ReviewsView all
Feed
Sampan Harapan; harapan buat semua.
dayya wrote this review for: Sampan Harapan
calendar 27/06/2010 23:56:17 PM | 456 views

Salam buat semua warga Kapasitor! Sebenarnya saya agak gemuruh menulis review ini. Jadi, sebelum kita meneruskan review ini, mahu saya tegaskan bahawa tulisan saya ini *bukan sebagai salah seorang moderator seksyen Puisi, sebaliknya, sila anggap saya sebagai pembaca sahaja.* Ilmu di dada ni cuma sedengkal, tak cukup untuk buat review yang baik, jadi inilah permulaannya. Saya mahu belajar satu lagi tentang puisi dari konteks yang sedikit berbeza. Kalau tak ada permulaan, bagaimana mahu maju. betul tak? Okey, jadi... Sedia untuk dibedah? hehehe.

Puisi yang saya pilih adalah karya dari Enarif; Sampan Harapan. Beliau bukan orang lain dengan saya, teman, sahabat malah skendel di sini. Hahaha, ini gurauan sahaja. Jangan marah, okey? :)

Secara personal, saya memandang tinggi setiap karya dari penulis ini. Puisinya ada cerita, ada gaya. Meski jika mengikut senioriti, saya terlebih dahulu mengenali Kapasitor, namun kemampuan gadis ini seharusnya diberi tabik. Dalam tempoh waktu yang singkat, beliau mampu menyaingi penulis-penulis lama. Mengikut susur galurnya, kami ini bolehlah dikatakan sebagai adik beradik didik Kak Zu atau lebih dikenali sebagai the_Rain. Kami mengenal seni puisi dengan sifu ini. Malah, mungkin disebabkan ini jugalah puisi-puisi kami mempunyai rupa yang seiras secara fizikal. Namun, puisi itu bukankah milik penulisnya? Tentu ada perbezaan pada setiap satu darinya.

Karya Sampan Harapan ini adalah satu dari 'favourite' saya. Bagi saya banyak dari tulisan-tulisan beliau bakal mendapat tempat di dada akhbar jika dihantar untuk publisiti. Soal mengapa puisi ini yang menjadi pilihan untuk direview? Jawabnya: kerana saya merasa dekat dengan karya ini. Sedekat mana? Mari saya terangkan.:)

Jangan terkejut jika saya katakan bahawa puisi ini bukanlah puisi mengenali kehidupan biasa-biasa manusia yang menghadapi dugaan sebaliknya berkisar tentang kejadian di Gaza. Seperti dalam rangkap pertama;


"Kita adalah rakit dengan dayung terlepas
sementara perjalanan belum menampak suar.
Barangkali, ini sebuah mimpi yang tertunda
mimpi yang pernah kita rimas-rimaskan"

 

Pada rangkap ini,penulis cuma memberi gambaran awal tentang isu kapal-kapal bantuan yang dihalang dari memasuki Gaza. Perasaan yang cuba ditonjolkan ialah putus harapan terutama pada baris pertama rangkap ini. Seterusnya, perasaan seperti harapan yang tidak ada berkesudahan itu ditonjolkan lagi dari baris seterusnya. Pemilihan perkataan 'barangkali', 'mimpi yang tertunda' dan 'rimas' menunjukkan bahawa penulis juga seboleh mungkin mahu menghidangkan pembaca dengan pemilihan perkataan yang sangat teliti. Di sebabkan pemilihan perkataan ini, stimulasi perasaan dalam rangkap ini berjaya di kekalkan dan di bawa pula ke rangkap seterusnya.

"Lewat siang tadi,
kita pandang sepi pada buruk rakit
dengan air mata
dengan gemuruh sorak"

 

Dalam rangkap ini, kita di sajikan tentang masa lampau. Bukankah lumrahnya manusia memang begitu? Kita akan mula mengingati salah dan silap jika menghadapi masalah. Pada rangkap ini, saya melihat penulis cuba menunjukkan kepada pembaca betapa perkara-perkara kecil yang berlaku dalam kehidupan kita sebenarnya punya sebab dan musabab. Sepatutnya, kita tidak boleh memandang enteng mana-mana bahagian dalam hidup sebalik menghargai setiap sesuatu darinya. Dari imbauan ini, penulis cuba memberi semangat pula kepada pembaca pada rangkap seterusnya.

"Lalu,
perlahan-perlahan kita coret masa depan
seolah kita punya satu sampan
sampan harapan"

 

Bermula dengan perkataan 'lalu', saya melihat penulis cuba mengajak pembaca supaya terjaga dari lena. Dengan lembut, penulis mengajak pembaca agar tidak terus berputus asa. Penulis seperti menyalurkan semangat kepada anak-anak kapal bantuan ke Gaza,supaya teguh untuk meneruskan agenda bantuan terhadap Gaza. Lalu kali ini, sampan digunakan sebagai ganti rakit yang kehilangan dayungannya. Bukankah memang sifatnya sampan itu lebih kukuh berbanding rakit? :)

 

..bukankah Maha Kuasa di pihak kita?

 

Di akhir coretan, penulis seperti menyorak suka. Kuasa total itu milik Tuhan. Persoalan yang ditinggalkan kepada pembaca bukanlah tergantung tanpa jawapan. Penulis cuba berdakwah dalam penulisan, mengajak pembaca berfikir tentang situasi yang terjadi. Setiap yang baik dan yang buruk itu bukankah dengan kehendak dan keizinan Allah? Meski kesusahan itu mengganggu kelancaran bantuan, namun impaknya sangat besar kepada seluruh manusia yang kenal erti kemanusiaan. Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang, lalu diberikanNya rasa cinta sesama manusia melainkan manusia yang lalai.

 

Jangan takut! Teruslah melangkah. Di sisi lain, inilah yang kita alami saban hari. Dugaan itu akan datang bila-bila masa sahaja. Teruskan usaha dan yakinlah dengan kehendakNya. Allah itu, bukankah Maha Kuasa dan Dia itu sentiasa ada di pihak kita. Cuma, mungkin... kadang kala kita sendiri yang leka untuk menyedari nikmatnya.

 

Biklah, sedikit perkongsian dari saya. Mohon ampun dan maaf, review ini anak pertama saya. Mungkin suaranya lebih nyaring tetapi isinya tiada. Jika demikian, bantulah saya belajar dengan lebih berkesan.

 

Salam sayang,

Dayya.

Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

iklaneka

Kenali Kapasitor.net

iklaneka

menarik di kapasitor.net

iklaneka
Iklan Datakl

panduan penulisan DBP

Local search