Macam Mana Nak Cari Jodoh di Malaysia?

900k ahli di sana sedang mengunggu anda di Baitul Jannah. Mungkin.. jodoh awak ada sana.

Daftar Sekarang!

Lingkungan

 

Lingkungan

            Merenung ke luar tingkap. Dan sejauhnya. Di sana bangunan tinggi berbalam-balam bercampur warna biru langit dan putih kabus awan sambil semuanya dilatari oleh silouet sebuah banjaran. Dan di padang pula hijau rumput garang berselang dengan tompok-tompok tanah merah. Padang ini tiap petang digunakan, jadi tidak hairanlah berapa kali pun mereka membaikinya tetap berlopak dan bertompok seperti itu.

            Guru di hadapan membuat pelajar membaca bait-bait prosa klasik daripada buku teks. Hambar. Berbanding kelas matematik tambahan, yang lain pasti tegak mendengar atau bongkok ke meja mengira-ngira abjad anu dan aljebra. Waktu jam 12 tengah hari. Matahari tepat di atas. Udara kering dan panas. Tiga buah kipas tiga bilah di siling tidak meredakan. Dan semuanya itu kau rasa.

            Muka berminyak.

            Peluh bermanik di tepi dahi. Peluh di dada. Belakang. Dan punggung.

            Nasi goreng dan sambal waktu rehat berkocak.

            Syarahan monoton guru.

            Sepi kelas.

            Segalanya bersatu mendesak segala deria menderitai setiap detik. Otak yang tidak mampu menempuhinya segera keletihan mengarah: setiap aktiviti tidak penting ditangguhkan bagi memastikan orang ini berupaya hidup untuk saat seterusnya. Isyarat saraf diterima lalu mata diberatkan. Sunyi. Rasa ini nikmat amat.

            Kemudian. Kemudian. Kemudian.

            Jam 1.30.

            “Cikgu Asri beri kerja rumah. Buat buku kerja dari muka surat laaaappaa...,”

            Kau mengenyitkan mata beberapa kali. Mata masih berat namun sudah bertenaga.

            “Kau dengar tak? Muka surat 82 sampai 85. Huh? Mata kau merah betul macam hantu. Ada basah-basah kat tepi mulut kau (sambil mengesat-ngesat kanan mulutnya dengan tangannya sendiri). Tengok, atas meja pun ada.” Kancil tersenyum kecil.

            Benar kata Kancil. Agak besar juga, kali ini. Berbanding sebelumnya. Kau menghendap bawah meja dan mengeluarkan beberapa buku nota lalu diletakkan atas tempat berkenaan. Mimpi tadi masih terbayang-bayang. Kancil juga ada dalam mimpi tadi. Kancil dan kau keluar pergi menonton  perlawanan antara MU dan Chelsea. Kau minum teh tarik. Kancil pula makan roti kosong cicah kari dal. Perlawanan berakhir MU kalah 7-0. Kancil berang lalu membaling kerusinya ke arah orang ramai. Kau bergocoh untuk menenangkannya.

            Pastilah itu mimpi. Macam-macam boleh berlaku. Dan kau pasti Kancil takkan membaling kerusi. Datang perhimpunan lambat pun dia belum pernah. Kasutnya putih. Kukunya pendek. Rambut juga. Turun subuh lebih awal daripada orang semuanya. Dan tidak pernah tidur dalam kelas. Katanya dia bercita-cita jadi doktor. Kau memperlekeh citanya kerana dia klise – dewasanya ingin jadi seorang yang saintifik dan canggih dengan bersenjatakan stetoskop memeras duit orang sambil menyuarakan niatnya “AKU INGIN MENOLONG ORANG.”

            Kau lihat Kancil sedang menyalin buku sejarah. Tiap rinci ayat ditulis ke dalam nota poketnya dengan tulisan halus benar. Di sudut mejanya surat khabar. Kau mencapainya dan terus menyelak ke halaman belakang. Terus-terusan ingatan menyambar.  Mungkin mimpi tadi bermaksud untuk mengingatkan. Malam ini. Mungkin.

            Bunyi kerusi meja tertolak menenggelamkan kelas. Gegarannya menumbuk ke dada. Arus pelajar lelaki ke belah barat manakala arus pelajar perempuan berlawanan. Suara bertingkah-tingkah; memanggil nama, menyahut, mencarut, gelak tawa atau berborak-borak. Waktu kelepasan jam 1.45 sememangnya ajaib. Jam 3 nanti semua akan digembala masuk ke kelas persiapan oleh Ketua Warden atau mana-mana guru yang rasa ingin melakukannya.

