helpHelpfeedbackFeedback  Register
Welcome Guest
Not a member yet? Join us.
Login if you already have registered.
ReviewsView all
Feed
Pemuda Kecil-Halus
paktam85 wrote this review for: Pemuda kecil
calendar 4/02/2010 17:45:26 PM | 44 views

Salam kepada seluruh warga kapasitor...

 

Kesibukan dengan rutin harian tidak boleh saya jadikan alasan untuk menulis review untuk kali. Mencuri sedikit masa sebagai memenuhi tugas dan amanah yang diberikan rasanya tidak salah. Maafkan saya disebabkan kelewatan menuliskan review kali ini.

Baiklah, untuk review kali ini seperti yang tertera pada tajuk di atas saya membulatkan tekad untuk memilih cerpen Pemuda Kecil hasil karya saudara Jo3y. Beliau memulakan langkah pertama dengan menulis cerpen yang bertajuk Soyuzers(Part 1+1/2) genre fantasi. Sememangnya karya-karya beliau amat saya minati. Jelas terpancar kreativiti beliau mengarang setelah saya menelusuri setiap karya beliau. Ada sesiapa tidak setuju dengan saya? Itulah keistimewaan Jo3y yang dapat saya perhatikan lebih cenderung berkarya dalam kategori penulisan cerpen.

Meneliti kata-kata dari Marsli NO dalam artikelnya yang bertajuk Hakikat Cerpen: Fakta dan Fiksi:- "Sebuah cerpen adalah sebuah dunia baru yang dibangunkan dari himpunan realiti yang dibaur dan dicernakan di dalam imaginasi pengarangnya. Realiti yang dihimpunkan adalah realiti yang sehari-hari dilewati pengarang dengan segala deria, indera dan pengahayatannya." bolehlah saya simpulkan bahawa saudara Jo3y telah mberjaya mencipta satu dimensi dalam dunia cerpennya. Tidak pula beliau memberatkan isu sekularisme tersebut dan tidak juga terlalu meringankannya. Karyanya begitu halus sehingga mudah meresapi ke jiwa pembaca dan pada akhirnya membuatkan pembaca menganalisa serta berfikir sebalik motif ceritanya.

 

Tema dan persoalan.

Tema cerpen ini ialah realiti kehidupan(pendidikan). Kebebasan berfikir seseorang kanak-kanak tidak harus dikekang. Seseorang guru atau pendidik harus berfikiran terbuka dan tidak boleh memberikan ideologi-ideologi yang mampu membantutkan pemikiran kanak-kanak. Seorang kanak-kanak sangat lurus dan mempunyai hati yang bersih serta emosi yang mudah dibinasakan. Bagaimana pendidikan negara dari peringkat paling rendah sekali mampu melahirkan modal insan yang berkelas pertama sekiranya hal-hal seperti ini berlaku.

Watak dan Perwatakan.

Watak Utama:-

Umar bin Abi Umar

Anak hasil perkahwinan Ummi dan Abi Umar. Abang kepada Ulya.Berumur 6 tahun.Khatam al-quran pada umur 5 tahun. Seorang kanak-kanak yang pintar dan petah berkata-kata, berfikiran rasional dan penuh dengan sifat ingin tahu. Ini jelas sekali dinyatakan oleh penulis pada petikan tersebut.

"Umar anak yang pintar dan petah berkata-kata. Kata-katanya seperti anak-anak yang sudah berumur dan rasional sekali tanda kefahamannya yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Seperti kanak-kanak yang sebaya dengannya, Umar dipenuhi rasa ingin tahu."

Watak sampingan:-

Ummi:- ibu kepada Umar dan Ulya.Isteri kepada Abi Umar. Mempunyai sifat keibuan dan mengambil berat tentang anaknya dan bersopan santun.

Lain-lain Watak:-

Muallim:- seorang guru tadika di Baitul-Harakah.Bersifat angkuh dan egois.

Abi Umar;- ayah kepada Umar dan Ulya. Suami Ummi. Bersifat penyayang dan memastikan anak-anaknya mendapatkan nafkah pendidikan yang secukupnya.

