Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.
Daftar Sekarang!
M01S05 - Tanah Hanyut
Projek Cerpen Bersiri Musim 01
Siri 01 - Urusan Seri Paduka Baginda
Siri 02 - Menyusuri Sungai Nil
Siri 03 - Misteri Surat Kulit Kambing
Siri 04 - Dua Dunia
"Surat kelima dari enam
belas rantaian ini adalah yang paling rahsia. Kerna ia datang dari
kalam seorang hamba tukang tari diraja. Apakan kalau ada kesempatan
hayat kita-kita merasakan lagenda kedaulatan diraja tanah hanyut itu,
nescaya tidak tergambarkanlah bagaimana lancangnya hamba ini berperi
sehinggakan lupa darjatnya.
Dengan kuasa ketuanan
diraja, si tukang tari dibuang ke sebuah gunung terbiar dengan seribu
sakti pukauan sehinggakan hilanglah rupa paras asalnya. Lantas terus
bersembunyi hamba itu dari lembar-lembar sejarah ini kecuali
terkadang munculnya. Demikian datangnya pun selalu dengan sebuah nama
jolokan, Nenek Kebayan."
*****
Matahari belum lagi penuh
labuhnya senja itu. Demikian juga dengan si buta yang masih lagi di
sisi tempayannya, masih belum habis menghirup nikmat tempias air
dingin yang membelai hujung jemari kakinya. Genap bilasan ketiga pada
hujung kaki tua itu, langsung dia disergah dengan satu bunyi yang
berat dari sisi kanan. Mujur si tua ini buta kejadiannya. Jika
tiadalah dia melainkan buta, mungkin sudah bertempiaran larilah dia
melihatkan lelaki yang jatuh tersembam di sisi kanannya.
Tidak. Si buta itu
mungkin saja berkacauan bukan kerana seorang saudagar entah dari mana
sujud pengsan di kaki rumahnya. Bukan juga kerana muncul buih-buih
putih dari sudut bibir bawah lelaki itu. Tetapi kekacauan yang bakal
diraih oleh si tua buta semuanya dirajakan dengan sebuah plat empat
segi kecil yang elok tersemat di sisip tali pinggang kain saudagar
itu.
Arakian segenap penghuni
tanah hanyut itu pun tahu akan kuasa plat empat segi kecil itu. Itu
lah satu-satunya tanda bahawa si pembawanya adalah ahli istana.
Malangnya si tua yang buta tidak sedikit pun berkehendak untuk
meraba-raba pinggang lelaki itu malahan tangannya terus saja menghala
ke muka saudagar misteri itu. Hampir sahaja tangannya mencecah
buih-buih halus yang kini hampir kering di bibir bawah lelaki itu,
terdengar beberapa butir bicara dibisik lemah.
"Kami sudah ketemu."
"Bicara semula anakku,
gerangan apa yang ingin dikhabarkan?"
"Kami sudah ketemu."
"Ketemu apa,
wahai pemuda?" serentak dengan pertanyaan itu, tangan si buta yang
tua dirangkul dan diarahkan kepada plat kecil empat segi yang masih
di pinggang saudagar itu. Terkejutlah si buta tua apabila menyedari
bahawa saudagar itu seorang ahli istana. Lalu terundurlah dia
beberapa tapak ke belakang sebelum langkahnya dibuka panjang-panjang,
mencari *semboyan melaungkan perkhabaran.
Mujur si tua itu buta
kejadiannya. Jika tiadalah dia melainkan buta, nescaya sudah
tunduklah dia menyembah. Kerna segenap penghuni tanah hanyut itu pun
tahu akan kuasa plat empat segi kecil itu. Itu lah satu-satunya tanda
bahawa si pembawanya adalah ahli istana, daripada panglima,
hulubalang sehinggalah sekecil-kecil dayang. Tapi lain pula hukumnya
jika plat empat segi kecil itu bersalut emas seperti yang tersisip di
tali pinggang kain saudagar itu. Kerna segenap penghuni tanah hanyut
itu pun tahu bahawa plat empat segi bersalut emas menandakan bahawa
si pembawanya adalah ahli keluarga diraja.
*****
"Siapakah gerangan
dirimu, wahai rupawan?" tegur Daeng Fauzol lantas terus dia
berlagu.
Pening kepala bagai
*dibaji
Sakit hati bagai
digunting
Gerangan apa adinda ke
mari
Memanggil kami datang
seiring
Mendengarkan pantun
itu terus mencebiklah Daeng Sentol seraya *bermukah di dalam hati,
"Adinda konon!"
