FADIYA tidak mengerti akan tindakan Lukman yang menjauhi diri darinya sedangkan sebelum ini mereka berkawan rapat. Ditambah pula dengan kehadiran Izhar yang cuba mengetuk pintu hati sedangkan hati Fadiya sudah pun dimiliki. Hari demi hari lelaki itu kian menjauh. Sekejap mesra, sekejap dingin. Fadiya keliru. Apakah dia telah berbuat salah atau lelaki itu sememangnya telah berubah?
“Saya tak tahu Maya. Saya cuba dekat, melangkah merapatinya. Tapi setiap kali saya mendekati, dia akan semakin jauh. Saya takut saya tidak mampu lagi mengejar walau bayang-bayang dia sekalipun,” - Fadiya
LUKMAN tidak pasti apakah tindakannya menjauhi Fadiya adalah satu tindakan yang tepat kerana ada derita yang hadir dalam hidupnya. Tidak bergurau-senda dengan gadis itu, tidak berbicara dengan gadis itu, tidak melihat senyuman gadis itu, membuatkan hati Lukman parah. Namun dia harus tegar kerana perasaannya pada Fadiya tidak sekuat rasa cinta Izhar pada gadis itu. Lukman tidak yakin dia mampu membahagiakan Fadiya sebagaimana Izhar. Lukman tidak yakin dia dapat terus mengukir senyuman di wajah gadis itu andai mereka bersama-sama.
“Aku tahu perasaan hati ini pada dia adalah cinta. Tapi hanya dnegan cinta sahaja tidak akan menjamin bahagia. Izhar lebih layak buat Fadiya. Aku yakin Izhar mampu buat Fadia gembira. Fadia hanya akan berduka jika dia bersama aku” – Lukman
IZHAR tidak tahu mengapa terlalu sukar untuk menambat hati gadis kecil molek itu sedangkan pelbagai cara telah dicuba. Puas diketuk pintu hati namun gadis itu tetap berdegil untuk membukanya. Usahkan melangkah. Menjengah sedikit pun dia tidak pernah. Pintu hati gadis itu telah dikunci rapat-rapat. Siapa agaknya gerangan yang menyimpan kunci tersebut?
“Susah sangat ke awak nak terima saya dalam hidup awak? Apa kurangnya saya? Manusia tiada yang sempurna Diya. saya boleh perbaiki kelemahan yang ada tapi sekurang-kurangnya berilah saya peluang. Terimalah hasrat hati saya ini,” – Izhar
Fadiya rindukan saat-saat gembira semasa dia dan Lukman berkawan rapat. Lukman rindukan bicara Fadiya yang keanak-anakan itu. Izhar rindukan Fadiya yang sering menemani lenanya saban malam. Ketiga-tiga insan ini diselubungi rindu. Rindu yang terlalu menyesak dada. Benarkah dalam bercinta pengorbanan itu perlu ada? Biarlah sonata rindu yang menjawabnya... |