helpHelpfeedbackFeedback  Register
Welcome Guest
Not a member yet? Join us.
Login if you already have registered.
ReviewsView all
Feed
Garapan unsur perlambangan yang berkesan
ridhrohzai wrote this review for: Gerimis dan Pelangi
calendar 2/02/2010 09:15:35 AM | 72 views

Ketika menulis review ini, saya sebenarnya masih dibuai keasyikan dek kerana romantisnya setiap patah kata dalam cerpen bertajuk “Gerimis dan Pelangi” nukilan penulis yang sudah tidak asing lagi di kapasitor ini iaitu Upenyu.  Upenyu juga turut dikenali dalam lontaran bait-bait puisinya yang membuai rasa. Kebanyakkan cerpen yang ditulis oleh penulis ini saya kira struktur ayatnya sangat matang.  Mungkin kerana pengalaman dan kearifan yang dimiliki dalam memilih diksi untuk menjadi kekuatan sesebuah ayat.

 

Tema dan persoalan cerpen ini ringkas. Temanya tentang cinta yang didukung oleh beberapa persoalan seperti keinginan dan keghairahan untuk mencapai cita-cita, perubahan perasaan dan kesetiaan dalam percintaan. Cerpen ini dibangunkan dengan mode penceritaan yang sesuai dengan persoalan dan sudut pandangan penceritanya.

 

Watak dan perwatakan yang diperkenalkan tidak terlalu banyak. Mengambil kira watak utama dan dua watak sampingan yang dilakar oleh pengarang. Olahan watak-watak tersebut tidak terlalu keterlaluan. Perjalanan watak itu berjalan seiringan dengan perasaan dan keadaan. Deskripsi batiniah misalnya dipaparkan dalam wacana monolog dan deskripsi fizikal dibentangkan dalam wacana naratif.

 

“Titisan gerimis yang turun dari langit itu adalah titisan air mata para bidadari yang menangis kerana cinta. Bidadari itu adalah puteri kayangan yang cantik jelita tiada taranya. Cantiknya seperti dirimu!”

 

Penceritaan ini diperkukuh oleh gaya bahasa yang sesuai untuk menyampaikan rasa cinta, kesetiaan dan kekesalan oleh watak. Gaya bahasanya yang lebih menjurus kepada unsur perlambangan, sekaligus dapat menimbulkan kesan emosi.

 

Plot cerpen ini tidak mendatar. Ia mengandungi teknik imbas kembali dan disusun secara kemas strukturnya. Latar tempat juga tidak banyak digunakan, bertepatan dengan struktur sebuah cerpen.

 

Secara keseluruhan, intipati cerita ini adalah tentang seorang pemuda kota yang gagal dalam pelajaran lalu berhijrah ke sebuah daerah untuk membina semula kehidupan. Di sana dia bertemu dengan seorang gadis bernama Salina dan mereka saling jatuh cinta. Badai mula melanda perhubungan mereka apabila pemuda itu menyambung semula pelajaran dan jatuh hati pada seorang gadis lain. Salina yang setia menanti diabaikan dan pengakhirannya Salina sudah tidak mampu untuk terus setia. Pemuda kota tersebut telah tersilap menilai antara intan dan kaca.

 

Saya tidak mahu berbicara panjang tentang cerpen ini kerana saya mahu anda sebagai pembaca sendiri yang menghayati setiap patah kata yang dicoret oleh penulis. Saya mahu anda rasa kemanisan dan hubung-kait antara gerimis dan pelangi di mana perlambangan yang digunakan bertepatan sekali dan diadaptasi secara berkesan. Cuma ada beberapa kesalahan ejaan yang sedikit-sebanyak mengganggu mood pembaca. Tidaklah terlalu ketara tetapi masih boleh diperbaiki.

 

Sekian sahaja untuk kali ini.

 

Salam hormat,

ridhrohzai

Moderator seksyen BM

Other reviews from ridhrohzai
TickOlahan yang Segar
TickMembaca dalam Cerpen
TickKekuatan Lontaran Diksi dalam Adik
TickSebuah Cereka Cinta Islami
TickNaratif tentang ibu
TickRumpun Kesamaran yang Mengusik Jiwa
Tick\"Mata Hati Jiwa\" yang penuh pesona
TickSignifikasi penggunaan istilah dalam sesebuah karya
Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login
sponsored announcement

Kapasitor: Reviews
Reviews a tool for you to discuss and elaborate any of the posts submitted by members from your point of view. It must be in article format where you have to write it properly.
Learn more