Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Tiga Cerpen Mini Malam 31

 

TIGA CERPEN MINI MALAM 31

OLEH FAHD RAZY


Cerpen 1: Malam 31 Ogos 1900

SESUDAH kami menawan balai polis di pinggir kampung, Tok Aji Kesang telah mengarahkan kami berkubu di bukit besar. Dari situ kami boleh mengadang kemaraan askar sipahi upahan yang dibawa masuk oleh orang putih dari sebelah utara. Tok Aji Kesang yakin, si penjajah keparat itu akan datang kembali dengan gerombolan askar sipahi yang bukan sedikit untuk merampas semula mukim ini. Kesemua 8 orang askar mereka dan dua orang pemungut cukai telah melarikan diri ke hutan. Seorang yang dapat kami tawan mahu dijadikan tebusan. Dua orang-orang kami telah gugur syahid dibolosi tubuh dengan timah keparat si petualang itu- Seman anak Dukun Rawa, dan Awang Leper. Tok Penghulu Salim pula luka parah di tangan kiri.

            Malang nasibku pabila semarak pendekar dalam diriku yang mula terbakar terpaksa diperam. Tok Aji Kesang mengarahkanku untuk berkubu di kampung, bawa wanita dan kanak-kanak bersembunyi di dalam surau di sebelah rumah Penghulu Salim. Buat kubu guni pasir dan jerangkap samar.

Semail, kau bawa Tok Penghulu Salim pulang ke kampung. Bawa sama dua tiga orang yang pandai menembak. Kita tak perlukan senapang di hutan ini. Biar dipakai di kampung sana, lagi bijak. Aku patuh walaupun berat hati mahu meninggalkan rakan seperjuangan. Tetapi mujur benar Tok Aji Kesang, pendekar terhandal di daerah itu, membenarkan aku datang semula malam esok bersama Haji Alang Kamboja dan orang-orangnya dari kampung sebelah untuk berkubu di Bukit Kecil di sebelah barat.

Maklumkan pada Haji Alang Kamboja supaya membawa dua puluh pemuda dari kampungnya.  Tok Aji Kesang sempat berpesan sebelum aku berangkat.

Satu-satunya jalan masuk ke mukim kami adalah dari utara melalui denai antara Bukir Besar dan Bukit Kecil. Tidak bijak kalau melalui selatan kerana terpaksa menempuh belukar tebal yang dipenuhi binatang buas dan berpenunggu. Kawasan tenggara pula kawasan paya. Tok Aji Kesang mahu serang hendap askar orang putih yang melalui denai itu.

Malam esoknya aku dan Latip masuk hutan lagi ke Bukit Kecil mengejar kumpulan Haji Alang Kamboja setelah membantu beberapa orang pemuda kampung berkubu di surau. Pak Salleh yang akan mengetuai di situ. Latip membawa rotan yang diikat dengan mata lembing, simbat dan parang panjangnya. Tangan kananku kejap menggenggam parang yang baru kuasah petang tadi manakala sebilah lagi pedang tidak bersarung yang berbalut kain kuning aku sisipkan pada cindai di rusuk kanan. Parang itu hadiah guru silatku Tok Aji Kesang.

Semail, kenapa kita mesti berperang dengan orang putih? Sebelum ini, bukannya dia bunuh anak-beranak kita? Tiba-tiba saja darah mudaku menyirap mendengar pertanyaan Latip. Itu pertanyaan pengecut! Mahu saja aku hayun parang di tanganku ke lehernya. Luka yang bertempel daun senduduk dan daun pokok kapal terbang lumat di perutku  yang terkena serpihan senapang orang putih semalam terasa menyucuk-nyucuk.

Hei, kau tak nampakkah mereka itu menjatuhkan maruah bangsa moyang-poyang kita! Orang kampung habis dijarah mereka. Cukai sana, cukai sini. Nak buka tanah tanam ubi pun kena dapat surat permohonan! Kita anak jantan, anak Melayu. Pantang dikocak pasti melibas! Biar syahid terpenggal daripada melutut kepada kafir keparat tu.

