Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Kun Fayakun

 

Firah menyambut ketibaan aku ke rumahnya malam itu dengan senyuman lebar. Kata Firah, aku orang pertama yang datang melawat dia sejak dia melahirkan anaknya. Aku masuk ke dalam rumah dan terus saja duduk di kerusi rotan yang terletak di ruang tamunya. Aku suka bau di rumah Firah sekarang. Bau bedak bayi melata memenuhi ruang rumah ini. Firah meminta diri untuk ke biliknya seketika – mahu mengambil Zafran Zamani. Sedap nama anaknya. Sempat juga Firah menjerit pada adiknya yang ada di dapur supaya menyediakan minuman untuk aku.

Aku memandang ke sekeliling rumah. Dah lama juga aku tak datang ke rumah ibu bapa Firah ini, sejak sekolah rendah lagi. Bukan apa, semenjak keluargaku berpindah ke Kuala Lumpur, terbatas saja masa dan rezeki untuk aku kembali ke negeri Perak ini. Tapi Firah dan aku tak terputus hubungan. Masih lagi setia dengan SMS, dan kadang-kadang berbalas emel. Selalu saja aku mendapat khabar-khabar terbaru tentang kawan-kawan kami yang lain dari Firah. Kawan baik, larilah jauh mana, pasti terkenang juga. Sebab itulah alang-alang aku dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Penang ini, aku singgah ke negeri Perak untuk pergi melawat Firah. Tambah-tambah selepas mengetahui berita kelahiran Zafran.

Firah sampai dulu ke ruang tamu sebelum adiknya. Zafran masih lena dalam dukungannya. Aku tersenyum melihat susuk tubuh kecil itu.

“Kau nak dukung dia?” Firah bertanya kepada aku. Aku menggeleng-gelengkan kepala aku. Aku tahu badan bayi baru lahir ini sangat lembut, dan aku yang sangat-sangat kurang pengalaman bersama bayi memang tidak yakin mahu mendukung mereka. Risau aku kalau terjadi apa-apa. Firah tersenyum padaku dan terus membaringkan Zafran di atas toto kecil khas untuk bayi. Riak wajahku berubah sedikit bila menatap wajah Zafran.

“Sumbing. Aku pun terkejut juga bila doktor bagitahu sebaik saja lepas dia keluar. Tapi nak buat macam mana, kun fayakun,” Firah tersenyum sambil membelai pipi anaknya itu. Aku malu sendiri kerana Firah perasan akan reaksi wajahku tadi.

“Tak apa, Firah. Bukannya tak boleh betul sumbing macam ni. Jantung terkeluar pun doktor boleh masukkan balik, kan?” Aku terus sahaja memegang jari jemari kecil Zafran. Zafran yang sedang tidur itu seolah-olah dapat merasakan sentuhanku dan terus tangan kananya menggenggam jari telunjukku. Aku ketawa kecil. Tersentuh naluri kebapaan, mungkin?

“Jalan nak masuk ke sini, macam tak membangun lagi saja. Gelap. Tak ada lampu jalan. Sudahlah kiri kanan hutan. Kecut juga perut aku tadi. Terfikir jugalah yang bukan-bukan.” Firah tergelak mendengar kata-kata aku. Katanya, YB dah bertukar ganti, tapi sama saja keadaan di kawasan ni. Penduduk kampung dah malas nak mengadu. Tak jalan! Aku mengangguk saja mendengar penjelasan Firah.

“Kau tahu aku pernah kena rasuk waktu form 5 dulu?” Tiba-tiba wajah Firah bertukar serius. Aduh, Firah yang dari sekolah rendah dulu memang suka bercerita kisah-ksiah seram ini dah mula dah.

“Kau ni, ada juga yang tidur rumah kau malam ni,” aku menutup telinga buat-buat tak mahu mendengar cerita Firah. Firah tergelak sambil menarik-narik tanganku, memaksa aku mendengar juga ceritanya. Perangai Firah ni, macam tak sedar dia tu dah jadi mak orang. Yalah, ibu muda katakan. Aku bukannya seorang yang penakut, cuma, memikirkan memandu balik seorang diri melalui semula jalan masuk yang sunyi suram tadi, berfikir dua kali juga aku mahu mendengar cerita Firah. Firah mencebikkan mukanya. Aku mengalah. Kau ni pun kenapalah tidur sekarang ni Zafran. Kalau kau terjaga, boleh bermain dengan aku dan adalah alasan aku tak nak dengar cerita angker mak kau ni.

