Sudah sebulan berlalu dan kini Sofi sudah sihat seperti biasa.Buat masa ini dia hidup bersama Dukun Megat yang sebenarnya tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap.Bila ditanya kepada Dukun Megat kenapa dia hidup seperti ini? Katanya dia tidak mempunyai isteri,anak-anak atau saudara mara lagi, malah tiada wang untuk membeli rumah atau memenuhi kehendak peribadinya,semua rawatan yang diberi kepada orang ramai hanya diupah dengan makanan dan pakaian sahaja.Eh? Kenapa begitu? Kan lebih elok kalau diberi wang dapat juga membeli apa yang perlu dan lebih penting lagi dapat disimpan untuk masa akan datang.Tetapi, orang tua itu mempunyai pendiriannya sendiri tentang wang ringgit dan lebih lagi dia mahu menolong orang secara ikhlas tanpa mengharap balasan yang berlebihan.Sejak Sofi tinggal bersama dengan Dukun Megat, banyak juga ilmu perubatan yang dipelajarinya dan kini berkat dari ubat-ubatnya,kesan sumpahan itu jarang sekali muncul seperti hidupnya kembali normal seperti biasa.Lama kelamaan Sofi mula menghormatinya seperti seorang guru.
“Sofi kau tahu tak kenapa kau tinggal bersama pak cik?” tanya Dukun Megat ketika mereka berdua sedang menjamah makanan di satu tempat dipinggir bandar Beras Mati. “Sebab saya perlu mencari penawar bagi sumpahan ini secepat mungkin?” jawab Sofi selamba. “ Sebenarnya Sofi,selain dari mencari penawar untuk sumpahan kau, ini adalah wasiat ayahmu sendiri yang mahu pakcik ajarkan kamu pasal ilmu perbomohan” jelas Dukun Megat.Sebaik sahaja dia mendengar kata-kata itu, makanan yang dikunyahnya tersembur keluar diiringi pula dengan batuk beberapa kali kerana tersedak. Dukun Megat ketawa melihat telatah anak muridnya yang baru itu, lalu Sofi terus bertanya “ Ayah mahu saya jadi macam pak cik? Bukan tugas pak cik cuma nak menyembuhkan dan membantu saya mencari penawar itu sahaja?”. “Penyakit kamu akan berterusan sehingga akhir hayat kamu dan pakcik tak akan bersama kau buat selama-lamanya.Jadi tugas kaulah nak menyembuhkan diri sendiri” jelas Dukun Megat lagi.
“ Tetapi siapa yang nak menjadi bomoh sekarang? Itu pekerjaan lapuk, sekarang orang lebih percayakan ubat-ubat moden dan doktor malah orang akan ingat bomoh ni buat benda mengarut dan bukan-bukan sahaja” kata Sofi lagi yang meragui tentang karier barunya. “Kau tahu sejarah perbomohan ni? Kenapa orang sanggup jadi bomoh?” tanya Dukun Megat. “Hmm..sebab zaman dulu tiada doktor atau ubat moden jadi mereka meminta bantuan dari orang yang pandai mengubati penyakit dengan menggunakan ilmu ghaib atau ubat-ubatan herba, betul kan?”. Dukun Megat hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. “ Mahu atau tidak mulai sekarang pakcik akan ajarkan kau segala ilmu perbomohan yang pakcik tahu, segala jenis penyakit yang ada dimuka bumi ini dan cara-cara merawatnya.Malah aku juga akan mengajar kau cara-cara mengetahui gangguan makhluk halus dan cara mengatasinya” kata Dukun Megat dengan nada yang agak serius. “Makhluk halus?” fikir Sofi.Seram sejuk dia mendengarnya. “ Habis, saya boleh cari duit dengan kerja macam ni?” tanya Sofi selamba. “Ini syarat pertama kalau nak belajar ilmu ni, tidak boleh sama sekali meminta wang atau barang perhiasan sebagai upah merawat pesakit. Kau hanya boleh dapat selain dari itu seperti baju, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.Itulah habuan sebenar bomoh-bomoh zaman dahulu bertujuan untuk mengelakkan fitnah kepada bomoh itu sebenarnya.Tapi percayalah cakap pakcik,apa yang kamu akan alami nanti lebih bernilai dari wang ringgit..” jelas Dukun Megat.Sofi hanya mampu diam dan berfikir betapa susahnya hidupnya selepas ini.
