ReviewsView all
Feed
Sayang, sebuah keindahan manusia
kamalia wrote this review for: Kedekut
calendar 9/03/2011 13:00:52 PM | 231237 views

Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada sang penulisnya, Cik uculer kerana tidak kedekut berkongsi cerita ini kepada kita. Merujuk kepada komen yang diberikan oleh penulis, cerita ini diambil dariapda blog peribadi beliau. Adakah ia merupakan cerita dari culikan pengalaman atau rasa dari penulis sendiri? Jangan tanya saya.

Kerana saya selaku pembaca merasakan cerita ini sendiri bersifat peribadi, dan misteri. Baik, cukup-cukuplah cerita fasal si penulis. Nanti tak fasal-fasal kena bambu sebab bagi kenyataan ala wartawan Melodi.

Cerpen ini sejujurnya pendek sahaja. Namun ia adalah sebuah cerpen yang ringkas tetapi cukup rasanya untuk menjadi sebuah cerpen yang baik. Bagi saya penulis berjaya menyampaikan maksud sebenar cerpen ini iaitu mencari kebahagiaan.

Kebahagiaan datangnya dari perasaan sayang. Perasaan sayang itu datangnya daripada kecenderungan jiwa untuk membahagiakan sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh hati. Perasaan sayang yang ditonjolkan oleh manusia adalah salah satu bentuk keindahan dalam alam semesta.

Di dalam cerpen ini perkataan ‘sayang’ digunakan dengan sangat berleluasa. Malah ayat pertama cerpen ini, “Kau sayang dia?” memberi satu persoalan kepada watak utama dan pembaca sendiri adakah pertanyaan itu terjawab atau dibiarkan tergantung sahaja hingga ke akhir cerita.

Kemudian, pada perenggan keempat barulah persoalan itu terjawab melalui luahan isi hati watak utama itu. Namun watak utama itu seolah-olah memberi satu alasan untuk menyayangi gadis itu apabila dia memberitahu bahawa  dia tiada tempat bermanja kerana dia seorang perantau dan hanya gadis itu sahajalah tempat dia mencurahkan kasih sayang.

Tetapi bagi saya itu bukanlah masalahnya, kerana seperti apa yang saya katakan di awal tadi – perasaan sayang wujud apabila jiwa ada kecenderungan untuk membahagiakan seseorang. Dalam cerita ini, watak utama saya pasti bukan memilih sembarangan orang untuk mencurahkan rasa sayangnya.  Dia telah  memilih gadis itu. Dan kenapa dalam banyak-banyak manusia sepanjang dia di perantauan, dia memilih gadis itu?  Padahal mungkin dia boleh sahaja menyayangi gadis-gadis lain yang mungkin lebih sempurna daripada gadis itu.

Menurut Nietzsche dalam Twilight of The Idols (Jika rujukan ini silap maafkan saya. Tak ingat sangat), manusia adalah cermin kepada alam ini. Ini bermakna manusia memantulkan apa sahaja yang terdapat dalam dirinya.  Kerana apa sahaja yang memantulkan imej dirinya merupakan satu keindahan.

Jadi, watak utama itu sebenarnya melihat pantulan dirinya dalam diri si gadis itu (bukan pada gadis-gadis lain). Lalu ia menjadi satu keindahan buat watak utama itu. Keindahan itulah yang melahirkan kasih sayangnya terhadap gadis itu walaupun gadis itu tidak sempurna seperti gadis-gadis yang lain.

Seperti apa yang saya katakan tadi, perasaan kasih sayang kepada seseorang membawa kita berusaha untuk membahagiakan orang yang disayangi itu, walaupun usahanya tidak sebesar mana.

Penulis jelas menonjolkan sikap itu dalam diri watak utama. Sebagai contoh, pada perenggan ke-11, watak utama menolong memegang buku Braille kepunyaan gadis itu. Pada perenggan ke-12 pula, watak utama mempelawa untuk memegang tongkat si gadis. Ya, ia hanyalah hal-hal yang remeh bagi sesetengah orang. Tetapi hal-hal remeh selalunya yang paling berbekas di hati. Hal-hal yang remeh selalunya dilakukan dengan ikhlas kerana hal-hal remeh selalunya tidak dipandang orang.

Saya juga suka pengakhiran cerita ini dimana pembaca akhirnya dapat mengetahui bahawa watak utama juga mengalami masalahnya yang tersendiri. Pertama, dia cuma ada 6 bulan sahaja untuk terus hidup jika diizinkan Tuhan. Kedua, si gadis dianggap sebagai kedekut kerana tidak mahu berkongsi sayang dengan watak utama.

Saya mengandaikan bahawa sayang si gadis mungkin akan berjaya diraih oleh watak utama sesudah dia mati nanti. Kadang kala hanya kematian sahaja mampu membuatkan manusia faham erti kasih sayang sebenar.

Kesimpulannya, cerpen ini merupakan satu cerita yang indah dari segi isi dan sampai maksudnya. Saya kira penulis berjaya menyampaikan maksudnya tanpa perlu menulis gaya noir (lagipun saya tidak lihat gaya noir di dalam cerpen ini). Tahniah kepada penulis!

Terima kasih kerana sudi membaca ulasan ini yang berdasarkan pendapat peribadi saya semata-mata.

Comments
Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

iklaneka

Kenali Kapasitor.net

iklaneka

menarik di kapasitor.net

iklaneka
Iklan Datakl

panduan penulisan DBP

Local search