            “Itu pun mereka keluarkan cadangan balik pukul dua. Gila. Engkau nak sembahyang, makan, tidur kejap, mandi, berak, kencing. Berapa minit yang tinggal nanti? Tak hairanlah tandas kita macam tu. Semua kejar masa , tak kisah pun bersih ke tak,” kata Babat. Mulutnya penuh.

            Kau dan Babat makan bersebelah . Tengah hari rabu dewan makan paling penuh . Makan nasi ayam. Kau diam mendengar Babat bercerita awal pagi tadi bagaimana dia berjaya meloloskan diri daripada tangkapan ketua Warden baru. Babat membiarkan semua paip shower terbuka ketika dia mendiamkan diri dalam tandas hujung. Ketua Warden baru  pantang membazir, segera menutup paip sambil Babat berlari keluar. Langsung ke sekolah dan masuk ke kelas.

            Semua tertawa dan kau juga –sambil menelan nasi, lantas tersedak. Rongga hidung rasa mencucuk-cucuk dan mata kau berair, kekaburan. Kau terbayang Ketua Warden gempal tergesa-gesa  menutup paip air, lenjun dalam peluhnya dan air dari shower. Semangatnya yang luar biasa menjadi bahan gelak setiap warga asrama. Jangan ingat saya tak berani. Itu kata yang sering diulangnya semasa marah-marah di perhimpunan atau dalam surau.

             “Eh jap, kau.” Babat menahan seorang budak. Kau ikut sama tertoleh. “Minta tolong ambilkan sirap. 2 gelas. Terima kasih.” Babat memaniskan muka.

            Satu-satu kau menyuap. Butir-butir nasi bergaul masin sup ditambah pedas dan manis sambal memeluk lidah, sayang sekali ditelan. Ayam berempah lembut serta wangi. Lewat kerongkong kemudian jatuh ke dalam tembolok.

            “Ish, kau tengok ni. Apa ni. Hish. Bergerak-gerak lagi,” kata seorang di sebelah Babat. Kau  toleh ke kiri sambil mengunyah.

            “Apa?” Babat memanjangkan leher.

            “Ini,” menuding sesuatu dalam pinggannya dengan baki tulang kepak ayam.

Babat mengecilkan matanya. Dia memerhati betul-betul. “Alah, itu kan ulat sayur aja. Buang la kalau tak nak makan. Sayurnya elok lagi.”

            Berhenti sebentar menyuap. Daun-daun salad diselak satu-satu. Bersih.

            “Masa awal-awal dulu lagilah. Kat sana tu,” mulutnya dimuncungkan ke arah dapur dewan makan, “ penuh ikan-ikan mata merah. Ikan gorengnya liat macam daging. Hanyir. Minum air kosong. Mana ada manis-manis ni.” Babat tersenyum.  Mungkin bangga kerana dia pernah menempuh semua itu. “Pernah cikgu suruh tangkap lipas, esoknya nak buat eksperimen makhluk hidup perlu udara dan semua tu. Kami masuk dewan makan, setengah jam dapat lebih sepuluh ekor.”

            Orang di sebelah kiri Babat itu bangkit dan terus membuang baki makanannya. Kemudian dua gelas air sirap sejuk tiba.

            “Kenapa lambat sangat?” tanya Babat. Kau juga memandang budak itu.

            “Ramai orang bang.” Budak itu menyimpul senyum tawar.

            “OK. Terima kasih tau.”

            Abang. Kau belum pernah menggunakan kata hormat itu. Masuk ke asrama sebagai tingkatan 4 sememangnya memudahkan. Dan kau belum pernah disuruh-suruh seperti budak tadi. Kemudian kau memata Babat yang sedang bangun selesai makan tengah hari. Babat bising. Banyak cakapnya. Datang ke sekolah jarang-jarang awal.

            Baki nasi terlekat di jari diketuk pada hujung pinggan. Pinggan dan gelas kau campak ke besen besar di sudut dewan makan. Kau membasuh tangan dan berjalan perlahan ke surau. Dalam tadi jam dewan makan baru dua dua puluh.