Firah berdehem sebagai tanda mahu memulakan ceritanya. Wajahnya sengaja dibuat serius. Nak menambahkan lagi efek seramlah tu!

“Macam ni, kau kan tahu hantu-hantu ni bermusim. Jadi, waktu kita tingkatan lima dulu, orang semua mula cakap, musim hantu dah mula. Kami yang tinggal di asrama waktu tu, lagilah kecoh. Semua pakat letak Yassin bawah bantal. Takut.” Aku sekadar mengangguk mendengar permulaan cerita Firah. Jari-jemari Zafran masih kejap memegang jari telunjuk aku. Mata dan telingaku memberikan sepenuh perhatian kepada Firah dan ceritanya.

“Aku pernah lah dengar cerita pasal ada senior yang pernah kena rasuk dua tahun sebelum tu. Si Laila tu. Ingat tak? Sekolah rendah sama-sama dengan kita juga dulu,” Firah menjuihkan bibirnya saat cuba mengingatkan aku pada Laila. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Memang aku serius tak ingat. Dah lapan tahun sekolah rendah aku tinggalkan. Firah mengalah dalam cubaannya untuk mengembalikan memori aku.

“Kau ni, gigih sangat. Penting sangat ke aku tahu pasal Laila? Sambung cepat cerita kau!” Desakan aku menyebabkan Firah ketawa sebelum dia berdecit seketika. Perutnya sakit. Dia beranak secara pembedahan, bukan cara semula jadi.

“Ok, ok. Bila aku dengar pasal Laila tu, aku buat tak tahu sajalah. Kau tahulah, aku kan berani. Yakin dengan diri sendiri. Mana aku nak percaya benda-benda tahyul macam ni,” Firah memandang ke atas seolah-olah sedang mengingati dirinya yang dahulu. Waktu zaman sekolah rendah, memang Firah ini pantang kalau bab-bab seram. Dialah yang mempengaruhi aku untuk bermain spirit of the coin. Nasib baiklah tak jadi! Firah pun pantang dicabar. Pernah budak-budak lelaki lain cabar dia masuk ke dalam sebuah rumah tinggal lepas balik mengaji, selamba saja di masuk ke dalam rumah itu. Siap buat-buat menjerit minta tolong. Macam pelesit budak-budak yang mencabar dia lari dari rumah tu. Tapi aku tunggu juga dia, sebab suara Firah sama saja. Ayah aku pernah cakap waktu kecil dulu, suara orang kena rasuk lain, keras sikit. Sejak dari hari tu lah aku makin rapat dengan Firah. Kata Firah, aku kawan sejati.

“Nak dijadikan cerita, satu malam ni, kami semua pelajar perempuan tengah belajar dalam bilik study. Stay up. Esok ada ujian. Tengah belajar tu, tiba-tiba, lampu bilik tu terpadam. Yang dalam kepala otak pikir bukan-bukan tu, dah mula menjerit-jerit. Aku pun ikut menjerit, menjerit suruh mereka semua diam. Aku terus turun, pergi bilik elektrik bawah tu. Kunci. Aku pun panjat, bukak balik suis bilik tu. Naik saja, aku suruh semua duduk study balik. Muka satu-satu pucat. Ada yang balik bilik terus, bagi alasan dah mengantuk. Aku gelakkan saja. Jerit-jerit panggil mereka tu pengecut,” Firah menggeleng-gelengkan kepalanya saat mengingatkan perangainya waktu itu. Sama saja Firah ni dulu dan sekarang. Selepas saja peristiwa rumah tinggal tu, memang teballah muka budak-budak lelaki yang lari lepas Firah menjerit minta tolong, kena kutuk dengan Firah setiap hari. Pengecutlah, dayuslah, macam-macam Firah panggil mereka. Nasib baik aku tak lari waktu tu. Firah terus menyambung ceritanya.

