Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Dari Kaca Mata Seorang Pemandu Teksi

 

 

     “Lima...empat...tiga...dua...satu...Selamat Tahun Baru 2222!!!!” Suara rakyat kota metropolitan Kuala Lumpur bergema kuat di Dataran Merdeka. Anak-anak muda melompat-lompat sakan mengikut rentak muzik rancak yang berkumandang. Lelaki dan perempuan berpeluk-peluk riang- entah apa ikatan yang menghalalkan perlakuan mereka itu agaknya? Di suatu sudut, beberapa orang remaja mabuk masih terus menonggang vodka dan wiski. Tidak kurang juga remaja-remaja yang berlari-lari di bahu jalan raya sambil merosakkan Tripod Teksiber 650, model teksi era baru yang tidak memerlukan pemandu- hanya masukkan syiling dan tetapkan destinasi. Itu semualah realiti yang sedang diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia di kaca televisyen mereka pada lewat tengah malam sambutan tahun baru 2222.

            Zaman menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia menekan butang ‘tutup’ pada alat kawalan jauh televisyennya. Dia mengeluh seketika. Malam tahun baru yang sepatutnya menjadi malam kita bermuhasabah diri, mengenang kembali kejayaan dan kesalahan di tahun lepas demi memperbaiki diri ke arah yang lebih baik, telah menjadi malam pesta anak-anak muda yang hanyut dibuai hedonisme, bisik hati Zaman yang kecewa. Malam yang sepatutnya menjadi saksi kesyukuran rakyat terhadap kehadiran tahun baru dengan limpahan kemewahan dan kesihatan telah disambut dengan vandalisme remaja sambil diiringi bingitnya siren kereta polis. Malam ini, memang malam untuk kita bergembira, tetapi tidaklah sehingga melampaui batasannya! Zaman meraup mukanya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Kota metropolitan ini adalah bandar yang keliru dan celaru.

            Zaman bangun dari sofa dan berjalan menuju ke meja komputer peribadinya. Dia menggeliat sedikit bagi menghilangkan rasa mengantuk sebelum duduk menghadap monitor komputer buatan Malaysia, model MSIA 543 yang  bertaraf antarabangsa itu. Komputernya sudah sedia terpasang. Zaman terus sahaja meng-klik dua kali pada ikon ‘sembangAsia’ yang membenarkan semua pengguna internet berhubung atau lebih tepat lagi bersembang secara maya. Seterusnya, Zaman dikehendaki menaip nama bilik sembang atau ‘chatroom’ yang ingin disertainya. Zaman berkira-kira seketika. Sudah pasti dia tidak mahu masuk ke bilik sembang #remaja ataupun #mudamalaysia kerana sudah pasti bilik sembang itu hanya akan dipenuhi dengan remaja-remaja yang suka mencarut dan mengutuk sesama sendiri. Malahan lebih canggih, akan ada remaja yang mengambil kesempatan menyebarkan virus-virus maha dashyat yang mampu menjahanamkan sistem rangkaian internet pengguna lain. Virus-virus ini boleh menghancurkan rangkaian internet satu negara ini sekalipun! Namun, Zaman tidak gusar dengan akan perkara itu kerana padanya, bumi yang kononnya merdeka ini sudah lama dijajah oleh virus yang lebih jijik iaitu virus yang bernama ‘mentaliti rakyat yang tidak berkembang’. Bagi Zaman, virus inilah yang sepatutnya dicari dan dibunuh kerana virus ini adalah punca kemusnahan budaya bangsa yang pernah diagung-agungkan dahulu! Virus inilah yang telah merobek nilai-nilai murni yang pernah tersemat di jiwa rakyat! Zaman memejamkan matanya memikirkan hakikat itu- geram.