Diya bertambah
*terlongo mendengarkan gurindam itu. Dia mengerling ke kiri dan ke
kanan seraya berkira-kira sendiri di dalam hati, "Siapa
lelaki-lelaki ni semua? Kenapa seronok benar mereka berpantun di
tengah-tengah padang pasir ni? Bagaimana aku boleh ke sini? Ini mesti
mimpi!"
"Saya Diya. Pembantu
Kurator Arkeologi, Jabatan Muzium dan Antikuiti," sahut Diya
sambil menghulurkan tangan kanannya, minta bersalaman. Tetapi huluran
tangan itu disambut kosong oleh saudara berlima yang berpandangan
sesama sendiri. Sejurus kemudian Daeng Fathol selaku yang sulung
ditolak ke hadapan, disuruh berbicara. Belum sempat yang sulung,
Daeng Fathol membuka mulut, satu anak panah tirus jatuh tertancap ke
dalam pasir tidak jauh dari tempat mereka semua berdiri.
Keenam-enam pasang mata
itu terus terkalih mencari arah datangnya anak panah itu. Dari
kejauhan, sayup-sayup ternampak lembaga-lembaga berbidang besar,
berserban hitam. Melihatkan pahlawan-pahlawan itu, langsung terus
Daeng Fauzol berperi,
Tegang busur berpegangkan
jantan
Tegak semboyan tersisip
di dada
Datang membengis
menghunus *jogan
Datang mahu mencari kita
Maka terketar-ketarlah
keempat-empat Daeng yang lainnya kerana mereka maklum benar,
pahlawan-pahlawan itu tidak lain dan tidak bukan adalah kumpulan
panglima elit Firaun Remeses II. Tanpa melengahkan barang seketika
pun lagi, sepakatlah mereka semua berlari pergi dari tempat itu.
Dalam kegawatan mereka menyelamatkan punggung masing-masing dari
dibedil dengan segala panah-panah diraja itu, sempat juga Daeng
Mentol menarik lengan Diya yang masih lagi mamai-mamai ayam akan
kawasan persekitarannya. Bercicit larilah kesemua mereka.
#Selelah burung
terbang
Selejang kuda
berlari
*****
"Wahai
kekanda, kejutkanlah *budak-budak kundang itu. Dinda *galau menunggu
*warita. Ke mana menghilang putera kita," rayu baginda
permaisuri dari *peterana keemasan itu.
Baginda sultan yang dari
tadinya mundar ke hulu dan mandir ke hilir terus berhenti di sisi
ratunya. Dengan berat kemudiannya, paduka tuanku bertitah, "Mamanda
menteri, kejutkan lelaki itu. Tidak tertanggung rasanya kesabaran
beta ini."
Maka mamanda menteri pun
membolak-balikkan tubuh lelaki yang lesu itu seraya mempercikkan
setitis dua air mantera ke mukanya. Sebelum percikan yang ketiga
lagi, sudah terkebil-kebil si kundang itu membuka matanya. Demi
ternampak sahaja dia akan baginda sultan dan permaisurinya, teruslah
dia bersembah,
"Ampun tuanku
beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun, jikalau ada
mudah-mudahan ampun kurnia kelimpahan kebesaran tuanku, hukumlah
patik dengan sekeras-keras hukuman tuanku."
"Simpan saja
kudratmu wahai kundang," titah baginda sultan seraya
bersemayamlah kembali tuanku di atas peterana keemasannya, "Tetapi
khabarkan kepada beta, ke manakah gerangan menghilangnya putera
beta."
"Maka hukumlah
patik wahai tuanku," sembah hamba diraja itu lagi, "patik
telah dititahkan oleh tuanku putera untuk meninggalkan baginda di
medan perang, berlanggar dengan pahlawan-pahlawan elit Firaun Remeses
II. Ditinggalkan plat mohor diraja ini bersama patik, titahnya,
'Sembahkanlah mohor ini pada ayahanda beta dan canangkan kembara
kita!'"
Mendengarkan sembah
hamba itu terus naik beranglah baginda sultan lantas diraih keris
dari pinggangnya dan dihunuskan ke leher hamba itu sehingga terhiris
sedikit kulit hamba itu lalu tertumpahlah darahnya menitis-nitis,
"Apa mahumu hamba yang *pacal lagi hina sehingga dihantar
anakanda beta bertemu dengan mautnya?"