“Err..ada lagi satu soalan..” tanya Sofi dengan penuh keraguan. Dukun Megat menggangguk. “Macam mana pakcik tahu seseorang tu ada penyakit atau tidak, dia pasti tak akan beritahu sesiapa sahaja yang dia ada masalah kesihatan?”.Dengan ringkas Dukun tua itu menjawab “ Percayalah, setiap orang dalam dunia ini mesti ada penyakit.Tiada seorang pun yang betul-betul sihat zahir atau batin.Lama kelamaan kau akan tahu juga”. Setelah itu, Dukun Megat mula bangun dari tempat duduk lalu membuang sampah makanannya kedalam tong sampah berdekatan lalu membasuh tangan dengan bekas air yang dibawanya.Dia kemudian mengajak anak muridnya itu ke suatu tempat. Sofi yang tidak tahu apa-apa hanya mengikut sahaja dan sebenarnya dia pun sudah malas untuk bertanya kenapa. “ Kita akan pergi kesuatu tempat dan pakcik pasti, kau mesti tahu tempat ini” terangnya secara tiba-tiba. Petang itu juga,mereka berdua menaiki bas ke suatu tempat keluar dari bandar Beras Mati.Pelik juga sebab Dukun Megat tidak pernah mendapat upah untuk rawatannya, bagaimana dia boleh mendapat duit? Adakah menggunakan ilmu bomoh juga? Wah, ini sudah baik! Kenapa susah-susah mencari duit, dengan ilmu yang ada wang pasti dapat dengan sekelip mata sahaja. Nampaknya, Sofi yang mula-mula malas untuk belajar tiba-tiba menjadi bersemangat pula. Dia gelak kegirangan didalam hati.
“Sofi,bangun! Kita dah nak sampai” kata Dukun Megat. Sofi yang terlena didalam bas terus terjaga secara tiba-tiba lalu terus memandang ke luar tingkap bas. “Eh? Macam pernah nampak kawasan sekitar ini tapi dimana ya?” bisiknya sendirian. Dia befikir panjang dan lantas terpandang papan tanda yang bertulis “ Kampung Sg.Keruh..1 Batu..”, terkejut besar Sofi dibuatnya kerana itu adalah nama kampung halamannya!. Kenapa perlu balik ke kampung? Tiada sesiapa pun disana, hanya ada rumah usang milik keluarganya yang tak berpenghuni manakala kawan-kawannya yang lain sudah lari hidup di bandar.Apa tujuannya mereka datang ke sini semula?. Selang beberapa minit kemudian, mereka turun dari bas yang berhenti betul-betul di sebuah jambatan yang merupakan pintu masuk ke kampungnya, sudah lama Sofi tidak pulang ke kampung pasti jambatan ini sudah berada dalam keadaan teruk kerana dibiar begitu sahaja tanpa penjagaan rapi. Namun, ia sebenarnya tidak terabai seperti mana yang disangkakannya , malah ketua kampung telah meminta bantuan kerajaan untuk membaik pulih semula jambatan kayu itu kepada jambatan simen. “Apa yang kau pandang tu? Kita tidak akan masuk kedalam kampung” sentak Dukun Megat.
Tiba-tiba sahaja lamunannya terhenti, segala memori yang ada bersamanya ketika berada dikampung hilang dengan serta-merta. Sofi kemudian mengikut Dukun Megat berjalan menuju ke sebuah rumah yang terletak berhampiran sebuah jalan, tidak disangka destinasi sebenar mereka adalah kedai Ah Boon!. Apa yang ada disana? Anggapan pertama Sofi bahawa Dukun Megat mesti pernah berhutang dengan tauke itu jadi dia pasti datang ke sini untuk melangsaikannya,tetapi entahlah,dia cuma membuat andaian sahaja. Kedai Ah Boon kelihatan sedikit usang dan sunyi, tidak kelihatan orang membeli di kedainya seperti dahlu. Agaknya orang kampung lebih suka membeli di pasaraya yang terletak tidak jauh dari sini. Ketika mereka datang, kedainya masih terbuka tetapi tiada orang didalamnya. Sofi diminta duduk diluar oleh gurunya sementara dia berjumpa dengan Uncle Boon.
Keadaan sekeliling sungguh tenang sekali, bilangan kenderaan yang lalu lalang boleh dibilang dengan jari walaupun ianya jalan utama. Sudah hampir setengah jam Dukun Megat berada didalam kedai tersebut, “Kenapa lama sangat ni? Apa pula urusan orang tua ni? Takkan nak bayar hutang pun ambil masa lama macam ni?”,Sofi tak habis-habis mengeluh diluar dan sudah bosan menunggu.Dia kelihatan seperti seorang pengawal keselamatan di gedung membeli-belah,cuma bezanya dia tidak memegang senjata sahaja. Dalam Sofi duduk keseorangan, tiba-tiba muncullah orang tua itu bersama-sama dengan Uncle Boon.Mereka tidak berkata apa, hanya berjabat tangan dan mengucapkan selamat tinggal. Agaknya urusan hutang Dukun Megat telah selesai, patutlah wajah Uncle Boon begitu ceria.Tapi berlainan pula dengan Dukun Megat, raut mukanya menunjukkan sedikit bimbang seperti ada perkara yang tidak selesai lagi. Sofi melihat orang tua itu memasukkan sesuatu kedalam beg galasnya, apalah agaknya itu? Ah,ubat agaknya, dia pun tak mahu ambil tahu sangat urusannya tentang Dukun itu buat masa ini. “Jom Sofi, kita balik” sahut orang tua itu. Sofi bingkas bangun hendak berjumpa Uncle Boon, namun tauke itu hanya melambaikan tangannya dan dengan segera masuk kedalam kedainya semula. Manakala Dukun Megat sudah melangkah laju keluar dari kedai itu dan tanpa berlengah lagi Sofi pun segera mengikutnya. Hendak juga dia bertanya apa urusan gurunya itu dengan Uncle tadi?, tapi setelah berfikir dia mengambil keputusan untuk berdiam diri sahaja kerana sudah tahu orang tua ini tak akan memberitahunya.