“Lepas sepuluh minit kami belajar balik, tiba-tiba, lampu terpadam sekali lagi. Hati aku dah panas. Sempat juga aku menyumpah dalam hati, celaka ’benda’ ni. Nak main-main pula. Aku waktu tu dah fikir nak turun sekali lagi ke bawah, buka balik suis utama tu, tapi kawan baik aku halang. Dia paksa aku masuk tidur. Dia ingatkan aku pasal musim hantu tu. Aku pun malas nak banyak cerita. Walaupun tak puas hati, aku turutkan saja permintaan dia naik ke bilik. Sampai-sampai saja aku ke bilik, aku tengok, budak-budak bilik aku dah rapat-rapatkan semua katil. Nak tidur berhimpit-himpit. Aku pun malas nak bising-bising. Aku pergi ke bilik air dulu, cuci muka.” Aduh, bab-bab bilik air yang aku tak suka ni. Selalunya, di situlah cerita-cerita seram macam ni nak ambil port.

“Isk, kau janganlah cuak lagi, Is. Tak sampai lagi part angkernya. Aku kenalah cuci muka dulu, sekurang-kurangnya waktu sampai klimaks, muka aku masih kelihatan menawan!” Sempat lagi Firah bergurau bila melihat wajah aku mula menunjukkan riak takut. Aku hanya ketawa, cuba menyembunyikan ketakutan. Padahal jantung aku waktu tu, berdegup macam baru lepas lari pecut seratus meter.

“Lepas aku balik dari cuci muka, budak-budak bilik aku semua dah cop tempat atas katil. Yang paling penakut, memang cop tengahlah. Konon-konon kedudukan paling selamat. Aku pun redha saja baring paling tepi sekali. Lagipun, aku kan tak fikir sangat hal-hal ni. Yang aku fikir waktu tu, risau esok nak ujian. Waktu aku baring-baring tu, sempat lagi berniat, kalau aku fail ujian esok, aku cari hantu tu, aku hempuk-hempuk muka buruk dia ke dinding sebab kacau aku study tadi.” Aku ketawa lagi mendengar cerita Firah.

“Kau ni nak cerita hantu ke, cerita Pak Pandir?” Aku mencebikkan bibir saat cerita Firah aku rasakan semakin meleret.

“E’eh mamat ni, emo pulak. Dah nak sampai dah klimaks-nya. Ok, ok, aku sambung. Waktu kami semua tengah baring-baring tu, dengan ada yang berpeluk-peluk tu, tiba-tiba, pintu bilik kami terbuka, tertutup, terbuka, tertutup, kuat pula tu bunyi pintu tu. Macam kena tiup dengan angin ribut. Ada budak-budak yang dah menjerit-jerit. Aku sebagai ketua bilik, apa lagi, menjerit lah suruh mereka diam. Entah-entah memang angin, nak kecoh pula. Aku pun bangun, pergi ke pintu, kunci pintu tu,” Wajah Firah berubah lebih serius. Aku dah dapat teka, cerita sebenar bakal muncul. Aku harap-harap, hujung cerita Firah ni bukan satu jenaka. Kalau tak, memang aku sepak juga dia. Tak kisahlah dia ada anak ke tak.

“Lepas aku kunci pintu tu, aku pun baring balik di penghujung katil tu. Semua orang dah bertenang sikit. Dangkal sangat tadi nak menjerit-jerit, padahal, ada penyelesaian - kunci sajalah pintu tu. Berlagak sangat aku waktu tu memperkecilkan budak-budak tu. Tanpa sangkaan semua orang, tiba-tiba, pintu bilik kami terbuka dan tertutup sekali lagi. Kali ini, terhempas lagi kuat. Macam digoncang-goncang. Waktu tu, perut aku dah kecut. Hilang terus rasa berani dalam diri aku tu. Aku benar-benar yakin yang aku dah kunci pintu tu betul-betul. Tapi…”

“Kak, air,” Sapaan adik Firah yang secara tiba-tiba menyebabkan aku tersentak. Aduh, merah muka aku menahan malu. Tengah asyik mendengar cerita Firah, memang rasa nak luruh jantung aku bila adik Firah datang mendulang jag teh ais dan cawan. Aku mengurut dada seketika. Nasib baiklah Firah tak sedar reaksi aku waktu terkejut tadi - dia sibuk berleter pada adiknya bertanya kenapa lambat hantar air.

