"Selamat datang ke Pusat Penyelidikan Unit Tempur Darat," sapa seorang
pegawai wanita yang berusia awal 20-an. Pegawai tersebut yang kelihatan
segak dengan uniformnya membawa Zeta dan rakan2nya masuk melalui sebuah
pintu yang besar. Mereka mengikut pegawai tersebut sambil melihat-lihat
sekeliling dengan kekaguman.
"Seperti yang kita semua maklum,
kita mempunyai dua dunia. Yang pertama ialah dunia dalam iaitu di mana
kita semua tinggal. Yang kedua ialah dunia luar, iaitu dunia yang saya
pasti adik2 semua tidak pernah sampai lagi," pegawai tersebut
menjelaskan dengan senyuman. Zeta sudah dengar tentang dunia luar sejak
kecil namun tidak pernah melihatnya. Hanya mereka yang berumur 15 tahun
ke atas dan menggangotai Unit Am sahaja yang dibenarkan ke dunia luar.
Itupun kerana tugas. Dunia luar terlalu bahaya buat mereka semua, jelas
bapanya pada satu ketika dahulu.
"Untuk terus hidup, kita perlu
ke dunia luar untuk mencari makanan dan juga bahan-bahan keperluan.
Namun begitu, di dunia luar, kita semua sangat terdedah kepada bahaya
dan ancaman daripada makhluk2 lain. Oleh itu, nenek moyang kita telah
mengaplikasikan teknologi yang kita ada dengan menukarkan ancaman
kepada rakan," jelasnya lagi. Zeta tahu apa yang dimaksudkan oleh
pegawai tersebut. Bapanya yang bekerja di UTD sering bercerita
kepadanya tentang perkara itu."Dengan teknologi tersebut, ancaman
terbesar kita pada satu ketika dahulu, iaitu serangga, dapat kita kawal
dan gunakan untuk membantu kita di dalam kehidupan," tambah pegawai itu
lagi .
"Hari ini kita akan melihat serangga yang sebenar,"
serentak dengan itu kedengaran bunyi-bunyi kagum bercampur takut
daripada mulut-mulut para tetamu kecil. Sememangnya perkataan itu akan
menimbulkan pelbagai reaksi kerana serangga hanyalah hidupan dunia luar
dan tidak ramai yang pernah melihatnya secara langsung. Sambil
tersenyum kecil pegawai tersebut membawa mereka masuk ke dalam sebuah
bilik yang sederhana besar. Dinding di sebelah kiri bilik tersebut
merupakan sebuah tingkap lutsinar keseluruhannya. Di sebalik dinding
lutsinar itu merupakan sebuah bilik yang sangat besar dan tertutup.
Bilik tersebut dilengkapi dengan pelbagai peralatan di kesemua sisi
dinding kecuali di bahagian lutsinar yang bersempadanan dengan bilik di
mana mereka berada.
Di tengah-tengah ruang tersebut terdapat
seekor serangga yang sangat besar. Besarnya meliputi sebahagian besar
daripada bilik tersebut. Banyak bahagian anggota badan serangga itu
tersambung kepada peralatan-peralatan di sekitarnya oleh pelbagai jenis
tiub dan wayar. Ia berwarna keputihan dan tidak bergerak bagaikan sudah
mati. Di bahagian kepalanya kelihatan 2 orang yang berpakaian serba
putih keseluruhannya sedang melakukan sesuatu. Keduanya kelihatan
sangat kerdil jika dibandingkan dengan saiz serangga itu. Kesemua
tetamu termasuk Zeta melopong kagum.
"Ini merupakan makmal
ubahsuai," terang pegawai tadi sambil menunjuk ke arah ruang tersebut.