“Kita akan pulang ke bandar semula?” soalan itu keluar dari mulut Sofi. “ Tidak, kita akan tinggal disini buat sementara waktu. Pakcik mempunyai sebuah rumah dikawasan ini, semasa ketiadaan pakcik si Ah Boonlah yang tolong tengokkannya. Tadi baru saja pakcik ambil kunci rumah dari dia, ini pun sebab dia nak tunaikan janji nak jaga rumah pakcik sebab tolong merawat mendiang isterinya dahulu.Dah lama pakcik tinggalkan rumah itu,tak tau macammana rupanya sekarang” jelas Dukun Megat. “Oh, nak bagi kunci rumah rupanya, ingatkan apa tadi” bisik Sofi yang kini sudah mengetahui perkara sebenar. Bagus juga ni, tak perlulah mereka hidup berpeleseran dibandar itu lagi.Janji ada makan, minum dan tempat tinggal itupun dah cukup.Setibanya mereka dirumah Dukun Megat, suasana agak hening.Rumahnya terletak agak jauh dari rumah-rumah lain, sesuatu yang biasa bagi mereka yang tinggal diseberang sungai.Rumah itu masih berkeadaan baik walaupun diperbuat daripada papan pada ruang utama dan sedikit simen dibahagian dapur, keseluruhannya tidak banyak yang terjejas akibat usia. Saiznya tidaklah terlalu besar, lebih kurang rumah keluarga Sofi diseberang sungai,ianya sesuai untuk keluarga kecil atau sederhana. Dukun Megat dengan segera membuka kunci pintu rumah itu dan membuka daun pintunya, suasana didalam rumah agak gelap dan mereka berharap ia mempunyai bekalan elektrik dan air.
Tiba-tiba Sofi terbau kemenyan yang cukup kuat, hampir-hampir dia menutup hidung dan dia mula berasa ada sesuatu yang tidak kena didalam rumah itu, meromang juga bulu romanya buat seketika.Tetapi, Dukun Megat hanya bersahaja seolah tidak menghidu apa-apapun.Mereka berdua masuk kedalam, perasaan Sofi makin tidak tentu hala apabila melihat semua perabot dibaluti kain kuning!.Apa semua ni? Dia mula berasa tidak senang. Namun Dukun Megat yang tadi hanya berdiam diri tanpa mengeluarkan sepatah perkataan pun,namun setelah melihat keseluruhan rumahnya itu dia mula berkata sesuatu “Haha..lama betul tak balik kerumah ini.Bagus juga si Ah Boon tu jaga, dah Sofi pergi simpan barang kau kat dalam bilik tu. Sekarang juga kita kemas rumah ni!”. Sofi terpegun seketika, tapi apakan daya nak atau tak nak dia terpaksa ikut mengemas juga.
Hampir sejam Sofi dan Dukun Megat berhempas pulas mengemas rumah itu. Ruang dalaman rumah yang kelihatan suram dan berdebu mula bertukar menjadi ceria dan bersih. Nasib baik juga rumah ini mempunyai bekalan elektrik, bolehlah juga dia berehat di bawah angin kipas siling. Dukun Megat juga duduk berhampiran anak muridnya sambil menghulurkan segelas air sejuk, “ Mulai sekarang kita akan tinggal disini , kau akan menghabiskan pelajaran mengenai perbomohan dan dalam pada itu merawat orang sakit disekitar kawasan kampung ini.Sebenarnya, kau bukan sahaja akan mempelajari cara merawat orang sakit, tetapi ada sesuatu yang lebih menarik dari itu”, kata Dukun Megat. “Habis..macammana penawar sumpahan saya? Nak biar begitu sahaja?” Sofi mula meragui tujuan gurunya. “Sudah sebulan kau tak merasa ‘serangan’ sumpahan itu kan? Jangan bimbang selagi kau bersama pakcik tidak ada apa-apa yang buruk akan berlaku” jelas Dukun Megat sambil memandang jauh kehalaman rumahnya. “Yelah pakcik...apa-apa sahajalah, nak tinggal kat tempat lain pun tak boleh nanti penyakit tu datang., jadi tinggal ajelah kat sini” kata Sofi didalam hatinya.Namun,dalam pada itu, ingin juga dia melihat keadaan rumahnya di seberang, mesti sudah usang sekarang kerana tiada siapa yang ingin menjaganya. “Nantilah, kalau ada masa nanti aku akan pergi jua”, janji Sofi didalam hatinya sambil memandang tepat kipas yang berpusing disiling rumah ini.
|