           Surau penuh dengan pelajar bergelimpangan tidur dengan pelbagai gaya. Ini peraturan baru yang mereka laksanakan baru dalam minggu ini. Habis waktu persekolahan naik ke asrama dilarang. Katanya untuk mengelakkan ponteng kelas petang dan menjimatkan masa. Kau berwudhuk dan mencari ruang yang masih lapang untuk solat.

            Takbir.

            Malam ini. Mungkin akan selamat. Tiap-tiap malam ada yang keluar, seorang pun belum tertangkap, dalam bulan ini sekurang-kurangnya. Ketua Warden tentu penat dan tertidur dalam biliknya. Tidur lebih enak, mengapa digaduhkan mengejar budak. Ah, juga boleh makan nasi lemak. Rakaat berapa ni. Tiga? Tak. Bukan. Empat.

            Kau merebahkan diri selepas siap berdoa. Lantai marmar sejuk walaupun  tengah hari panas. Wajah penuh gadis kelas sebelah kau biarkan bermain-main di mata. Pipi mongel. Bibir rekah delima, mata sedikit sepet dan putih kulitnya. Masih ingat kali pertama kau melihatnya dalam baju kurung warna lembayung. Kau mengkhayal-khayal, berharap adunan perasaan ini akan masuk dalam mimpi, lebih baik daripada mimpi sebelumnya.

            “ Bangun, bang. Tiga suku. Dia dah datang.”

            Kau terpinga-pinga. Dia dah datang. Sebentar sahaja lelap. Budak yang mengejutkan kau sedang menggoncang bahu orang sebelah. Masih ramai terlantar tidur. Kau pantas keluar cekatan menyarung sepatu dan menyelamatkan diri. Tak lama kemudian bunyi berdetas, atau berdetus bertalu-talu. Perempuan di tingkat atas sekolah melihatnya. Muka mereka berkerut semacam rasa sakit itu terpindah hinggap ke punggung.

            Kelas 4 lestari. Tingkat empat. Satu-satu anak tangga didaki. Kau mengira setiap anak tangga. Semenjak ini semua dirasakan berat untuk dihadapi. Rutin diulang setiap hari. Bermula jam 5 pagi. Berebut tandas. Kemudian seterika. Kemudian sarapan. Kemudian ke sekolah. Beratur mengikut kelas. Bacaan doa. Ucapan pengetua. Saat pertama melangkah ke dalam kelas kau berharap cikgu akan lewat tiba atau tak tiba langsung. Kadang-kadang tinggal 10 minit masa berbaki namun cikgu tetap datang sambil tercungap-cungap.

            Keluhan berat mengembang dalam dada dilepaskan. Fikiran juga berat.

            Buku, pensel dan bola – objek-objek ini telah diabadikan dalam lencana.Wajib disematkan pada pada setiap saku kemeja dan tudung sekolah. Buku dan pensel: akedemi, akhlak. Bola: ko-kurikulm, sukan. AKHLAK, BIJAK, AKTIF. Mereka patut menambahkan selipar antara objek-objek simbolik dalam lencana, kerana tak ada seorang pun sanggup menempuh sehari di asrama tanpa selipar. Kau lihat pada saku kemeja kau sendiri. Masih berbekas glu lencana sekolah lama berbentuk petak.

            “Sekali sekala ikutlah fly. Kau tak bosan? Heh, jangan skema sangat. Warden tu, mana kisah pasal kita. Kau lapar? Gila, satu tin biskut mayat untuk satu asrama, seorang dapat 3 keping?. Malam nanti kita mati kebulur. Restoran mamak sana. Semuanya ada. Ha, kau minat bola? Aku tak (tersengih). Malam esok kau boleh ikut sekali, ada juga fan-fan Arsenal yang nak tengok match esok. Kau nak pesan apa-apa? Aku balik pukul satu nanti.” Badang gemar bermain dengan ayat provokasi. Ajakannya semalam sungguh-sungguh.

            Tunggulah nanti. Malam ini mungkin akan serta sekali. Atau mungkin tidak. Laporan kerja makmal masih tertangguh. Esok kerja matematik perlu dihantar. Buku kerja bahasa Melayu tidak akan diperiksa, tak perlu dihiraukan. Karangan bahasa Inggeris baru siap separuh.

