ReviewsView all
Feed
Kisah Kapsul Ungu
ridhrohzai wrote this review for: Kemaruk - Prolog
calendar 5/09/2010 07:05:50 AM | 1347 views

Salam Kapasitorian!

Nampaknya Ramadhan akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Semoga segala amal yang dilakukan diterima oleh Ilahi, mudah-mudahan. Syawal pula mula melambai-lambai, membawa khabar gembira dan suasana riang-ria. Semoga dilimpahi seribu rahmat dan berkat oleh-NYA Yang Maha Esa.

Ini kali pertama saya membuat ulasan atau review untuk seksyen novel. Memandangkan seksyen ini tidaklah semeriah seksyen puisi mahupun seksyen cerpen, namun ia tetap mendapat hati di kalangan pembaca yang gemar membaca sebuah cerita bersiri kerana jalan cerita yang lebih panjang, lebih konflik dan pelbagai watak dan perwatakan.

Saya terpanggil sebenarnya untuk membuat ulasan bagi novel tulisan Cik Elzara yang bertajuk Kemaruk dek kerana merasakan novel ini wajar dibaca dan menarik kisahnya. Cik Elzara sebelum ini pernah menulis dua buah nopen (novel pendek) bertajuk Pelan B dan Berlian Nur Cinta Khairina.

Melalui nopen tulisan penulis, saya merasakan beliau sangat selesa menulis cerita di dalam genre aksi dan thriller. Itulah juga genre yang diguna-pakai dalam nopen bertajuk “Kemaruk” ini. Sedikit definisi tentang genre yang dipetik dari Kamus Dewan Edisi Keempat;

 

Genre adalah kategori atau jenis karya sastera atau seni yang dicirikan dengan sesuatu gaya, bentuk, atau kandungan tertentu.

 

Untuk lebih jelas, perhatikan di Kapasitor telah menyediakan genre-genre pilihan bagi penulis yang mahu memuat-naik karya. Ada genre cinta, fantasi, aksi, saspens, autobiografi dan lain-lain. Setiap penulis, selepas menulis sesuatu karya, perlu menilai karya tersebut sesuai diletakkan di dalam genre yang mana yang berkaitan dengan tema karya itu.

Baiklah, sekarang saya akan cuba kupas nopen ini, mungkin tidak secara mendalam, tetapi sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dijadikan panduan bersama.

 

PROLOG

Prolog mengikut Kamus Dewan edisi keempat ditafsirkan sebagai peristiwa pendahuluan. Guru saya pula mengatakan bahawa prolog itu adalah “front voice” bagi sesebuah cerita dan prolog mestilah berkait rapat dengan plot.

Harus diingatkan bahawa prolog tidak sama dengan pendahuluan. Ia berbeza!  Prolog boleh jadi sesuatu peristiwa yang sudah berlaku atau belum berlaku yang menjadi kunci bagi pembukaan sesebuah cerita. Ia tidak wajib ada. Tetapi, bagi seorang penulis yang tahu kepentingan prolog, ia boleh jadi titik tolak yang penting supaya pembaca teruja untuk membaca cerita selanjutnya.

Namun bagi saya, prolog dalam novel Kemaruk ini tidak boleh dikatakan sebagai prolog. Ia lebih kepada pendahuluan cerita tersebut. Di dalamnya menerangkan tentang latar belakang Badrul sebagai watak utama dan juga empayar kongsi gelap yang dipanggil Kemaruk Hitam.  Biasanya kita lihat di dalam kebanyakkan novel, prolog ditulis dengan menggunakan teknik imbas kembali.

 

PERMULAAN

Novel ini dimulakan dengan arahan Rafael, ketua kongsi gelap Kemaruk Hitam yang menyerahkan tugas untuk mencari dan seterusnya merampas Kapsul Ungu dari tangan Julia, seorang pembantu ahli sains bernama Dr. Asri yang menghasilkan Kapsul Ungu. Mahu tahu apa itu Kapsul Ungu, anda harus baca cerita ini.