Terketar-ketarlah hamba
diraja itu menahan nafasnya di hujung keris, "Tiadalah ada
keinginan lain pada patik kecuali berlindung di bawah duli kedaulatan
tuanku. Patik diutus untuk membawa khabar kepada tanah tuanku ini
bahawa kami telah ketemu."
"Ketemu apa??!"
tempelak baginda sultan seakan halilintar sehingga bergegarlah serata
alam.
"Kami bertemukan
perawan seperti yang dikhabarkan oleh Mak Tua dalam ramalan Jula Juli
Bintang Tiganya, tuanku. Dalam kembara kami pada senja itu, dada
langit tiba-tiba terbuka dan turunlah perawan itu sambil beradu,
tuanku. Jika bukan kerana beratnya perkhabaran ini, tiadalah berani
patik pulang tanpa baginda putera, tuanku."
Terkuncilah bicara
baginda sultan mendengarkan warita keramat itu. Tergugurlah keris di
tangannya. Namun si hamba kundang masih belum berani menarik nafas
lega, pandangannya masih lagi tertancap di lantai. Seketika kemudian
terdengarkan baginda sultan bertitah, "Hai mamanda menteri,
pergilah engkau memukul tabuh larangan, harapan kita dari Mak Tua
hampir nyata."
Maka mamanda
menteri pun menyembah lalu turun mengerjakan seperti titah itu. Maka
berhimpunlah sekalian rakyat tanah hanyut itu, tiada *terpermanai
banyaknya.
#Yang *capik datang
bertongkat
Yang buta datang
berpimpin
Yang pekak leka
bertanya
Yang kecil
*terambin lintang
Yang jarak
tolak-tolakan
Yang pendek
tinjau-meninjau
Yang kurap
mengekor angin
*****
"Mereka sudah
semakin hampir. Kita mesti berpecah," laung Daeng Khairol yang
mengepalai mereka semua. Diya menarik tangannya yang masih diheret
Daeng Sentol lalu berkata, "Jangan jadi bodoh! Mereka cukup
ramai untuk mengikut kita satu-persatu. Kita lebih kuat di dalam
kumpulan berbanding sendirian."
Dalam hujanan anak panah
yang membontoti mereka, sempat lagi Daeng berlima berpandangan sesama
sendiri. Fikiran mereka sama, "Siapalah gerangan perempuan ini?
Sudahlah pakaian serta pertuturannya aneh-aneh belaka, otaknya geliga
pula." Fikiran mereka berlima dipotong oleh suara Diya lagi yang
memuncung menunjuk kepada sebuah bukit pasir, "Kalau kita boleh
sampai di balik bukit itu sebelum ternampak oleh mana-mana pahlawan
itu, kita boleh bersembunyi."
Tanpa soal, kelima-lima
saudara itu hanya mengikut langkah Diya yang sudah pun terarah ke
arah timbunan pasir itu. Sebaik sahaja hilang kelibat Daeng Sentol,
yang jelas sekali terkebelakang hasil dari keberadaan badannya, di
balik bukit pasir itu, tunduklah keenam-enam mereka lantas berpimpin
tangan, berdoa tidak ditemui. Setelah beberapa ketika, Daeng Fathol
yang dikatakan handal berburu itu menjengah dari balik-balik pasir
sambil menarik tegang busur miliknya. Terlihatlah dia akan gerombolan
pahlawan itu yang bermuka lebih bengis dari tadi kerana hilang hasil
buruan mereka. Pahlawan yang paling besar gagah dan paling bengis di
antara mereka dilihat memberikan arahan supaya kumpulan itu berpecah
dan meneruskan pencarian.
Daeng Fathol
berkira-kira sendiri di dalam hati, "Mahu ditunggu sampai
ditemukan pahlawan-pahlawan itu atau mahu dibidik sahaja?" Baru
sahaja si abang sulung mengambil keputusan dan mahu melepaskan
panahnya, satu anak panah lain meluncur laju di depan matanya lalu
tertembus ke dalam betis salah seorang pahlawan itu. Belum sempat
pahlawan itu tertunduk mengerang, satu anak panah lain datang lagi,
kali ini mengenai betis pahlawan di sebelahnya pula. Sejurus selepas
itu, bertubi-tubi asakan panah menghujani kumpulan elit Firaun
Remeses II itu tapi semuanya hanya lekat di betis sahaja. Dan
satu-persatu pahlawan-pahlawan itu gugur tersungkur.