            Dan sepanjang kelas malam fikiran berkisar tentang itu sahaja. Sebelum ini pernah kau bertanya kepada Badang. Katanya ada tiga jalan. “Di sudut hujung padang ada pagar tua tak berganti sejak sekolah ini dibina. Itu agak berisiko. Belakang rumah pengetua saja. Kadang-kadang dalam pukul dua belas dia suka main suluh-suluh kat situ. Satu lagi belakang asrama lepas ampaian berbumbung. Dari situ boleh terus lompat keluar pasal pagarnya dibuat di cerun dan ada juga tiang batu boleh dipanjat. Dan baru-baru ini ada pagar runtuh tepi dewan makan. Dari situ pun boleh juga.”

            “Itu kerja budak baru belajar. Ha ha. Dah tahu gemuk gedempol jangan suka sangat panjat pagar,” ulas Badang lanjut.

            Jam sebelas pulang ke dorm. Hampir semua ahli dorm sudah berada di katil masing-masing berborak ketawa sampai kantuk datang menyinggah. Kau duduk di sisi katil dan membuka almari di sebelahnya. Badang datang masuk melulu. Raut mukanya ceria. Badang lebih bijak buat kawan daripada bijak dalam kelas.

            “Jom. Cepat sikit. Kau tak nak terlepas minit-minit awal match.”

            “Nak gi mana?”

            “Eh, KD. Aku nak keluar kedai mamak. Kau nak pesan apa?”

            Yang di katil bertentangan, KD. Khair bin Dom. Khair Dom. Merangkap Ketua Disiplin pelajar. Oleh itu dipanggil KD saja.

            “Kau jangan keluar.” Tegas.

            “Aku nak keluar. Dia nak ikut sekali. Apa nama kau ni? Lupa lagi.” Selamba bersahaja.

            Kau hendak menjawab. Tapi KD memintas. Dia menyebut nama kau bersama bin sekali. Degupan jantung tup-tup lebih laju. Kau belum bersetuju ikut serta Badang malam ini. Badang sendiri membuat keputusan untuk kau. Akal logik pantas memeta rajah sebab dan akibat. Selain sepuluh markah penalti, wajah Ketua Warden merah padam muncul diselang-seli wajah mak dan abah. Di depan, sedang duduk bersandar di atas katilnya, KD.

            KD merenung raut kau. Badang mengangkat kening sebelah.  Mata-mata ahli dorm kau rasakan sedang menonton penuh tumpuan. Diam. Badang mengangat dua kening, mengerutkan dahinya. Muka Ketua Warden muncul: Jangan ingat saya tak berani. Mak dan abah: Sekejap saja, 2 tahun, tahanlah.

            Bunyi kipas berkeriut. Serangga sesat bertalu-talu terbang melanggar lampu kalimantang. Di kaki lima orang berjalan perlahan mengintai dari tingkap. Kau berpura-pura mengemas sedikit almari yang sedia tidak teratur. KD mengambil nafas dalam dan melepaskannya sekali gus.

             “OK. Aku dah jalankan tanggungjawab. Tapi kau nak gi. Ni, belikan aku milo ais.” Dua helai nota seringgit dihulur kepada Badang.

            “Huh. Kau pesan juga. Malam ni bukan giliran si tua tu jaga asrama. Kalau dia jaga kau jangan ada niat nak keluar,” Badang memandang kau. “Dia dapat cari punya. Misai dia ada arial, macam sesungut, macam radar dia kesan sorang-sorang yang fly. Jom gerak.”.

            Kau ragu-ragu namun kau turut. Kau menyalin pakaian. Memakai jam tangan. Rambut disikat semula. Kau keluar dorm berpapasan. Mendengar monolog Badang mengulang pesanan-pesanan. Dua roti kosong, dua roti telur, satu burger daging. Istimewa untuk KD, milo ais. Dia memastikan duit cukup untuk semua pesanan dan mencongak bakinya.

           “Rileks la. Tenang. Tak ada apa. Aku buat kerja ni sejak tingkatan dua. Macam adventure. Lagi pun, ni lah yang jadi kenang-kenangan lepas SPM nanti. Boleh diceritakan untuk anak-anak.” Badang mengesani debaran kau. Kau tak menafikan.  Kau lihat Badang berjalan tenang. Badannya sekeping sahaja namun semangat dan beraninya dikagumi.

            Kau cuba menyediakan minda untuk pengembaraan yang bakal dilalui. Tiba-tiba kau teringat satu sekolah luar dekat dengan masjid. Sebulan lepas pagarnya rebah tinggal cerucuk besi sahaja tegak. Sekarang sudah dibuat semula, tinggi lebih dua meter dengan palang berbentuk Y atasnya penuh kawat duri. Semacam kawasan lingkungan menyimpan penjenayah.