 

INSIDEN PENCETUS

Setiap novel harus ada insiden pencetus (inciting incident). Insiden pencetus adalah satu kejadian di mana ia mencetuskan perubahan di dalam hidup watak protagonist. Maka insiden pencetus ini akan membuatkan konflik berkembang serta-merta. Dalam erti kata mudah, insiden pencetus adalah sesuatu yang meletakkan watak utama di dalam konflik yang merubah hidupnya sekaligus membawa pembaca mengiringi perjuangan watak utama untuk menstabilkan semula kehidupannya.

Insiden pencetus bagi nopen Kemaruk ini adalah sewaktu kejadian Badrul kehilangan emaknya kerana satu peristiwa pembunuhan dan ia bermula pada bab enam! Sewajarnya sesebuah insiden pencetus itu diletakkan di dalam bab-bab awal iaitu dari bab 1-3.

 

PERTENGAHAN

Cerita ini berjalan dengan lancar dan disusun secara kronologi. Setiap bab diakhiri dengan perenggan yang akan membuatkan pembaca teruja untuk menyelak bab seterusnya. Konflik juga diatur kemas cuma nopen ini terlalu banyak “jump mode” yakni sesuatu konflik itu berlaku dengan amat pantas sehinggakan para pembaca tersentak!

 

PENGAKHIRAN

Cerita ini diakhiri dengan penamat yang menggembirakan. Antara Badrul, Julia dan kapsul ungu, itu anda kena baca tentang bagaimana kegembiraan itu diperoleh.

 

BAB TERBAIK

Bab terbaik dalam novel ini adalah bab 3 dan 5 di mana ia digarap dengan kemas dan berkesan dan secara keseluruhan, penulis berjaya menimbulkan perasaan cemas di dalam bab 3 dan maklumat yang jitu di dalam bab 5.

 

KESIMPULAN

Nopen ini digarap dengan baik dan ternyata penulis banyak melakukan kajian terutama yang berkaitan tentang Kapsul Ungu. Istimewanya nopen ini adalah kerana kajian yang dibuat oleh penulis ternyata membuahkan hasil di samping garapan aksi-thriller yang berkesan.

Walaupun nopen ini hanyalah dalam bentuk draf dan bukannya manuskrip penuh, maka ada sedikit kelonggaran pada plot dan sub-plot serta perkembangan watak. Namun saya percaya, ia boleh diatasi oleh penulis di dalam bentuk manuskrip penuh nanti.

Semoga penulis akan terus menghasilkan karya-karya yang bermutu untuk dikongsi bersama dan diharap ulasan yang tidak seberapa ini dapat membantu. Yang baik, jadikan teladan, yang kurang baik, itu kekhilafan saya.

Sekian.

 

ridhrohzai

Kru Pengelola Seksyen Bahasa Melayu

 

Blurb nopen Kemaruk:


“Nama aku Badrul Hisham, panggil saja Bard.” Bard menghulurkan tangan kepada Rafael. Rafael tidak menyambut tangannya. Dia hanya tersenyum.

“Bard! Bagus nama tu. Sesuai untuk kerja-kerja yang akan engkau buat nanti,” ujar Rafael tanpa menghiraukan  kata-kata perkenalan yang cuba disampaikan oleh Bard. Bard menarik tanganya kembali.

Itulah pertemuan pertama Bard dengan Rafael, seorang lelaki berumur 40an yang mempunyai empayar kongsi gelap yang masih lagi belum dihidu polis selama hampir sepuluh tahun. Bard menjadi pembantu peribadi Rafael dan akhirnya selepas berkhidmat selama 5 tahun, dengan rekod kecemerlangan, Bard telah menjadi orang nombor 2 kumpulan Kemaruk Hitam, orang yang paling dipercayai oleh Rafael, mengalahkan anaknya sendiri, Randi.

 

Other reviews from ridhrohzai
TickAplikasi Struktur yang Berkesan
TickPenekanan Watak dan Latar dalam Cerpen
TickCerita Pendek yang Panjang
TickIndah dari Sudut Emosi
TickOlahan yang Segar
TickGarapan unsur perlambangan yang berkesan
TickMembaca dalam Cerpen
TickKekuatan Lontaran Diksi dalam Adik
TickSebuah Cereka Cinta Islami
TickNaratif tentang ibu

iklaneka

Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

iklaneka

Kenali Kapasitor.net

iklaneka

menarik di kapasitor.net

iklaneka
Iklan Datakl

panduan penulisan DBP

Local search