Murabbi:- guru tadika di Tabika Al-Muzammil. Bersifat mesra, bersopan santun, berfikiran terbuka.

Ulya:- anak kepada Abi Umar dan Ummi. Adik perempuan Umar. Tekun mempelajari Al-quran. Umur tidak dinyatakan.

 

Plot:-

Cerita ini dimulakan dengan pemerihalan tentang ciri-ciri yang ada pada Umar dan berkembang ketika Umar mula menjejakkan kaki ke tadika. Seterusnya konflik berlaku ketika Umar berdepan dengan Muallim mengenai lukisan bunganya. Seterusnya mencetuskan konflik dalam diri Umar sendiri.Klimaksnya berlaku dialog antara Ummi dengan Muallim. Peleraian berlaku sewaktu Ummi mencari penyelesaian untuk menempatkan Umar di tadika lain.

Gaya Bahasa:-

Saya begitu tertarik dengan susunan diksinya yang mudah namun kemas dan lancar. Sesekali tersulam indah menusuk terus ke dada. Mungkin saya patut petik beberapa ayat yang menarik di dalam cerpen ini.

Monolog:-

"Kurang ajar! Sepatah ditanya, sepuluh dijawabnya! Muallim masih berperang sendiri. Oh, anak-anak ini amat perlukan didikan aku. Sesuai dengan nama tempat ini ‘Taman Didikan Kanak-Kanak Konvensional’."

"Umar, buah hati pengarang jantung Ummi, kesayangan Abi, harapan ummah! Janganlah sampai rosak di perjalananmu, anakku."

"Anak muda, bebaskanlah pemikiranmu..."

Sebab bunga macam manusia; banyak warna, banyak jenis...

Nilai dan pengajaran:-

Sudah tentu pembaca sudah dapat merumuskan nilai dan pengajaran dalam cerita ini. namun di sini saya sertakan sedikit sebab ada kerajinan terlebih-lebih hari ini.

1. Mendidik anak-anak bermula dari sejak kecil dari pelbagai sudut ilmu.

2. Berfikiran terbuka dan sanggup menerima pendapat orang yang lebih muda.

3. Menghormati ibu bapa dan menghormati guru.

4. menghapuskan pemikiran konvensional dan pendidikan sekularisme adalah satu perkara yang perlu kerana kelak akan membinasakan generasi akan datang.

Selebihnya adalah hak pembaca untuk menilai.

Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan cerpen ini dan tidak ragu-ragu untuk memilihnya sebagai review kali ini lantaran kekemasan dan kehalusan garapannya. Walaupun terdapat beberapa penambahan yang harus dilakukan seperti pergolakan dalam diri anak kecil tersebut harus lebih ketara berbanding pergolakkan yang berlaku pada ibunya. Walaubagaimanapun saya akui ia amat sukar dilakukan kerana untuk menyelami jiwa seorang anak kecil adalah sukar bagi seorang penulis. Saya akui saya sendiri tidak mampu. 

Tahniah diucapkan pada Jo3y, kalau tidak silap saya ini kali kedua cerpennya dipilih sebagai review selepas Mahar Buat Isteri oleh Ridhrohzai. Pada penulis yang lain juga saya ucapkan tahniah kerana karya-karya anda semua hebat-hebat belaka sehingga membuatkan kru pengelola berbelah bagi untuk memilih karya yang hendak direview. Apa-apa pun jangan berkecil hati. Teruskan berkarya. :)

Salam karya dari saya,

Tabir Khaizuran(Paktam85)


Other reviews from paktam85
TickCinta Sebuah Realiti Kehidupan...
TickSebuah fantasi
TickKekuatan semulajadi
TickPemilihan Diksi dalam cerpen
TickEmosi mengalir melalui bahasa...
TickKreativiti dalam penciptaan karya kesusasteraan...
Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login
sponsored announcement

Kapasitor: Reviews
Reviews a tool for you to discuss and elaborate any of the posts submitted by members from your point of view. It must be in article format where you have to write it properly.
Learn more