Latip mula takut melihat aku menjerkahnya geram. Dia tunduk. Kubu orang-orang Haji Alang Kamboja sudah dekat, setengah batu saja.

Latip, kau jangan bimbang. Mereka ada askar kuat. Ada senapang dan meriam. Tapi ini tanah tempat kita lahir dan bermain. Mereka mana tahu berperang dalam hutan. Senapang mereka tak berguna kalau mereka tak nampak kita di celah-celah pokok. Insyaallah, aku yakin!

Tiba-tiba bertalu-talu bunyi senapang meledak. Ada juga pekik-sorak bunyi macam orang mengamuk di Bukit Kecil. Aku membuka kain kuning yang membalut parang di rusukku. Kedua-dua belah tanganku menggenggam kejap dua bilah parang tajam. Ada nama tuhan berdesing dalam kepala. Aku rela syahid.

Latip, ayuh!

 

Cerpen 2: Malam 31 Ogos 1957

            Langit tengah hari itu terasa cerah dan panas- matahari gagah membakar ubun-ubunku. Aku mengheret lembu peliharaan ayah yang mula berkeliaran hingga ke hujung kampung. Bahaya lembu itu kalau tidak ditengok-tengokkan, nanti habis daun-daun pisang muda yang baru hendak bertunas di kebun Pak Su Mud yang tidak berpagar itu diratahnya. Ayah dah banyak kali kena jerkah kerana lembu itu. Aku tambat lembu itu pada pokok tembusu rendang tidak jauh dari parit.

            “Semail! Semail! Cepat bersiap. Kita ke Kuala Lumpur,” tiba-tiba jerit ayah sambil berlari di seberang parit. Tangan kiri ayah memegang kain semutar di kepalanya yang hampir terlucut.

            Ayah lompat atas rakit yang dibuat oleh budak-budak kampung untuk ke seberang. Parit itu tidak besar, sedepa lebih saja. Aku mencenungnya pelik. Ayah tentu baru balik dari warung kopi Wak Seman setelah habis menoreh pagi tadi. Kalut sungguh. Ayah segera berlari ke rumah. Aku mengikut.

            “Pergi mandi cepat. Pakai kemeja yang bapak belikan hari tu. Kita ke Kuala Lumpur petang ni,” arah ayah. Dia tersengih girang.

            Ayah menceritakan sesuatu kepada emak. Emakpun nampaknya girang benar. Melompat-melompat. Aku cuba mendengar tetapi tidak jelas. Mungkin ini urusan orang tua, jadi aku yang baru berusia lapan tahun tentunya tidak mengerti. Yang aku pasti, ayah ada menyebut-nyebut tentang Tunku. Siapa dia tu?

            Kami berbasikal dari petang. Aku duduk di belakang basikal ayah yang sudah berkarat itu. Kuala Lumpur lebih kurang sepuluh batu dari kampungku, tetapi denai-denai yang becak menyebabkan perjalanan kami jadi lambat.

            Kami tiba di Kuala Lumpur malam. Banyak kedai-kedai cina dua tingkat tersusun berderet sepanjang jalan. Pada waktu itu kebanyakan pintu kedai sudah tutup walaupun di dalamnya berbalam-balam cahaya lampu. Cuma ada satu dua kedai yang masih buka. Ini kali kedua aku ke Kuala Lumpur. Tiga bulan lepas aku ke sini megikut ayah membeli kemeja yang aku pakai itu.

            Kami ke satu tempat yang dipenuhi orang. Ada satu bangunan warna putih macam masjid. Kata ayah itu bangunan Sultan Abdul Samad. Di depannya ada satu dataran yang luas. Orang ramai berduyun di situ. Kamipun.

            Kami semua mendengar orang berucap di atas pentas sana. Aku tidak faham apa yang dikatakan oleh mereka. Ayah dukung aku di atas bahunya. Aku lihat, memang ramai orang. Semuanya tersenyum dan serius mendengar.

