. Along dan aku banyak kenangan manis dan pahit bersama. Semasa ayah meninggal dulu Ity dan adik bongsuku Irfan masih kecil, aku dan Alonglah yang sibuk ke hulu kehilir menyempurnakan tanggungjawab untuk majlis pengkebumian ayah. Along yang bersusah payah membeli kelengkapan majlis, menempah van jenazah, mencari Tok Imam, memantau kerja-kerja penggali kubur, menempah batu nesan dan mengaturkan majlis tahlil dan lain-lain lagi. Mak masa itu terlalu lemah dan teramat sedih untuk memikirkan semua itu. Aku juga sedih. Aku lebih banyak menguruskan hal-hal di rumah, menyiapkan tempat mandi jenazah, membeli bahan-bahan sedekah, mencari air mawar, kapur barus ,kapas dan sebagainya. Aku dan Along sama sama menangis di hujung tangga saat sedih tidak dapat kami bendung lagi, kemudian aku dan Along sama-sama berjanji untuk menguatkan hati kami di depan mak yang kehilangan satu-satunya lelaki yang dicintainya. Alonglah ayah selepas itu. Dengan kelulusan sarjana perakaunan dari UITM along berjaya mendapatkan pekerjaan di salah sebuah firma audit dan konsultasi kewangan antarabangsa di KL. Pekerjaan yang menuntut banyak masa dan waktu Along. Kerja yang memerlukan Along bekerja hingga jam 12 malam saban hari terutama di hujung-hujung tahun kewangan kebanyakan klien syarikat.Satu pekerjaan yang amat dibanggakan ayah dan ibu. Usai ketiadaan ayah, along merasakan bahawa kehadirannya amat amat diperlukan adik -adik dan mak. Pekerjaan Along dahulunya tidak mengizinkan Along untuk mengisi keperluan kami itu. Jadinya Along mohon berhenti dari firma tersebut dan mencari pekerjaan lain di Perak supaya dekat dengan kampung. Alhamdulillah dengan kelulusan sarjana Along, ditambah lagi dengan kelulusan ACCA dan pengalaman Along di firma tersebut, Along berjaya menjadi salah seorang akauntan kanan di sebuah bank di Ipoh. Semenjak itu, Along memastikan semua perbelanjaan kami adik beradik dan mak terjaga. Semua yuran belajar, Along selesaikan. Duit pencen ayah, Along pesan pada mak untuk jangan diusik. Masukkan sahaja ke tabung haji tiap-tiap bulan. Along terlalu komited dengan tugasnya sekarang sehinga kadang-kadang soal hidupnya diabaikan. Mak berkali-kali bertanya Along bila ingin berkahwin, dan jawapan Along seperti selalu; “Biarlah adik-adik selesai dulu, baru Along pikir pasal Along mak” Mak hanya mengeleng-geleng kepala tiap kali Along memberikan jawapan yang sama. Jika dulu panjang ‘khutbah’ mak pada along kini mak sudah tidak bertanya lagi.Sudah penat agaknya memperkenalkan gadis itu dah ini pada Along. “Along bila sampai?” “Kejap tadi je. Along sampai-sampai tengok ramai kat anjung. Siapa tu Ngah?” “Kawan kak ngah masa study dulu. Kak ngah ikut keluarga die ke Pangkor. Itu pun sebab beria-ia ibu ajak” “Ibu? wah..wah..siap Ibu tue. Cakap la bakal adik ipar Along yang datang...kan senang”, sambung Along lagi. “Isk..bukan la Long. Memandai-mandai die buat kesimpulan pulak”, pipi aku sudah terasa panas. “Haha...ni siap-merah-merah muka nie..betul la nie.Ehehehe, sembelih lembu la kite tahun nie”, sambung Along lagi mengiat aku. “Ah..malas la layan Along. Dah la..kak Ngah nak hantar air dengan pengat pisang ke depan. Kalau Along nak lagi pengat tu, ambik