Selepas membasahkan tekaknya, Firah menyambung ceritanya. Aku sudah mula berfikir dua kali samada mahu terus mendengar ceritanya atau tidak. Perasaan seram sejuk sudah mula melanda diri aku. Tapi apakan daya, dah separuh jalan. Nanti kena panggil pengecut pula oleh Firah.

“Itulah, aku dah kunci pintu, tapi boleh pula terbuka, tertutup lagi. Waktu tu, budak-budak lain dah tak menjerit. Semua berpeluk kuat-kuat. Ada yang aku dengar dah teresak-esak menangis. Aku waktu tu cuba tenangkan diri aku sendiri. Terkumat-kamit juga mulut aku baca ayat Kursi. Berterabur jugalah bacaan. Takut punya pasal,” Firah menggeleng-gelengkan kepalanya mengingatkan apa yang terjadi waktu itu. Kalau aku di tempat Firah waktu tu, aku pun tak tahu samada aku boleh teringat untuk baca apa-apa yang patut. Yalah, waktu tu, mesti fikir takut saja. Entah-entah, aku terus saja lari keluar dari bilik tu.

“Keadaan jadi senyap tiba-tiba. Tak dengar dah bunyi pintu terhempas. Waktu tu, aku dah lega. Aku betul-betul berharap yang aku memang tak kunci pintu betul-betul waktu tu. Baru saja aku nak bangun dengan niat nak kunci semula pintu, tiba-tiba aku dengar bunyi tapak kaki masuk ke dalam bilik kami. Aku matikan niat aku. Waktu tu, kecut perut aku, Tuhan saja yang tahu. Siapa pula yang nak masuk bilik kami malam-malam sebegini. Tak pernah lagi warden buat spot-check malam-malam,” Wajah Firah semakin tegang. Saat itu, aku sudah membayangkan yang bukan-bukan dalam kepala otak aku. Membayangkan, rupa paras ‘benda’ yang berjalan masuk dalam bilik Firah itu.

“Aku pejam mata aku kejap-kejap. Tak sanggup nak buka mata. Kepala otak aku dah fikir bukan-bukan, tapi aku cuba buang jauh-jauh imaginasi aku. Mulut aku terkumat-kamit baca macam-macam. Niat solat pun boleh keluar. Suara aku bergetar. Badan aku, dah macam kena henjut. Aku dengar bunyi tapak kaki tu mengelilingi katil kami yang disusun rapat-rapat tu. Ada budak perempuan yang dah makin kuat esak tangis. Aku rasa waktu tu, kami semua macam kambing waktu hari raya, tengah kena perhati dengan tuannya, mana satu yang nak kena sembelih. Bunyi tapak kaki tu makin kuat. Maksudnya, ‘benda’ tu makin dekat dengan aku. Waktu tu, kaki aku terasa berat sangat. Aku macam dah tak mampu nak buat apa-apa,” Firah berhenti bercerita dan meneguk airnya. Aku pula menelan air liur. Cerita makin saspen.

“Apa yang aku tahu, sebelum aku meracau-racau malam tu, aku sempat cakap pada kawan di sebelah aku…. ‘Aku dah kena!’” Sebaik saja mendengar kata-kata terakhir dari Firah, bulu roma di leherku menegak serta-merta. Sejuk telapak tangan aku. Mata aku membulat. Firah hanya tersenyum melihat reaksi aku.

“Apa jadi lepas tu?”

“Haru-birulah dalam bilik tu bila aku mula histeria. Budak-budak tu semua berlari keluar dari bilik. Menjerit-jerit minta tolong, ‘Firah dah kena, Firah dah kena!’. Waktu tu juga, warden kami terus telefon Ustaz Azmi suruh datang ke asrama perempuan. Kecoh satu asrama, sampai budak lelaki pun tahu,” wajah Firah seperti menahan malu mengenangkan apa yang terjadi. Mungkin, dia sendiri pun tak menyangka, dia yang paling berani, tapi akhirnya dia yang dirasuk.

“Apa yang terjadi pada kau sebenarnya waktu kau dirasuk tu?” Aku seolah-olah membuat kajian paranormal pula. Yalah, pertama kali berdepan dengan mangsa rasuk, mahu juga aku tahu pengalaman mereka.