            Jari-jemari Zaman pantas menaip #budaya. Bilik sembang ini mungkin bilik sembang yang paling kurang mendapat sambutan di dunia maya ini. Zaman pengunjung tetap bilik ini, dia lebih tahu. Setelah menunggu beberapa saat, sistem internet Zaman sudah dihubungkan ke bilik sembang tersebut. Zaman tersenyum sinis melihat bilangan pengunjung bilik itu. Tujuh orang? Tak mengapalah, banyak juga tu, lebih dari satu. Zaman berlawak di dalam hati. Zaman memberi salam kepada semua yang ada di dalam bilik sembang itu sebelum anak matanya menangkap nama samaran yang unik sekali- SITI^LAILA. Masih adakah perempuan yang bernama sebegini di abad ke dua puluh tiga?  Zaman tersenyum sendiri sambil tangannya meng-klik pada nama samaran itu. Dia pun memulakan perbualan.

 

ZAMAN^BARU: Salam sejahtera. Apa khabar saudari di sana?

SITI^LAILA: Khabar baik. Diharapkan saudara di sana pun sihat juga.

ZAMAN^BARU: Tak pergi ke Dataran Merdeka menyambut tahun baru?

SITI^LAILA: Tak, saya tak suka suasana sesak di sana. Lagipun, sebagai perempuan, saya rasakan keselamatan saya di sana tidak terjamin. Tambah-tambah tengah malam ni. Baik saya duduk di rumah dan menyambut tahun baru bersama-sama keluarga saya.

ZAMAN^BARU: Baguslah kalau begitu. Sekurang-kurangnya lebih erat ikatan kekeluargaan awak. Ayah saya sedang memandu teksi sekarang ini. Ibu saya pula sudah enam tahun meninggal dunia. Saya anak tunggal.

SITI^LAILA: Oh, maafkan saya...tapi, betulkan saya di sini, ayah awak seorang pemandu teksi? Ada lagi pemandu teksi di Kuala Lumpur?

 

            Zaman tersenyum membaca pertanyaan ‘SITI^LAILA’ itu. Dia tidak janggal dengan soalan itu. Memang benar, pemandu teksi sudah lama pupus di kota ini sejak adanya Tripod Teksiber 650. Jari jemari Zaman pantas menaip balasan untuk soalan rakan sembangnya itu.

 

ZAMAN^BARU: Memang tak ada lagi pemandu teksi di KL kecuali ayah saya seorang. Awak pernah dengar buku ‘Dari Kaca Mata Seorang Pemandu Teksi’?

SITI^LAILA: ‘Pernah dengar’? Awak bergurau? Saya pernah baca dan kaji novel tu dan saya amat meminati karya yang amat bagus tu.

ZAMAN^BARU: Ayah saya ialah penulis buku itu.

SITI^LAILA: Jadi, ayah awaklah Tuan Haji Ismail Salleh, pesara guru yang bijaksana dan berani itu?

ZAMAN^BARU: Ya. Berapa umur awak dan siapa nama awak yang sebenar?

SITI^LAILA: Nama saya memang Siti Laila dan saya berumur lapan belas tahun. Kenapa dengan umur saya?

ZAMAN^BARU: Tak adalah. Saya sebenarnya hairan orang semuda awak meminati karya yang tidak dipandang sebelah mata pun oleh orang yang lebih matang dari awak. Rakyat Malaysia meminggir dan menyisihkan karya ayah saya itu hanya kerana realiti yang cuba disentuh dan ditulis oleh beliau. Mereka menganggap segala jenis kebobrokan sahsiah yang dinyatakan di dalam karya ayah saya adalah satu bentuk penghinaan walhal ayah saya sekadar mahu menegur dan menyeru rakyat kita agar mencari punca kepada kejatuhan nilai-nilai murni di kalangan rakyat kita. Itu sahaja. Ayah saya bukan seorang reformis, mahupun ekstrimis sepertimana yang diuar-uarkan akhbar-akhbar korup tempatan.

