ReviewsView all
Feed
Cinta tersulam
paktam85 wrote this review for: Cinta Hari-Hari Perjuangan
calendar 4/09/2010 00:04:19 AM | 1414 views

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera..tidak terlalu awal rasanya untuk mengucapkan Salam Aldilfitri.

 

Baiklah, kapasitorian...

Kali ini saya bawakan anda menyelusuri sebuah cerpen yang bagi saya cukup rasa pilunya. Cerpen tersebut ialah cerpen pertama yang ditulis oleh saudara Muhamad Fakhrudin atau lebih dikenali dengan id kapasitornya faka91 . Setelah beberapa kali (lebih dari 3kali) saya membaca cerpen beliau, Cinta Hari-hari Perjuangan . Saya yakin, cerpen ini harus direviu. Usah ahli-ahli kapasitor lain mempertikaikan pemilihan saya kerana saya menilainya dari pelbagai sudut.

Saya suka mengambil kata saranan yang diberikan oleh Faisal Tehrani dalam buku beliau Karya Nan Indah. Maaf, kerana saya tidak memetik secara terus kerana buku tersebut tidak berada di tangan saya sekarang ini. Jadi, saya sekadar mengupas atas ingatan yang tersisa dalam kepala saya. Dalam buku tersebut, beliau menyarankan penulis-penulis menulis berdasarkan 3 perkara utama iaitu sejarah, politik dan agama. Tidak perlu memasukkan semua cukup memilih salah satu.

Walau genre apa sekalipun yang penulis nukilkan sama ada cinta, sains fiksyen, cereka apa-apa sekalipun haruslah menerapkan salah satu dalam perkara utama tersebut. Selalunya, karya-karya yang memegang elemen utama di atas akan kekal lama dan tidak lapuk dek zaman berbanding dengan karya pop (seperti novel pop yang membanjiri pasaran di Malaysia). Saya mengambil beberapa contoh novel yang saya ingat judulnya bertema cinta tapi disulam baik dengan elemen politik dan sejarah. Seperti Romeo and Juliet oleh William Shakespears dan Salina oleh A. Samad Said.

Selain itu, Azmah Nordin menyarankan agar penulis tidak lupa menerapkan nilai-nilai murni dalam cerpen. Ini penting kerana penulislah yang bertindak walau tidak banyak untuk membetulkan masyarakat yang sedang pincang dengan maslah sosial. Sekiranya, penulis terutamanya penulis muda terus hanyut dalam khayalan dan angan-angan dalam karya. Sedikit sebanyak menggambarkan ke mana matlamat masyarakat muda amnya? Saya unjurkan penulis-penulis muda tidak terus melenting dan menghentam melalui karya sebaliknya gunakan kematangan untuk menawarkan atau mengubati penyakit sosial dalam karya. Secara tidak langsung, pembaca yang terdiri dari golongan-golongan muda akan mudah mengambil ikhtibar darinya.

Berbalik kepada ulasan tentang cerpen yang saya pilih. Saya kupas satu persatu di bawah ini.


Tema dan persoalan.

Tema cerpen yang dipaparkan ialah cinta. Cinta seseorang tidak semestinya bersatu. Kepentingan terhadap perjuangan dalam menegakkan syiar. Kepentingan dalam mengejar akhirat. Kepentingan menjaga kebajikan saudara seislam dalam mengeratkan ukhuwah islamiah.

 

Watak dan perwatakan:-

Watak utama ialah Ahmad Saifullah.

Pelajar dalam bidang kedoktoran. Menuntut di Kinanah, Mesir. Ketua Lujnah Penerangan ABIM Mesir. Akhirnya, syahid dalam konvoi bantuan kemanusian ke Gaza.

- merupakan seorang remaja yang bijak

     "Prestasi akademiknya menjadi buah mulut para guru dan rakan di sekolah.Kini dia menadah ilmu di bumi Kinanah dan bakal bergelar doktor ."

- mempunyai perasaan kasih dan sayang, berontak

      "Punya perasaan kasih dan berontak,ingin dikasihi dan ingin dibelai oleh seorang kekasih"

- mempunyai keberanian

      "Dengan jiwa dan darah,kami sedia berkorban untukmu Palestin!"

- minat menulis

     "...begitu cocok dengan minat menulisnya"

 

Watak-watak lain ialah:-

Aku. Rakan zaman sekolah, pelajar di Nottingham dan merupakan suami kepada Nur.