Daeng Fathol
berpusing ke arah saudara-saudaranya yang lain, mahu memperihalkan
kejadian aneh itu tetapi dilihat yang lainnya sudah pun ternganga
sambil menghadap ke arah belakang bukit pasir itu. Dari celah-celah
cahaya matahari yang tersisa, kelihatan seorang pendekar bertanjak
tingi sedang menarik busur panah dan menghalakannya pada pahlawan
elit Firaun Remeses II.
Dan yang
mempegunkan saudara berlima serta seorang perawan itu adapun bukanlah
ketangkasan pendekar tersebut *menunjal panahnya malahan bukan juga
dari tubuhnya yang *kekar perkasa. Yang menjadi hairan mereka berenam
adalah haiwan tunggangan pendekar itu. Pendekar itu nyata sekali
bersemayam di atas *pundak seekor binatang yang layaknya hanya di
dongengan.
Berwarnakan emas singa
Bersayapkan lebar helang
Bertubuhkan jinjang kuda
Berparuhkan muncung buaya
Bertempikkan suara naga
"Garuda!" ujar
kelima bersaudara itu dalam kengerian dan kekaguman sedang perawan di
sebelah mereka masih lagi terkesima. Setelah habis rasa kekaguman
pada para pelarian itu, barulah datang rasa pelik pada mereka semua.
Mengapa pula tidak berputus-putus busur pendekar itu menarik panah
sedangkan sebelumnya hanya tinggal seorang dua sahaja pahlawan yang
masih berdiri. Demi berpusing sahaja mereka, menjengah dari balik
pasir, ternampaklah pahlawan elit yang paling gagah dan paling bengis
tadi mengelakkan setiap satu panah yang ditujukan padanya dengan
hikmat sepakannya.
"Itu tentu sekali
Hossam Hussein atau jolokannya Panglima Mido," ujar Daeng
Khairol.
"Benar sekali,
kanda. Hikmat sepakannya memang tidak pernah terkalah oleh sesiapa,"
sahut Daeng Mentol.
"Kalau begitu,
bagaimana perihal kita-kita semua?" soal Daeng Sentol.
Daeng Fauzol membuka
mulut, mahu menenangkan kekacauan adinda-adindanya itu tetapi apa
yang dibicarakan tidaklah terdengar oleh sesiapa kerana serentak
dengan itu datanglah sang Garuda tadi berterbangan. Bunyi sayapnya
sahaja sudah seperti sangkakala beliung zaman Nabi Nuh. Demikian
tertunduklah pendekar itu mendepangkan tangan kanannya seraya
bersabda, "Marilah perawan, mari bersama beta. Beta dan sekalian
rakyat beta memerlukan jasamu, tubuhmu, fikirmu dan keringatmu."
Terbelalak mata Diya
mendengarkan pendekar misteri itu berperi sebegitu sekali. Jikalau
pada hari lain, zaman lain, ada seorang asing yang menginginkan
dirinya sebegitu, sudah tentu sahaja terlebih dahulu dia membuka
langkah seribu. Tetapi pada senja ini, zaman asalnya itu terasa
seperti mimpi pula dan cahaya gilang-gemilang yang datang dari
pendekar ini terus memujuknya menyambut huluran tangan itu. Mujur
sahaja keenam-enam mereka berpimpinan tangan. Demi disambutnya sahaja
tangan pendekar itu, terus terbanglah sang Garuda menongkah angkasa.
Dan terangkatlah juga kelima-lima bersaudara daripada tanah bumi
berpasir itu.
*****
Maka sampailah sekalian
rakyat masing-masing ke laman balairung hendak mendengarkan titah
baginda sultan. Bersembahlah kesemua mereka, "Ampun tuanku
beribu-ribu ampun, sembah patik harap diampun. Harap memohonkan
titah,
#Musuh mana akan
datang?
Mana tebing akan
runtuh?
Angkatan mana
yang akan tiba?
Bertitahlah baginda
paduka sultan seraya titahnya, "Ayuhai sekalian rakyat tanah
hanyut, tidaklah musuh akan melanggar melainkan rezeki yang akan
tiba. Marilah ke hadapan, Mak Tua dari kalangan rakyat hina-dina ini
dan khabarkanlah kepada mereka."
Arakian tibalah gerangan
yang digelar Mak Tua itu terbongkok-bongkok berpakukan kayu meranti
di tangan kirinya. Mulutnya terkumat-kamit membaca mantera. Telah
tibanya dia di sisi baginda Sultan, terus sahaja dia bersabda,
Jauh lembah pulau
seberang
Tidak tercapai dalam
titian
Bintang kita sudah pun
terang
Telah turun sakti impian
Mendengarkan
senandung Mak Tua itu, terus bertempik bersorakanlah sekalian rakyat
kepulauan itu. Bergegak gempitalah kota diraja itu dengan segala
macam bunyi-bunyian. Yang *nafiri bernafiri, yang *rebana berebana
dan yang *gong bergong.
