Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Manis masa bercinta...
- mamaimran
- 18 years ago
- 1,680
Kata orang, masa bercinta semuanya indah belaka. Lepas kahwin, yang manis semuanya dah mula jadi hambar. Lebih kurang macam iklan air berkultur hidup yang dah dikurangkan gulanya tu lah kut. Atau air berkarbonat yang tidak bergula tu. Betulke kata-kata yang kat atas tu?
Hakikatnya, berdasarkan pengalaman saya, (eceh... macam banyak sangat je pengalaman... :P) zaman perkahwinan masih manis seperti zaman bercinta. Cuma perspektifnya berbeza. Ini hanyalah kata-kata yang diluahkan oleh seorang 'saya' yang usia perkahwinannya masih setahun jagung.
Kalau masa bercinta, berjalan berpimpin tangan. Lepas berkahwin mungkin aktiviti berpimpinan tangan ni berkurangan. Kalau masa bercinta, bila berjumpa biasanya panggung wayang menjadi salah satu destinasi utama. Ataupun berjumpa di pusat membeli-belah terkemuka. Atau berjumpa di tepi tasik di taman bunga.
Lepas berkahwin pun masih menonton wayang, masih pergi ke taman bunga, masih pergi ke pusat membeli-belah terkemuka, cuma nawaitunya lah yang mungkin berbeza. Kalau dulu bukannya nak tengok wayang sangat pun, bukannya nak shopping sangat pun. Cuma nak tengok wajah orang tercinta. Nak melepas rindu dendam.
Sekarang ni tujuannya berbeza. Pergi tengok wayang, sebab memang nak tengok filem-filem terbaru. Pergi ke pusat membeli-belah sebab memang nak mencari sesuatu. Pergi ke tasik sebab nak berjogging, ataupun bawa anak-anak berjalan, atau sekadar menghirup udara segar sambil merehatkan fikiran dan berkongsi bicara dengan suami/isteri.
Kalau masa bercinta, bila sehari tak berjumpa, rindunya Masyaallah... tak ingat!! Kalau sehari tak mendengar suara, rajuk pasti datang, mulut muncung sedepa. Kalau sehari tak terima SMS, atau SMS tak dibalas, pasti bertalu-talu soalan kita tujahkan pada dia: "Kenapa U tak call I?" "Kenapa tak balas SMS I?" "U dah tak sayang I ke?" Ni memang soalan-soalan favourite yang keluar dari mulut seorang perempuan. Jadi kepada lelaki-lelaki di luar sana, bersedialah dengan soalan-soalan begini!
Tapi bila dah berkahwin, hari-hari berjumpa. Hari-hari mendengar suaranya. SMS? Masih lagi diterima... cuma mungkin isi kandungannya berbeza... :"U masak apa hari ni?" "Hari ni I balik lambat sikit. Ada kerja" "Nanti balik rumah u masak nasik. I dah beli lauk" "Hari ni u punya turn ambil anak. Jgn lupa" dan seterusnya...
Jadi, tentu anda semua tertanya, habis tu... tang mana manisnya? Bagi saya, manisnya ialah apabila dapat sembahyang berjemaah bersama. Selepas solat, bersalam-salaman memohon maaf. Manisnya apabila dapat mencium tangan suami sebelum pergi ke tempat kerja, kemudian dibalas pula dengan ciuman di pipi atau di dahi. Manisnya apabila melihat suami yang sanggup melayan anak walau penat ketika pulang dari kerja, atau sanggup bangun di tengah malam memujuk anak yang menangis.
Manisnya lagi, ketika dapat berkongsi masalah bersama. Bahunya jadi tempat kita bersandar, meluahkan segala rasa yang merimaskan jiwa. Dan kita juga jadi pendengar setianya meluahkan sesak di dada. Dan bagi saya, yang paling manis, ketika suami berada di sisi saat melahirkan anak. Sokongannya, air matanya yang menitis melihat saya menanggung kesakitan takkan saya lupakan sampai bila-bila.
Bergaduh? Itu perkara biasa dalam berumahtangga. Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, 'sedangkan lidah lagi tergigit...' Alah, masa bercinta pun apa kurangnya. Bergaduh, merajuk tu kan perkara biasa? Semuanya sebagai penambah perisa dalam kehidupan kita. Kalau asyik happy je, bukanlah hidup namanya ('fantasi' lebih sesuai mungkin). Juga sebagai salah satu daripada fasa untuk mengenali hati budi masing-masing dengan lebih mendalam. Tapi takdelah sampai terbang segala pinggan-mangkuk periuk-belanga. Hehe.. itu dah sampai tahap kritikal tu. Masa bergaduh ni la kita tahu macamana dia sebenarnya. Apa yang patut dibuat untuk hilangkan marahnya. Apa yang tak patut diulangi untuk elakkan sakit hatinya.
Tapi bukanlah hari-hari bergaduhkan? Kalau orang bercinta rajuknya mungkin lama. Kalau dah kahwin ni, nak merajuk lama-lama pun segan. Maklumlah hari-hari berjumpa!
Saya cerita berdasarkan pengalaman saya sendiri. Yelah.. lain orang lain la pengalamannya kan. Takde la saya cakap, ini yang akan dihadapi oleh semua pasangan yang berkahwin. Nanti karang jadi kontroversi pulak. Apa yang saya nak cakapkan kat sini, bercinta ke, berkahwin ke, manisnya ada. Tapi pandai-pandailah kita imbanginya. Terkurang manis, tambahkanlah gula. Tapi jangan sampai terlebih manis (terutamanya yang bercinta dan belum berumahtangga - jika anda faham maksud saya), nanti diabetes la jawabnya!
Selamat menyintai dan dicintai!
*Bercinta di sini saya maksudkan adalah istilah bagi mereka yang sedang bercinta, lovey-dovey tapi belum berumahtangga. (Yelah... orang dah berkahwin pun bercinta jugak kan?? Karang disalahtafsir pula...)
