Di ambang 2010 ini, ramai yang bercerita tentang azam baru. Ada yang mahu membeli lensa baru, ada yang mahu membeli buku dan ada juga yang mahu mengejar azam yang tidak tercapai pada tahun 2009. Dan antara harapan dan doa terbaik yang aku sempat baca dalam senarai YM @ Facebook aku adalah "semoga yang terbaik semasa 2009 menjadi yang terburuk semasa 2010".
Maka, jika 1001 manusia berbeza yang kita tanyakan azam, maka ada 1001 jawapan yang berbeza tentang azam mereka. Bagus jika kita berazam untuk melakukan sesuatu yang hebat pada 2010 ini. Bagus jika kita berazam untuk 10A untuk SPM. Bagus jika kita berazam untuk mendapatkan 8A dalam PMR. Bagus jika 3.5 ke atas adalah azam kita menjelang semester baru 2010 ini.
Apa kata kita berazam untuk Allah lapangkan kubur kita nanti?
Ayuh kita lupakan sejenak tentang sambutan tahun baru malam ini dan kita fikirkan pula tentang kematian kita. Kita semua tahu bahawa kita semua pasti mati. Setiap saat, setiap minit bahkan setiap tahun mendekatkan kita kepada mati.
Surah Ali Imran ayat 185:

Maksudnya:
Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.
Untuk itu, apa kata kita buat pelaburan di alam kubur kita bermula dari tahun 2010 ini. Insya Allah, apa yang kita lakukan ini adalah untuk diri kita sendiri agar kita selamat dari kemarahan Allah. Hadith berikut ada menyatakan cara-cara untuk kita membuat pelaburan dari dalam kubur.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seorang manusia mati, putuslah (tulisan pahala) amalan (setakat itu) Kecuali tiga perkara (yang akan berlanjutan tulisan pahalanya) iaitu sedekah jariah atau ilmu memberi kepada yang faedah orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadith Sahih - Riwayat Imam Ahmad)
Oleh itu, demi kesempatan dan peluang yang ada ini.. aku menegur diri sendiri dan berpesan kepada sesiapa yang membaca tulisan ini untuk sama-sama kita berusaha untuk keselamatan akhirat kita. Insya Allah, itulah antara yang terbaik untuk kita azamkan untuk tahun baru 2010.
p/s: Dan rasanya, masih belum terlambat untuk aku ucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1431. |