Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Memburu Ajaib

 

I

            Saya tercatuk di luar rumah dengan setia. Hari masih pagi dan orang-orang dewasa sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Selalunya, motor pak cik india yang menghantar surat khabar harian akan menderu-deru di atas jalan raya hadapan rumah saya sekarang ini. Tepat pukul tujuh setengah pagi. Begitulah pada kebiasaannya.

            Semalam saya sudah menonton berita di televisyen. Hampir satu jam saya habiskan menonton peti cahaya itu- dan bukan tabiat saya menonton televisyen melebihi 30 minit- sambil mencatat butir-butir yang sempat saya tangkap ke buku nota saya.  Antara berita yang saya tuliskan ke dalam halaman buku nota saya termasuklah, berita sukan: perkembangan Liga Eropah, kes kemalangan jalan raya dan keputusan PMR pada tahun ini.

            Awak tertanya-tanya mengapa seorang budak 8 tahun seperti saya membuat catatan-catatan sedemikian?

            Saya bukan perahsia dan saya sering sahaja berkongsi cerita dengan ibu tentang pengalaman persekolahan saya. Biarlah saya jelaskan sebab saya mencatat butir maklumat berita di televisyen. Sebabnya hanya satu. Kerana surat khabar memang menakjubkan, mengajaibkan! Awak tidak berasa begitukah? Tidak mengapa, mungkin kerana perbezaan umur antara kita yang amat ketara, dan kita pun tidak melihat perkara dari sudut yang sama.

            Selang beberapa minit, pak cik penghantar akhbar perlahan-lahan melintasi jalan hadapan rumah saya. Saya melambai kepadanya. Kemudian pak cik terus melemparkan segulung surat khabar ke udara. Waktu inilah yang paling saya suka. Gulungan surat khabar itu mendaki udara kasa, menambah altitudnya sehingga suatu titik maksimum, dan akhirnya menyerah kepada daya graviti sebelum jatuh tepat dalam telapak tangan saya.

            Saya tersenyum dan pak cik penghantar surat khabar terus berlalu selamba.

            Secepat mungkin, saya berlari ke dapur rumah. Ibu telah menyediakan semangkuk bijirin sarapan gandum berperisa coklat dengan susu segar. Ibu saya namanya Sofia. Dia selalu sahaja sibuk di dapur, selain sibuk bekerja di pejabatnya pada waktu siang.

            " Faris buat apa tu?" tanya ibu lembut. Dia mengelap basah tangannya pada apron dan meramas rambut saya. Dia cium rambut dan pipi saya. "Bau macam kumbang," katanya.

            Saya tidak menjawab. Tumpuan saya terpaku pada mangkuk sarapan, buku nota saya dan pada surat khabar. Ibu memerhati sahaja tingkah saya. Apabila saya lama tidak bersuara, dia mengambil buku nota saya dan membeleknya.

            "Hmm, apa ni? Faris salin berita dari akhbar?"

            Saya menidakkan. Kata saya, semua butir berita yang tercatat dalam buku nota itu saya dapat daripada berita di televisyen malam semalam. Saya tonton berita pukul lapan malam, semasa ibu masih belum pulang dari tempat kerja.

            Ibu terus membelek buku nota di tangannya.Dia menyelak-nyelak halaman-halaman hingga tiba pada catatan saya pada muka surat sepuluh.

           

            Keistimewaan dan Keajaiban Surat Khabar Harian

1. Dibuat dalam bilangan yang banyak, mencecah ribuan salinan akhbar dalam satu hari.

2. Kandungan berita surat khabar adalah sama dengan dengan berita di televisyen pada malam semalam dan kesemuanya hampir tepat.Jadi, berita dalam surat khabar tidak direka-reka sesuka hati begitu saja.

3. Masa pembikinan surat khabar amat singkat, iaitu dalam satu hari. Namun, pada setiap pagi surat khabar pasti akan sampai ke muka rumah dan rak-rak pada kedai runcit.