Dalam keriangan itu
seorang anak kecil menarik tangan ayahandanya lantas berujar, "Duhai
ayahanda. Untuk hutang yang manakah keramaian ini?"
Si ayahnya hanya tunduk
tersenyum lalu menyentuh ubun-ubun anak kecil itu, "Keramaian ini
amat penting anakku. Keramaian ini untuk menyambut seorang perawan
sakti yang khabarnya dapat menyelamatkan tanah hanyut ini dan kita
semua."
"Menyelamatkan kita
dari malapetaka yang mana satu, ayahanda?"
"Menyelamatkan kita
dari sumpahan kehanyutan ini. Supaya kita boleh berpasak semula pada
dunia nyata. Supaya kita boleh pulang, anakanda. Kita boleh pulang
kepada bondamu di sana."
*****
"Maka kamu
semua dikejar kerana membunuh Utusan Darat diRaja Mesir (UDRM), Sang
Otaku Durjana?" tanya pendekar itu lagi, mahu mempastikan cuping
telinganya. Si Daeng berlima hanya tunduk tersipu malu, mengaku nista
mereka di dalam diam, "Pada firasat beta, memang wajarlah Firaun
Remeses II itu begitu berang pada tuan hamba sekalian. Seharusnya
beta tinggalkan saja tuan hamba semua biar dibaham panglima mesir
yang bengis itu," sambung pendekar itu lagi seraya membetulkan
duduknya pada gumpalan-gumpalan putih itu, "Ditakutkan nanti,
kerajaan beta yang jadi tanggungannya."
Saudara Daeng
berlima hanya berpandangan sesama sendiri, masih mengunci mulut
mereka. Hendak diterima pahit, hendak *dipangkas nanti musibah pula
bagi keberadaan mereka sekalian. Saat itu Daeng Khairol mengerling
titik-titik pasir yang sudah hanya tinggal warnanya sahaja, di
kejauhan di bawah mereka. Dia terbayangkan lengan perkasa pendekar
itu menolak kelima-lima mereka ke bawah. Serentak itu terus sahaja
air liurnya ditelan. Penasaran.
Sudah barang tentu sunyi
angkasaraya pada awal labuh malam itu tiba-tiba ternodalah apabila
Diya, si perawan sakti dalam duduknya tiba-tiba sahaja bertamparan,
"Ini tak mungkin!" tempiknya berulang kali, "Kamu
semua saudara Daeng berlima?" soalnya mengunjur pada saudara
Daeng sekalian. Mereka hanya mengangguk-angguk, "Dan kamu pula
siapa?" soalnya pada si pendekar itu.
Sang pendekar hanya
tersenyum sedikit mendengarkan soalan itu, "Ayuhai perawan,
kamilah Tunku Mahmud Seri Ibni Tuanku Gombang Mahmud Dewa, pewaris
pada takhta kerajaan Tanah Melayu di Nusantara."
Mendengarkan perkhabaran
itu, bertambah bertempiklah Diya meronta-ronta, "Ini tak
mungkin! Ini semua mesti mimpi!" ratibnya berulang kali.
Keenam-enam lelaki lain di sekelilingnya hanya duduk memerhati
sehinggalah turun Daeng Fauzol berlagu.
Hilang
disaput awan yang putih
Muncul bulan menjadi
terang
Hilang penat hilanglah
jerih
Melihat
lagi deritanya orang
Apa diharap pada angin
Kadang muncul
berlumba-lumba
Apa diharap pada yang
lain
Marilah cerita kepada
kita
Disahut pula oleh Tunku
Mahmud Seri, "Benarlah bagai digurindam. Jangan kelak menyimpan
dendam. Kita-kita ini rela berkongsi cerita."
Diya merenung raup wajah
lelaki berenam seraya melepaskan nafasnya yang memberat, "Saya
rasa saya datang dari masa depan."
"Apakah
gerangan yang dimaksudkan pada masa depan?" soal Daeng Mentol
seraya mengerut-ngerutkan mukanya seribu wajah.
"Saya
datang dari masa lain, zaman lain. Zaman
yang ratusan, malahan ribuan tahun dari sekarang."
"Aduhai.. Sungguh
handal kesaktianmu," keluh saudara sulung, Daeng Fathol.
"Ini bukan sakti.
Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya ke sini."
"Nah!" seru
Tunku Mahmud Seri seraya menepuk gumpalan-gumpalan putih di silaan
kakinya. Lalu berkepul-kepullah awan lepas naik ke udara. Daeng
Sentol menjeling tajam lewat perlakuan itu, "Ampun tuanku,
beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Sekalipun girang
rasanya hati, berpesanlah. Kita-kita ini jauh tinggi dari tanah,
duduk di awanan pun hanya bersinggah. Jangan berlaku yang
bukan-bukan."
Maka sekali lagi Daeng
Khairol mengerling titik-titik pasir yang sudah hanya tinggal
warnanya sahaja, di kejauhan di bawah mereka. Penasaran. Baginda
putera Tunku Mahmud pula langsung mengacuhkan lalu menyambung
bicaranya, "Memang ajaib datangmu perawan dan nescaya bertambah
ajaiblah lagi takdir yang menanti kamu di zaman ini. Telah beta
wartakan tadi, keramatmu adalah nafsu bagi sekalian rakyat beta."
Terketar-ketarlah Diya
mendengarkan baginda putera bertitah. Sudahlah dia bersembah lantas
bicaranya, "Ampun tuanku beribu-ribu ampun. Sembah patik
harapnya diampun. Izinkan patik bertanya, gerangan apakah yang
dihajati dari patik yang dagang lagi hina ini?"
Persoalan itu disambut
baginda putera Tunku Mahmud Seri seraya memperbetulkan silaan kakinya
dan berdehem dia tiga kali. Teruslah dia berhikayat dalam gurindam.
Dilantun-lantunkan suaranya supaya bergema membawa maksud cerita.
*****
Tersebutlah oleh kami
satu kisah
Dari sekelumit bangsa
nusantara
Terjumpakan ilmu
membawa tuah
Menjadikan tanah seperti
bahtera
Disangkakan ilmu
membawa girang
Rupanya dilaknat duli
pemerintah
Katanya ilmu bukan
santapan orang
Hanya ilmu nafsu syaitan
serakah
Berlayarlah kami dalam
kembara
Membawakan hati yang lagi
derita
Berlayarlah kami
selama-lamanya
Dek termakan sumpah
daulat diraja
Adapun datang seorang Mak
Tua
Membawa bersama tempayan
ramalan
Katanya masih ada harapan
bahagia
Di dalam bentuk seorang
perawan
Perawan sakti berhemat
tinggi
Turunnya dari langit di
senja hari
Perawan membawa ilmu
pelangi
Agar yang hanyut akan
kembali
*****
"Patik perlu bebaskan
tanah tuanku dari sumpahan hanyut itu?" soal Diya, tidak percaya.
Belum pernah lagi dalam lingkaran hidupnya, dia mendengarkan lagenda
tentang kepulauan yang hanyut dek sumpahan.
"Malahan perawan, tuan
hambalah yang bakal menjadi paduka ratu di tanah itu dan
memeliharakan dari sekalian ancaman lainnya."
Diya
menggeleng-gelengkan kepala tanda membingkas gurindam yang seperti
meresap lalu ke akar umbi jantungnya, "Tetapi ini semua dongengan.
Ini semua tidak termaktub di dalam sejarah di zaman patik."
Baginda putera
melangkah merapat barang sehasta kepada Diya lantas meletakkan
jemarinya lembut di bahu kanan perempuan itu, "Sejarah tuan hamba
adalah perkara yang belum dilalui lagi pada zaman beta ini. Sekalipun
sakti hanyalah pada isi dada, makanan akal. Kalau ada yang belum
bertempa, masih belum terlambat untuk diluruskan."
Belum sempat Diya
mentaupkan bibirnya yang sudah sedia berselubung dengan ratusan
alasan berlamparan, terhidu olehnya darah merah pekat yang tercalit
di pipi bila satu jogan besar memintas dan terbenam ke dasar
kepulan-kepulan awan itu. Mujur saja purnama mengambang penuh malam
ini, maka tidaklah kisah kita ini kekurangan lapis-lapis cahaya walau
sedikit pun. Hatta, ternampaklah kalian mereka akan seekor lagi
Garuda yang tidak kalah gemilangnya, mengibaskan sayap ke atas dan ke
bawah. Di balik pundaknya, duduklah Panglima Mido, ketua pasukan
pahlawan Firaun Remeses II.
