“Tak bestnya,” ujar aku sambil berjalan di sebelah Maya selepas outdoor shoot hari tu.
“Apa yang tak best? Bukan you suka ke shoot kat luar macam ni?” tanya Maya.
“Bukan tu. Tak bestnya sebab lepas job ni tak dapat minum Starbucks,” aku memberikan klu.
“Apasal? You ada nak pegi mana-mana ke?”
Alahaiii… lampi la pulak minah ni! Selalunya cepat je menangkap. Cuaca panas kot…
“This may not be my best work,” aku akui.
“I tau,” balas Maya.
Eh? Tau pulak?
“Macamana pulak you boleh tahu?” aku bertanya.
“Sebab otak you tengah serabut,” balas Maya dengan selamba. Kemudian dia menambah, “Tulah… gaduh dengan Shah lagi”
Aku terkedu. Shah bagitau Maya?
“Mana ada gaduh,” aku menafikan.
“Kalau tak gaduh, kenapa dah berhari-hari tak jumpa dia? Kesian Shah, risau dia. Dok tanya I kalau-kalau ada dengar berita dari you,” kata Maya.
“Oh… tu tak bermakna I gaduh dengan dia. You ni memandai je buat kesimpulan sendiri,” aku masih cuba menyembunyikan hakikat sebenar. Tapi aku rasa Maya dah mengenali aku cukup lama untuk tahu yang aku tengah menipu…
“You dengan Shah tu, macam Bert & Ernie dalam Sesame Street tau! Tak pernahnya berenggang. Kalau dah lama tak jumpa walaupun masing-masing dok tercongok je lagi kat KL yang tak berapa nak besar ni, apa lagi kesimpulan I nak buat?” balas Maya.
Teringat aku pada kata-kata Shah. Salah satu daripada kelemahan semulajadi manusia ialah membuat anggapan ataupun kesimpulan sendiri. Kelemahan ke tu? Bukan ke tu satu kekuatan? Kita dikurniakan akal untuk membuat penaakulan mantik; mengekstrak isi tersurat daripada isi tersirat. Tapi mungkin kekuatan tu jadi kelemahan bila penafsiran akal bercampur-aduk dengan persoalan hati. Haih… kompleksnya manusia…
“You tak cukup tengok Sesame Street ni... ada je babak-babak yang Ernie tu sorang-sorang,” aku masih menidakkan.
“Memanglah! Sebab Ernie tu selalu je menyusahkan hidup Bert; tanya soalan macam-macam sampai Bert tu nak buat kerja lain pun susah,” balas Maya.
Aku terdiam. Menyusahkan…
“Tapi…” tambah Maya [macam ada nada memujuk kat situ, tapi sebab aku dah terlalu terbiasa dengan perangai Maya yang garang makanya aku tak pasti], “Bert tak lengkap kalau takde Ernie. Pasal tu jarang-jarang ada babak yang Bert sorang-sorang. Sebab Bert ni jenis serius. Ernie ni pulak menghiburkan. Jadi, diorang saling melengkapilah”
Aku senyum, dan Maya membalas senyuman aku.
Heh, aku suspek sah Shah cerita gak sedikit-sebanyak nih! Kalau tak maunye Pontianak Harum Sundal Malam ni nak senyum balik kat aku…
* * *
“Oit! Nyombong ar skang, dah lama tak singgah! Ke gi oversea?”
Sapaan tu datang dari Nik, tuan punya kafe merangkap pelayan kafe merangkap tukang sapu kafe kat apartment aku [banyak sangat merangkap sebab kebanyakan kerja memang dia yang buat. Pekerja dia kerja dok layan internet je, hampeh tul!].
“Mana ada gi oversea, ada je sini ha,” kata aku sambil menarik kerusi dan duduk.
“Ceh, ingatkan kalau gi oversea bolehla tuntut souvenir,” kata Nik sambil duduk bertentangan dengan aku.
“Ape cite?” tanya Nik.
“Cite serabut,” balas aku, ringkas.
“Hal aweks ka?” tanya Nik lagi. Aku sekadar tertawa.
“Eh, budak yang ko bawak datang sini hari tu amacam?”
Aku agak dah soalan ni mesti keluar punya. Sebab dalam banyak-banyak skandal yang aku cite kat Nik, sorang je yang aku pernah bawak makan kat kafe dia ni iaitu Jun. Masa Jun lepak kat sini hari tu, Nik ada jugak borak-borak sikit dengan dia. Kira dah ada jugakla sesi suai-kenal.