4. Surat khabar mustahil untuk diterbitkan pada setiap hari kerana ciri-cirinya seperti yang tercatat pada nombor 1, 2, dan 3.

 

            Sudah tentulah, saya tidak mencatat dengan bahasa sebegitu rupa. Saya cuma sebuah memori ketika berumur 8 tahun. Tetapi untuk melancarkan cerita ini baiklah digunakan gaya bahasa yang lebih senang dicerna daripada menggunakan bahasa budak 8 tahun. Mungkin nanti ada yang sukar untuk difahami kerana catatan asal yang ditulis dengan tatabahasa yang tunggang-terbalik.

            Selepas membaca catatan saya, ibu mengerutkan dahinya sambil ketawa kecil. "Mestilah surat khabar boleh diterbitkan setiap hari. Faris pun tahu, setiap hari ada surat khabar. Apa mustahilnya."

            Saya bertanya kepada ibu, bagaimana ribuan surat khabar boleh diterbitkan dalam satu hari sahaja dan kemudian boleh pula dihantar oleh pakcik india tadi, pada setiap pagi, tak pernah terlewat.

            "Orang yang buat surat khabar tu ada kilang. Dalam kilang tu ada mesin yang besar-besar untuk buat surat khabar,"terang ibu. Saya bertanya lagi kepada ibu, mesin yang diceritakannya sebesar apa. "Mesin tu besar sangat, besar macam ni (sambil mendepakan tangannya). Lepas tu, orang surat khabar juga ada kumpulan wartawan. Wartawan, kerjanya buru berita dan melaporkan berita dengan tepat, jujur tanpa diselitkan kepentingan peribadi. Wartawan tulis berita, betul-betul macam yang wartawan dapat, tak diputar-putar belitkan."

            Saya membantah. Mesin bersaiz satu depa seorang ibu tak mungkin boleh hasilkan surat khabar yang begitu banyak. Ibu tertawa lagi. Lebih kuat. Matanya terpejam dan tangannya ditahan ke perut seperti kesakitan. Melihat tingkah ibu saya terasa dikotak-katikkan dan terus menarik muka dan mencebikkan bibir.

            "Makna ibu, mesin tu besar sangat sampai kita nak peluk pun tak boleh. Tak cukup besar depa kita nak peluknya macam ibu boleh peluk Faris." Kemudian ibu merangkul saya. Ibu, setiap masa berbau wangi walaupun di rumah.

            Ibu memang tahu perangai saya. Saya tak akan percaya hampir apa-apa jika tidak dibuktikan dengan bukti yang nyata. Lalu ibu mencadangkan saya untuk pergi ke tempat kerja Pak Cik Hamimi, seorang pengurus bahagian percetakan sebuah syarikat akhbar, untuk meninjau sendiri bagaimana surat khabar dihasilkan.

            Dan jika orang ramai mengatakan wujud perasaan yang tidak tergambarkan, maka saya juga tidak dapat menceritakan perasaan saya ketika ibu melontarkan cadangannya. Saya menggeledah seisi kamus, tetapi tiada perkataan yang boleh menggambarkan perasaan lebih daripada gembira, riang, girang, seronok dan suka.

            Oleh itu, saya cuma menjerit: Woooohooo!!!

            Dalam perjalanan berkereta dari rumah ke tempat kerja Pak Cik Hamimi, ibu bertanya lagi kepada saya:"Tapi, ibu masih tak faham kenapa Faris begitu ingin tahu pasal surat khabar ni. Ada apa-apa ke yang Faris nak buktikan?"

 

II

            Saya tumbuh subur di dalam hutan hujan Malaysia. Saya tumbuh lebih dari 30 tahun di kawasan hutan itu, sebelum pada satu hari saya ditebang dan dijatuhkan oleh manusia menggunakan gergaji motor mereka yang ganas. Tak perlu bertanya kepada saya, apa rasanya bila dihiris oleh mata gergaji dengan pantas sehingga badan saya terpisah daripada akar saya yang masih mencengkam tanah. Syukur kepada tuhan, kami, warga flora tidak diciptakan bersama deria kesakitan.

