ReviewsView all
Feed
Penekanan Watak dan Latar dalam Cerpen
ridhrohzai wrote this review for: Berapa Lama Lagi Harus Aku Tunggu?
calendar 11/07/2010 18:10:47 PM | 1692 views

Mengupas isu semasa sememangnya sesuatu yang baik untuk dicoret menjadi sebuah cerita kerana ia menunjukkan bahawa penulis itu seorang yang peka selain membantu dalam menyalurkan rasa dan pemikirannya terhadap sesuatu agenda atau peristiwa yang berlaku di sekeliling.

Kamalia, dengan cerpen bertajuk Berapa Lama Lagi Harus Aku Tunggu ternyata mengungkap salah satu isu semasa sebagai tema cerita dan saya memilih cerpen ini sebagai review kerana ia menepati kriteria sebuah cerpen.

 

Tema dan Persoalan

Kita mulakan dengan tema. Temanya tentang isu penindasan tentera rejim Israel terhadap penduduk Palestin. Tema ini didukung dengan beberapa persoalan. Persoalan pertama adalah tentang kebebasan. Kebebasan dari cengkaman rejim zionis. Persoalan keduanya tentang ketabahan. Ketabahan seorang ibu menanti kepulangan suaminya dan ketabahan seorang anak menunggu kepulangan ayahnya di samping ketabahan dalam menepuh kehidupan yang penuh dengan onak-liku. Persoalan seterusnya adalah tentang harapan. Harapan untuk hidup gembira dan bahagia seperti orang lain.

 

Watak dan Perwatakan

Watak di dalam cerpen ini hanya terdiri dari beberapa orang sahaja. Pertamanya watak Hasyim sebagai watak utama. Dijelaskan watak Hasyim berumur 11 tahun melalui frasa;

Sepanjang sebelas tahun aku menghirup nyawa

Perwatakan Hasyim pada saya tidak dijelaskan secara terperinci seperti rupa fizikalnya walau pun watak ini ada motivasi dan matlamat. Seharusnya sebagai watak utama, segala yang berkaitan dengan dirinya harus dijelaskan agar pembaca dapat gambaran yang jelas tentang watak tersebut supaya emosi dan perasaan watak turut mengalir dengan lancar.

Watak sampingan seperti Amra, sahabatnya juga tidak dijelaskan secara terperinci, hanya gambaran sikap Amra yang ditonjolkan. Perhatikan frasa ini;

Aku lihat Amra bergelak ketawa dengan beberapa kanak-kanak sebaya adikku.

Namun, tidak dijelaskan pada awal cerita, berapa umur adik Hasyim.

Secara keseluruhan, saya lihat setiap watak di dalam cerpen ini kurang dikembangkan.

 

Plot

Plot yang dilakar di dalam cerpen ini tidak terlalu bersimpang-siur kena konflik yang dibina kurang dan tidak terlalu berat. Saya boleh katakan cerpen ini mengambil struktur 90/100. Apa itu struktur 90/100?

Memetik ajaran mentor saya, struktur 90/100 adalah satu struktur di mana pendahuluan yang sehampir boleh dengan penamat, yakni kedudukannya sekitar 90% dari keseluruhan cerita. Dalam erti kata mudah, plotnya tidak berkembang jauh dan hanya tertumpu pada satu plot, satu konflik dan satu sudut pandangan sahaja selain mempunyai krisis dan penyelesaian konflik dan penutup cerita biasanya merupakan penyambung semula kepada pendahuluan.

Menyentuh bahagian penutup, boleh dikatakan penutup cerpen ini secara konsepnya adalah dramatik ironi. Mengapa saya katakan ia dramatik ironi? Ini adalah kerana plot seterusnya hanya diketahui oleh watak utama dan hanya difahami oleh pembaca. Hal ini boleh dilihat melalui perenggan terakhir cerpen di mana Hasyim beriltizam ingin mengubah keadaan di Palestin.

Tidak seperti penutup cerpen biasa yang mana watak utama, watak sampingan dan pembaca tahu akan penamat kisah kehidupan tersebut. Contohnya pasangan bercinta yang dihalang oleh keluarga tetapi akhirnya mengambil inisiatif untuk membunuh diri bersama-sama. Jelas, semua watak tahu akan pengakhiran kisah tersebut.

 

Latar

Hal latar juga kurang dikembangkan dengan baik. Pembaca tahu ia berlaku di Palestin tetapi di manakah watak utama itu tinggal? Persekitaran tempat tinggal watak kurang digambarkan.

 

Sudut Pandangan

Cerpen ini menggunakan Sudut pandangan orang pertama iaitu pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan.  Sudut pandangan ini  disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik.

Bagi cerpen ini, tiada masalah dari sudut pandangan. Cuma saya ingin tekankan kepada diri saya dan penulis lainnya yang menggunakan sudut pandangan pertama ini, masalah akan timbul jelas jika penulis tidak dapat menjiwai atau masuk ke dalam watak 'aku'. Kita kena ingat bahawa 'aku' itu adalah watak dan bukan diri penulis. Jika penulis tidak dapat menjiwainya, maka ia menjadilah watak penulis dan bukan watak sesebuah cerita.

Cerpen ini juga merupakan cerpen penyalin realiti. Cerpen begini sifatnya hanya terdiri dari babak-babak kejadian manusia. Tidak kira apa temanya . Ia seringkali masih ada pengajaran atau kesan sosial yang ditampilkan.

 

Gaya Bahasa

Cerpen ini tidak lari dari beberapa gaya bahasa yang selalu digunakan seperti personifikasi, metafora dan perlambangan. Contohnya;

Aku bukanlah syaitan jadian yang leka meneguk darah tanpa ada sedikit pun sifat kemanusiaan. Mungkin aku sudah pun buta dengan warna-warna Tuhan yang lain akibat terlalu banyaknya darah-darah saudaraku terpercik ke muka sendiri. Aku tenggelam dalam lautan darah yang tidak tahu penghujungnya.

 

Kesimpulan

Saya mengikuti setiap perjalanan coretan demi coretan yang penulis hasilkan. Ternyata, penulis sangat bijak dari segi olahan yakni gaya penceritaan di mana diksi yang digunakan sesuai dengan ayat yang ditulis. Cuma, terdapat beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki seperti mana yang saya nyatakan di atas tadi. Mungkin kerana cerpen ini agak pendek maka kurang impaknya pada pembaca. Saya yakin penulis mampu buat lebih baik dari ini berdasarkan pemerhatian saya terhadap karya-karya penulis yang lain.

Mengenali penulis sebagai rakan, saya kagum dengan setiap lontaran ideanya dan gaya penceritaan yang ditampilkan. Banyak yang saya pelajari dari penulis. Akhir kata, semoga review yang tidak seberapa ini dapat membantu saya dan penulis-penulis lainnya. Yang baik kita jadikan teladan, yang kurang itu adalah kelemahan saya sendiri.

 

Sekian.

ridhrohzai

Kru Pengelola Kapasitor MS

Other reviews from ridhrohzai
TickKisah Kapsul Ungu
TickAplikasi Struktur yang Berkesan
TickCerita Pendek yang Panjang
TickIndah dari Sudut Emosi
TickOlahan yang Segar
TickGarapan unsur perlambangan yang berkesan
TickMembaca dalam Cerpen
TickKekuatan Lontaran Diksi dalam Adik
TickSebuah Cereka Cinta Islami
TickNaratif tentang ibu

iklaneka

Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

iklaneka

Kenali Kapasitor.net

iklaneka

menarik di kapasitor.net

iklaneka
Iklan Datakl

panduan penulisan DBP

Local search