"Seperti yang adik2 lihat, 2 saintis itu sedang memasang sistem kawalan
pada seekor serangga yang dikenali sebagai Karingga. Sistem kawalan
akan diimplan ke dalam sistem saraf utama yang terdapat di bahagian
belakang Karingga ini. Seterusnya sistem kawalan itu akan disambung
kepada panel kawalan utama yang terdapat di dalam kokpit yang akan
dipasang terakhir di atas badan serangga ini," jelas pegawai wanita itu
panjang lebar. Para tetamu kecil masih melopong tidak mempedulikan
penjelasan pegawai itu.
"Serangga itu dah mati ke? Kenapa dia tak bergerak?" tanya Rosko, seorang rakan Zeta dengan wajah yang sedikit sugul.
"Serangga
itu hidup. Namun dia masih di dalam keadaan pupa fasa terakhir. Implan
kawalan dilakukan pada waktu ini kerana lebih mudah mengawal serangga
pada waktu ini berbanding setelah mereka dewasa sepenuhnya," terang
pegawai muda itu sambil tersenyum pada Rosko.
"Ok sekarang mari
kita ke bilik seterusnya. Kita akan lihat Karingga yang sudah dewasa
sepenuhnya," ajak pegawai itu. Kesemua mereka mengikuti pegawai
tersebut dengan perasaan gembira bercampur debar. Zeta tersenyum dengan
penuh semangat kerana memang inilah waktu yang ditunggu-tunggunya.
Seperti
bilik tadi, bilik seterusnya juga merupakan bilik pelawat yang turut
mempunyai dinding lutsinar. Bezanya ialah ruang di sebalik tingkap
memerhati kali ini kelihatan lebih besar daripada makmal ubahsuai tadi.
Mungkin kerana jumlah peralatan di dalam ruang yang seperti hangar itu
adalah minimal berbanding di dalam makmal. Di dinding yang bertentangan
terdapat sebuah lagi bilik pemerhatian. Beberapa orang yang berpakaian
serba putih kelihatan berdiri di dalamnya.
Di tengah2 hangar
itu, terdapat seekor serangga yang bersaiz lebih besar daripada yang
terdapat di dalam makmal tadi. Warnanya juga berbeza, iaitu kali ini
ianya berwarna perang garang. Di sisi mulutnya terdapat sepasang
penyepit yang besar dan runcing. Serangga yang kelihatan menggerunkan
itu walaubagaimanapun diam tidak bergerak. Suara-suara gusar mula
kedengaran di kalangan para tetamu kecil.
"Sekarang kita berada
di hangar ujian," pegawai wanita itu memulakan penerangannya. "Setiap
serangga yang telah diimplan dengan panel kawalan dan kokpit akan diuji
di sini terlebih dahulu. Beginilah rupa seekor Karingga yang dewasa.
Namun begitu, serangga yang telah kita ubahsuai tidak lagi dipanggil
dengan nama serangganya, tetapi ia akan dikenali sebagai unit AN-72,"
jelas pegawai tersebut.
"Ujian pada unit AN-72 kali ini akan
dilakukan oleh Zilo, seorang pegawai ujian yang berpengalaman. Dia juga
merupakan bapa kepada Zeta," pegawai tersebut melirik kepada Zeta yang
kelihatan tersenyum bangga. Zeta berdiri di hadapan sekali, rapat pada
tingkap tersebut, ingin melihat bapanya yang akan keluar sebentar lagi.
Seketika
kemudian seorang lelaki bertubuh besar dan tegap keluar dari pintu
kecil di tepi dinding bilik pemerhatian. Lelaki tersebut yang memakai
jumpsut serba putih melambai tangannya ke atas ke arah Zeta dan
rombongan kecilnya. Zeta membalas semula lambaian bapanya dengan
bersemangat.