            Kemudian saya dibawa ke sebuah kilang. Di situ, saya menjadi kertas. Mula-mulanya, saya dan saudara senasib yang lain dimasukkan ke sebuah dram yang besar. Di dalam dram itu, kami terpusing-pusing dan terputar-putar. Bumi yang dahulunya berada di bawah, bertukar ke atas. Kami berlaga dan tergesel sesama kami dan pada permukaan ruang dram yang luas itu. Kulit kami yang dahulunya kami banggakan kerana perlindungan sempurna yang diberinya, luluh dan terkupas. Seketika saya berasa malu tanpa kulit saya, menampakkan tubuh saya yang kuning langsat. Tetapi perasaan itu cepat sahaja hilang kerana seterusnya, kami dipotong hiris  halus pula. Dari keadaan saya sebatang pokok, saya menjadi serpihan-serpihan kayu yang kecil, berukuran 2 inci luas dan suku inci tebal.

            Tidak sempat saya membiasakan diri sebagai beribu-ribu serpihan saya dicampur pula dengan larutan bahan kimia yang tidak saya kenali dan kemudian dimasak di dalam ruang bertekanan tinggi. Pada tahap ini gentian selulosa yang memberi sifat keras kepada saya terpisah daripada saya kerana lignin yang memegangnya telah dilarutkan. Saya bertukar lembut dan tidak berupa.

            Ah, adakah saya baru sahaja terkesan riak muka awak yang bosan?

            Tetapi, peluang untuk menceritakan pengalaman bertukar daripada sebatang pokok yang keras dan teguh menjadi kertas yang lembut jarang sekali muncul. Kami warga flora sentiasa menunggu kehadiran golongan manusia yang prihatin untuk bercerita proses pertukaran kami kepada kertas, supaya mereka akan lebih prihatin dan tidak sesuka hati saja menebang lebih banyak pokok untuk ditukarkan menjadi kertas. Barangkali awak perlu belajar juga daripada kami fasal sifat kesabaran. Saya sebagai organisma yang pernah menjadi sebatang pokok amat mengagumi kesabaran sebatang pokok; daripada sebiji benih kecil yang begitu takut dengan keluasan alam menjadi pohon besar dengan akar menjalar panjang dan dalam ke tanah bumi. Bukan sebentar atau seminggu dua saja masa yang diperlukan untuk menjadi pohon yang besar, tetapi memerlukan puluhan tahun.

            Baiklah. Kerana permintaan awak, saya sambung terus sahaja kepada cerita saya sebagai kertas.

            Setelah saya ialah kertas, saya digulung kepada satu gulungan yang besar. Entah berapa lama setelah saya ialah kertas, saya ditempatkan pula di sebuah kilang yang lain, yang lebih kecil berbanding kilang di mana saya menjadi kertas. Menurut saudara saya, kilang itu ialah sebuah kilang percetakan surat khabar. Di situ, saya akan menjadi surat khabar yang berwarna-warni dan bergambar pula. Dan seterusnya saya akan diedarkan keseluruh negara.

            Dengan sabar, saya menunggu giliran saya untuk menjadi surat khabar, sambil memerhatikan mesin gergasi setinggi dua tingkat memproses saudara-saudara saya menjadi surat khabar. Kerana saya akan menjadi surat khabar siri petang, saya dicetak pada waktu tengah hari. Pada hari itu kebetulan pula seorang budak datang melawat. Saya semakin seronok untuk menjadi surat khabar. Saya mahu budak itu kagum dengan kami, pohon-pohon yang telah merelakan diri menjadi kertas.

            Giliran saya tiba. Budak itu melihat saya bersama seorang dewasa.