SITI^LAILA: Saya faham perasaan awak. Saya selaku peminat karya ayah awak sememangnya bersetuju dengan setiap apa yang ditulis oleh beliau. Pada saya, tiada lain yang cuba disampaikan oleh beliau selain kejujuran dan keihklasannya yang ingin memperbetul kesilapan demi kesilapan yang sedang terjadi di kalangan rakyat kita. Lihat sajalah teguran ayah awak mengenai bilangan pusat serenti dan rumah orang-orang tua yang lebih banyak dibina berbanding pusat riadah dan pusat kegiatan masyarakat. Ini jelas menunjukkan situasi moral rakyat kita yang semakin menurun.

 

            Membaca penerangan Siti Laila tadi mengingatkan Zaman tentang cerita ayahnya yang mengisahkan bahawa kerani di Jabatan Statistik Negara telah naik bosan melihat wajah ayahnya yang sering membuat kajian di situ. Zaman faham akan maksud perbandingan yang cuba ditunjukkan oleh ayahnya. Pertambahan bilangan pusat serenti menunjukkan betapa penyalahgunaan dadah kini semakin berleluasa di kalangan rakyat. Ke manakah perginya kempen hebat kerajaan suatu masa dahulu menyatakan bahawa dadah itu musuh utama negara? Kini, dadah menjadi santapan harian anak-anak remaja. Kalau semua remaja lemah lentok dikuasai dadah, siapa yang akan mewarisi pucuk pimpinan masa hadapan? Berkenaan rumah orang tua yang semakin bertambah pula, situasi ini jelas menunjukkan betapa ceteknya kasih sayang yang tertanam di dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh ibu bapa tidak lagi dihargai. Anak-anak langsung tidak mahu membalas jasa mereka. Zaman menitipkan doa agar dia tidak akan sama sekali melakukan sedemikian terhadap ayahnya. Eh, dah lama aku termenung ni, Zaman tersedar dari angannya. Pasti Siti Laila sedang menanti balasan daripadanya.

 

ZAMAN^BARU: Ya, saya setuju dengan Siti Laila. Sepatutnya, pusat riadah dan pusat kegiatan masyarakatlah yang banyak dibina agar ibu bapa dapat membawa anak-anak mereka ke sana untuk berhibur sambil mengeratkan hubungan kekeluargaan. Selain itu, semangat bermasyarakat yang semakin pupus di kalangan rakyat juga dapat disemai.

SITI^LAILA: Betul tu. Zaman, boleh saya tanya satu soalan berkenaan karya ayah awak tu?

ZAMAN^BARU: Ya, silakan. Kalau saya tahu jawapannya, saya akan cuba jawab persoalan awak tu.

SITI^LAILA: Saya tidak faham akan penerangan dan falsafah ayah awak di bab 7 iaitu ‘Kurangnya Pendekatan Kemanusiaan di Sekolah Punca Kepincangan Sistem Pendidikan’.

ZAMAN^BARU: Oh, berkenaan bab itu. Awak pasti tahu yang ayah saya ialah di antara guru yang menentang pemansuhan khidmat guru sebagai penyampai di sekolah dan digantikan dengan robot Tripod TEACH953, bukan?

SITI^LAILA: Ya, saya tahu akan hal itu, tapi apa kaitannya dengan isu ‘pendekatan kemanusiaan’?

ZAMAN^BARU: Dahulu, ketika khidmat guru masih digunakan pada tahun 2215, memanglah kebanyakan pelajar sudah tidak menghormati guru sehingga sanggup menyaman dan mencederakan guru. Namun, pada hemat ayah saya, khidmat guru tidak sepatutnya terus dimansuh dan digantikan dengan robot yang tidak berperasaan. Guru bukan sekadar penyampai, guru ialah pendidik. Hanya manusia yang mampu mengajar erti hidup kepada manusia yang lain dan dalam konteks pendidikan, manusia yang bertanggungjawab menerapkan nilai-nilai murni kepada pelajar ialah para guru. Tindakan kerajaan yang menghentikan khidmat guru yang konon-kononnya atas alasan keselamatan, hanyalah tindakan melarikan diri semata-mata. Kita tidak boleh melarikan diri dari masalah, sebaliknya, masalah itu perlu diselesaikan. Robot yang tidak berperasaan ini hanya boleh menjadi penyampai, bukan pengajar dan sudah pasti tiada pendekatan emosi dan rohani yang dapat dijana oleh robot-robot ini. Lihatlah kesannya kini, selepas tujuh tahun, kegiatan gengsterisme di sekolah tidak terubat lukanya, malahan semakin berdarah. Keputusan akademik pula semakin menurun. Mampukah robot-robot tripod ini menyedarkan dan menanam semangat ingin belajar dan ingin tahu di kalangan para pelajar kita? Tidak sama sekali!