“Macam tu lah, Nik. Nak macamana lagi,” keluh aku.
“Hai, berat bunyinya. Gaduh ke?” soal Nik lagi. Kali ni aku cuma mengangkat bahu.
“Esok lusa baiklah tu. Jangan dok buang masa dengan bergaduh. Masa kita ni entahkan pendek, entahkan panjang. Kalau separuh dah habihkan dengan bergaduh, tak ke rugi,” Nik mula berfalsafah.
Nik ni adalah antara orang yang paling ceria dan paling mulia yang aku pernah jumpa. Aku tak pernah nampak dia sedih ke, layan blues ke. Pulak tu mulut tak pernah komplen. Semua benda pun positif di mata dia. Tengoklah, pekerja dia pijak kepala dia pun dia biarkan je. Dia jugak yang buat semua kerja. Pernah jugak aku sound dia. Dia kata dia ni tak reti nak suruh orang lebih daripada sekali. Dia dah suruh sekali, orang tu tak buat jugak, dia tak sound dah. “Ni soal tanggungjawab. Sama ada dia nak tanggung kat dunia, ataupun dia nak berjawab kat akhirat sok,” katanya.
Aku menyambung perbualan aku dengan Nik… “Daripada kita bercakap masa hati tengah panas, elok kita diamkan dulu. Orang Melayu kata, terlajak perahu boleh diundur; terlajak kata buruk padahnya,” aku pulak berlawan falsafah dengan Nik.
“Betul jugak tu. Kire sekarang ni tengah merajuk la,” usik Nik.
“Merajuk tu tidaklah. Dok mikir,” balas aku.
“Hmm… yelah. Pikir panjang-panjang. Tapi kadang-kadang dalam dok mikir tu pun, bayangan gurauan ada gak ye dak?” usik Nik lagi. “Lagi-lagi pulak kalau dah awek bergetah macam tu… selang 5 minit musti muncul punya dalam kepala!”
Aku gelak. Terhibur pulak hati aku dengan usikan Nik ni.
“Mana ko dapatlah awek cun macam tu, Mir… aku ni gak yang dok single-mingle lagi,” keluh Nik tapi masih dengan senyuman.
“Salah tu. Ko tu single but not ready to mingle,” aku membetulkan.
Nik sengih je. Nik dulu bercinta bagai nak rak dengan sorang awek ni… tup-tup awek tu gi kahwin dengan orang lain. Dalam dok frust tu sempat lagi buat lawak, “Sayangnya la pompuan takleh poligami. Kalau tak, I rela dimadu, you!” Cerita tu dah lama dah. Ada la dalam 5 tahun dulu. Masa tu Nik dah lewat 20-an, skang dah masuk era 30 dah pun. Susah benar nak lupakan awek tu agaknya.
“Hari tu mak aku tepon. Katanya jumpa dah sorang dia nak buat menantu. Berkenan benar dah bunyinya. Dok suruh aku balik tengok sendiri,” Nik buka cerita.
“Canteklah tu! Pasal apa tak balik?” soal aku.
“Nak baliklah ni. Tapi ada urusan pulak. Setel je urusan tu aku baliklah,” jawab Nik. Kemudian, seolah-olah teringat sesuatu, dia menyambung, “Ha! Mujur jumpa ko ni. Aku ingat nak tepon esok je. Ni… malam esok aku buat launching menu baru. Datang tau!”
“Launching menu baru? Apahal? Menu skang tak beh ke?” banyak soal pulak aku ni. Patut aku tanya ada makan free ke tak, hehe…
“Skang ni kan aku jual Western je. Aku amik sorang tukang masak budak Siam ni, datang masak tomyam semua,” jelas Nik.
“Oo… makan free?” soalan wajar tu pulak menyusul.
“Ha’ah. Aku buat buffet,” jawab Nik.
“Apasal tak letak poster pun kat keliling apartment ni?” tanya aku lagi.
“Ko ni banyak songehlah! Nak datang ke tak nak ni!”
“Hehe… nak, nak, nak…”
* * *
Senja tu, tengah aku dok leka layan tengok TV lepas develop gambar-gambar untuk job dengan Maya hari tu, telefon bimbit aku berdering. Nama Nik tertera di situ. Apahal pulak mamat ni?