dalam periuk ada banyak lagi. Mak buat dengan setandan pisang tau.” Mak memang suka buat lebih. Kalau ada banyak, banyaklah yang mak buat. Disimpan sedikit untuk makan anak beranak, selebihnya ibu sedekahkah pada jiran-jiran. Kata mak, daripada biar busuk di kebun baik sedekah, dapat sikit pahala. Aku pantas meletakkan teko berisi kopi O, cawan-cawan , mangkuk-mangkuk kecil dan sudu kecil ke dalam dulang. Berhati- hati aku menyusun langkah. Anak tangga yang memisahkan dapur dan ruang atas rumah aku pijak perlahan-lahan. Tangga yang menyimpan banyak kenangan pada aku. Sejak kecik sudah berapakali kepalaku benjol dek terjatuh dari tangga tinggi ini. Ayam bertelur di reban, aku pula bertelur di dahi. Apabila kakiku memijak hujung lantai tingkat atas, aku menarik nafas lega.Aku kemaskan pegangan tanganku pada dua hujung dulang yang berat tadi. Cepat-cepat aku menyusun langkah menghampiri anjung. Bicara mak makin jelas. Mak bercerita tentang kebun buah kami di muara Sungai Perak rupanya. Kebun kesayangan arwah ayah yang subur dengan pokok durian, rambutan dan langsat. Perlahan-lahan aku menghampiri dan bicara mereka mati apabila kelibat aku kelihatan. Tekak tiba-tiba kering. Setiap pasang mata memandang tingkahku bersimpuh , menuang air kopi ke dalam tiap tiap cawan perlahan-lahan. Tiba-tiba aku rasa kekok benar membuat semua itu.Penuh cermat cawan berisi kopi panas tadi aku hulurkan pada tetamu dan mak. Mangkuk besar berisi pengat aku letakkan di tengah-tengah. Mangkuk kosong dan sudu-sudu kecil aku letakkan disebelah mangkuk besar. Aku bangun seketika ke ruang tengah rumah mengambil napkin dan tisu dari almari pinggan mangkuk emak. Ketika aku khusyuk melipat tisu dan napkin aku terdengar namaku disebut. Cepat-cepat aku panjangkan leher dan aku berusaha keras mendengar butir bicara mereka. Ibu berkata-kata sesuatu tentang aku.Kemudian mak membalas. Aku dengan nama aku berselang seli dengan Edinburgh dan Arif di sebut. Debaran yang aku rase tadi muncul kembali. Panik..panik..panik! Dengan muka dua puluh sen aku bangun dan menghantar tisu dan napkin tadi. Mereka diam kembali bila bayangan aku muncul. Ah..rimasnya. Aku capai dulang tadi dan bergegas aku bangun ke dapur. Dalam debar dan kelam-kabut aku bangun tadi sempat aku memandang sekilas pada mak. Mak rupanya memerhatikan tingkah laku ku sejak tadi. Ah..parah nie. Tahan nafas Di..kontrol..kontrol..kontrol. Sebaik sahaja kakiku menyentuh simen sejuk dapur, aku menarik nafas lega.Malu dan segan yang bergelen-gelen aku tanggung tadi hilang serta merta. “Hah! berangan lagi!”, sergah Along. “Along!!”, serentak dengan itu aku mencubit permukaan lengan Along yang paling dekat denganku.Along mengaduh kecil Tak tau adik awak ni, cuak dah bertan-tan, di sergahnya pulak.rasakan! Aku pandang Along yang sudah siap mandi dan berpakaian kemas. “Nak kemana ni Long?”, soalku pada Along yang masih lagi mengosok lengannya yang memerah dicubit tadi. “Nak bawak tetamu pegi Lembah kejap. Along ingat nak bawak pegi kedai Pak Hussin ajer” “ooooo” Pak Hussin memang terkenal dengan hasil tanah liatnya. Pak Hussin kawan lama abang. Nama aje Pak Hussin, umurnya baru awal 30 seperti Along. Pak Hussin usahawan