            Saya, segulung kertas dimuatkan ke satu ruang mesin pencetak. Saya bersedia. Selepas itu proses pencetakan pun bermula. Daripada satu gulungan kertas saya ditarik menjadi helaian. Saya ditekan beberapa siri silinder penggolek, dan tahu-tahu saja saya sudah tercetak dengan warna. Saya gembira melihat betapa diri saya penuh dengan pelbagai warna dan gambar-gambar. Saya kemudiannya dipotong menjadi helaian muka surat yang berlainan dan akhirnya dilipat bersama membentuk senaskah surat khabar.

            Tanpa berlengah, budak itu terus berlari untuk melihat saya dengan lebih dekat. Sekarang saksikanlah, budak! Lihatlah bagaimana sebatang pokok telah berakhir menjadi surat khabar! Perhatikan dan kau pasti nampak kehebatan di sebalik kebiasaan yang ditatap setiap hari. Dahulunya aku sebatang pokok, dan kini aku senaskah surat khabar. Menjadi surat khabar ialah satu keajaiban!

            “Macam ni sajakah orang membuat surat khabar? Sudah tamatkah prosesnya?” tanya budak itu kepada orang dewasa disebelahnya. Dan jika saya ingat sebetulnya, budak itu bernama Faris dan orang dewasa di sebelahnya dipanggil pak cik. Saya juga dahulu pernah mempunyai seorang pak cik.

            “Ya, sampai di sini saja. Lepas ni, surat khabar terus dimuatkan ke dalam lori-lori untuk diedarkan,” jawab pak cik Faris.

            Bagai tidak percaya, saya, senaskah surat khabar telah terhasil, budak itu kembali menatap saya. Matanya menampung air. Saya terharu, akhirnya seseorang menghargai surat khabar yang diperbuat daripada pohon-pohon yang dikorbankan dan nasib kami, warga flora, sedang diambil berat oleh seorang manusia.

Tiba-tiba mata budak itu bocor dan mengalirkan air. Saya terkejut. Inikah yang dikatakan tangisan? Tidak pula saya sangka dengan melihat surat khabar, manusia boleh menangis

“Faris, awak okey ke?”tanya pak cik Faris.

Hingga setakat itu sahaja yang dapat saya korek dari memori saya. Kami warga kertas mempunyai kapasiti ingatan yang amat sedikit. Oleh itu, saya hanya memilih peristiwa yang benar-benar bermakna untuk saya ingat. Jangan merungut. Saya pasti ada orang lain atau makhluk lain yang dapat menyambung cerita saya ini

.

III

Saya tumbuh subur di dalam hutan tanah eropah. Bertahun saya hidup subur di situ.

Awak pernah mendengar cerita yang sama?

            Dari surat khabar yang dahulunya sebatang pokok?

            Jika awak pernah mendengarnya, maka tidak ada apa-apa baru yang saya boleh ceritakan kepada awak. Tentu awak faham kebolehan mengingat saya amat lemah. Memori saya tidak boleh dipanggil semula tentang perkara lain dari cerita yang baru sahaja ingin saya sampaikan kepada awak. Saya boleh mengingat cerita lain hanya jika kisah itu sudah tertulis pada saya. Saya cuma sebuah diari.

            Oh ya, catatan yang telah dibuat pada saya. Saya ada sesuatu yang boleh menyambung cerita yang awak mahu ketahui lebih lanjut. Tetapi saya tidak boleh mengisahkannya kepada awak. Awak sendiri perlu membacanya. Untuk kepuasan hati awak dan menyedapkan cerita, saya sendiri telah mengedit catatan tuan saya, Faris. Jangan risau, saya tidak langsung mengubah isi ceritanya. Hanya pada struktur ayatnya. Hati-hati ketika menyelak setiap halaman. Saya sekarang sudah tidak lagi kuat seperti dahulu.