            Tepat jam dua belas tengah malam, aku lihat mereka turunkan bendera berwarna biru berjalur merah. Kemudian mereka kibarkan bendera yang lain. Aku memandang ayah. Ayah tersenyum.

            “Semail, mulai hari ini segalanya bakal berubah.” Aku tersenyum, tidak mengerti.

 

Cerpen 3: Malam 31 Ogos 2004

Bila aku bangun, dia dah tak ada. Waktu itu langit hitam legam. Akhir sekali aku ingat, kawan aku ‘si bantut’ itu memberikan aku segulung rokok. Akupun tak tahu apa yang disumbatnya, tapi itu bukan seperti marijuana yang selalu aku sedut. Dua tiga kali sahaja aku tarik hembus nafas, fuuh, fuuh, aku dah melayang.

            Kepala aku sakit berpinar-pinar macam ada ulat kekek memakan otak aku mentah-mentah. Sakit. Sakit sungguh. Aku menyumpah-nyumpah ‘si bantut’ itu dalam bahasa yang aku sendiri tidak fahami. Aku duduk-duduk, lebih kurang dua puluh minit, baru aku ada tenaga untuk bangun. Itupun terhuyung-hayang ke kiri ke kanan dan hampir-hampir terjun longkang. Perut aku berkeriut minta nasi lauk ayam goreng. Minta air milo ais. Minta kuih cengkodok. Aku tumbuk-tumbuk perut aku marah. Aku mencari jika ada warung tepi jalan, bolehlah aku kaut sisa-sisanya.

            Apabila lama aku berjalan, aku lihat ramai orang bising-bising dan terkinja-kinja. Ada dua bangunan tersergam gagah. Aku dongak, bangunan itu bagai mahu tumbang ke arahku. Indah sungguh dengan lampu yang memancar di sana-sini.

            Aku hampiri gerombolan orang ramai itu. Mana tahu kalau ada orang yang tertinggal burger atau air coke yang tidak luak di mana-mana. Bising sungguh. Aku pergi dekat, terdengar suara orang melalak. Rupa-rupanya ada pentas nun di hujung sana.

            ++ Konsert Merdeka la.

            Kata seorang gadis dengan skirt pendek paras peha warna merah berkilat dengan t-shirt putih ketat bergambar hati di tengah, tanpa lengan dan hampir menampakkan dada. Bahagian perutnya terdedah luas. Aku mengangguk, sambil mata tidak berkedip menyeluruhi tubuhnya yang pejal.

            Oh hari ini merdeka rupanya, segera aku teringat kata-kata si bantut siang tadi.

            Aku menyusup di celah-celah orang ramai. Bau hapak peluh bercampur dengan bau minyak wangi yang berlebih-lebihan membuatkan aku rasa ketagih. Aku sendiri tidak kenal siapa yang menyanyi di depan sana tapi aku tidak peduli. Pabila orang bersorak akupun bersorak. Orang melompat aku melompat. Orang bertepuk aku bertepuk. Seronok dapat bergesel-gesel begitu. Tangan aku tidak pernah duduk diam, merayap merata-rata. Entah dada dan punggung siapa aku pegang, akupun tidak tahu. Ah, seronoknya kalau merdeka hari-hari! Aku teringat pada si bantut.

            Tiba-tiba semua orang senyap. Beberapa ketika kemudian mereka mula mengira beramai-ramai.

            LIMA- EMPAT- TIGA- DUA- SATU- MERDEKAAAA!!!

            Riuh-rendah bagai kena rasuk. Aku turut terkinja-kinja sambil melalak. Sakit di kepalaku aku lontar ke langit bersama suara. Aku tercapai satu botol air mineral separuh penuh. Aku campakkan ke langit sambil melompat. Entah di mana jatuhnya aku apa peduli.