Tanpa timbul barang
satu pun butir bicara, berlarilah ketujuh-tujuhnya mencapai Garuda
yang pertama. Seorang Daeng di kaki kanan, seorang Daeng di kaki
kiri, seorang Daeng di sayap kanan, seorang Daeng di sayap kiri,
baginda putera Tunku Mahmud Seri di lehernya dan Daeng Sulung bersama
Perawan Diya di belakang Garuda itu.
Maka terbanglah mereka
meluncur menjunam ke bawah, cuba-cuba untuk menyisihkan Panglima Mido
bersama Garudanya. Adapun tidaklah bertambah barang sejengkal pun
jauhnya kedua-dua Garuda itu malahan makin sedikit lah jadinya.
Seperti batang mancis, harapan kesemua mereka pun berhabisan bagaikan
dibakar. Sehinggalah pada satu ketika yang pentingnya, muncullah
baginda Tunku Mahmud Seri dengan sebuah akal.
"Jikalau mengikut
perkiraan beta, baiklah kita semua berangkat ke arah tanah hanyut
supaya selamatlah kita di situ."
"Mengapa pula bicara
tuanku sebegitu?" soal Daeng Sentol.
"Kerna di sebalik
sumpahan kedaulatan yang menghanyutkan kami, bersembunyilah kuasa
lain yang seakan perisai. Sesungguhnya tidak akanlah kita semua
melainkan selamat saja di sana."
Baginda putera pun
membisikkan bahasa Garuda pada haiwan tunggangan mereka lantas
semakin pantas dan tegaplah ia berterbang lari. Hampir dalam sekelip
mata muncul kembali perlabuhan yang ditinggalkan Daeng berlima
sementelahan didengarkan ratib si Diya. Namun perlabuhan itu hanya
diterbang lalu oleh Garuda itu menuju ke lautan lepas. Dan dalam
sekelip mata lagi, dari sayup ternampaklah bayang-bayang yang
dikatakan tanah hanyut itu.
Hatta, mendekatnya
mereka pada apungan kepulauan itu, terloponglah Diya melihatkan
manusia dan kota di atasnya.
"Ampun
tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap diampun. Pada firasat
patik, tidaklah tanah hanyut itu dipanggil tanah Nusantara, tuanku.
Pada zaman patik berdagang nasib, tanah itu kami panggil sebagai..."
"ATLANTIS"
Nota Kaki :
Yang bertanda ‘#'
adalah petikan dari buku Hikayat Malim Deman yang menjadi bahan
rujukan Val selama tempoh menghasilkan ceritera ini.
Yang bertanda ‘*'
sila rujuk pada glossari di bawah (berdasarkan konteks ayat).
Glossari :
1. semboyan - alamat
untuk memberitahu, tanda, isyarat
2. dibaji - dipukul
dengan kayu
3. bermukah - mengutuk,
mengumpat, melakukan yang tidak senonoh
4. terlongo - terbuka
mulut, tercengang
5. jogan - tombak
6. selelah burung
terbang - sejauh burung dapat terbang, tanpa memaksa dirinya
7. selejang kuda berlari
- sejauh kuda berlari terus-menerus
8. budak-budak kundang -
hamba diraja
9. galau - kacau, kusut
10. warita - berita,
khabar
11. peterana -
singgahsana
12. pacal - hamba diraja
13. terpermanai - tiada
terkira banyaknya
14. capik - tempang
15. terambin lintang -
digendong melintang di dalam kain pengikat
16. menunjal - menumpukan
atau menekankan
17. kekar - tegap dan
kuat
18. pundak - bahu,
belakang
19. nafiri, rebana, gong
- alat gamelan
20. pangkas - potong,
bantah
Cerpen-cerpen Berkaitan
Semua cerpen-cerpen KlasikCerpen-cerpen lain
Perbualan
Perbualan
-
1) Val kata:
1. sudah tiba masanya saya tukarkan sejarah menjadi dongengan
2. saya tak pernah dan tak pandai menulis klasik, tetapi
Disuruh berperi, kami berperi
Disuruh menyanyi, kami tak tahu
3. andai ada perkataan yang tidak difahami, saya boleh tambahkan di glossari
=)- valium
- 15 years ago
-
2) ko memang lailahanna!
urgh, kena bertapa depan comp lagi nak baca ni- zInggOf
- 15 years ago
-
3) Val...best n complex..siap wat rjkn ag~
cmne sy nk smbg nie??huhu...idea pliss!!!!- miszmextor
- 15 years ago
-
4) saya menyesal meletak maksimum 5 pada rating untuk karya kreatif. Kalo bole sy mengubah sistem, pasti sy letak 10 utk cerita ini.