“Woi! Jangan lupa datang malam ni!” Nik terus memberi peringatan.
“Ha, okay. Takde lupanye, makan free kan,” balas aku [padahal aku nyaris nak lupa dah tadi].
“Makan free pun, pakai lawa-lawa tau,” pesan Nik lagi.
“Pakai lawa-lawa? Ada menteri nak datang rasmi ke?” usik aku.
“Hangguk ko! Aku tengah kumpul duit nak kawin nih, tak kuasa aku buang duit ajak menteri datang pulak,” balas Nik.
“Habih tu pasal apa kena pakai lawa-lawa?” tanya aku lagi. Pelik pulak perangai si Nik ni…
“Habih tu ko nak pakai baju tido ke? Kot ye pun kafe aku ni kat apartment ko, buat la perangai senonoh sikit,” kata Nik.
“Yelah, yelah,” aku mengalah.
“Lepas Isyak datang la. Semayang maghrib dulu!” pesan Nik lagi.
* * *
Dalam perjalanan ke kafe Nik, aku pelik dengan suasana sekitar apartment yang agak lengang. Selalunya kalau bab makan free ni, orang berpusu-pusu je datang. Hmm… tulah aku cakap kat Nik, promosi kurang nih. Poster pun takde. Ke dia saja tak nak kasi orang datang ramai-ramai sebab peruntukan sikit? Hmm… tunggu dan lihatlah karang…
Setibanya di ruang kafe Nik, aku jadi bertambah pelik. Ada tanda di pintunya yang terpapar ayat Closed Tonight. Nik ni nak kenakan aku ke?
Aku cuba menolak daun pintu. Tak kunci pulak… lupa cabut sign tu kot…
Sebaik saja masuk ke dalam kafe, rasa pelik aku kian memuncak. Cuma satu meja saja yang dibiarkan di tengah-tengah ruang kafe. Kot ye pun buat buffet, si Nik ni takkan nak suruh orang makan berdiri kot… eh, tapi… lain macam je setting meja ni…
Bila aku mendekati meja bertemankan hanya dua buah kerusi tu, aku nampak yang meja tu berhias cantik. Pinggan, gelas serta sudu-garpu tersusun rapi; makanan juga dah siap terhidang. Western ni… tak nampak pun batang hidung tomyamnye… Di tengah-tengah meja ada setangkai bunga ros dikelilingi lilin-lilin kecil.
Apahal nih?!
“Hai…”
Ada satu suara menyapa aku dari belakang. Dan suara itu bukan milik Nik.
Suara tu milik Jun.
Aku berpaling dan terlihat Jun berdiri di muka pintu. Aku kaget.
“Duduklah,” dia menjemput macam kafe ni dia yang punya. Kemudian, seolah-olah dapat membaca fikiran aku, dia menyambung, “Malam ni kafe ni kita yang punya. I mintak Nik reserve untuk kita berdua je”
Aku memandang ke arah kaunter. Tak ada bayang Nik di situ.
Kurang hasam ko Nik! Boleh tahan gak lakonan ko!
Jun mendekati aku, kemudian memegang tangan aku dengan lembut. “Please, Mir… let me explain,” dia merayu.
Tipulah kalau aku kata aku takde gerak hati nak meluru keluar dari kafe tu. Tapi menengokkan usaha Jun nak memujuk aku ni, sedikit-sebanyak tersentuh jugak hati aku yang keras ni. Entah bila masa Jun ni pergi menebalkan muka jumpa Nik ni pun aku tak tau. Tapi yang pasti semuanya perlukan perancangan yang rapi.
Dan kalau Jun dah bersusah-payah buat semua ni untuk aku, aku rasa tak salah untuk aku sekadar duduk dan dengar penjelasan dia…
* * *
Jangkaan Shah memang tepat. Penipuan yang lahir dari mulut Jun tu adalah sebab dia takut kehilangan aku; takut aku tarik diri daripada deal yang aku dah buat dengan dia.
“Still; you shouldn’t have lied to me,” aku masih berkeras.
“I know. I was desperate,” balas Jun, kemudian dia menggenggam tangan aku dengan erat. “I really didn’t want you to leave…”
Aku diam. Kemudian aku berkata, “If you don’t want me to leave, you have to give me a reason to stay…”
“I paham tu. Dan I rasa, sekarang I mampu bagi you sebab yang cukup kukuh…” kata Jun.
