Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?
900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
Helo Kapasitor!
- kamalia
- 14 years ago
- 412
Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada semua warga Kapasitor.
Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kru-kru pengelola yang lain kerana sudi mencadangkan nama saya untuk menjadi sebahagian daripada mereka (ayat berbelit-belit. Maafkan saya).
Dengan terhasilnya artikel ‘ringkas’ ini, maka dengan ini saya telah bersetuju menerima pelawaan Abang Cahatomic untuk menerima jawatan sebagai kru pengelola untuk bahagian cerpen di seksyen Bahasa Melayu. Saya difahamkan akan bekerjasama dengan Abang Ridhrohzai untuk bahagian cerpen ini. Sila beri tunjuk ajar.
Baiklah, mari kita teruskan dengan sesi pengenalan diri. Saya akan bercerita serba sedikit tentang diri saya. Bersedialah untuk membaca karangan UPSR.
Kamalia memang nama sebenar saya, bukan nama orang lain yang dicuri, tetapi tentulah bukan nama penuh. Boleh saja panggil saya Kama sebab saya tahu nama Kamalia tu panjang bebenor. Lagipun Kama dah digunakan sejak zaman sekolahku lagi (dan ‘Kama’ mempunyai maksud yang romantis juga, ehem. Bolehlah rujuk Kamus Dewan Edisi Ke-4)
Saya berasal dari Shah Alam dan ada seorang adik perempuan (yang boleh tahan cantik). Bersekolah di Shah Alam dan pernah belajar selama setahun di Changlun, Kedah. Kemudian balik semula ke Shah Alam, lebih tepat lagi di Puncak Perdana. Saya sekampus dengan Abang Ridhrohzai di Puncak Perdana walaupun berlainan fakulti. Tapi, sayangnya saya tak pernah terserempak atau perasan kehadirannya sedangkan dia kata dia pernah terjumpa dengan saya di kampus.
Adakah saya terlalu hodoh sehingga boleh dikesan oleh Abang Ridhrohzai ataupun Abang Ridhrohzai terlalu kacak sehingga terpaksa merahsiakan wajahnya dari pandangan saya? Okey, ini melawak. Jangan ambil hati ya, Ridh J
Okey, apa lagi ye? Aha, saya adalah seorang gadis yang akan memasuki umur 24 tahun pada tahun ini (jika umur masih panjang). Yeay! Kalau ditanya tentang hobi, saya akan beritahu saya suka makan, walaupun emak saya kata saya cerewet dalam bab makanan dan tak boleh makan roti, aih. Suka membaca juga walaupun saya bukanlah pembaca sejati. Saya baca apa yang saya suka sahaja. Dan antara sebab utama saya membaca adalah untuk lari sebentar dari dunia realiti saya hahaha! Buku adalah escapist terbaik selain daripada tidur.
Abang Cahatomic suruh saya tulis tentang kecenderungan bacaan saya? Hah, apa yang mahu ku tulis?? Sebenarnya ia berubah mengikut peredaran masa. Masa sekolah rendah saya hanya layan komik Doraemon dan Kawan saja. Hanya sikit-sikit saya layan Enid Blyton dan Goosebumps. Sebab 2 komik tu banyak berjasa pada saya. Saya belajar membaca melaui Doraemon dan Kawan. Dulu saya tak pandai membaca walaupun dah masuk sekolah rendah dan selalu disebat oleh mak saya sehingga ada jiran ingat mak saya mendera saya. Ikh!
Kemudian bila masuk sekolah menengah saya mula baca chic-lit malangnya tak boleh masuk sangat. Ini gara-gara terpengaruh dengan rakan sekolah. Zaman sekolah menengah adalah zaman kecelaruan identiti termasuklah pemilihan genre buku kegemaran. Bila sudah tua bangka ni barulah kecenderungan bacaan saya tersingkap sedikit demi sedikit, cewah! Pada awal umur 19-21 tahun saya banyak baca non-fiction kerana saya kecewa dengan novel. Tak jumpa-jumpa novel yang saya betul-betul suka selain daripada tak cukup duit nak beli novel.
Kemudian, lama-kelamaan saya mula mencari semula novel. Saya gemarkan cerita yang berunsur satira, magical realism, surrealism sambil disulami oleh elemen cinta yang tak keterlaluan, ehem. Saya tak ada pengarang kegemaran tapi buat masa sekarang ni saya rajin pula baca karya-karya Haruki Murakami.Tapi jangan kata saya tak layan novel-novel dari genre lain. Kalau ceritanya sedap, saya okey je!
Walau bagaimanapun, di antara novel dan cerpen, hati saya tetap pada cerpen walaupun cerpen kurang diminati di Malaysia (ikut kata bos lama saya la). Dari dulu sampai sekarang saya akan cintakan cerpen. Ya, saya memang setia orangnya, heh! Bagi saya cerpen ada kuasa memujuk, pengaruh, magis yang kuat bergantung kepada cara ia disampaikan. Kerana cerpen adalah cerita ringkas yang boleh dibaca dalam masa beberapa minit saja. Jadi, ia sangat terkesan kalau ia disampaikan dengan penuh jaya. Yeah!
Baiklah, sebelum saya menghabiskan kata-kata saya ini saya berharap agar semua warga Kapasitor rajin-rajinlah untuk menghantar karya-karya anda di sini (terutama untuk bahagian cerpen). Untuk bahagian cerpen, saya mengharapkan karya-karya yang dihantar adalah pelbagai (ingatan untuk diri sendiri juga).
Boleh jadi fantasi atau seram atau saspens atau sejarah atau mitologi atau surrealism atau magical realism atau dark comedy atau satira atau spiritual atau campuran pelbagai genre. Boleh juga selongkar genre-genre yang telah disediakan di Kapasitor. Saya (dan saya yakin semua warga Kapasitor juga) mengalu-alukan kepelbagaian genre dalam penulisan cerpen anda.
Tapi tiada masalah untuk menyampaikan persoalan klise sebagai contoh, cinta (lagipun persoalan tentang cinta memang tak pernahnya selesai, ye tak?). Terpulang pada diri masing-masing, janji keseronokan menulis itu dapat dikecapi asalkan tidak melanggar unsur sensitiviti sesiapa pun. Bak kata mak cik saya, liarkan imaginasi!
Akhir kata, jutaan terima kasih sekali lagi atas peluang yang diberikan. Selamat menulis dan jadikan ia sebagai satu keghairahan.
P/S: Maafkan tajuk entri yang tak menarik itu...