           Sedang turun tangga, nama Badang diseru. Babat berlengging terjerit daripada aras bawah. “Oii!!! Nak keluar ke?!!”

            Badang diam. Tandanya ya. Babat memang bising.

            “Cancel je la. Yang keluar awal tadi semuanya kantoi. Yang nak keluar kantoi kat belakang. Esok nanti bising kat perhimpunan.” Babat mengipas badannya dengan baju ditangan. “Tidur awal. Jadi budak baik.”

            Badang berpatah balik masuk ke dorm kau. Mukanya kosong. Bosan. Kau ikut sama. KD tidak terkejut melihat kau dan Badang – suara Babat terlampau lantang! Duit dua ringgit dikembalikan. Badang diam, mengambil tilam kosong tak beralas, kekuning-kuningan dan membentangnya atas lantai betul-betul bawah kipas. Dia berlengging, menghempaskan badan tertiarap. Kau menukar pakaian tidur: seluar sukan dan baju pagoda, terus berbaring.

            Loceng  panjang dibunyikan. KD bangun mematikan lampu.

            Hanya lampu kaki lima terpasang. Cahayanya melimpah jatuh ke muka Badang. Dalam samar-samar kau nampak mata Badang masih belum pejam. KD baring di sisi Badang, memaksanya beralih sedikit sambil berdecit.

            “Balik dorm kau.”

            “Suka hati aku la.”

            “Bukan aku merepot.”

            “Ye. Bukan kau. Ada orang lain. Diam-diam sudah.”

            “Babat kot. Dia bercakap kuat. Tapi malam ni kan match besar. Memang boleh diagak. Diorang patutnya bagi saja kita buka TV.”

            “Hmm.”

            “Tanya sikit. Kau tahu, budak 4 kembara? Yang sepet tu. Dia dah berpunya ke?”

            Pertanyaan KD menggerakkan kau. Kau mengangkat tilam kau sendiri dan membentangkannya di tepi tilam Badang. Tambahan, kau tidak tahan bahang malam dan perlu mencari kipas.

            “Belum, rasanya.” Badang diam. KD larut dalam fikirnya. Kau menopang dagu melihat mereka, ingin turut serta dalam bual-bual malam. Badang memanjangkan tangannya mencapai sebatang pen di atas lantai. Dia menambah contengan yang sedia ada pada tilam itu, bersebelahan tompok gelap bertanda ‘anak-anak KD’; atas sedikit daripada formula Einstein E=mc2 ; Badang menconteng dalam huruf besar: BALACI BANGSAT.

            “Serius, ni anak-anak  kau KD?” Badang berseloroh.

            KD tak menghiraukannya dan terus mengaju soalan, “budak tu, lawa tak? Ikut pendapat korang. Hah?” KD merenung siling sambil tersengih.

            “Tak. Tuanya nanti buruk. Dia gemuk.”

            Bual-bual berterusan hingga entah jam berapa. Kau dapat tahu pelajar perempuan kelas sebelah yang sepet sedikit itu tinggal di Rawang. Loceng bangkit subuh mengejutkan kau daripada tidur. Badang terlentang dan tangan KD menyilang atas dada keping Badang. Rutin harian bermula sekali lagi. Dalam mamai kau mengambil baldi bawah katil dan berjalan malas-malas ke tandas. Ketua Warden kemas berbaju melayu dan kain pelikat keluar masuk dorm tergesa-gesa membawa pistol air.

Baca perbualan

Cerpen-cerpen Berkaitan

Semua cerpen-cerpen Umum

Cerpen-cerpen lain

Perbualan

Perbualan

Want to join the conversation? Use your Google Account

  • 1) eskperimen sudut pdngn ke?menarik2..
  • 2) kool
    dalam kapasitor x banyak karya jenis sudut pandangan begini. ini yang ke 3 x silap
    tapi yg ni mcm lebih sempoi dan menarik. hehe
    keep it up!
  • 3) "Membaca"
  • 4) saya jarang terdedah dengan gaya penulisan begini. ternyata menulis begini memang sukar. kagum dengan mereka yang mampu menulis begini...
  • 5) ini kene baca 2-3 kali baru boleh hadam ni..
    huhuhu..

Cerpen-cerpen lain nukilan kpalakotak

Read all stories by kpalakotak