Kapasitor Karya Kreatif Bahasa Melayu
Penulisan > Koleksi Puisi > Puisi Kehidupan

Politik dari Longkang?

i.

kepada kerajaan dan juga pembangkang
berpolitiklah dengan matang
pantang
idea bersilang
dikatakan curang
menghalang
sedang itu cadangan yang boleh dipertimbang
fikir renung sebelum dibuang
tilik pilih sebelum dikata penentang
baharu tadbir urus berkembang
bukan hanya terperap dalam wangian limbah longkang
berkilometer sudah menusuk hidung malang...

jangan sentap aku hanya beri pandangan.


ii.

kepada kerajaan dan juga pembangkang
anda telah diberi mandat berjuang
laksanakan apa yang dirancang
jangan pula janji-janji hilang
menelan wang
rakyat dibiar terbongkang
menyelesai sendiri masalah mendatang
kelak kamu tak lagi ditatang
balik terperuk di tepi longkang
poket kosong suara sumbang
bagai telur tembelang
dibuang orang...


iii.
kepada kerajaan dan pembangkang
usah terlalu lancang
mendedah hal pincang
aib orang
jangan diperkata sebarang
jika benar doakan mereka balik ke simpang
jika tak benar ia jadi fitnah yang menyongsang...

rakyat yang matang
usah mudah percaya pada berita goyang
siasat sampai ke tulang
buat keputusan ikut undang-undang
pilihanraya pangkah yang cemerlang
beri mereka peluang
membuktikan kejujuran berjuang...

jaga diri jangan diperkuda dalang
memecah belah kasih dan sayang
kita satu bangsa satu negara satu agama dalam satu dulang
jangan sampai tertumpah ke longkang
saling berperang
menegak kepercayaan dengan cara dilarang
sungguh tempang...


iv.
kepada pembangkang dan kerajaan
pemerintahan bukan medan ujian
silap langkah negara jadi habuan
bersatulah demi perpaduan
sama-sama menegak pembangunan
dalam mencari redha Tuhan...

berbeza pandangan
tak semestinya perlu bercakaran
jika sama-sama daulatkan kebenaran
tentu ada titik pertemuan
jangan kerana keegoaan
rakyat dimangsakan...

jika rakyat diutamakan
soal tetek bengek ketepikan
hidup dalam keharmonian
lebih mahal dari kekayaan
oleh itu aku mencadangkan
katakan tidak kepada politik keperibadian
politik longkang yang memualkan...

CNM, 29/3/13

Nilaikan karya
Info Penulis
Info Karya

Attribution-Noncommercial-No Derivative Works 2.5 Malaysia
Keterangan
< < Puisi sebelum
tembok
Puisi selepas >>
Bodoh atau Setia ?

Lain-lain karya ckgunikmie
Lihat semua
Puisi terbaru
Bahasa Melayu
Latest Poetry
English
Puisi terbaru
Bahasa Indonesia
komen daripada Facebook

1 Komen dalam karya Politik dari Longkang?
Hantar komen
Sila login ke Kapasitor atau gunakan akaun Facebook anda




Ikut kapasitor



admin blog