Nur. Dua pupu Ahmad Saifullah. Merupakan isteri kepada "aku".

 

Plot:-

Plot menurut kronologi. Ceritanya bermula dengan perbualan di laman Facebook antara "aku" dan Ahmad Saifullah. Kemudian teknik imbas  kembali digunakan untuk mengimbau peristiwa sewaktu zaman persekolahan. Plot berkembang ketika Ahmad Saifullah mengikuti misi bantuan ke Gaza. Klimaks berlaku apabila berita kematian Ahmad Saifullah diterima. Dan, peleraian adalah majlis perkahwinan Nur dan Fahri.

Tidak banyak teknik plot yang digunakan dalam cerpen ini. Plot tidak terlalu mengembang menyebabkan cerita menjadi cepat atau tidak puas dinikmati pembaca. Pembaca terus diterjah dengan peleraian.

 

Latar:-

Masa:- siang "Mentari musim panas begitu menyengat sinarnya."

Tempat:- masjid. Beberapa latar lain yang tidak jelas iaitu sewaktu bersembang di laman Facebook dan sewaktu paluan paluan kompang (menandakan sedang berada dalam majlis walimatul).

Masyarakat:- tidak melibatkan masyarakat yang khusus.

 

Sudut Pandangan:-

Cerpen ini menggunakan Sudut pandangan orang pertama iaitu pengarang bercerita sendiri atau terlibat dalam cerita sebagai watak utama atau watak sampingan.  Sudut pandangan ini  disebut sebagai gaya aku, iaitu cerita itu dibawakan seluruhnya oleh watak aku, orang pertama, secara subjektif. Maknanya pengarang terlibat secara aktif. Teknik ini digunakan untuk menjadikan cerita lebih realistik. (di petik dari reviu riri "Sebuah cereka islami").

 

Gaya bahasa:-

i.   menguntum senyum lebar

ii.  membaca lautan fikrahnya

iii. cinta semahal harga syurga

iv. bahasa arab :- ‘ish azizan au mut syahidan

v. pantun:-


Asap api embun berderai,
  Patah galah haluan perahu;
Rindu di hati tak mahu bercerai,
  Kehendak Allah siapa yang tahu.


Nilai dan pengajaran:-

Berani dalam menegakkan syiar islam. Tidak mengamalkan cinta berdasarkan nafsu.

 

Kesimpulan:-

Diharap penulis menerapkan nilai sabar sewaktu berkarya dan tidak terburu-buru menamatkan cerita. Susunlah cerita dengan baik dan kembangkannya dengan baik. Saya dapati cerpen ini memuaskan tetapi harus memperbaiki eksposisi plot untuk memberi kesan dan lebih kepuasan kepada pembaca.

Latar juga amat penting kerana latar itu diibaratkan seperti gelas. Ia adalah acuan terhadap air di dalamnya. Latar boleh jadi sesuatu yang akan menarik indera pembaca untuk membayangkan keadaan yang cuba dibawakan oleh penulis.

Namun saya kagum dengan tema dan persoalan yang dibawa serta sedikit nilai-nilai murni yang diterapkan. Penulis berjaya di sini. Ia membuatkan cerpen ini lebih istimewa. Kalau digilap betul-betul saya pasti mampu menitiskan air mata membacanya.

Saya percaya penulis mampu pergi lebih jauh memandangkan ini merupakan karya pertama penulis. Dan usia penulis yang masih muda tidak mungkin menjadi penghalang untuk lebih maju. Saranan saya usah berhenti menulis dan banyakkan membaca karya mereka yang lain. Saya tidaklah hebat menulis cerpen namun sedikit ilmu itu saya kongsikan bersama. Saya juga masih belajar menulis cerpen. Ayuh, kita belajar bersama.

 

 

 

 

Other reviews from paktam85
TickCerkon???
TickPemuda Kecil-Halus
TickCinta Sebuah Realiti Kehidupan...
TickSebuah fantasi
TickKekuatan semulajadi
TickPemilihan Diksi dalam cerpen
TickEmosi mengalir melalui bahasa...
TickKreativiti dalam penciptaan karya kesusasteraan...

iklaneka

Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

iklaneka

Kenali Kapasitor.net

iklaneka

menarik di kapasitor.net

iklaneka
Iklan Datakl

panduan penulisan DBP

Local search