Aku memandang dia dengan penuh tanda tanya.
“I dah break dengan Azhar”
Aku terkedu. Biar benar! Tapi baru saja rasa seronok nak menyelinap masuk ke dalam hati aku, ada palang di pintu masuknya yang belum membenarkan rasa seronok tu masuk...
“Betul ni? I tak nak kena tipu lagi, Jun. If this is another lie, then that’s it,” tegas aku. Kata-kata tu keluar secara spontan tanpa aku perlu berfikir panjang. Biar Jun tahu yang aku ni bukan orang yang boleh diperkotak-katikkan.
“Betul. I dah break dengan dia,” Jun meyakinkan aku.
“Atas alasan…?”
“I dah ada orang lain,” balas Jun dengan yakin dan tenang.
“Betul tu alasan yang you bagi?” tanya aku lagi.
“Kenapa tidak?”
“Takdelah… selalunya orang perempuan ni bila dia yang mintak break, dia tak bagi alasan direct macam tu,” ujar aku.
“I have nothing to hide. Not anymore,” balas Jun.
Aku memandang tepat ke matanya. Aku cuba mencari kalau-kalau ada rona sangsi di situ.
Tak ada.
Aku tak tahulah kalau aku yang tak pandai menilai ataupun Jun ni dah banyak kali sangat buat ujian poligraf sampai pandai cover bila menipu… ataupun dia memang betul-betul serius kali ni.
“Siapa orang lain tu?” aku pura-pura tak tahu.
Jun tersenyum nakal. “I belum tanya dia lagi. You rasa, dia nak tak kat I?”
“Kalau you jujur, rasanya dia takde masalah nak terima you,” jawab aku.
Jun terdiam, mungkin kerana sindiran aku. Kemudian dia kembali tersenyum. “Setahu I kan… dia ni dah lama takde awek steady. You rasa, dia dah sedia ke?” tanya Jun lagi.
“Dah lama tu sebab takde yang sesuai. Sekarang dah jumpa yang sesuai… kot,” jawab aku.
“Kenapa ada ‘kot’?” soal Jun.
“Dalam dunia ni, takde apa yang pasti,” balas aku. Kemudian aku menambah, “I takut you je yang salah pilih. Dengan Azhar tu dulu, stabil. Orang baru yang you nak ni… kadang-kadang stabil, kadang-kadang tak. Pulak tu mungkin you belum cukup kenal hati budi dia. Sanggup ke ambik risiko?”
Jun tersenyum. “Sanggup,” jawabnya ringkas. Kemudian dia menambah, “Lagipun I dah bagitau diri I sendiri… this time around, I won’t get carried away with courtship period”
“Maksud you?”
“Yelah, masa zaman mengorat, semuanya indah. Orang perempuan senang leka dengan zaman tu. Dia selalu lupa yang bila habis je zaman mengorat; bila dia dah jadi milik orang tu, semuanya berubah. Jadi, I nak betulkanlah silap I yang dulu,” jelasnya.
“Kenapa nak betulkan benda yang tak salah?” soal aku.
“Huh?”
“Tak salah kalau you harap sesuatu tu kekal indah, walaupun dah tamat zaman mengorat. Sepatutnya orang yang mengorat you tu hargai yang akhirnya dia dah dapat memiliki you… dan sebagai penghargaan, orang tu akan sayang you lebih lagi daripada zaman mengorat. Bukan macam tu patutnya?” hujah aku.
“Well, that’s the principle,” Jun akui.
“So what you really need to do is find someone who sticks by that principle,” ujar aku.
“Kalau I dah jumpa?” tanya Jun.
“Kalau dah jumpa, jangan lepaskan,” balas aku, mula menguntum senyum.
“That’s what I thought, too,” katanya. “So…”
Jun mengambil bunga ros yang tadinya menghiasi meja. Kemudian dia bangun dan berjalan ke arah aku. Berdebar-debar pulak aku menengokkan dia melangkah dengan begitu yakin.
Dengan penuh lemah-lembut, dia melutut di sisi aku sambil mengunjukkan bunga ros di tangannya. Kemudian, diiring senyuman manis berbaur nakal, dia berkata…
“Amir, will you be mine?”
|