SITI^LAILA: Oh, begitu rupanya, barulah saya faham maksud ‘pendekatan kemanusiaan’ yang diutarakan oleh ayah awak tu. Buat pengetahuan awak, saya tak ke sekolah biasa. Ayah dan ibu saya yang mendidik saya di rumah. Mereka adalah antara guru-guru yang dipecat tujuh tahun lepas. Sekarang ini, mereka berdua mengusahakan pusat tuisyen sendiri. Walaupun sambutan tidaklah menggalakkan, namun ayah dan ibu saya gembira kerana masih ada ibu bapa dan pelajar yang menyedari kepincangan sistem pendidikan kita, hasil tulisan ayah awak. Saya bersyukur kerana berkat didikan ayah dan ibu, saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Objektif Malaysia (peperiksaan berformat soalan objektif kerana tiada tenaga manusia untuk menyemak kertas subjektif) dan akan ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Psikologi.

ZAMAN^BARU: Tahniah dan selepas ini kita akan kerap bertemulah kerana saya juga sedang menuntut dalam tahun ketiga di UIAM dalam bidang Sosiologi dan Antropologi. Saya memilih bidang ini kerana selepas tamat belajar, saya ingin meneruskan perjuangan ayah saya. Ayah saya seorang lelaki yang tebal patriotismenya- satu ciri yang jarang ditemui dalam jiwa rakyat masa kini. Dia sebenarnya tidak perlu memandu teksi kerana wang pencennya sudah mencukupi untuk menanggung hidup kami dua beranak. Namun, melalui dunia teksinya itulah dia memerhatikan sikap rakyat kita yang semakin daif. Kerana patriotisme jugalah beliau menulis buku dan cuba menegur rakyat supaya berubah agar suatu masa nanti kita tidak akan menjadi sepertimana tamadun-tamadun dahulukala seperti tamadun Mesopotamia dan Uthmaniah yang hancur dek kerana kelalaian pemimpin dan kelekaan rakyatnya sendiri.

SITI^LAILA: Benar apa yang cuba disampaikan oleh ayah awak. Oh ya, saya ada hal penting yang hendak diuruskan berkenaan kemasukan saya ke UIAM. Saya gembira dapat berkenalan dan berbincang pelbagai perkara dengan awak. Sampaikan salam saya kepada ayah awak. Kalau ada apa-apa hal, emel sahaja saya di siti_laila@msiamail.com . Semoga bertemu lagi!

 

            Zaman tersenyum puas sambil mematah-matahkan jari-jemarinya yang kelenguhan.  Dia merasa seronok dapat berbincang dan berkongsi pendapat tentang isu ini dengan seseorang yang memahami matlamat perjuangan ayahnya. Pada sangkaannya, tidak mungkin ada remaja yang ingin memikirkan isu-isu serius seperti itu tadi sebagaimana apa yang disembangkan oleh Siti Laila. Dia berharap agar Siti Laila akan tetap teguh dengan pendiriannya sekarang ini.