Bagus Laila. Jangan cepat mengalah pada cabaran. Dalam pada kata tak tahu dan tak reti tulis, terus jadi satu masterpiece yg hebat.
Sy harap orang lain juga boleh belajar. Seperti Reason pada awalnya konon tak tau nak tulis bahasa melayu.. tau2 hasilnye tuhan je yg tau. Seperti Cahatomic yg asalnya "aku tak retila tulis klasik ni jo", terus elok lancar tanpa sebarang masalah.
Plis. Yang seterus-seterusnya mesti yakin dan berani terima cabaran. Jangan ada sebarang alasan utk tidak berjaya. Cuba dulu, jangan mental kita awal2 bgtau "tak boleh" padahal tak cuba lg.
- jojo
- 15 years ago
-
5) zing:
memanglah nama saya laila hanna! alamak, val tulis berterabur ke sampai kena bertapa untuk fahamkan. sorri!
miszmextor:
ala... sambung je! ceritalah pasal atlantis. hehe
jojo:
dengan ini saya mengaku bahawa saya suka tulisan klasik! yeay! huhu.- valium
- 15 years ago
-
6) valium gadis pantang dicabar,
bila diminta sentiasa tegar,
biar klasik tak khatam dibelajar,
nah hasilnya - Tanah Hanyut digarap kekar.
tahniah!
lepas ni miszmextor eh? silalah berbincang2 dgn valium, mungkin dia boleh beri idea bagaimana mahu menulis, bagaimana mahu menyambung cerita?
hanya usul.- cahatomic
- 15 years ago
-
8) mak ai......x abis skolah ke aku....tginye bahasa...
mmg mantap la laila....bertuahnye diri~~~- joni
- 15 years ago
-
9) T_T....huuuu..sedey2...
terlalu best smpai sedey diri ini..
huhuhu..
besto!!- paper_cat
- 15 years ago
-
10) patutla mcm pernah baca ayat2 kat atas ni.. Hikayat Malim Deman. Dulu masa kecik2 pernah baca banyak buku cerita hikayat before tdo. Paling suka Hikayat 1001 malam.
and still..ada yg masih segar dlm ingatan especially ayat
#Yang *capik datang bertongkat
Yang buta datang berpimpin
Yang pekak leka bertanya...
and garuda..
sangat klasik.
ter flash back memori zaman kanak2 dulu2..
- pinkyunki
- 15 years ago
-
11) joni... apa maksudnya tu?
eme... jangan la sedey2
pinky... best kan baca hikayat! sangat masyuk!- valium
- 15 years ago
-
12) val.. ape maksudnya tu ape?? x paham..
- joni
- 15 years ago
-
13) val// best sangat.. i like =p
- dayya
- 15 years ago
-
14) ala sorry baru nak komen. this is cool, val. gud! ;)
- _theRain_
- 15 years ago
-
15) joni... maksudnya, apa maksud bertuahnya diri?
dayya... terima kasih sangat!
kak zu... thanks tp saya budak baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan =)- valium
- 15 years ago
-
16) benci val! benci sebb val buat citer best! huhuhuu...
saya sgt suka baca klasik tapi sy tak pandai buat citer klasik.. jadi diharap apabila sampai giliran saya.. sudah tidak seklasik ini lagi *sket2 bleh la, k*
good job val!- shazmiey
- 15 years ago
-
17) tiba2 teringat subjek bm sem lepas... berita asalnya warita... bulan asalnya bulan.. huhuhuhu... mesti banyak val wat research untuk citer ni kan coz ada penggunaan bahasa melayu klasik n bahasa melayu kuno siap! =p hehhehe
- dayya
- 15 years ago
-
18) val... oh...maksud nye bertuah nye diri awak dikurniakan ke'tere'an mcm ni...sy kagum~~~
- joni
- 15 years ago
-
19) resolusi terbaik utk mengaitkan hasil kerja zu dengan jojo..huhuhu..hebat gile nih...x sabar aku nak smbung.
- fairuzar
- 15 years ago
-
20) erk!! btul fai.. hebat giler... huhuhuhu......
- Reason
- 15 years ago
-
21) tabikness...besnyer val..macam terasa sekali naik garuda...ahhaa
- safina17
- 15 years ago
-
22) tidaklah jauh rasa di hati, melainkan gembira tak berperi.
Tidaklah dapat hamba mencari, gerangan cerita begini jadi.
Tidaklah mampu lagi diberi, terima kasih hanya diganti.- zInggOf
- 15 years ago