helpHelpfeedbackFeedback  Register
Welcome Guest
Not a member yet? Join us.
Login if you already have registered.

Kapasitor Weblog >

jojo
Kapasitor in Kosmo Online
Posted by: jojo at 7/04/2008, 13:51:44 PM

Taken from KOSMO ONLINE at http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Varia&pg=va_01.htm 

MEDAN MENULIS

Oleh WAN FAKHRUL WAN BAKAR
fakhrul@kosmo.com.my

Ruang penulisan yang disediakan tidak hanya terhad kepada blog sahaja, malah pengguna juga diberi peluang untuk berkarya dalam ruangan novel, prosa dan puisi.




TATKALA trend menulis blog semakin popular dan menunjukkan impaknya di negara ini, tentu ramai yang tidak tahu sebenarnya terdapat sebuah laman pengendali blog yang berpusat di negara kita sendiri.

Dikenali dengan nama Kapasitor.Net, ia boleh dilayari pengguna internet menerusi URLnya iaitu www.kapasitor.net.

Kapasitor.Net sebenarnya telah dibuka keahliannya kepada umum sejak 31 Januari 2006. Laman web ini bukan sahaja menawarkan ruang untuk pengguna menulis catatan harian atau komentar dalam pelbagai isu, tetapi sebenarnya lebih daripada itu.

Menurut salah seorang pengendali laman web berkenaan, Mohd. Syahar Azizan, tujuan Kapasitor.Net diwujudkan adalah untuk menjadi sebuah platform penulisan yang menyeluruh dalam pelbagai bentuk.

Ruangan penulisan yang disediakan tidak hanya terhad kepada blog sahaja, malah pengguna juga diberi peluang untuk berkarya dalam ruangan novel, prosa dan juga puisi.

"Kami mahu menggalakkan orang ramai, terutama anak-anak muda Malaysia agar minat menulis. Ada yang selesa mengomel dalam blog dan ada juga yang lebih senang menulis cerita fiksyen atau bermadah dalam puisi. Di Kapasitor.Net, semua penulis ini bergabung menjadi satu komuniti unik," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Syahar, 26, yang menguruskan seksyen bahasa Melayu di laman web Kapasitor.Net berkata, idea untuk menghasilkan laman web tersebut tercetus sejak tahun 2004 ketika beliau dan rakan-rakannya masih menuntut di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.

"Laman web ini sebenarnya diasaskan oleh rakan karib saya ketika di MMU iaitu Johari Rahmad. Ketika itu, Johari sedang mengusahakan sebuah novel remaja secara hobi yang diterbitkannya dalam laman Blogspot."

"Oleh kerana karyanya mendapat sambutan hangat daripada pembaca terutama pelajar MMU dan Universiti Teknologi Petronas (UTP), Johari yang mengambil jurusan Teknologi Maklumat (IT) akhirnya memutuskan untuk mewujudkan laman web Kapasitor.Net ini.

"Selain menyediakan ruang untuk dirinya berkarya, Johari juga mahu memberi peluang kepada orang lain untuk turut sama mengasah bakat masing-masing," ujar pemegang ijazah Sarjana Muda Inovasi Media dan Pengurusan MMU ini.


PENGENDALI Kapasitor.Net, Mohd. Syahar Azizan mahu menggalakkan anak-anak muda di negara ini mengasah bakat dan minat mereka dalam dunia penulisan.


Jelas Mohd. Syahar, apa yang unik tentang Kapasitor.Net ialah kebanyakan penulis yang aktif dan menjadi pengendali laman web tersebut rata-ratanya bukan daripada jurusan sastera.

"Pengasas bersama laman web ini, Johari dan rakannya, Fazmin kedua-duanya daripada jurusan IT. Begitu juga dengan saya dan pengurus seksyen bahasa Inggeris, Aishah, masing-masing daripada jurusan Multimedia dan Kejuruteraan," ujarnya.

Tambah beliau, berbanding laman blog lain, Kapasitor.Net membenarkan pengguna untuk memberikan rating di samping komen terhadap karya yang dihasilkan.

Katanya, ini dapat memberikan motivasi kepada penulis untuk menghasilkan karya yang lebih baik dari semasa ke semasa.

"Tetapi, ia tidaklah bermaksud mereka yang tidak begitu pandai menulis tidak boleh mendaftar di sini. Kami sentiasa mengalu-alukan mereka yang minat berkarya untuk menulis di laman ini.

"Malah, laman ini bolehlah dianggap sebagai medan untuk penulis yang baru hendak bermula.

"Selain ruang menulis, Kapasitor.Net turut menghasilkan e-majalah yang diberi nama Prasasti dan aplikasi widget yang masih dalam pembangunan untuk pengguna berkongsi tulisan mereka di laman jaringan sosial atau blog yang lain," jelas beliau.

Bagaimana dengan isu penulisan yang boleh mengganggu keharmonian negara atau melanggar hak cipta? Mohd. Syahar menegaskan, karya sedemikian akan disita sebaik ia dikesan dan penulis terlibat boleh dikenakan tindakan hingga ke tahap keahliannya dibatal.

"Polisi laman web ini sudah jelas digariskan mengenai isu tersebut. Kami tidak mahu platform yang kami usahakan untuk kebaikan ini disalahguna oleh pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

"Alhamdulillah, buat masa ini, belum ada lagi kejadian sedemikian berlaku dan saya harap ia akan dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

Sebagai penambahbaikan, sejak bulan lalu, Kapasitor.Net telah menambah satu lagi seksyen iaitu bahasa Indonesia. Ia sekali gus memberikan laman web ini lebih bersifat global di samping dua seksyen sedia ada iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

"Matlamat jangka panjang kami sudah tentulah untuk meneroka pasaran global. Kami ada pelbagai perancangan lain dan ia tidak terhad kepada cabang penulisan. Pada masa akan datang, kami mungkin akan menambah cabang lain seperti muzik dan komik pula," ujar Mohd. Syahar optimis.

Sebagai tanda usaha mereka diiktiraf, Kapasitor.Net yang baru menginjak usia dua tahun itu telah menerima anugerah Special Mention bagi kategori Best of e-Content pada Majlis Anugerah World Summit Award 2007.




Jelas Mohd. Syahar, pengasas Kapasitor.Net iaitu Johari telah diberi kesempatan membuat persembahan pada majlis anugerah tersebut yang berlangsung di Venice, Itali pada bulan November lalu menerusi tajaan MDeC.

"Kami bersyukur kerana kombinasi minat kami terhadap penulisan dan ilmu pengaturcaraan ini telah dapat menghasilkan sesuatu yang boleh dimanfaat oleh orang ramai."

"Kami berharap, dengan adanya laman sebegini, minat menulis dan pengembangan ilmu dalam kalangan masyarakat siber, terutama dari Malaysia dapat dipertingkatkan," katanya.

Hanya pengguna berdaftar sahaja yang boleh memberi komen. Sila Login

Kapasitor: Weblog
Kapasitor Weblog is blog written by the administrators. In here, you can find about latest development in Kapasitor, new features, tips and tricks, and almost everything else about Kapasitor.
Learn more

achievement


iklan