 

14 Disember, 2007. 11.30 malam.

Sebelum ini ibu sangka saya tidak tahu apa yang berlaku antara dia dan ayah. Ibu juga tak tahu, setiap malam saya berdoa ayah akan kembali ke rumah. Sebab setiap malam, saya takut kepada gelap. Saya takut kalau ada apa-apa menceroboh masuk rumah, sedangkan ayah tak ada. Saya ada juga bertanya kepada ibu, di mana ayah dah lama tak pulang, ibu diamkan saja dan matanya akan berair. Selepas itu saya tidak pernah lagi bertanya kepada ibu tentang ayah.

            Ayah tidak lagi pulang ke rumah setiap hari. Dia cuma datang seminggu sekali atau sebulan sekali. Itu pun hanya pada waktu ketika ibu tiada di rumah. Saya bertanya pula kepada ayah mengapa dia jarang pulang. Ayah menarik nafas dalam. Dia lebih berani dan kuat daripada ibu. Kata ayah, mereka tidak boleh lagi hidup sebumbung, dalam satu rumah. Ibu bukan lagi isteri ayah, dan ayah bukan lagi suami ibu. Tapi, saya tetap anak ibu dan ayah; dan ayah tetap ayah, begitu juga ibu. Sayang mereka tidak pernah berubah terhadap saya.

            (Bahagian perenggan seterusnya tidak dapat dibaca. Contengan pen biru menutup perenggan ini. Terdapat juga beberapa titis air pernah jatuh ke bahagian ini. Mungkin sahaja air mata.)

            Saya cuba segalanya untuk menyatukan mereka. Semasa ayah pulang melawat saya, saya menceritakan semua kebaikan ibu; apa yang ibu masakkan saya, ke mana ibu pernah bawa saya makan angin malah menceritakan sifat ibu yang suka berwangi walaupun di dalam rumah. Semasa ibu ada di rumah pula, saya bercerita tentang kawan saya yang berayah. Saya tahu jika saya terang-terangan menyebut tentang ayah, ibu menjadi tidak seberapa ramah seperti sebelumnya.

            Saya mencuba sedaya upaya agar ibu dan ayah kembali seperti dahulu tetapi tiada apa pun yang berhasil. Mereka tidak tahu apa yang saya rasa. Mungkin hanya dengan keajaiban sahaja boleh mengembalikan kami seperti biasa.

            Ya, keajaiban. Magik.

 

15 Disember 2007, 11.30 malam

Saya telah menjumpai sesuatu. Menakjubkan. Tiada jalan lain yang membolehkan beribu-ribu salinan surat khabar tercetak dalam masa satu hari, melainkan dengan magik. Saya akan selidik lebih lanjut. Saya pasti, saya akan menjumpai keajaiban nanti.

           

Catatan Selepas Melawat Kilang Percetakan Surat Khabar,

21 Disember 2007, 11.30 malam

Siang tadi saya menangis sedalam-dalam hati saya. Saya teresak-esak dan tersedu-sedu. Bukan sahaja air mata membanjiri muka, malah saya juga berhingusan. Saya terasa seperti dihentam kuat. Pak Cik Hamimi kaget sebentar melihat saya menangis memegang senaskah surat khabar. Lama juga dia terpinga-pinga sebelum dapat memahami perasaan saya dan memimpin saya kembali ke keretanya. Naskah surat khabar masih tak saya lepaskan pada masa itu. Di dalam kereta, saya tertidur kepenatan kerana banyak menangis. Saya dibawa pulang ke rumah.

Sekarang saya sudah tahu. Surat khabar dibuat hanya dengan teknologi dan mesin-mesin. Penghantaran surat khabar pula dilakukan oleh pekerja yang ramai. Tiada magik yang digunakan semasa menghasilkan surat khabar. Tiada apa yang ajaib. Cuma kertas biasa.

            Selalunya orang dewasa akan menyorokkan fakta dari seorang budak. Tetapi kali ini, tidak.

