Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Bunga

 

DI HUJUNG kota ada sebuah rumah yang diperbuat dari batu yang berkonsepkan rumah Inggeris lama milik seorang wanita tua. Wanita tua yang sudah hampir dua puluh tahun hidup seorang diri. Keseorangan di rumah sederhana besar itu. Suaminya sudah lama meninggal dunia. Satu-satu anaknya pula telah pergi berhijrah ke bandar besar dan tidak pernah pulang menjenguknya di sini setelah sekian lama.

Di dalam sebuah kebun yang panjangnya enam kaki persegi dan lebarnya juga enam kaki persegi letaknya di sudut kanan halaman rumah wanita tua itu ditanam pelbagai jenis bunga. Ada mawar aneka warna, ada anggerik berbagai-bagai corak, ada seri pagi rona ungu dan ada dahlia yang kuning kelopaknya. Indah dan mengasyikan. Pokok-pokok bunga mawar ditanam di penjuru timur, cantik tersusun. Pokok-pokok anggerik pula ditanam di ufuk barat, disokong dengan kayu-kayan agar tampak lebih berseri. Di sekeliling pagar, ada pokok-pokok seri pagi yang menjalar sementara di bawahnya deretan pokok-pokok dahlia yang kuning tumbuh subur.

Setiap pagi wanita tua yang hidup seorang diri itu akan menyiram pokok-pokok bunganya sambil bernyanyi kecil. Hatinya gembira melihat bunga-bunga yang menguntum dengan warna-warna yang mempersona. Kala petang tiba, sekali lagi dia akan menyiram pokok-pokok di kebunnya itu. Sebulan dua kali, dia akan menabur baja supaya pokok-pokok bunganya terus menghasilkan bunga-bunga yang rekah mewangi. Itulah rutin yang dilakukan wanita tua itu setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan setiap tahun.

Sehinggalah suatu pagi, wanita tua itu tidak lagi bangun menyiram pokok-pokok bunganya. Bunga-bunga yang mekar di kebun itu mula diterpa gusar. Ke manakah wanita tua itu pergi? Ada sesuatu yang buruk telah berlaku pada wanita tua itu, kah?

“Cik Mawar, Cik Mawar, kamu rasa tuan kita itu jatuh sakitkah?” tanya Seri Pagi pada Mawar yang sedang menguntum mekar.

“Entahlah Cik Seri Pagi, saya tidak tahu,”

“Semalam saya ada dengar tuan kita itu batuk-batuk. Dengarnya agak teruk,” sampuk Anggerik yang tumbuh berdekatan dengan bilik wanita tua itu.

“Oh, teruklah kalau begini. Jika tuan kita sakit, siapa lagi yang hendak menjaga kita?” soal Mawar berbaur risau.

“Iya, betul cakap Cik Mawar. Apa yang perlu kita buat Cik Anggerik?” tanya Seri Pagi pula.

“Kita tidak mampu buat apa-apa. Kita tidak boleh bergerak,” jawab Anggerik.

“Jangan risau kawan-kawan. Walau kita tidak boleh bergerak, sekurang-kurangnya kita masih boleh berdoa. Mintalah pada Tuhan agar tuan kita itu panjang umur agar boleh terus menjaga dan menemani kita,” ujar Dahlia yang sejak tadi mendiamkan diri.

Pokok-pokok bunga itu mula berdoa. Seketika kemudian, pintu rumah dibuka. Seorang wanita tua dengan rambut putih penuh uban, menyarung baju labuh rona putih susu kelihatan di muka pintu. Wanita tua itu seperti biasa dengan tongkat di tangan kanan, terbongkok-bongkok berjalan keluar. Dia melangkah ke arah pili air yang dipasang getah panjang.

“Maafkan aku kerana lambat memberi kamu minum bunga-bungaku. Aku kurang sihat,” ujar wanita tua itu lalu memulas pili air dan mula menyiram pokok-pokok bunganya.

Selesai menyiram, dia duduk di atas permaidani rumput yang menghijau. Dia memerhati sekeliling. Hatinya gembira. Bunga-bunga yang ditanam hidup dengan baik. Tiba-tiba dia mengeluh. Terlalu berat kedengaran.

“Aku sudah semakin tua. Kesihatanku kebelakangan ini tidak begitu baik. Sering sahaja lelahku datang tidak kira masa. Kakiku ini juga serasa tidak larat lagi untuk melangkah,” ujar wanita tua itu lagi pada bunga-bunga di sekelilingnya.

Mawar, Anggerik, Seri Pagi dan Dahlia yang mendengar berasa sayu. Mereka bersimpati pada wanita tua itu. Setiap dari mereka keberatan untuk berpisah dengan tuan yang telah menjaga mereka dengan baik dan memberi kasih sayang yang melimpah-ruah.

