Dua puluh satu, dua puluh dua.
Mulutku sedang mengira, Sambil hatiku pula berkata, "Dunia, dengarkan cerita ini. Cerita syahdu seorang jejaka!"
Dua puluh tiga, dua puluh empat.
Pertama kami bertentang mata, Ketika kau berlalu di koridor raya, Tukul Warrington yang mencari paku, Akhirnya tersesat ke jari manisku.
Dua puluh lima, dua puluh enam
Kali kedua kami bersua, Aku memulakan langkah pertama, Senyuman lebar kuberi percuma, Jelingan manja pula jawabnya.
Dua puluh tujuh, dua puluh lapan
Ketiga pula semangatku jitu datang menyapa engkau di penjuru "Hey si manis, bermata kuyu, Sudi luangkan masa denganku?"
Engkau senyum tanda setuju, Kami beriringinan ke kantin dituju, Walaupun tertulis pada jadual waktu, Bengkel kemahiran hidup harus ku tuju
Dua puluh sembilan, tiga puluh
Nah, kini kita berdua sahaja Di luar waktu rehat sepatutnya Tiada aku menahan bicara Kata cinta dilafaz segera
Engkau diam menunduk muka, Sangkaku engkau malu cuma, Rupanya di belakangku Cikgu Mustafa, Memegang rotan panjang sedepa
Tiga puluh satu, tiga puluh dua
Guruh berdentum hari tak hujan Langit cerah disiram mentari Guruh berbunyi berserta soalan "Mengapa kamu berada di sini?"
Aku membisu, engkau membatu Cikgu Mustafa masih menjegil mata Aku kaku, engkau berlalu Cikgu Mustafa tegas dengan hukumnya
"Ketuk ketampi 100 kali!"
Tiga puluh tiga, tiga puluh empat Tiga puluh lima, tiga puluh enam Tiga puluh tujuh, tiga puluh lapan Tiga puluh sembilan, empat puluh!
"Cikgu, kaki saya sakit cikgu.."
|