Zilo mengenakan helmet komunikasi dan memanjat
memasuki kokpit unit AN-72 tersebut. Setelah menutup kokpit, Zilo
memberi isyarat kepada pemerhati2 di dalam bilik lalu menghidupkan
panel kawalan. Sebaik panel kawalan menyala, kaki unit itu mula
bergerak2 kecil. Zilo menggerakkan kayu kawalan dan unit itu mula
bangun dan berdiri. Zeta berdebar melihat unit tersebut yang kini
kelihatan dua kali lebih menggerunkan apabila berdiri. Zilo kemudiannya
memulakan ujian kawalan dengan mengangkat beberapa kaki secara bergilir
dan kemudian bergerak ke depan dan ke belakang. Tepukan kecil
kedengaran dari sekeliling Zeta membuatkan dia berasa bangga dengan
bapanya.
Zilo kemudiannya menggerakkan unit beberapa langkah ke
kiri dan kemudian ke kanan. Sewaktu bergerak ke kanan itu dengan tidak
semena-mena unit itu bagaikan hilang keseimbangan dan mula tersungkur
ke sisinya. Unit AN-72 itu menghentam kuat dinding sebelah kanan
menyebabkan hac kokpitnya pecah dan Zilo terhumban keluar. Zeta
tergamam menyaksikan apa yang berlaku. Kemudian unit tersebut
terkial-kial bangun dan berdiri semula dengan sendirinya tanpa
sesiapapun di bahagian kawalan. Lantas itu satu bunyi yang membingitkan
telinga bergema ke segenap ruang.
Para pemerhati di dalam bilik
bertempiaran panik. Namun masih ada yang cuba mengawal keadaan.
Penggera segera dibunyikan dan asap pelali disembur ke dalam bilik
ujian. Kumpulan rombongan Zeta juga mula menjerit dan berlari keluar
daripada bilik pelawat mengikut arahan pegawai wanita tadi. Namun
begitu Zeta masih terpaku di dinding kaca. Dia melihat bapanya yang
masih terduduk berasak mengundur menjauhkan diri daripada unit AN-72
yang di luar kawalan itu. Zilo berundur sehingga ke dinding yang
memisahkan antara dia dan Zeta. Seluruh bilik mula diselubungi asap
tebal.
"Ayahhh!!" jeritan Zeta ditenggelami bunyi bingit
penggera yang kemudiannya disahut lagi dengan bunyi getaran nyaring
yang menggerunkan itu. Tangannya menepuk2 dinding lutsinar itu sambil
terus memanggil-manggil bapanya. Zilo cuba berdiri dan memandang ke
arah anaknya itu. Dan Zeta menjerit lagi sekuat hatinya apabila dia
melihat dari dalam kelam kabut asap itu sepasang mata merah menyala
dengan penyepit tajam yang terbuka luas muncul dan sepantas kilat
menerkam ke arah bapanya.
***
"Urgh!"
Zeta tersentak dan terus sedarkan diri. Dia melihat di sekelilingnya.
Kelihatan hac kokpit pesawat yang retak seribu dengan beberapa bahagian
berlubang besar. Panel kawalan di hadapannya kelihatan rosak teruk dan
tidak berfungsi lagi. Zeta menafsir yang dia telah terhempas namun dia
masih keliru. Zeta memandang kerusi sebelahnya. Sekujur tubuh
berlumuran darah masih terikat pada kerusi juruterbang utama.
"Maia!"
Zeta memanggil ingin memastikan keadaan Maia. Kening Maia sedikit
berkerut menunjukkan tindakbalas terhadap panggilan Zeta. Namun matanya
tidak mampu dibuka. Zeta tidak pasti apa yang telah berlaku dan
bagaimana mereka boleh berada di situ, namun begitu yang penting
sekarang mereka berdua masih hidup. Zeta cuba menanggalkan tali
keselamatannya untuk membantu Maia apabila dia mendengar satu bunyi
gema yang aneh dari sekitarnya. Bunyi yang sedikit nyaring itu bagai
pernah didengarinya sebelum ini. Dan pada masa itulah dia melihat
sepasang mata merah dengan penyepit yang runcing lagi tajam sedang
memerhatikannya betul-betul di hadapan kokpitnya.
AN-72 (foto hiasan)
|