“Umurku mungkin sudah tidak panjang lagi. Bila-bila masa sahaja aku boleh dijemput oleh Tuhan, pergi meninggalkan kamu semua,” ujar wanita tua itu lagi.

Mawar dan Seri Pagi sudah menangis teresak-esak. Dahlia pula hampir rebah ke tanah sementara Anggerik diam tanpa apa-apa reaksi. Mungkin di luar Anggerik tampak tabah namun di dalam hati, pasti sedang hebat bergelora dengan hiba dan duka.

“Aku risau. Kelak, bila aku tiada, bagaimana dengan kamu semua? Siapa yang hendak menjaga dan membelai kamu? Siapa yang hendak menyiram kamu pagi dan petang? Aku tidak tahu,” luah wanita tua itu.

Bayu yang bertiup sepoi-sepoi membuatkan anak rambut wanita tua yang beruban itu menari-nari. Sedikit-sebanyak ia menghantar damai dalam hati. Bunga-bunga itu turut resah seperti mana yang tuan mereka alami. Apakah nasib mereka di kemudian hari andai tuan mereka itu sudah tiada lagi dari muka bumi ini?

Bunyi enjin kereta rona hitam berhenti di halaman rumah menampar pendengaran wanita tua itu membuatkan dia tersentak. Lehernya dipanjangkan bagi melihat gerangan pemandu kereta mewah tersebut. Seorang gadis yang memakai pakaian korporat kelihatan begitu elegan, keluar dari perut kereta.

Gadis yang memakai cermin mata hitam itu mengulum senyum. Perlahan-lahan melangkah ke arah wanita tua yang sedang duduk bersimpuh di atas rumput itu.

“Apa khabar ibu? Ini Maria, anak ibu,” ucap gadis itu lalu duduk di sebelah ibunya.

“Maria? Benar ini kamu Maria?” soal wanita tua itu seakan tidak percaya.

“Ya, ini saya, anak ibu. Saya ke mari untuk menemani ibu. Saya tidak akan tinggalkan ibu lagi,” ujar gadis itu.

Wanita tua itu terus menerpa anak gadis yang telah sekian lama menghilang. Dia mendakap anaknya itu erat, seakan tidak mahu lepas. Mawar, Seri Pagi, Dahlia dan Anggerik yang melihat turut mengulum senyum. Nampaknya, mereka tidak perlu risau lagi. Mereka sudah dapat tuan baru yang akan turut sama menjaga mereka nanti.  Debunga mula bertebaran seiring dengan tiupan angin, membawa bersama haruman yang cukup mempersona!

 

TAMAT

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) ehem, ehem...

  • (Penulis)
    2) yeah, dah elok semula kotak komen ni...
  • 3) hehehe simple je. tapi konsep dan perspektifnya unik
    good good

  • (Penulis)
    4) caha: sekadar mencuba sesuatu yang lari dari cinta yang romantis.

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 5) yer, sesekali membaca cerita sebegini pun bagus juga

  • (Penulis)
    6) robot: ha'ah cikgu, dah macam sesi bercerita pada budak tadika pula. hehehe...

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 7) rasa macam baca cerita kanak2. cubalah hantar mana tahu boleh publish? best. saya suka satira dan moralnya!

  • (Penulis)
    8) dayya: cadangan yang baik, mungkin saya boleh cuba.

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 9) bunga, begitu sinonim sekali dengan wanita kan?

  • (Penulis)
    10) mizz_aszni: dan kumbang pula, begitu sinonim dengan lelaki...

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 11) permulaan yang begitu baik namun pengakhiran yang mengecewakan (mengapa?)

  • (Penulis)
    12) mr_kajiwa: maaf kak, memang pada mulanya saya ingin membuat jalan cerita yang lain tetapi di saat-saat akhir, ia ditukar dan jadi begini. kak maria ada cadangan untuk dibaikpulih?

    terima kasih sudi singgah membaca...

    (p/s: tak pe kak, rotan je saya cukup-cukup. dah lama tak kena rotan ni. huhu...)
  • 13) Saya suka bunga Teluki..nice one ridh walaupun agak simple

  • (Penulis)
    14) rain: saya pula suka bunga matahari...

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 15) oh,yang tidak bernama itu saya

  • (Penulis)
    16) babymilo: sengaja mencuba sesuatu yang lain dari kebiasaan tetapi agak kurang memuaskan bagi saya. akan cuba perbaikinya dari semasa ke semasa.

    terima kasih sudi singgah membaca...
  • 17) sweet..tu je mampu kukatakan..aku igt ending dia bunga2 tu mati kene lenyek dgn kete..isk2

  • (Penulis)
    18) paktam: ish, ish, ish... kasihan bunga-bunga tu jika dilenyek dengan kereta. hehehe...

    terima kasih sudi singgah membaca...

Cerpen-cerpen lain nukilan ridhrohzai

Read all stories by ridhrohzai