            Tiba-tiba Zaman merasa dahaga. Anak tekaknya kering. Entah mengapa dia teringin sekali minum teh susu dalam tin yang dijual di kedai dua puluh empat jam yang bertentangan dengan rumahnya. Zaman segera keluar dari rumah, mengunci pintu dan mengaktifkan penggera keselamatan. Kalau dahulu di abad ke dua puluh satu, kempen kerajaan ialah ‘Satu Rumah, Satu Komputer’, kini kempen ‘Satu Rumah, Satu Penggera Keselamatan’ pula yang dilancarkan. Zaman tergelak kecil mengenangkan hakikat ini. Zaman memandang ke kiri dan kanan sebelum melintas jalan. Pemandu-pemandu yang berkereta canggih pasti tidak akan memandu mengikut had laju yang telah ditetapkan, malahan pelintas jalan pun tidak diendahkan. Oleh sebab itulah kadar kemalangan jalan raya di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia. Ketika sedang melintas jalan, anak mata Zaman tidak dapat mengelak dari memandang beberapa remaja lelaki dan wanita yang berpakaian ketat dan singkat. Alasan tipikal mereka, “Panaslah!”

            Zaman tidak pernah menafikan, pembangunan yang terlalu pesat di kota Kuala Lumpur ini telah menyebabkan ekologinya tidak seimbang. Manakan tidak, hendak mencari sebatang pokok pun bagaikan mencari jarum di dalam jerami. Sudah tidak ada lagi istilah pinggir bandar di sini kerana pinggir bandar pun sudah tidak diketahui mana pinggirnya. Yang ada hanyalah bangunan-bangunan besi, kaca dan batu bata yang tinggi mencakar langit mendung, gelap pekat akibat pencemaran udara. Akibat kerakusan manusia mengejar pembangunan, bumi yang dahulunya indah menjadi mangsa keadaan. Flora dan fauna kehilangan habitat. Kesannya, dirasai oleh manusia sendiri. Kesan rumah hijau dapat dirasakan dengan ketara apabila suhu bumi meningkat sehingga empat puluh lima darjah celcius hatta di waktu malam sekalipun. Namun, bagi Zaman, walau sepanas mana pun dunia ini, matlamat tetap tidak menghalalkan cara. Adab dan tatasusila dalam berpakaian perlulah dijaga. Pihak kerajaan juga perlulah mengambil tindakan. Mana tahu, melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D), fabrik bermutu tinggi yang kurang menyerap haba dapat dihasilkan. Maka tak perlulah mata ini ‘panas’ menyaksikan aksi-aksi terdedah remaja kita, bisik hati kecil Zaman.

            Setelah membayar harga teh susu dalam tinnya itu, Zaman duduk menikmati minuman kegemarannya di kerusi panjang yang disediakan di hadapan kedai itu. Sedang Zaman sedang asyik memerhatikan beberapa kenderaan tanpa tayar yang menggunakan aplikasi konsep Bernoulli- kelajuan maksima menghasilkan daya apungan- yang laju menyusur di atas jalan raya di hadapannya, tiba-tiba telefon bimbit model HPMSIA 326-nya berdering. Siapa pula yang menelefon aku pukul tiga pagi ni? Zaman kehairanan. Dia berdiri untuk mengeluarkan telefon bimbit dari poket kanan seluarnya.

            “Hello, siapa di sana?” Zaman bertanya sebaik sahaja menekan butang ‘jawab’.

            “Ini Khairul Zaman bin Ismail Salleh?” Terdengar suara seorang wanita di hujung talian.

            “Ya, saya. Boleh saya tahu siapa di sana dan ada apa halnya?” Zaman masih lagi kehairanan.

            “Saya Amirah, jururawat di Hospital Besar Kuala Lumpur. Ayah awak, Ismail Salleh telah dibunuh oleh sekumpulan perompak di Jalan Mahameru semalam. Awak boleh tuntut mayat ayah awak pada pukul lapan pagi esok,” tanpa kata-kata semangat dan pujukan, seolah-olah apa yang terjadi hanyalah perkara biasa, jururawat itu terus memutuskan talian.