(Catatan diari berakhir di sini. Halaman-halaman seterusnya dibiar kosong)

 

IV

            Apabila kita menjadi dewasa, kita sering lupa bagaimana kita melihat dunia ketika masih kanak-kanak. Perkara yang dahulunya disangka menarik lantas bertukar menjadi biasa kerana kita lelah dan tidak berminat lagi memerhati dunia setelah umur dihujani dengan dugaan hidup. Mungkin sepuluh tahun lagi, saya hilang terus minat untuk bercerita, maka tiada seorang pun dapat berkongsi dunia kanak-kanak saya yang masih tersimpan di sudut jauh benak ini.

Lima puluh tahun yang lampau, saya gagal menjumpakan keajaiban yang saya cari. Saya pulang ke rumah dengan mata berair, sisa-sisa tangis dan dengan senaskah surat khabar. Saya masih menyimpan naskah itu sehingga sekarang. Saya selitkan ke dalam diari tahun 2007 saya. Hampir saya terlupa peristiwa itu. Awak yang telah mendengar cerita ini, bantulah mencari keajaiban. Saya sudah terlalu tua untuk itu.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Hampir sepuluh tahun saya terlibat dalam program motivasi mereka-mereka yang bermasalah (sekitar umur diantara 20 dan keatas). Banyak cerita yang dapaat dikongsikan bersama dan percayalah kah kalau saya katakan sepanjang tempoh saya mengalami keajaiban (bukan magik) dan pengajaran dari Allah. Malangnya segalanya tidak saya turunkan ke lembaran kertas.

    Hari ini ada sedikit kesalan, kalau dari dulu saya mencatit setiap peristiwa yang saya alami, pasti ada pengajaran yang berguna untuk generasi seterusnya.

    Hari ini saya gagal untuk recall kembali setiap apa yang berlaku secara jelas.

    Memori zaman kanak-kanak, entahlah tak de lagi yang tersisa.
  • 2) saya juga ada kumpul keratan2 surat khabar yg saya baca. hobi ni merebak melalui mak sy yg suka kumpul artikel2 mengenai herba & kesihatan. sy lebih kpd isu semasa.

    mmg betul, org dewasa selalu menyorokkan sesuatu kpd kanak2 dgn alasan2 yg x masuk akal.
  • 3) kpalaotak. nickmu kurang mencerminkan penulisanmu. hehehe.

    dud, kau memang offer satu jenis penulisan yg agak lain dalam kapasitor ni. variety. aku suka!

    santai je penceritaan kau. tapi ada isi dan mesejnya. kipidap bro! :)
  • 4) huhuhu....cerite ini mempunyai msg yg sgt dalam pade hambe...er...tp magik mmg tak wujud ar kan:p

  • 5) Hmm..cerita yg ada maklumat. bagus kepalaotak anda. Suka sangat.
  • 6) saya menjadi matang sebelum usia..hehe..mungkin kata-kata dan perbuatan saya sangat kebudak-budakkan tapi jiwa saya sudah lama dewasa sebelum masanya~~

    maka,keajaiban kanak-kanak tak pernah wujud dalam kamus hidup saya.. tapi ia indah bukan? =)

  • (Penulis)
    7) trimas atas komen2 yg membina :)
  • 8) mungkin sy terlewat membaca, tapi tidak terlewat untuk sy mengkritik...

    siapakah gerangan kpalakotak? cerita begini yg patut ditonjolkan lebih-lebih lagi kepada pemmaca yg baru bertatih... karya yang simple tapi penuh dan padat dengan isi dan mesej. karya yang membawa kita ke satu alam yg dinamakan realiti... eh, sy tak merepek kan? yg penting, saya suka!
  • 9) suka cerita ni (:

    bg sumber inspirasi!!
  • 10) padat..tapi tidak terlalu membebankan..
    tahniah...tajuk pun ok!

Cerpen-cerpen lain nukilan kpalakotak

Read all stories by kpalakotak