“Entahlah, aku tak boleh nak cakap sangat. Apa yang aku ingat, waktu aku dirasuk tu, aku seolah-olah macam dalam satu dunia lain. Keliling aku semua putih. Tak ada benda lain dalam dunia tu. Tapi, waktu tu, aku terasa macam aku dikejar. Dikejar oleh sesuatu yang nak mengapa-apakan aku. Apa yang aku boleh buat waktu tu hanyalah lari. Berlari, menangis dalam ketakutan. Takut ditangkap!” Firah menggerakkan tangannya, membuat gaya seperti mahu menangkap sesuatu di hadapannya. Bulu roma aku berdiri sekali lagi. Tak dapat aku bayangkan apa perasaan seseorang dalam keadaan yang digambarkan oleh Firah waktu tu.

“Mungkin sebab tu, dalam dunia nyatanya, aku menjerit-jerit, meracau-racau, berlari-lari. Kata kawan-kawan aku, di tingkat tiga tu, aku berlari ke hujung koridor dan semacam mahu melompat dari tingkat tiga tu. Yang lagi takutnya, arah aku berlari tu, betul-betul ke arah jirat Cina yang boleh nampak dari sekolah aku tu. Nasib baiklah kawan-kawan aku sempat tangkap aku sementara nak tunggu Ustaz Azmi sampai. Pandai syaitan ni, dia letak kita dalam keadaan takut ditangkap, bila aku dah dipegang kawan-kawan aku tu, pastilah aku sedaya upaya nak melepaskan diri. Kawan-kawan aku kata, kudrat aku waktu tu, memang bukan kudrat seorang perempuan. Kuat! Berbelas-belas orang budak perempuan pegang aku waktu tu,” Firah tertawa sendiri. Sempat lagi dia merasa lucu bercerita tentang peristiwa seram seperti itu.

“Akhirnya macam mana?”

“Akhirnya macam biasalah. Ustaz Azmi datang, suruh budak-budak laki pegang aku dan ikut baca ayat Kursi dengan dia depan segelas air kosong. Dia pun adalah baca mantera-mantera dia yang lain agaknya. Lepas tu, renjis ke muka aku air tu. Aku pengsan dulu. Semalaman lepas tu baru aku terjaga. Dah elok. Tapi peningnya, penatnya waktu tu, hanya Tuhan yang tahu. Yalah, otak nak menyesuaikan diri perpindahan dari dua dunia yang berbeza mungkin,” Firah melemparkan pandangan ke pintu rumahnya yang terbuka saat mengungkapkan pengakhiran kisah seramnya. Aku sekadar mengangguk. Tak tahu apa yang patut aku komen pada ceritanya. Tapi apa yang aku tahu, memang Firah buat aku berfikir dua kali jika mahu balik ke Kuala Lumpur malam ini juga.

“Kau nak tahu apa yang lucunya?” Ah, mesti nak terselit juga kisah lucu si Firah ni.

“Apa dia?”

“Salah seorang budak laki yang pegang aku malam tu, si Zamil-lah!” Pecah perut aku ketawa selepas Firah memberitahu aku perkara tersebut. Ironi sangat kerana Zamil-lah orang pertama yang lari dari rumah tinggal malam selepas kami mengaji itu. Zamil jugalah orang yang palik teruk dihina oleh Firah selepas malam peristiwa itu. Tapi akhirnya, Zamil jugalah yang membantu Firah di malam dia dirasuk. Tiba-tiba, wajah Firah bertukar suram.

“Kalau difikirkan balik, baik budak-budak tu tak payah tangkap aku waktu aku nak terjun dari tingkat tiga tu. Biar saja aku terjun. Kalau aku mati, tak adalah jadi macam ni, sekarang,” bergenang air mata Firah saat dia mengungkapkan luahan hatinya kepada aku. Dia mengusap-usap pipi Zafran. Di wajah Firah, penuh dengan kesayuan. Aku hanya mampu memegang bahu Firah, cuba menenangkannya.

“Sabarlah Firah, kun fayakun.”