berjaya untuk alat-alat dan barangan seramik. Lulusan UITM dalam bidang seramik, mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Kangsar dan mengembangkan perniagaan keluarga. Kalau baru nak ke Lembah, maka banyaklah lagi masa untuk aku bermanja dengan mak. Agak-agak 3-4 jam jugalah nanti mereka disana. Aku mencongak di dalam kepala. ____________________________________________________________________________ Berhati-hati dulang berisi cawan, pinggan dan mangkuk kecil aku bawa turun dari anjung. Seprah yang di bentang tadi aku lipat dan letakkan di tepi. Berhati- hati aku masukkan cawan-cawan, mangkuk-mangkuk dan sudu-sudu ke dalam sinki untuk dibasuh. Takut sumbing pinggan mangkuk mak, bisinglah nanti tak berkesudahan. Aku menyanyi-nyanyi kecil lagi seribu tahun nyanyian penyanyi baru dari Singapura yang aku dengar saban malam dalam siri Emil Emilda di slot samarinda di TV3. “Menyanyi Di, karang kawen dengan orang tua baru tau”, mak bersuara tiba-tiba. Sepantas kilat aku kunci mulut yang berkicau riang tadi. “Ape mak sembang tadi. rancak je DI tengok”, aku bertanya cuba memancing butir bicara mereka yang sungguh misteri dan meresahkan hati aku. “Tak ade apa-apa.Sembang biasa-biasa ja.Sembang orang tua-tua. Budak-budak tak payah tau”, jawab mak. Chess...mak nak main rahsia-rahsia pulak. Kalau aku tanya lebih-lebih karang, mak suspect. Aku diam dan meneruskan kerja aku sebentar tadi. Selesai membasuh aku masukkan lebihan pengat yang tak di jamah tadi kedalam periuk semula. Aku jeling sekilas pada mak di meja. Mak sibuk memotong ikan masin dan membungkus jeruk rebung ke dalam plastik-plastik kecil. Untuk aku barang kali. “Di...pergi angkat kain. Langit dah gelap tu. Karang basah kain basuhan mak tadi”, arah emak sambil menunjukkan langit yang sudah mula diliputi awan-awan hitam. Aku segera mengesat tangan yang basah tadi dengan kain pengelap tangan. Pantas aku mencapai bakul kain di tepi pintu. Selipar jepun hijau di tepi pintu aku sarung dan aku berjalan perlahan-lahan ke belakang rumah, ke ampaian rumah kami. Sedap sungguh angin petang nie Ampaian rumah kami yang menghadap Sungai Perak itu terletak bersebelahan dengan sebuah pangkin yang dibina arwah ayah dulu. Petang petang berangin begini, mak dan ayah selalunya duduk di pangkin dan berbincang tentang bermacam-macam perkara. Dari hal anak-anak ke hal mereka. Bila angin makin rancak bertiup , aku cepat-cepat memasukkan kain-kain basuhan mak ke dalam bakul.Selesai mengangkat pakaian aku alihkan pandangan ke arah sungai. Aku pejam mata dan membiarkan sahaja angin yang bertiup itu menyapu wajahku. Besnyerrrrrr. Segar betui udara kat sini Aku buka mata perlahan-lahan. Mata aku pantas menangkap kelibat manusia di atas pangkin. Perlahan-lahan dia juga memandang pada aku. Beberapa saat kemudia die sudah mulai berjalan ke arahku. Aik die tak ikut pegi Lembah? Aku hendak berjalan masuk ke rumah tetapi kakiku tak mahu mendengar kata. Kaku terus di situ.Dia kian dekat. Aku tarik nafas perlahan-lahan. Dia sudah di depan aku. Kami sudah berdiri empat mata. Hanya dipisahkan oleh dawai ampaian yang 4 lapis itu. “Di...boleh kita cakap sikit” Aku telan air liur dengan penuh kesukaran.
|