            Selepas beberapa lama aku jadi gila begitu, akupun menyusup keluar. Aku dapat mencuri sebungkus burger dari seorang lelaki yang terlalu ralit melompat. Memang rezeki aku malam itu. Aku menjamah penuh selera. Aku berasa dahaga. Segera aku ke masjid tidak jauh dari situ untuk minum air paip. Aku lihat ramai pemuda-pemudi berehat di situ dengan rambut yang diwarna-warna. Yang lelaki tidak kurang bersubang dan rantai. Yang gadis, baju dan seluarnya memang tegang. Tangan sibuk merayap ke tubuh pasangan masing-masing. Ada yang sempat mencuri cium. Aku tersengih.

            Nun di satu sudut, aku lihat ada seorang pemuda, usia mungkin akhir belasan tahun. Tekun menatap sebuah buku berkulit hitam tanpa menghiraukan pesta di sekelilingnya. Aku dekati. Merdeka! British Rule and The Struggle for Independent in Malaya 1945-1957, tulisan Khong Kim Hoong. Hanya satu perkataan yang terbersit dalam kepalaku untuk budak itu.     

            ++ Gila…!

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Eksperimental

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account


  • (Penulis)
    1) Ini cerpen lama tahun 2004, jadi, maaf kalau ada sikit-sikit yang outdated.
  • 2) isk..mcm pernah bc musykil2..ada pernah kuar mjlh memana x?
  • 3) bgs ada cerita mcm ni..br nmpk apa erti kemerdekaan tu..
  • 4) hehehehe
    nilai kemerdekaan yang menyusut.
    sejarah merdeka memang berbagai. terpulang pada susuk pemikiran kita. dah disuap dengan propaganda yang mana satu.

    nice one fahd. ada stail. i like.
  • 5) Salam saudara FahdRazy.

    Salam perkenalan dan selamat datang saya ucapkan dalam ruangan cerpen di kapasitor ini.

    Cerpen sulung di sini dan ternyata ianya baik. Penuh teladan. Mesejnya sampai. Bahasa yang digunakan tidak terlalu berat dan isi ceritanya mudah dihadam.

    Cuma, saya agak keliru dengan watak 'aku'. Pada tahun 1900, berapakah umurnya? Pada tahun 1957, berapakah umurnya? Atau, 'aku' di sini adalah watak yang berbeza?
    Mungkin saya kurang ambil perhatian. Hehehe... ;kohkoh

    Secara keseluruhan, ia cerita yang baik. Selamat berkarya...

  • (Penulis)
    6) Sdr Ridhrohzai, ini 3 cerpen berbeza, tapi berkait. Jadi wataknya orang lain-lain. Tak berkait dari segi latarnya tapi berkesinambungan dari segi nilai.
    Terima kasih kerna membaca.

    Sdr Cahatomic, terima kasih.

    Paktam, terima kasih membaca. Cerpen ni ada termuat dalam antologi cerpen Salju Jabal Musa (2005) sebelum ini dan juga disiar di Berita Minggu tahun 2004. Memang cerpen lama
  • 7) nice...
    punya mesej yang sarat bermakna...
  • 8) owh, begitu... fahamlah saya. terima kasih untuk penjelasan itu ya...

  • 9) 3 tahun yang berbeza...berbeza dari segi ideologi org2 pada mase tu... peritnya nak dapatkan kemerdekaan yang sebenar..dulu, kita menghargai, betapa bernilainya merdeka, begitu payahnya org2 dulu nak dptkan merdeka...sekarang, macam yang kita tgk, asal malam merdeka, mesti berpeleseran merata2...

    cerpen yang best, patutla dah pernah msuk surat khabar....
  • 10) merdekakah negara kita sekarang??

  • (Penulis)
    11) terima kasih sdr areena.

    ridhrozai: sama-sama

    akma: yup, 3 mini cerpen, 3 generasi, 3 zaman, 3 pemikiran

    wf1234: apa itu merdeka?

Cerpen-cerpen lain nukilan FahdRazy

Read all stories by FahdRazy