Malam itu, aku pulang ke Kuala Lumpur bukan dengan rasa takut, mahupun resah melalui jalan sunyi yang kanan kirinya hutan, tapi kotak hatiku sayu memikirkan apa yang bakal terjadi kepada kawan baikku, Firah dan anaknya, Zafran. Menjadi ibu tunggal dengan anak hasil hubungan luar nikah bukan sesuatu yang biasa di negara kita. Sempat aku menitipkan kata-kata semangat kepada Firah supaya menjadi kuat menghadapi kehidupannya. Syukurlah keluarga Firah masih mampu menerima Firah yang sekeras-kerasnya tidak mahu berkahwin dengan lelaki yang telah merosakkan hidupnya, atas alasan lelaki itu memang tidak berguna. Lagi gelap masa depannya seandainya dia berkahwin dengan lelaki itu. Aku akan tetap menyokong apa saja keputusan yang kau rasakan terbaik untuk dirimu, Firah. Aku tahu, kau seorang yang berani. Amin.

 

 

 

(Diolah dan digarap dari sebuah kisah benar)

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Saspens

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) Tolak tepi yang kecil2, satu karya yang sangat baik dan memuaskan. Pelbagai elemen bercampur dengan sebati dan baik,saya melihatnya sebagai satu tahap yang tinggi.Semakin banyak membaca karya anda semakin memahami 'struktur pemikiran' anda. Sesuatu yang berbeza, yang perlu dipelajari oleh saya yang baru belajar menulis ni. Terimakasih kerana sudi berkongsi karya anda. (maaf kalau tak faham apa saya tulis).
    Saya hanya beri 4 bintang sebab saya sentiasa mahu orang lain tidak berhenti mencari penambahbaikkan, sepatutnya 4.5 bintang untuk karya ini.
  • 2) "Katanya, YB dah bertukar ganti, tapi sama saja keadaan di kawasan ni. Penduduk kampung dah malas nak mengadu. Tak jalan! Aku mengangguk saja mendengar penjelasan Firah."

    ***

    Firah kata "Adun yang konon Datuk selalu tukar-tukar. Dari PRU itu hari, sampai lah kau tengok jalan tu tadi, sudah tiga kali sini ada PRK. Adun matilah. Adun undur dirilah. sebelum hari pangkah, kata mahu isi tar baru yang boleh tahan berat seratus dua puluh tan. Sudah kena pangkah, modal mahu tabur tar baru sudah terpakai belanja gantung poster. Tak jalan!!!"
    Aku tinggal selangor sana. Kalau guna air bawah dua puluh meter padu sudah dapat percuma. Dengar Firah kata, aku senyum sambil angguk sahaja.

    sengal jugak tukang tulis komen nombor 2 ni kan?
  • 3) ini adalah salah satu karya anda yang saya minati selain dari "kemaafan dendam yang terindah"

    anda menggabungkan beberapa plot menjadi satu dengan baik. tidak terlalu meleret dan diolah dengan kemas. sampai mesej yang diberi apatah lagi pada penamat jalan cerita. syabas!
  • 4) Saya rasa cerita anda ini berserabut. Anda tak tahu apa yang nak dicerita. Harap cerita anda seterusnya akan lebih fokus.
  • 5) "Firah tergelak sambil menarik-narik tanganku, memaksa aku mendengar juga ceritanya."
    hepp bini orangg nii.

    stail penceritaannya baik, tapi fokus dan relevan antara plot agak longgar.
    mungkin kerana ini kisah benar.

    good piece anyway
  • 6) ok jugak cerpen ni..
  • 7) cerpen yang menarik..
    setuju dgn Firah,
    klu dah tau lelaki tu tak guna,
    baik jangan kawen..
  • 8) seperti biasa...
    ancal bijak mempelbagaikan emosi dalam karya...
    plot pun ada identiti yang seronok untuk ditatap... suspen juga ada..
    akak suka yang ini selepas karya 'maaf' tu..

    nice idea...
  • 9) seram siot..
  • 10) hehe..dlm cerita ancal, mesti ada elemen2 kelakar..tp part yg seram tuh mmg seram hbslah. mcm cerita btl jer..hehe
  • 11) jangan hampiri zina! jauhi maksiat!
  • 12) Soalan: Zamani tu anak Zamil ke? Means Fira **** dgn Zamil ke? Zamil kemana? maaf.. ilmu masih cetek.

  • (Penulis)
    13) maaf baru perasan soalan ni. bukan2.. Zamil bukan ayah budak tu. Zamil tu watak sampingan. haha

Cerpen-cerpen lain nukilan Ancalime

Read all stories by Ancalime