            Zaman terpana. Tin minuman yang berada di genggaman tangan kirinya terhempas ke atas simen koridor. Air mata mula membasahi pipi. Adakah ini balasan yang diterima ayah di atas perjuangannya selama ini? Kesedihan Zaman tidak lama kerana dia tahu pasti ayahnya tidak mahu dia bersedih atau menangis atas setiap musibah yang berlaku. ‘Tangisan dan penyesalan tidak akan mengubah apa-apa kenyataan yang mengecewakan, sebaliknya, teruskan perjuangan demi mencapai kenyataan yang menggembirakan’. Kata-kata ayahnya terus diulang-ulang di fikirannya. Zaman terus berlari menuju ke rumahnya. Ada sesuatu yang ingin dilakukannya.

 

Penghantar: zaman_baru@budayamail.com

Penerima: siti_laila@msiamail.com

Subjek: Berita kematian ayah saya.

 

            Ke hadapan Siti Laila, di sini saya ingin menyampaikan berita yang ayah saya telah meninggal dunia pagi tadi kerana dibunuh oleh sekumpulan perompak. Saya tidak bersedih, tetapi sebaliknya berbangga kerana saya tahu beliau pergi dalam kehormatan- jika bukan dari rakyat, tetapi dari saya, anaknya sendiri. Segala pahit manis perjuangannya akan terus saya ingati dan dengan izin Tuhan, akan saya teruskan. Pada pukul lapan pagi esok, saya akan pergi menuntut jenazah ayah saya di Hospital Besar Kuala Lumpur. Saya akan menanti awak di perhentian bas Jalan Tunku Abdul Rahman jika anda ingin mengikut saya ke hospital dan memberi penghormatan terakhir kepada penulis buku ‘Dari Kaca Mata Seorang Pemandu Teksi’ yang amat awak kagumi ini.

 

Zaman.

 

            Zaman mengesat air matanya. Di fikirannya masih terbayang wajah manis dan tenang ayahnya. Di telinganya masih terngiang-ngiang nasihat ayahnya yang meneyuruhnya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Tidak sampai pun lima minit, emelnya berbalas.

 

Penghantar: siti_laila@msiamail.com

Penerima: zaman_baru@budayamail.com

Subjek: Takziah.

 

            Ke hadapan Zaman, saya bersimpati dengan berita kematian ayah awak. Di sini, saya inign menyatakan persetujuan saya untuk menemani anda ke hospital esok. Saya akan memegang sekuntum bunga mawar putih lambang kesucian perjuangan ayah awak dan untuk memudahkan awak mengenali saya.

 

Siti Laila.

 

            Zaman sudah dua minit menanti Siti Laila di perhentian bas Jalan Tunku Abdul Rahman. Sebenarnya, Zaman tidaklah sekuat yang disangkakan. Kehadiran Siti Laila diperlukannya demi memberi kekuatan dan ketabahan kepadanya apabila berdepan dengan jenazah ayahnya di hospital nanti. Pagi semakin panas. Hati Zaman turut ‘panas’ mengenangkan peristiwa pembunuhan ayahnya. Kepalanya pula pening mendengar hon-hon kereta yang sedang kesesakan. Namun, tiba-tiba segala kecelaruan dan kekeliruan dunia hilang lenyap apabila Zaman terpandang seorang perempuan ayu bertudung, berbaju kurung putih, yang sedang memegang sekuntum mawar putih dan tersenyum padanya. Hatinya kesejukan.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Satira

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) weh, macam patut ko sambung je lagi. besh ni
  • 2) Ok

  • (Penulis)
    3) cerpen ni aku tulis waktu lepas SPM
    huhu.. aku bc balik mcm muda remaja sgt pandangan aku ttg dunia
    hahaha~
  • 4) tak 'ah, pandangan ini jauh sebenarnya
  • 5) sambung sambung~

  • (Penulis)
    6) hahaha
    orang lain pulak la yang sambung
  • 7) ape ending citer nie?
    xsabar nak tau...

Cerpen-cerpen lain nukilan Ancalime

Read all stories by Ancalime